Penerokaan kehidupan yang perlu dirintis dan dikongsi bagi memudahkan perjalanan semua dalam dunia yang sementara ini. Moga usaha kerdil ini memberi manfaat serta dirahmati dan diberkatiNYA.
Thursday, April 2, 2020
MANFAATKAN TEMPOH PKP UNTUK LEBIH PEKA DAN SEDAR KEPERLUAN DIRI DAN KELUARGA
Sunday, March 22, 2020
SKIL MENJAHIT BERI MANFAAT
PENGLIBATAN DALAM RUTIN ASAS SEHARIAN BAIK UNTUK ANAK
Tuesday, October 8, 2019
RAGAM ANAK ITU FITRAH. USAH ALIHKAN KEPADA GAJET. BURUK PADAHNYA!
"Bila balik kerja anak saya (2 tahun) selalu saja merengek. Dari waktu saya ambil dia di TASKA, dah mula tunjuk macam-macam ragam. Jadi saya terpaksalah beri dia ipad dari dalam kereta lagi supaya diam. Sampai rumah aman sikit dan mudah saya fokus kepada kerja-kerja rumah. Kalau tidak, dia meragam, mengekori saya dan mengacau. Dah lah penat balik kerja, boleh menyinga saya dibuatnya." Begitulah cerita dan rungutan seorang ibu kepada Mak Long.
Mengapa anak kecil merengek atau meragam?
Ianya adalah sesuatu yang sangat normal atau fitrah semulajadi anak yang meminta keperluan emosi mereka dipenuhi. Jika tidak mungkin ibu bapa tidak sedar atau lupa untuk memenuhi keperluan emosi anak tetapi lebih menekankan pada keperluan fizikal seperti menyediakan makan dan pakai sahaja.
Setelah ditinggalkan dari awal pagi hingga lewat petang tentulah anak akan merindui ibu bapa dan ragam itu menunjukkan anak meminta perhatian.
Oleh itu, sewajarnya ibu bapa bersedia memperuntukkan masa untuk memberi perhatian kepada anak sewaktu pulang dari bekerja walaupun penat dan bergegas untuk memasak dan menyiapkan pelbagai kerja rumah.
Ia tidak mengambil masa yang lama, hanya perlu fokus melayan anak sebentar dengan memberi pelukan, ciuman, berbual, bermain atau membenarkan anak bersama dalam kerja-kerja seperti melipat kain dan memasak sesuai dengan tahap kebolehan mereka.
Anak sangat suka masa bersama ibu bapa. Mereka bukan mahukan wang ringgit atau material tetapi mahukan masa bersama ibu bapa.
Anak yang disantuni emosinya apabila meragam akan kembali tenang dan mudah diurus.
Menyantuni anak juga baik untuk emosi ibu atau ayah itu sendiri. Masa berkualiti yang diberikan akan mengeratkan lagi ikatan dan hubungan anak dan ibu bapa.
Sebaliknya jika ragam anak dialihkan kepada gajet, keperluan emosi mereka dinafikan dan hubungan anak dan ibu bapa terjejas. Dia juga akan membesar menjadi orang dewasa yang tidak tahu menguruskan emosi diri dan hanya memendamkan perasaan.
Lebih buruk lagi ianya membawa kepada ketagihan gajet yang memberi kesan buruk kepada fizikal, mental dan emosi kanak-kanak. Lebih banyak masalah tingkah laku boleh berlaku seperti mengamuk jika tidak diberikan gajet, tidak sabar dan kurang kemahiran bersosial.
Hayati puisi ini.
RAGAM KASIH
Ibu Ayah,
Apabila aku menangis
Peluk dan cium aku
Ungkapkan sayang
Kerana seharian aku
Tidak mendengarnya darimu
Ibu Ayah,
Apabila aku bosan
Bermainlah bersamaku
Kerana seharian aku
Bermain dengan kawan-kawanku
Ibu Ayah
Apabila aku mengganggu kerjamu
Dengan celoteh ku
Berhentilah sebentar
Berbual dengan ku
Kerana seharian
Aku bersama pengasuhku
Ibu Ayah,
Apabila aku merengek
Bawa aku keluar
Melihat keindahan alam
Agar damai jiwaku
Ibu Ayah,
Apabila aku lasak
Bawa aku ke taman
Biar aku berlari sepuasnya
Sampai kepenatan
Agar awal tidurku
Ibu Ayah,
Bila aku sukar lena
Dodoi aku dengan
Cerita yang asyik
Dan lagu yang merdu
Pasti indah sekali mimpiku
Ibu Ayah,
Besok
Moga aku bangun
Dengan ceria dan senyuman
Mahu ke TASKA lagi
Ibu Ayah,
Aku faham kau harus pergi
Aku ditinggalkan buat sementara
Cepat pulang ya
Sungguh aku rindu
Ibu Ayah,
Tika bersua kembali
Ragamku tanda menagih kasih
Buat mengubat rindu
Demi masa yang sedikit
Ibu Ayah,
Beri aku sedikit perhatian
Dalam ragam kasihku
Seketika cuma masa ku pinta
Hargailah masa yang ada
Tika usiaku masih memerlukan
Sebelum ia berlalu
Agar aku tahu aku disayangi.
___________________
Luangkan masa dan santunilah anak semasa kecil agar mereka merasa dihargai dan disayangi.
Anak-anak kita membesar dan belajar melalui pemerhatiannya ke atas sikap-sikap yang kita tunjukkan padanya.
Ibu ayah yang menyayangi lebih mudah untuk menghasilkan anak-anak yang menyayangi. Begitu jugalah sebaliknya!
Jadi, mari pastikan kita menjaga, bukan sahaja kesihatan fizikal dan minda anak-anak, malah kesejahteraan emosi anak kita.
“Sesungguhnya barang siapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.“ (HR.Muslim)
Wallahua'lam
🌾Mak Long
#IbuBapaTenangAnakCemerlang
Ikuti Channel Telegram klik t.me/RentisMakLong
Tuesday, October 1, 2019
PENGGUNAAN JANGAN ITU PERLU PADA TEMPATNYA
Orang kata: Elakkan daripada berkata "JANGAN" pada kanak-kanak kerana ianya akan menyekat perkembangan mereka. Ada juga orang kata perlu berkata "jangan" selalu supaya anak dengar kata.
Mak Long kata: Ada ketikanya kita PERLU berkata "JANGAN" pada anak-anak demi kebaikan anak dalam mendidik, menegur dan menetapkan had dan peraturan.
Kita juga perlu berhati-hati untuk tidak berkata "jangan" pada perkara-perkara yang menggalakkan perkembangan anak kerana ianya mengongkong anak daripada fitrah mereka yang suka mencuba dan meneroka.
Jadi ada masa dan keadaan berkara "jangan" itu perlu iaitu apabila:
📚Berpesan, Menasihati dan Menegur Anak.
Contohilah Luqman dalam menasihati anaknya dalam Surah Luqman yang menasihati anaknya supaya jangan menyekutukan Allah dan jangan sombong. Juga berbuat baik pada ibu bapa tetapi jangan taat pada ibu bapa yang menyuruh berbuat menyalahi hukum Allah.
Perkataan "jangan" ini adalah menunjukkan larangan yang tegas.
Surah Luqman, Ayat13:
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.
Surah Luqman, Ayat 18:
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
Surah Luqman, Ayat 14:
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
Surah Luqman, Ayat 15:
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
📚Menerapkan Akhlak dan Adab.
Ya, anak-anak kecil membentuk sahsiah dari kebiasaan. Contoh: katakan "jangan" pada anak yang suka menyampuk orang tua sedang bercakap. Kemudian jelaskan mengapa perbuatan itu ditegah dan ajarkan cara yang betul.
📚Apabila Anak Melanggar dan Tidak Mengikut Syariat Islam.
