Showing posts with label TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH. Show all posts
Showing posts with label TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH. Show all posts

Friday, September 6, 2019

JIMAT MASA DAN MUDAH MEMASAK DENGAN PERALATAN ELEKTRIK

Peralatan elektrik sekarang banyak membantu memudahkan proses memasak dan menjimatkan masa.

Mak Long baru beli Air Fryer kerana terjebak bila layan go shop kat TV.huhu.

Tapi Mak Long rasa berbaloi juga dengan harga promosi RM199 tu.
Boleh tengok di sini Nakada Air Fryer NKD1100.

https://youtu.be/rIW3n4UHgfA

Semalam Mak Long bakar seekor ayam bersaiz kecil. Ayam lumur dengan serbuk lada hitam,lada sulah,serbuk thyme/rosemary (kalau ada yg fresh lg best,pokok rosemary Mak Long dah mati). Bakar dalam Air Fryer tu dalam sejam. Masak nasi dengan Rice Cooker. Boleh buat kerja lain sementara ayam dan nasi masak.

Lepas ayam masak, buat "gravy" guna lebihan "drip" ayam tu.Mudah. Mak Long ikut Youtube je😁.

https://youtu.be/OuKEbQUedG0

Pas tu tambahlah sayur. Kangkung goreng.

Anak-anak balik makan sama-sama.  Licin.

Hari ni Mak Long cuba masak ayam percik pula. Alhamdulillah, menjadi.

Sebenarnya kalau kita bijak mengurus dan merancang tak ade alasan tak ada masa atau susah nak masak.

Boleh rujuk blog Mak Long dalam label "tip cipta masa untuk dakwah" untuk tips menjimatkan masa dalam mengurus kerja-kerja rumah.

Selamat mencuba😃

Allahu 'Alam

🌾Mak Long
#MasakMemasakMembawaBahagia

Sunday, June 24, 2007

TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH: KATIL DAN CADAR


Sebagai seorang dai kita mesti bijak mengatur dan mengurus rumah supaya sentiasa nampak kemas dan bersih. Saya suka konsep yang ringkas tetapi nampak kemas dan mudah diurus.

Untuk bilik tidur, saya pastikan anak-anak ada bilik dan katil sendiri supaya mudah mengajar mereka bertanggungjawab dan mengemas bilik sendiri. Saya memilih untuk menggunakan katil berbanding tidur dibawah kerana mudah dikemas.

Sejak beranak satu saya dapati “fitted sheet” iaitu cadar yang dipasang getah empat penjuru adalah satu penyelesaian bagi mendapatkan katil yang sentiasa kemas. Saya juga menjahit getah pada cadar lama yang tidak dipasang getah.

Setiap kali bangun dari tidur, cadar hanya perlu dibaiki sedikit untuk menghilangkan kedut. Kalau anak-anak yang lasak boleh juga gunakan "safety pin" di penjuru katil supaya cadar sentiasa kemas.

Moga tip ini membantu.

Baiti Jannati.

Semakin hari semakin tenang.

Wallahua’lam.Sekian.

Monday, May 21, 2007

KAIN BAJU

TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH-KAIN BAJU

Kerja-kerja rumah akan menjadi satu beban kalau kita tidak mengendalikannya dengan baik. Kerja-kerja rumah seharusnya dijadikan tanggungjawab bersama keluarga supaya semua orang berperanan dan tidak ada mana-mana ahli keluarga tertentu sahaja yang terbeban dengan kerja-kerja rumah.

Kalau tak kena gaya kain bajulah yang paling banyak mengambil masa dan wang kita dan ramai wanita yang merungut dan stres pasal kerja-kerja berkaitan kain baju.

Saya memilih untuk tidak membenarkan kerja-kerja berkaitan kain baju mengganggu fikiran dan aktiviti seharian saya. Kerja-kerja berkaitan kain baju dijadikan tanggungjawab bersama dalam keluarga. Saya juga tidak meletakkan kain baju sebagai kerja yang prioriti dalam sehari kerana bimbang masa kualiti yang boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanaafat dihabiskan kepada kain baju.