Contoh: Anak yang sudah baligh tidak menutup aurat dengan betul. Peringatkan anak tentang syariat wajib menutup aurat dan peraturan menutup aurat dalam Islam.
📚Apabila Anak Membahayakan Diri Sendiri dan Orang Lain
Anak kecil belum boleh menilai banyak perkara. Jadi berkata "jangan" dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.
Contoh: Anak 2 tahun yang menolak kanak-kanak lain. Katakan "jangan" dengan nada tegas dan beritahu bahawa perbuatan itu salah dan ianya membahayakan orang lain.
📚Apabila Anak Merosakkan Barang, Harta Benda dan Alam.
Anak perlu dididik untuk menjaga barang dan memulihara alam sejak kecil.
Contoh: Kalau anak memetik dan merosakkan pokok bunga. Katakan "jangan" dan didik anak supaya menghargai kecantikan dan memulihara alam.
📚Apabila Anak Makan dan Minum Yang Memudharatkan dan Membazir.
Katakan "jangan" apabila anak makan dan minum berlebihan atau yang tidak baik untuk kesihatan seperti jajan dan minuman yang banyak kandungan gula.
Berkata jangan membantu kanak-kanak membezakan yang baik dan buruk serta belajar mengenai had dan peraturan. Selebihnya biasakan mengatakan "boleh tetapi" pada keadaan lain supaya anak tidak rasa tertekan dengan kehendak ibu bapa.
Contohnya kalau anak nak main luar tetapi demam katakan "boleh tetapi biar baik demam dulu". Memberi arahan kepada anak perlulah jelas dan lebih berkesan dengan menggunakan arahan-arahan positif seperti "jalan elok-elok" atau "hati-hati" berbanding "jangan berlari"sahaja. Kalau anak berdiri dan kita mahukan mereka duduk. Katakan "sila duduk" dan elakkan berkata 'jangan berdiri'.
Memang agak sukar untuk bertukar daripada kebiasaan kita. InsyaAllah, dengan ilmu dan keinginan untuk berubah, perkara baik akan dapat kita jadikan kebiasaan kita dalam mendidik anak-anak.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya"
Allahu A'lam.
Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
rentis.blogspot.com
t.me/RentisMakLong
Monday, September 30, 2019
"SAYA BOLEH BUAT SENDIRI"
Alia (3 tahun) kelihatan seperti sedang terkial-kial mengenakan butang seluar selepas keluar bilik air di sebuah pasar raya. Ibunya segera membantu Alia mengenakan butang. Alia tiba-tiba menangis. " Mengapa menangis pulak, cepatlah, kita dah lambat ni." bentak ibu Alia.Senario di atas sebenarnya boleh dijadikan peluang bagi ibu untuk membimbing dan memperkasakan anak yang menunjukkan inisiatif bukan memarahi anak. Mengenakan butang mungkin sesuatu yang mudah bagi orang dewasa tetapi satu tugasan yang mencabar bagi kanak-kanak berumur 3 tahun. Pada usia ini anak sudah ada otomomi dan inisiatif untuk melakukan banyak perkara sendiri. Ini termasuk perkara berkaitan urus diri seperti makan, memakai baju, mengemas beg sendiri dan menolong kerja-kerja rumah seperti menyapu, melipat baju dan membasuh pinggan.
Seringkali juga keinginan anak ini dihalang atau dikongkong oleh ibu atau bapa kerana beberapa sebab. Antaranya kerana kurang sabar apabila anak mengambil masa yang lama untuk melakukan sesuatu perkara, kasihan kepada anak atau mungkin inginkan hasil sepertimana yang diinginkan ibu atau bapa itu sendiri.
Ada anak yang melawan seperti Alia tadi apabila keinginannya untuk melakukan sendiri dihalang. Anak seperti ini sering dianggap memberontak atau suka melawan sedangkan dia sedang berusaha mencapai efikasi kendiri yang sangat baik.
Anak yang selalu dihalang, dibantu dan dikongkong akan membentuk rasa kurang yakin, selalu rasa bersalah dan inginkan kepastian. Mereka banyak bergantung kepada ibu atau ayah untuk melakukan sesuatu.
Kemudian ibu bapa mula menyalahkan anak apabila semakin besar kerana dikatakan malas dan asyik mengharapkan semuanya disediakan tanpa inisiatif sendiri.
Penting untuk anak diasuh dan dididik dari kecil mengikut tahap kebolehan dan tempoh sensitif atau "sensitif period" iaitu tempoh di mana anak bersedia dan bimbingan menjadi mudah kerana inisiatif yang ada.
Contoh: Anak 3 tahun suka menolong. Ibu bapa mesti memberi peluang anak menolong seperti membasuh pinggan, menyapu dan mengemas mengikut kemampuan mereka. Skil yang diperolehi akan bertambah baik dalam proses menolong setiap hari.
Ibu bapa berperanan sebagai pemudahcara membimbing anak dan proses "saya boleh buat sendiri" ini sangat baik untuk merangsang perkembangan fizikal, kognitif dan emosi anak.
2.Inisiatif vs rasa bersalah-3-5 tahun
Perkembangan anak pada usia awal banyak mempengaruhi perkembangan selanjutnya. Dorong dan sokong anak pada setiap tahap supaya mereka berkembang secara natural.
Dikonsikan artikel berkaitan,"Galak Anak Urus Diri Dengan Hikmah " https://rentis.blogspot.com/2016/11/galak-anak-urus-diri-dengan-hikmah_28.html dan puisi
"Aku Yang Fitrah" https://rentis.blogspot.com/2016/09/aku-yang-fitrah.html.
" Ibu bapa tenang, anak cemerlang"
Allahu "Alam
Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Ikuti catatan Mak Long di Channel Telegram klik t.me/RentisMakLong
Saturday, September 28, 2019
RAIKAN FITRAH ANAK YANG SUKA MAIN AIR
"Anak-anak saya (4 tahun dan 2 tahun) kalau mandi mesti lama dan payah nak keluar bilik mandi sebab suka sangat main air. Jenuh nak suruh keluar terutama pada masa kemuncak bila semua orang perlu menggunakan bilik air contohnya waktu petang. Kadang-kadang marah pun tak dengar kata. Macamana cara nak bagi anak tak main air." Begitulah keluhan dan pertanyaan sorang ibu kepada Mak Long.
Soalan begini banyak Mak long terima daripada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Sebenarnya bermain air itu fitrah anak kecil dan ianya sangat bagus untuk perkembangan mereka terutama perkembangan deria, fizikal dan kognitif. Jadi secara natural bila ada peluang kanak-kanak memang akan main air. Tempat dan masa yang boleh mereka main air biasanya adalah dalam bilik mandi semasa mandi.
Sebaiknya ibu bapa menggalakkan anak bermain air. Anak-anak yang dirai fitrahnya akan membesar dengan tenang, aktif, yakin diri dan berkembang dengan baik. Anak kecil yang diraikan fitrahnya juga kurang merengek.
Apa pun anak perlu tahu bila dan di mana boleh main air dengan meletakkan had dan peraturan yang sesuai. Contoh, boleh bermain air di kawasan luar rumah pada waktu pagi atau petang dengan pemantauan orang dewasa.
Sediakan peralatan dan mainan yang sesuai dengan umur dan kebolehan anak. Contoh, kanak-kanak 2 tahun suka bermain air dengan bekas-bekas yang pelbagai saiz. Mereka boleh bermain, menuang dan meneroka pelbagai cara. Semua ini sangat baik dan cara yang efektif untuk merangsang deria, kemahiran motor halus dan pembentukan konsep. Ianya juga memberi pengalaman yang bermakna kepada kanak-kanak.