Berikut adalah antara 12 tip yang mungkin boleh membantu.

1. Latih setiap ahli keluarga untuk bertanggunjawab terhadap kain baju sendiri.
Sediakan tempat meletakkan pakaian kotor supaya anak-anak terlatih meletakkan kain baju kotor ditempatnya dan tidak bersepah-sepah. Latih anak menjemur, mengangkat, melipat, menyimpan dan menggosok kain baju mereka sendiri.

2. Mesin basuh dan pengering(drier) juga banyak membantu. Sahabat saya Fauzian seorang guru menggunakan drier kerana menurutnya ia mempercepatkan proses kain baju dikeringkan dan boleh terus dilipat. Dia juga mendapati kain baju kurang berkedut bila menggunakan pengering pakaian.

3. Saya tidak mengkhaskan satu masa yang tertentu untuk membasuh, menjemur kain, melipat dan menggosok kain. Kami menyediakan satu bilik khas di rumah untuk memproses kain baju. Segalanya dilakukan bila ada waktu senggang dan bila saya dah letih melakukan aktiviti lain seperti membaca, menulis dan melayan anak-anak.

4. Bila musim hujan, aktiviti mengenai kain baju akan semakin bertambah. Saya menjemur kain dalam bilik khas tadi menggunakan penyangkut baju. Ini mengelakkan daripada terpaksa menghabiskan masa berulang alik mengangkat dan menjemur kain kerana hujan.

Saya juga suka menjemur kain baju menggunakan penyangkut baju kerana boleh terus disangkut dalam almari tanpa melibatkan proses melipat yang saya tidak sukai.

5. Kain baju juga boleh diletakkan dalam bakul yang bersaingan untuk setiap ahli keluarga sekiranya tidak dapat disangkut atau tidak sempat dilipat. Cuma kain baju akan berkedut sekiranya tidak dilipat/sangkut terus.

6. Sahabat saya, Shima memberi tip supaya pakaian dalam diletakkan dalam laci-laci kecil dan tak perlu dilipat.

7. Menggosok juga mengambil masa yang lama. Latihlah suami dan anak-anak menggosok pakaian sendiri bila mereka bersedia. Biasanya anak-anak saya menggosok pakaian sendiri sekitar 8/9 tahun.

Ramai yang khuatir anak terlupa menutup suis seterika dan akan menyebabkan kebakaran. Belilah sterika yang otomatik yang akan padam sendiri bila tidak digunakan setelah satu jangka masa. Kami telah lama menggunakan seterika jenis ini dan ia membantu melatih anak-anak.

8. Ramai juga kawan-kawan yang mengambil pembantu untuk kerja-kerja kain baju ni. Teringat kata Ustaz Abu Pekan dalam ceramah program keluarga Pahang lebih kurang dua tahun lepas. Dia mencadangkan kita outsourse saja kerja-kerja ini sekiranya kita terlalu sibuk atau perlu lebih masa untuk dakwah. Ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukan.

9. Akhi Nahar menyarankan supaya membeli stokin yang sama warna dan jenis dalam kuantiti yang banyak seperti stokin putih dan hitam. Ini memudahkan kerana setiap satu boleh dipadankan dengan pasangan yang lain. Tidak timbul stokin hilang sebelah.

10. Anak-anak kecil sekitar empat tahun boleh dilatih supaya memilih dan mengemas pakaian sendiri dalam beg masing-masing untuk dibawa balik kampung atau percutian. Buat permulaan kita perlu membimbing mereka membuat senarai dan membantu mereka mengemas pakaian mengikut senarai.Senarai bergambar boleh digunakan untuk anak yang belum pandai menulis dan membaca.

11. Saya pantau kegunaan kain baju saya dan anak-anak dari masa ke semasa. Yang sudah tidak padan di berikan pada anak-anak saudara atau sesiapa sahaja yang memerlukan. Kalau pakaian ang tidak dipakai dalam tempoh setahun bermakna kita sudah tidak memerlukannya dan dihadiahkan kepada orang lain.

12. Pastikan kita membeli pakaian kerana keperluan dan meletakkan budget yang sesuai untuk kain baju setiap tahun supaya kita tidak membazir dengan membeli tanpa perancangan. Tanpa kita sedari kain baju mungkin mengambil banyak wang ringgit kita yang dapat digunakan untuk dakwah.

Harap kita sentiasa mencari waktu dengan kerja-kerja dakwah. Apapun sikap kita banyak mempengaruhi kejayaan kita( tunggu tip tentang sikap mempengaruhi masa kita, insya-Allah).

Banyak-banyaklah berzikir ketika melakukan kerja-kerja rumah.

Apa kata yang lain. Mungkin ada yang boleh dikongsi.

“ Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senag ke tepian”

Sekian. Wallahua’lam.

TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH:PERALATAN DAPUR

Setiap dari kita dikurniakan 24 jam sehari. Masa harus dicari dan dicipta. Maksudnya kadang-kadang kita tak perasan bahawa masih ada banyak ruang masa tetapi kita tidak pandai mengurus masa dan akhirnya masa yang mengurus kita. Untuk menjadi da’i yang cemerlang kita mesti sedar bahawa masa mesti terus dicari supaya kita ada banyak masa untuk berdakwah. Kemudian mengaku bahawa kita masih belum mengoptimumkan penggunaan masa seterusnya mencari ilmu bagaimana dan akhirnya berubah. Sahabat saya Norhaini Kamaruddin mengingatkan saya jangan kata ‘saya tak ada masa’ dan “saya sibuk” kerana kata-kata adalah doa bimbang kita benar-benar tak ada masa dan sibuk dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. PERALATAN DAPUR Saya panjangkan tip ini yang diberikan oleh sahabat saya Solehah Abdullah ketika berkunjung ke rumah saya baru-baru ini. Beliau adalah Australian yang masuk Islam lebih 20 tahun lalu dan mempunyai 7 orang— 6 lelaki dan 1 perempuan berumur antar 25 dan 14 tahun. Peralatan dapur terutamanya pinggan, mangkuk, cawan dan periuk belanga sebenarnya banyak memgambil masa kita untuk dibasuh dan disimpan. Secara idealnya setiap ahli keluarga mesti membasuh dan menyimpan sendiri peralatan yang digunakan dan saling tolong menolong tetapi untuk menerapkan sikap bertanggungjawab ini kita mesti ada kaedah memastikan ianya berlaku. Letakkan hanya bilangan peralatan yang secukupnya untuk kegunaan seisi keluarga. Ini mengelakkan anak-anak terutamanya menggunakan selagi ada pinggan, mangguk serta cawan dan dihimpunkan dalam sinki atau atas meja tanpa di basuh. Tip ini menggalakkan mereka membasuh peralatan apabila tiada lagi peralatan yang bersih yang hendak diguna . Kita juga boleh melabel peralatan masing-masing. Jadi setiap orang terpaksa menjaga, membasuh dan menyimpan peralatan setelah digunakan. Saya telah mencuba tip ini dan memang berbaloi. Saya mula dengan menyimpan peralatan yang tidak digunakan setiap hari. Untuk pinggan mangkuk dan cawan saya menyimpannya dalam bekas plastik bertutup yang besar (baru-baru ni ada sale kat Giant) supaya tidak berhabuk dan boleh terus digunakan bila ada tetamu datang. Latihlah anak-anak untuk melakukan kerja-kerja rumah. Bahagikan tugas mengikut minat anak dan latihlah anak secara beransur-ansur. Selamat mencuba. Mungkin ada tip lain yang lebih baik dan ada manafaatnya. Mari berkongsi. Yang ringan sama dijinjing yang berat sama dijunjung. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Wallahua’lam. Sekian.