Rujuk artikel berkaitan pembentukan konsep bertajuk "Bermain Penting Untuk Pembentukan Konsep" https://rentis.blogspot.com/2019/08/bermain-penting-untuk-pembentukan-konsep.html?m=1
Bermain dalam bilik mandi mungkin boleh dibenarkan pada waktu bukan kemuncak dengan meletakkan had masa dan peraturan. Contoh, main buih sabun dalam besin selama setengah jam pada pukul 10 pagi dan tidak menutup pintu bilik mandi untuk tujuan pengawasan.
Manfaatkanlah alam dengan membawa anak ke tepi sungai atau laut untuk mandi dan bermain air sepuasnya. Bermain dengan elemen alam, pasir dan tanah sangat menarik minat kanak-kanak dan meningkatkan kreativiti mereka.
Mengajar anak berenang juga baik dan sangat ditekankan oleh agama Islam.
Daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:
عَلِّمُوا أَبْنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ وَالرَّمْيَ
Maksudnya: “Ajarlah anak kamu berenang dan memanah”.
Sesekali apa salahnya membenarkan anak mandi dan main air hujan di luar rumah. Elakkan hujan ketika jerebu dan mandi terlalu lama terutama ketika musim sejuk. Juga awasi anak ketika musim banjir.
Apa pun aspek keselamatan harus diutamakan. Ibu bapa perlu mengawasi anak yang bermain air.
"Kanak-kanak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya."- Imam Al-Ghazali
Wallahu A'lam.
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
rentis.blogspot.com
Klik t.me/RentisMakLong untuk serta catatan Mak Long di Channel Telegram
Thursday, August 29, 2019
PEKA DAN AMBIL PEDULI KESIHATAN MENTAL ANAK
Isu berkaitan masalah kesihatan mental yang semakin meningkat hari ini perlu dipertingkatkan kesedarannya di semua pihak termasuk ibu bapa, guru, orang dewasa dalam komuniti dan masyarakat serta pihak berwajib.
Banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan isu masalah kesihatan mental ini termasuklah masalah keluarga, buli, gejala sosial dan stres yang tidak diurus dengan baik.
Antara perkara yang penting untuk kita peka dan ambil peduli berkaitan kesihatan mental anak adalah:-
1. Peka pada perubahan tingkahlaku dan emosi anak. Ambil peduli--dekati, dengari dan selami masalah anak untuk membantu mereka mengenalpasti punca masalah dan menangani masalah.
Sewajarnya ibu bapa perlu membina hubungan yang baik dengan anak supaya mereka mudah mendekati ibu atau bapa untuk berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Pada masa yang sama ibu bapa juga mudah mendekati anak apabila nampak ada perubahan tingkahlaku atau masalah.
2. Bertanya perasaan dan keadaan emosi anak dari masa ke semasa. Galak anak berkongsi dan meluahkan perasaan tanpa menghukum atau melabel. Banyak faktor yang berubah dalam kehidupan yang boleh menyebabkan perubahan emosi. Anak perlukan sokongan dari segala segi termasuk sokongan emosi.
3. Persekitaran rumah perlu kondusif supaya anak merasa aman dan selamat di rumah. Jika tidak mungkin mereka mudah terpegaruh dengan pergaulan yang tidak sihat dan terjebak dengan gejala sosial yang boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau menjadi penyebab kepada masalah kesihatan mental seperti menjadi pembuli.
4. Ibu bapa perlu ada kemahiran asas menolong, asas mendengar dan komunikasi berkesan. Ya, ianya adalah skil yang boleh dipelajari. Sekarang ada banyak bengkel-bengkel jangka pendek yang boleh diikuti dan banyak sumber ilmu yang boleh digali.
Ibu bapa boleh merujuk kepada orang yang lebih mahir seperti guru kaunseling, "coach" atau kaunselor jika perlu.
5. Terima masalah dan konflik yang berlaku dalam keluarga sebagai peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik dan menangani proses penyelesaian masalah dengan hikmah.
Rujuk kepada pakar jika perlu.Bertindak lebih awal adalah lebih baik.
Stigma masyarakat yang mengaitkan berjumpa kaunselor dengan masalah mental yang kronik harus dihentikan. Berjumpa kaunselor lebih berkesan jika dilakukan pada peringkat awal masalah dikenalpasti.
6. Semua pihak iaitu ibu bapa, guru, ahli keluarga dan masyarakat harus prihatin dan saling sokong menyokong dalam proses menolong. Jauhi dari sikap melabel dan salah menyalahkan.
Semoga kita menjadi ibu bapa, guru dan orang dewasa yang prihatin terhadap kesihatan mental anak.
Dikongsikan artikel Mak Long berkaitan komunikasi berkesan. Moga bermanfaat.
http://rentis.blogspot.com/2018/11/komunikasi-berkesan-membantu-anak.html?m=1
http://rentis.blogspot.com/2018/11/bimbing-anak-berfikir-dalam-menangani_28.html?m=1
Dekati dan sayangilah anak-anak kita.
Allahu 'Alam.
🌾Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
Tuesday, August 20, 2019
BERMAIN PENTING UNTUK PEMBENTUKAN KONSEP
Adam (6 tahun) mengajak sepupunya Haikal (4 tahun) bermain dengan timbunan buah rambutan yang baru dikait di kampung. Kemudian Adam nampak ada alat penimbang di situ. Lantas diiambilnya penimbang itu, diletakkan rambutan di atas penimbang dan membacakan beratnya kepada Haikal. Adam mengulangi beberapa kali dengan menambah dan mengurangkan bilangan rambutan.
Haikal kelihatan teruja sekali. Dia meniru Adam dengan mencuba berkali-kali menambah dan mengurangkan rambutan atas timbangan timbangan sambil membelek-belek jarum penimbang yang turun naik mengikut berat rambutan. Adam seolah-olah beralah dan memberi Haikal bermain. Sesekali Adam membacakan berat rambutan yang ditimbang Haikal.
Tiba-tiba ibu Haikal datang menghampiri dan berkata, "tak payahlah Adam ajak Haikal main penimbang tu. Haikal belum kenal nombor lagi".
Tersentak Mak Long yang sedari tadi asyik menyaksikan aksi kedua sepupu itu bermain. Hmmm, satu PROSES membina KONSEP melalui bermain yang sangat baik pada anak seusia Haikal ini sudah diganggu.
Ya! Membina konsep pada awal usia itu sangat penting. Contoh Haikal sedang membina dan menghubungkaitkan konsep berat dan ringan dengan turun naiknya jarum penimbang walaupun dia belum kenal nombor yang tertera pada penimbang itu.
Bermain adalah fitrah anak awal usia. Permainan seperti apa yang Adam dan Haikal tadi terbit dari naluri mereka atau "self-directed". Ianya sangat bagus bagi merangsang pembentukan konsep dalam perkembangan kognitif atau akal anak.
Sebagai orang dewasa seharusnya kita menyokong perkembangan anak-anak sebagaimana Adam lakukan pada Haikal. Adam yang lebih besar dan lebih mahir sebenarnya sedang menyokong atau "scaffolding" Haikal untuk memahami konsep berat dan ringan dan mengaitkan dengan ukuran dan perbandingan.
Teori Vygotsky "scaffolding" --bantuan rakan yang lebih mahir atau orang dewasa boleh menyokong pencapaian lebih baik dalam pembelajaran kanak-kanak.
Tetapi kita perlu ingat, ada sokongan orang dewasa yang membantu dan ada juga yang mengganggu contoh terlalu menyoal anak dalam proses bermain. Seperkara yang Mak Long perhatikan semasa Adam bermain dengan Haikal adalah Adam tidak bertanya Haikal tetapi hanya bermain bersama dengan membantu dan menyokong Adam secara natural sahaja.
Konsep adalah batu asas kepada pengetahuan. Kanak-kanak membina konsep melalui bermain. Konsep digunakan dalam dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Anak mungkin belum boleh menjelaskan banyak perkara apabila ditanya tetapi otaknya sedang membina dan memahami sesuatu yang lebih kompleks.
Jika kita memerhati kanak-kanak kita dapat melihat bagaimana mereka membina dan menggunakan konsep.
Contoh:-
Padanan satu dengan satu
☘Mengagihkan satu biji rambutan kepada setiap orang.
☘Meletakkan satu guli ke dalam satu lubang dalam permainan congkak.
Pengelasan
☘Mengasingkan rambutan kuning dan merah dalam bakul berlainan.
☘Meletakkan pinggan dan cawan ke dalam besin berlainan selepas makan.
Menyukat
☘Menuang air, pasir, beras dan bahan lain dari satu bekas ke satu bekas.
☘Menyukat tepung, telur, gula dan marjerin untuk aktiviti membuat kek cawan
Pola
☘Menyusun bunga dan daun berselang seli
☘Membuat rantai tangan dengan susunan keratan straw yang bercorak.
Konsep-konsep lain yang dibentuk termasuk konsep masa, ukuran, seriasi, ruang, parts and whole, konsep nombor, bentuk, membanding dan membilang.
Zaman kanak-kanak adalah tempoh masa kritikal bagi membina konsep-konsep asas dan skil memproses konsep untuk mengembangkan konsep yang ada dan memperolehi konsep-konsep baru.
Pembentukan konsep diperolehi kanak-kanak melalui bermain dengan bahan konkrit. Mereka juga meneroka, mengeksperimen dan mengalami ( 3E-Explore, Experiment & Experience).
Anak yang banyak bermain akan membina konsep dengan baik. Semakin anak membesar semakin banyak konsep yang diperolehi. Mereka menggunakan konsep-konsep ini apabila memasuki alam persekolahan untuk mempelajari sains dan matematik.
Oleh itu, ibu bapa harus memberi banyak peluang kepada anak bermain dan meneroka dengan menyediakan persekitaran dan peralatan yang menggalakkan perkembangan kognitif.
Permainan tradisi juga sarat dengan konsep-konsep. Dikongsikan artikel berkaitan dari blog Mak Long
http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-16congkak-dan-metamatik.html?m=1
"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya" Imam Al-Ghazali
"Children are biologically designed to educate themselves through play and exploration. We don't need to educate them, we need to provide the conditions to allow them to educate themselves"-Peter Gray, "Free to Learn"
Allahu 'Alam.
🌾Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
Kembalikan Peranan Ibu Bapa
Perkasakan Institusi Keluarga
Sunday, July 28, 2019
DEDAHKAN ANAK PADA YANG NATURAL DAN ALAMI SUPAYA TIDAK BERSIFAT KEBENDAAN
Ada yang mengatakan kos menjaga anak semakin tinggi. Adakah kenyataan ini benar?
Ini banyak bergantung kepada kehendak ibu atau bapa itu sendiri. Keperluan dan perkara asas untuk pertumbuhan dan perkembangan perlu disediakan oleh ibu bapa tetapi anak tidak perlu disogok dengan pelbagai jenis mainan, peralatan dan perabut yang kontemporari.
Kadang-kadang kita tidak sedar kita sudah menjadi mangsa kepada strategi pemasaran dan terikut-ikut dengan trend semasa. Anak lahir dalam keluarga dan membesar mengikut apa yang disediakan oleh ibu bapa.
Kanak-kanak lebih perlukan mainan yang natural dan alami seperti bermain dengan pasir, tanah dan air. Bongkah kayu yang natural contohnya jauh lebih baik dari bongkah kayu yang dibeli dan diwarnakan dengan pelbagai warna.
Kanak-kanak main apa sahaja yang ada dalam dunia persekitaran. Mereka bijak meneroka dan mencipta apa yang ada disekeliling. Bahan-bahan alam dan kitar semula seperti kotak, bekas, kertas dan bermacam-macam lagi boleh saja dijadikan mainan yang sangat bermanfaat pada perkembangan kanak-kanak.
Rutin harian bersama keluarga juga membentuk sahsiah diri dan sangat baik untuk perkembangan kanak-kanak. Libatkan anak dalam proses rutin harian keluarga seperti memasak, mengemas dan melipat kain mengikut kebolehan mereka. Sebenarnya anak sangat sukakan masa-masa bersama ibu bapa. Proses memasak setiap hari bersama contohnya sangat disukai anak dan mereka rasa diri dihargai dan diberi perhatian. Ianya juga mengukuhkan lagi perhubungan ibu bapa-anak.
Terlalu membeli pelbagai jenis mainan dan gadjet boleh menjadikan anak bergantung pada "material" untuk memuaskan hati mereka.
Contoh anak kecil menangis kerana dahagakan perhatian tetapi dialihkan kepada mainan atau gadjet supaya senyap dan tidak mengacau ibu bapa. Maka fitrah anak yang mahukan perhatian itu tidak diisi dengan belaian dan kasih sayang sebaliknya dialihkan kepada benda lain. Apabila sesuatu yang tidak fitrah diberikan maka anak akan melahirkan penggantungan kepada kebendaan yang hanya memberi kepuasan sementara. Keperluan emosi yang tidak dipenuhi boleh memberi kesan yang tidak diingini seperti pelbagai masalah tingkah laku.
Kanak-kanak perlu rasa selamat, diterima dan membesar dengan baik dalam keluarga yang berkasih sayang.
Kanak-kanak membina identiti diri dalam persekitaran sosial-Erikson
Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya-Imam Al-Ghazali
Semai iman anak melalui interaksi alam-Abdullah Nashih Ulwan
"Ibu Bapa Tenang, Anak Cemerlang"
Allahu A'lam
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Saturday, July 27, 2019
SIKAP MEMBELA DIRI IBU BAPA MERUGIKAN DIRI SENDIRI DAN MEMBAWA MUDHARAT KEPADA ANAK.
Semua ibu bapa sayangkan anak dan mahukan yang terbaik untuk mereka. Namun ianya banyak bergantung kepada bagaimana anak itu diasuh dan dididik sejak kecil. Tiada ibu bapa yang cukup sedia dan sempurna. Yang penting adalah usaha mencari ilmu dan beramal dengan yang benar demi kebaikan anak.
Apabila berhadapan dengan masalah, ibu bapa seharusnya membuat refleksi diri, mengenalpasti punca masalah dan berusaha menyelesaikan masalah.
Pertama, ia memerlukan ibu atau bapa untuk menerima kesilapan dan kekurangan diri sendiri serta menilai semula amalan asuhan dan didikan yang diberikan pada anak. Kemudian, ia memerlukan kesediaan ibu atau bapa itu untuk berubah dari segi sikap dan amalan.
Apa pun proses perubahan ini sering terhalang kerana sikap membela diri ibu bapa itu sendiri.
Contoh ibu atau bapa menafikan, menyalahkan dan memberi pelbagai alasan kerana mengelak dari menukar amalan biasa seperti masih tidak melatih anak ke tandas walau sudah berumur 3 tahun dengan alasan tiada masa, anak belum bersedia atau sering mengamuk.
Sikap membela diri ibu atau bapa ini merugikan diri sendiri dari segi kos--membazir wang membeli lampin pakai buang setiap hari. Anak pula tidak belajar mengurus diri apabila sampai masa sensitif yang paling sesuai untuk dilatih ke tandas. Yang lebih memudharatkan ialah ia memberi kesan kepada efikasi diri dan kemajuan diri anak itu sendiri.
"Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"-pepatah melayu
"Ibu bapa tenang, anak cemerlang"
Allahu A'lam
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Wednesday, July 24, 2019
PENGALAMAN MEMBERI MAKNA KEHIDUPAN
Setiap ibu bapa mahu melindungi anak-anak dan berikan yang terbaik untuk anak. Adakah amalan asuhan dan didikan begini baik untuk anak?
Kita mungkin melindungi dan mengelak anak dari melakukan kesilapan dengan terlalu mengawal dan memastikan segalanya tersedia seperti memastikan buku dan peralatan sekolah anak dimuatkan dalam beg setiap malam supaya tiada yang tertinggal. Sikap dan tindakan kita ini tidak mengajar anak untuk mengurus diri, berdikari, belajar dari kesilapan, bertanggungjawab atas kesilapan sendiri dan menyelesaikan masalah. Malah anak mungkin akan sentiasa membela diri atau menyalahkan faktor luaran apabila berhadapan dengan masalah.
Kita juga tidak boleh terlalu mengongkong dan mengasingkan anak dari realiti dunia sebenar. Berilah kebebasan mereka untuk meneroka dan membina pengalaman dalam dunia persekiran supaya mereka faham konsep dan makna kehidupan. Yang penting sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa berhubung, membimbing dan berkomunikasi secara berkesan.
Bukan hasil yang "sempurna" itu penentu kejayaan tetapi proses dalam membina pengalaman itulah yang penting bagi melahirkan anak yang memahami potensi diri, resilient, mempunyai identiti diri dan berakhlak mulia. Inilah anak yang mempunyai dorongan kuat dari dalam yang memimpin diri mereka ke arah kecemerlangan diri dan bermanfaat kepada orang lain.
Raikan fitrah anak, hargai usaha dan progres anak walau sekecil mana.
"Ibu bapa tenang, anak cemerlang."
Allahu A'lam.
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Sunday, July 21, 2019
CEMERLANG IKUT FITRAH ANAK ATAU KEHENDAK IBU BAPA
Ungkapan "sayang anak tanpa syarat" seringkali menjadi pegangan ibu bapa namun ada kalanya ibu atau bapa tidak sedar bahawa anak merasa dirinya baik atau disayangi hanya apabila mereka berjaya memenuhi kehendak atau mencapai kecemerlangan mengikut apa yang ibu bapa mahukan. Maka itu sudah menjadi "sayang bersyarat" bukan lagi "sayang tanpa syarat" pada perspektif seorang anak.
Betul, adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa membesarkan dan mendidik anak untuk mencapai kecemerlangan. Apa pun bagaimana ibu atau bapa itu sendiri memahami maksud cemerlang sangat penting dan mempengaruhi bagaimana mereka membesarkan anak-anak.
Ibu bapa harus sedar dan menerima bahawa setiap anak dilahirkan dengan personaliti, minat, potensi dan kecenderungan yang tersendiri. Keunikkan ini harus diraikan supaya ianya selari dengan fitrah anak itu sendiri bukan ibu bapa yang mengukur dan menentukan kecemerlangan itu dari dalam diri mereka yang tidak jelas.
Yang lebih parah apabila anak dijadikan alat untuk mencukupi diri ibu atau bapa yang "tidak atau belum cukup baik" dengan anggapan bahawa mereka melakukan semuanya kerana "sayang" dan mahukan yang "terbaik" untuk anak supaya masa depan anak lebih cemerlang dan terjamin.
Contoh, mungkin kita rasa tidak cukup baik dengan kerjaya dan keadaan hidup kita sekarang. Jadi kita mahukan anak belajar untuk mendapat pekerjaan yang "bagus" dan dapat memiliki segala apa yang kita idamkan. Tanpa kita sedari kita mengawal dan menentukan halatuju anak tanpa mengambilkira potensi dan kehendak anak yang datang dari dalam diri mereka yang unik. Kita akan rasa puas dan cukup apabila anak berjaya mencapai apa yang kita impikan.
Seringkali juga kita terpedaya dengan makna kejayaan dan kecemerlangan mengikut ukuran orang yang lain. Penghargaan kendiri kita bergantung kepada banyak faktor dan kehendak luaran seperti apa yang dipaparkan di media sosial contohnya atau pandangan umum masyarakat yang kita terima tanpa menilai.
Maka cara ibu bapa begini kemudian akan melahirkan anak yang serupa; yang merasa diri tidak atau belum cukup baik. Ya! Dan kitaran ini berterusan jika tidak dihentikan.
Anak mungkin berusaha untuk memenuhi kehendak ibu bapa kerana sayang dan empati kepada ibu bapa. Ada juga anak yang memberontak dan menunjukkan pelbagai masalah tingkah laku. Apa yang membimbangkan lagi adalah anak kerap mengalami stres yang negatif dan perlu banyak dorongan dari luar. Dorongan yang terbit dari dalam diri anak secara natural sudah terganggu kerana terpaksa melakukan apa yang tidak selari dengan minat, potensi dan kecenderungan diri mereka.
Anak mungkin mencapai cemerlangan yang dikehendaki dan bermanfaat tetapi jiwa mereka tidak damai. Mereka umpama jiwa yang hilang dan tercari-cari di luar tanpa tahu bagaimana untuk berhubung dengan diri mereka sendiri. Perhubungan ibu bapa dan anak juga mungkin terjejas dan anak makin menjauh dan sukar merujuk kepada ibu bapa apabila berhadapan dengan masalah.
Anak dilahirkan tanpa panduan atau manual yang terperinci untuk ibu bapa praktikkan dan memperbaiki jika berlaku kerosakkan.
Menjadi ibu atau bapa juga tidak bermaksud berbuat apa yang betul setiap masa tetapi jika kita selalu melihat ke dalam diri dan membuat refleksi, kita belajar untuk menerima diri kita dan berusaha berubah. Proses transformasi diri ini menjadi layar yang mengemudi kita dalam mendidik anak-anak menuju kecemerlangan yang hakiki.
Hubungan ibu bapa-anak adalah dinamik. Apa pun ianya bukan tertumpu pada anak sahaja malah ianya adalah proses mengenali diri, mencapai kesedaran diri yang lebih tinggi dari masa ke semasa dan proses berkembang bagi ibu dan bapa itu sendiri.
Usaha dan progres pada jalan-jalan kebenaran itulah yang membawa ketenangan dan kecemerlangan diri ibu bapa dan anak. InsyaAllah.
"Ibu bapa tenang, anak cemerlang"
Allahu 'Alam.
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Friday, July 19, 2019
"CEPAT" VS PROSES
Apa pun "main" juga sudah disalahertikan. Ianya tidak lagi "self-chosen" dan "self-directed". Kaedah main yang dianggap lebih baik adalah yang berstruktur, kurang bermakna dan lebih banyak di dalam tanpa elemen alam supaya cepat mendapat hasil yang ibu bapa atau guru mahukan seperti membaca, mengira dan menulis lebih awal..
Dikongsikan artikel Mak Long yang berkaitan.
Main Sendiri Itu Penting
https://rentis.blogspot.com/search?q=main+sendiri+itu+penting%27
Bahan Maujud dan Kurikulum Intergratif Dalam Pendididkan Awal
https://rentis.blogspot.com/2019/01/bahan-maujud-dan-kurikulum-intergratif.html
"Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat" -Imam As-Shafie
Mak Long
Saturday, July 13, 2019
KESEJAHTERAAN KELUARGA ASAS DIDIKAN ANAK YANG EFEKTIF
Kembalikan peranan ibu bapa. Perkasakan institusi keluarga."
Sunday, April 28, 2019
GANGGU FITRAH ANAK, BURUK KESANNYA! DORONG FITRAH ANAK, CEMERLANG HASILNYA
Pak Tam: Assalamu'alaikum Mak Long. Saya tertarik dengan kata-kata Mak Long "Usah diganggu dan dikongkong fitrah anak, buruk akibatnya".
Mak Long selalu merujuk kepada fitrah anak. Boleh Mak Long jelaskan dengan lebih terperinci tentang apakah yang dimaksudkan dengan fitrah anak dan berikan contoh-contohnya.
Mak Long: Wa'alaikumsalam Pak Tam. Terima kasih kerana bertanya soalan yang sangat baik. InsyaAllah Mak Long usaha menjawab.
Fitrah adalah kejadian ciptaan Allah pada setiap makhluk. Fitrah manusia adalah apa yang diciptakan Allah yang berkaitan dengan roh, fizikal, akal, sifat asal, bakat, pembawaan serta perasaan keagamaan yang dibawa sejak lahir. Fitrah diertikan juga dengan “naluri” iaitu dorongan hati atau nafsu yang menggerakkan untuk berbuat sesuatu.
Surah Ar-Room, Ayat 30:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Manusia dilahirkan dengan naluri keimanan kepada Allah dan kesediaan menerima Islam dalam penciptaannya.
Maka kejadian manusia perlu melalui proses tarbiyah yang panjang bagi melahirkan insan yang cemerlang sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.
Oleh itu, ibu ayah bertanggungjawab mengasuh dan mendidik supaya fitrah anak ini disuburkan secara holistik melalui tahap-tahap perkembangan yang menyeluruh dan bersepadu bermula pada peringkat awal lagi.
Perkara pertama yang penting bagi ibu ayah dan pendidik adalah untuk tahu dan memahami fitrah anak. Ianya penting kerana setiap anak perlu disantuni dan didorong mengikut fitrahnya bukan mengikut kehendak ibu ayah atau pendidik (Child centred VS adult centred)
Anak yang disantuni dan didorong mengikut fitrah membesar menjadi insan yang lebih tenang dan cemerlang. Sebaliknya jika ibu ayah dan pendidik menggunakan cara yang tidak selari dengan fitrah, anak sering rasa tertekan, tidak tenteram, tidak selamat, tidak disayangi, mudah menghadapi gangguan emosi, masalah tingkahlaku dan masalah kesihatan.
Contoh anak 3 tahun menunjukkan inisiatif untuk menolong kerja-kerja di dapur seperti membasuh pinggan, menyapu dan mengemas. Jika fitrah ini diraikan dengan memberi peluang dan dorongan, anak akan merasa dirinya dihargai, yakin diri dan berkembang dengan baik.
Tetapi jika tidak dilibatkan dalam rutin harian dan tidak diberi peluang melakukan kehendak dorongan naluri maka anak akan rasa tidak dihargai dan tidak diterima. Menurut teori Erik Erikson anak yang dikongkong akan membina ragu-ragu dan rasa bersalah. Mereka juga tidak berpeluang meneroka, mengalami dan mengeksperimen (3E), berfikir serta memupuk sikap berdikari dan bertanggungjawab. Ini adalah satu proses penting bagi memperkasakan anak berdikari, mengurus diri, bertanggungjawab dan meningkatkan kemahiran motor secara natural.
Apa yang lebih buruk kesannya adalah apabila ibu ayah atau guru cuba "mengajar" anak berdikari, mengurus diri dan bertanggunjawab dengan kekerasan pada usia sekolah rendah atau menengah kerana prosesnya menjadi sukar selepas tempoh masa sensitif di mana anak lebih berminat dan bersedia.
Pada masa yg sama, perkara sebaliknya pula berlaku. Contoh, kebolehan membaca dan menulis dipercepatkan tanpa melalui proses yang fitrah.
Sebenarnya setiap anak yang normal mampu membaca serta menulis secara natural dan tanpa tekanan mengikut fitrah perkembangan yang ada ciri-ciri dan arahnya.
Contoh, proses menulis adalah berperingkat-peringkat dan bermula dari fitrah bayi baru lahir iaitu refleks menggenggam. Refleks atau pantulan adalah perlakuan atau tidakbalas tidak sengaja. Kita boleh merangsang bayi dengan membukakan jari-jarinya dan memberikan sentuhan pelbagai tekstur.Rangsangan memberi input ke otak melalui 5 deria. Semakin banyak rangsangan diberi semakin baik perkembangan bayi dari aspek fizikal, kognitif, bahasa dan sosio-emosi.
Lazimnya refleks genggaman ini akan menghilang perlahan-lahan apabila bayi mencapai usia 4-5 bulan. Jika refleks ini tidak menghilang, ia mungkin menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan pada sistem saraf dan otak bayi.
Perkembangan jari berlaku mengikut arah iaitu tengah ke tepi. Bayi mula memegang dengan tapak tangan dan kemudian ke tepi, memegang dengan 5 jari dan seterusnya mengutip dan memegang dengan 3 jari pada usia sekitar 9 bulan.
Perkembangan motor halus ini sangat hebat. Bayi sudah boleh merenyok, mengoyak, meramas dan melepaskan. Seiring dengan itu juga berlaku peningkatan koordinasi mata tangan dan bayi boleh mencapai, menyimpan mainan ke dalam bekas dan makan sendiri.
Kemudian secara natural dalam usia setahun anak mula suka menconteng. Bermula dengan pergerakan lengan dan kemahiran memegang, kanak-kanak boleh menghasilkan contengan rawak. Bebaskan sahaja mereka menconteng. Kemudian apabila pergelangan tangan anak boleh memutar dan memulas, contengan menjadi lakaran pada sekitar usia 2 tahun dan seterusnya menjadi lukisan yang juga ada tahap-tahapnya.
Sila rujuk artikel tahap perkembangan lukisan dan tulisan kanak-kanak https://rentis.blogspot.com/2017/12/tahap-perkembangan-lukisan-dan-tulisan.html?m=1
Anak yang diberi kebebasan dan peluang untuk banyak melukis akan mempunyai jari-jari yang lembut, mahir memegang pensil dan boleh melukis dengan terang, mempunyai koordinasi mata tangan yang baik serta boleh meniru tulisan secara natural sahaja. Tidak perlu bermula dengan mengikut garis putus-putus contohnya.
Cara dorongan mengikut fitrah ini bukan sahaja menggalakkan perkembangan malah menenangkan emosi dan rohani anak. Sebaliknya jika proses ini tidak didorong ianya memberi tekanan kerana pengajaran dan pembelajaran tidak lagi natural tetapi terlalu berstruktur dan terlalu banyak latih tubi yang tidak bermakna.
Membaca pula semakin dijadikan kayu pengukur atas "kepandaian" seorang anak dan tahap kebolehan membaca semakin diawalkan. Ada yang mengharapkan anak boleh membaca dengan lancar seawal usia 3/4 tahun.
Semakin awal kita meletakkan tahap umur kanak-kanak pandai membaca maka semakin ramailah kanak-kanak yang dianggap bermasalah kerana anak belum bersedia dan proses pengajaran yang menekan dan memfokuskan pada hasil.
Ini adalah satu fenomenon yang tidak sihat dan harus dihentikan kerana ianya tidak fitrah dan akan mengundang lebih banyak masalah.
Kebolehan membaca merupakan satu proses yang bermula dengan mendengar dan bertutur. 3 tahun pertama adalah fasa yang paling baik untuk memperolehi bahasa. Kanak-kanak memperolehi kemahiran bahasa daripada persekitaran mereka secara natural.
Proses membaca diteruskan dengan membina minat melalui membaca buku-buku cerita yang sesuai dgn tahap umur kanak-kanak. Minat membaca dipupuk seiring dengan kemahiran menulis dalam sekitar umur 4 tahun. Ibu ayah hanya perlu menjadi pemudahcara dan mendorong anak secara positif.
Sesuatu yang mudah sudah menjadi semakin rumit. Anak-anak yang bermain untuk belajar (Play to Learn) dianggap tidak belajar. Belajar melalui bermain sudah mendominasi. Bukan bermaksud salah melakukannya tetapi jika terlalu banyak pembelajaran berstruktur, ianya menghadkan dan menafikan pembelajaran secara fitrah yang terbit dari naluri atau keinginan anak itu sendiri. Ia adalah anugerah illahi yang tiada tandingnya dan sangat bermanfaat kepada kanak-kanak awal usia.
Jika kita terlalu mengganggu dan menggongkong fitrah anak maka buruk kesannya. Kita mungkin melahirkan anak yang dikatakan "pandai" tetapi takut salah, ragu-ragu, risau hingga menyebabkan mereka tidak boleh berfikiran kritis, kreatif dan innovatif. Mereka hanya menunggu dan mengikut arahan sahaja.
Apa pun marilah kita muhasabah diri. Adakah kita menyantuni fitrah anak yang melalui proses yang natural atau kita lebih memfokuskan hasil yang mengikut kemahuan kita?
Tugas kita sebagai ibu ayah dan pendidik adalah untuk memperkasakan anak dengan memberi dorongan dengan cara yang sesuai dengan fitrah anak pada setiap peringkat umur bagi melahirkan anak yang tenang dan cemerlang.
Setiap anak adalah rahmah. Setiap anak adalah amanah. Setiap anak adalah ujian. Setiap anak adalah pemimpin masa hadapan atau khalifah yang memakmurkan bumi Allah ini.
"Sebenarnya anak tidak perlu diajar semuanya oleh ibu bapa, penjaga dan guru. Apa yang perlu wujud adalah persekitaran untuk anak itu minat belajar." -Dr Noor Laily bt Dato' Abu Bakar
"Sikap keras dalam mendidik berakibat buruk bagi murid, barangsiapa yang tumbuh dalam pemaksaan dan penindasan, maka akan membuat menjadi orang-orang keras dan berkeperibadian sempit, kurang giat dan tidak dapat tumbuh dengan baik. Hal tersebut juga dapat membuat suka berbohong, pemalas dan perbuatan buruk lainnya." - Ibnu Khaldun
"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"- Imam Al-Ghazali
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."- Pepatah Melayu.
Allahu 'Alam. Sekian.
#SentuhanBapaBelaianIbu
Saturday, February 16, 2019
TINGKAH LAKU ANAK DAN TAHAP PERKEMBANGAN
Sejak "dapat kaki" ni Rayyan lasak sangat. Pantang alpa ada saja karenah dia. Baru ni habis sebotol shampoo dikerjakan. Dinding dan sofa kami pun kena conteng. Mengamuk tak usah cakaplah, tak dapat kehendak hati, dia berguling-guling mengamuk. Tak kira kat mana. Adoi, malu pun ada dibuatnya.
Begitulah luahan seorang ibu pada Mak Long berkaitan anaknya Rayyan yang baru berumur setahun lapan bulan.
"Karenah" anak sebaya Rayyan sebenarnya sangat normal dan sesuatu yang baik dari segi perkembangan. Ya! Ianya bukan karenah atau belum boleh dikatakan anak yang ada MASALAH tingkah laku.
Ianya adalah perubahan tingkah laku yang berlaku kerana kebolehan kanak--kanak pada satu-satu tahap. Dengan kata lain kanak-kanak mempunyai dorongan dari dalam diri bagi memenuhi keperluan perkembangan fizikal, kognitif, bahasa dan sosioemosinya.
Jadi tingkah laku anak yang ibu ayah nampak adalah sangat berkaitan dengan tahap kebolehan terutama bagi kanak-kanak bawah 4 tahun kerana perkembangan mereka yang sedang pesat berlaku.
Kebolehan pada satu-satu tahap juga mempengaruhi tahap perkembangan seterusnya. Contoh kanak-kanak menconteng, kemudian baru melakar, seterusnya melukis dan menulis. Ianya berlaku secara natural dan berterusan.
Kanak-kanak sebaya Rayyan tadi kelihatan sangat lasak berlari. Dari segi motor halus juga mereka semakin mahir menggunakan jari jemari untuk melakukan banyak perkara. Pada masa yang sama apa sahaja hendak diusik kerana tahap "ujikaji" dari segi kognitif atau perkembangan akal yang suka mencuba dan meneroka. Tambah memeningkan ibu ayah pada usia ini anak masih belum begitu menguasai perkembangan bahasa dan tidak berapa faham apa yang diterangkan, egosentrik, suka melakukan banyak perkara sendiri dan mudah sahaja mengamuk tanpa diketahui apa sebabnya.
Apa pun adalah sangat penting untuk ibu ayah tahu bagaimana meraikan fitrah perkembangan dan pada masa yang sama menyantuni akhlak dan adab serta mendisiplinkan anak dengan meletakkan had dan peraturan yang bersesuaian dengan umur.
Dalam situasi mengamuk disekitar usia 2 tahun adalah tingkah laku yang normal tetapi jika tidak dibendung pada usia ini ianya mungkin berlarutan hingga melewati 3 tahun ke atas. Pada usia 3 tahun biasanya anak sudah sampai tahap "sedar" dan mula boleh berkongsi, bertolak ansur, memahami perasaan dan boleh mengikut arahan. Mengamuk boleh menjadi masalah tingkah laku jika berlarutan hingga ke besar.
Sila rujuk artikel berkaitan mengamuk
https://rentis.blogspot.com/search?q=mengamuk&m=1
Dikongsikan dari blog Mak Long puisi berkaitan tahap kebolehan dan bagaimana merangsang perkembangan anak.
Fitrah Sayangku
Sayang,
Tika kau lahir
Tanganmu mengenggam erat
Laluku buka jari jemarimu
Ku beri kau sentuh pipiku
Dan pelbagai tekstur
Kau mula mengapai
Ku galakan kau mencapai
Mainan pilihanmu
Ku sediakan kerincing
Pelbagai bunyi
Untuk kau ketuk berulang kali
Kau memegang objek
Ku berikan mainan
Yang berwarna dan berbentuk
Untuk kau manipulasi
Moga menyeluruh perkembanganmu
Kau membuka dan menutup jari-jarimu
Ku nyanyikan lagu tradisi
“Cekur dan gamit ,
minta cekur beri kunyit”
Gelagatmu menciut hatiku
Ku cium pipimu
Tanda penghargaan dan kasih
Kau mengutip dengan tiga jari
Kau beri kau makan sendiri
Biar bersepah
Tak mengapa sayang
Agar kau mahir dan bertambah lembut jari jemarimu
Kau melepaskan barang
Ku galakan kau berlatih
Memasukkan dan mengeluarkan
Mainan dari bekas
Agar kuat otot jarimu
Kau pandai menconteng
Ku berikan krayon dan kertas
Ku terima dan puji apa saja usahamu
Ku hiaskan dinding rumah kita
Dengan karya senimu
Agar kau bertambah yakin
Kau pandai mengoyak
Ku berikan kertas
Untuk kau koyak
Supaya semakin halus skilmu
Kau suka meramas
Ku berikan span dan air
Agar kau berlatih
Ku buatkan doh
Agar kau membentuk
Dan mencipta sesukamu
Kau suka menuang
Ku sediakan cawan dan air
Agar kau lakukan sendiri
Kau menumpahkan
Ku berikan peluang
Kau menyelesaikan masalah
Agar kau berfikir
Ku sediakan peralatan mengelap
Agar kau bertanggungjawab
Kau mengetuk-getuk
Ku berikan apa minatmu
Untuk kau ketuk
Dan membezakan bunyi
Kau mula bertatih
“ Tak teh kayu api
Sudah letih jalan lagi”
Alunan laguku
Mengiringi gerakmu
Langkahmu makin tegap
Kau berlari ke sana ke mari
Ku kejar langkahmu tanpa jemu
Ku bawa kau ke alam
Biar kau meneroka persekitaranmu
Agar kau kenal Penciptamu
Bila kau jatuh
Ku galakkan kau bangkit
Lari lagi sayang
Ku beri semangat
Kau mengadu calar kakimu
Ku cium lukamu
Penawar tangismu
Kau bercakap dan bertanya
Ku layan keletahmu
Ku bacakan buku cerita
Agar meningkat bahasamu
Sayangku,
Kau terus membesar
Ku rangsang dirimu
Ke asah bakatmu
Ku pupuk potensimu
Ku asuh fitrahmu
Ku santuni adab dan akhlakmu
Diiringi doa tanpa henti
Kerana
Kau insan hebat
Kau khalifah bumi tercinta
Kau pewaris perjuangan
Kau amanah buatku
Kau cahaya mataku.
Allahu 'Alam.
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Sunday, February 10, 2019
FAHAMI RAGAM ANAK, SANTUNI FITRAH YANG MINTA DIPENUHI
Anak kecil belum mampu dan tidak tahu bagaimana untuk meluahkan isi hati jika emosi mereka terganggu. Mereka dilihat menunjukkan pelbagai ragam. Begitulah cara si kecil untuk meraih perhatian ibu ayah kerana diri mereka perlu kembali disantuni.
Ragam itu sesuatu yang normal dan berlaku untuk memastikan hak anak dipenuhi. Contoh mereka perlukan kasih sayang, perlu rangsangan fizikal, bahasa pemikiran dan jiwa.
Anak juga meragam apabila dikongkong. Mereka perlu BERMAIN dan meneroka dengan bebas supaya mereka melalui proses mengalami dan memaknai kehidupan. Itu sesuatu yang alami kerana anak dilahirkan untuk memikul amanah sebagai KHALIFAH dimukabumi Allah SWT.
Hidup dan suburkan JIWA dan semai IMAN anak secara fitrah. Santuni HAK mereka.
"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"-Imam Al-Ghazali
"Semai iman anak melalui interaksi alam"-Abdullah Nashih Ulwan
"Melakukan kekerasan pada anak adalah memudharatkan"-Ibnu Khaldun
Dikongsikan antara koleksi puisi Mak Long yang berkaitan.
RAGAM KASIH
Ibu Ayah,
Apabila aku menangis
Peluk dan cium aku
Ungkapkan sayang
Kerana seharian aku
Tidak mendengarnya darimu
Ibu Ayah,
Apabila aku bosan
Bermainlah bersamaku
Kerana seharian aku
Bermain dengan kawan-kawanku
Ibu Ayah
Apabila aku mengganggu kerjamu
Dengan celoteh ku
Berhentilah sebentar
Berbual dengan ku
Kerana seharian
Aku bersama pengasuhku
Ibu Ayah,
Apabila aku merengek
Bawa aku keluar
Melihat keindahan alam
Agar damai jiwaku
Ibu Ayah,
Apabila aku lasak
Bawa aku ke taman
Biar aku berlari sepuasnya
Sampai kepenatan
Agar awal tidurku
Ibu Ayah,
Bila aku sukar lena
Dodoi aku dengan
Cerita yang asyik
Dan lagu yang merdu
Pasti indah sekali mimpiku
Ibu Ayah,
Besok
Moga aku bangun
Dengan ceria dan senyuman
Mahu ke taska lagi
Ibu Ayah,
Aku faham kau harus pergi
Sementara aku ditinggalkan
Cepat pulang ya...
Sungguh aku rindu
Ibu Ayah,
Tika bersua kembali
Ragamku tanda menagih kasih
Buat mengubat rindu
Demi masa yang sedikit
Ibu Ayah,
Beri aku sedikit perhatian
Dalam ragam kasihku
Seketika cuma masa ku pinta
Tika usiaku masih memerlukan
Sebelum ia berlalu…
Agar aku tahu aku disayangi…..
Allahu A'lam.
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Saturday, February 9, 2019
GALAK PROSES BERFIKIR BAGI MELAHIRKAN ANAK YANG BERMANFAAT
Mengapa burung terbang?
Kenapa ayam ada kepak tapi tak boleh terbang macam burung?
Kenapa ikan hidup dalam air?
Apa pula respon ibu ayah apabila anak bertanya? Dalam contoh "Mengapa burung terbang?", mungkin ada ibu atau ayah yang menjawab "sebab dia ada sayap, sebab Allah jadikan sayap supaya burung boleh terbang dan lain-lain lagi".
ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.
Apabila si kecil mula bertanya tandanya otaknya sudah berkembang ke tahap boleh berfikir secara logik, menaakul, mengaitkan sesuatu, memikirkan kesan dan akibat, meramal, menilai, menyelesaikan masalah, membuat kesimpulan dan pelbagai lagi.
Sebagai ibu bapa dan guru kita perlu bertindak sebagai PEMUDAHCARA dengan menggalakkan anak berfikir kerana kita bertanggungjawab untuk merangsang dan meningkatkan perkembangan kognitif, sahsiah dan kerohanian mereka.
Dari proses pemerhatian, pemikiran dan memahami kejadian alam, insyaAllah anak dapat menjadi orang berMANFAAT bagi orang lain. Contoh manusia mencipta kapal terbang yang sangat banyak manfaatnya dari proses memikirkan kejadian burung.
terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.
Tuesday, February 5, 2019
KANAK-KANAK BERKEMBANG DENGAN BAIK JIKA DIBERI PELUANG MELAKUKAN SENDIRI KERJA-KERJA RUMAH
Kanak-kanak berkembang dengan baik dan natural sahaja jika diberi peluang melakukan banyak perkara dalam rutin seharian di rumah.
Ya, memberi peluang kepada kanak-kanak melakukan sendiri kerja-kerja rumah seperti membasuh pingan, melipat kain, menuang air, mengemas, menyapu dan menolong membasuh kereta dapat mempertingkatkan perkembangan mereka dari segala aspek.
Contoh dari segi perkembangan fizikal. Ciri perkembangan fizikal adalah:
1. Kebolehan
2. Kesediaan dan
3. Urutan pengalaman.
Bagaimana nak tahu kanak-kanak sudah boleh dan bersedia? Mudah saja. Apabila mereka ingin melakukan sendiri dan suka menolong. Inilah masa terbaik atau tempoh sensitif untuk mereka memperolehi sesuatu skil, menyerap ilmu pengetahuan dan mempelajari sesuatu.
Peranan ibu ayah adalah untuk menjadi pemudah cara dengan menyokong kebolehan anak dan menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat seperti meletakkan cawan dan bekas air plastik di meja rendah supaya anak mudah untuk menuang air.
Urutan pengalaman pada satu tahap mempengaruhi tahap seterusnya. Sila rujuk https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156941693979231&id=697059230 video anak Mak Long 'Izzuddin sekitar umur 3 tahun dalam Video 1, 5 tahun dalam Video 2 dan 7 tahun dalam Video 3. Lihat bagaimana skil membasuh pinggan itu bertambah halus (fine) dengan pengalaman dan latihan yang banyak.
Kanak-kanak yang biasa melakukan kerja-kerja rumah akan lebih lembut jari-jari mereka. Ini juga memudahkan proses belajar menulis ..
Memberi peluang dan galakkan untuk melakukan banyak perkara sendiri bukan sahaja dapat meningkatkan motor skil kanak-kanak malah dapat memperkasakan mereka untuk mengurus diri, meningkatkan kemahiran berfikir, menaakul dan menyelesaikan masalah serta membentuk sahsiah diri, keyakinan diri dan emosi yang stabil.
Utamakan keselamatan! Pengawasan sangat penting dalam tempoh ini kerana naluri ingin tahu dan keinginan kanak-kanak untuk meneroka dan mencuba adalah sangat tinggi. Apa pun pengorbanan masa dan tenaga ibu ayah adalah pelaburan jangka panjang yang insyaAllah sangat menguntungkan.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."
"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya"
Raikan fitrah. Santuni akhlaq dan adab.
Allahu 'Alam.
#SentuhanBapaBelaianIbu
Rumah Madrasah Pertama, Ibu bapa Guru Utama



