Banyak sekali tanggungjawab yang perlu dilunaskan setiap hari di rumah terutama apabila balik dari kerja. Ibu-ibu biasanya cekap "multitasking" beberapa kerja rumah serentak dan menyiapkan kerja dengan cepat. Ramai yang merasa senang hati jika dapat melakukan semua kerja kerana berjaya menjadi "supermom".
Mak Long pernah membaca bahawa "multitasking" boleh menyebabkan kita stress, kurang peka dan sedar tindakan kita. Dalam banyak keadaan kita hanya tertumpu kepada menyempurnakan tugasan tetapi kurang menghayati proses yang dilalui. Contoh ibu balik kerja terus sahaja bergegas ke dapur untuk memasak dan pada yang sama memasukkan baju dalam mesin basuh dan melayan keperluan dan karenah anak-anak kecil.
Masa dikejar saban hari sehingga kadangkala kita sudah jadi umpama robot atau kita menjadi cepat menyinga. Huhu.
Sesuatu yang Mak Long dapati menarik berlaku dalam tempoh PKP ini. Memasak menjadi semakin popular. Banyak perkongsian di laman sosial yang menggambarkan memasak dilakukan dengan suasana yang lebih santai dan terserlah kebahagiaan si tukang masak. Hasil masakan juga tampak lebih kreatif dan ada sentuhan peribadi masing-masing. Yang lebih memberangsangkan , tergambar amalan asuhan yang baik, interaksi dan komunikasi dua hala ibu-ibu dengan anak-anak dalam proses memasak yang berlaku.
Memasak bukan lagi tugasan yang membosankan dan memenatkan tetapi sudah menjadi hobi dan aktiviti yang membawa kedamaian dan keceriaan kepada ibu, ayah dan anak-anak.
Memperuntukan masa untuk melakukan kerja dengan lebih tenang dan fokus pada satu-satu tugasan menjadikan kita yang lebih sedar apa yang berlaku dalam proses yang dilalui. Contoh anak yang ingin turut serta membantu di dapur tidak dianggap mengacau atau melambatkan kerja tetapi dialu-alukan sebagai peluang untuk memupuk semangat kerjasama, tolong menolong dan sikap bertanggungjawab.
Perhatian yang diberi pada anak-anak membuat mereka merasa lebih diterima, dihargai dan disayangi. Ibu ayah juga dapat mengenali dan membina hubungan yang baik dengan anak. Ini memudahkan ibu ayah untuk berkomunikasi dan mendidik anak secara efektif.
Tempoh PKP boleh kita jadikan antara hikmahnya sebagai masa untuk "thomaninah" menyantuni fitrah diri kita yang dilupakan supaya kembali tenang dan lebih bersedia untuk menunaikan amanah menyantuni keluarga dengan lebih berkesan dan bermakna.
Ibu ayah yang tenang insyaAllah melahirkan anak-anak yang tenang.
Dikongsikan beberapa artikel dari blog Mak Long yang berkaitan. Semoga bermanfaat.
http://rentis.blogspot.com/2017/08/teknik-sedar-dalam-menyantuni-fitrah.html?m=1
http://rentis.blogspot.com/2016/10/perbaiki-hubungan-dengan-anak-terlebih.html?m=1
http://rentis.blogspot.com/2018/11/bimbing-anak-berfikir-dalam-menangani_28.html?m=1
http://rentis.blogspot.com/2018/11/komunikasi-berkesan-membantu-anak.html?m=1
Ayuh kita cipta momen-momen indah di rumah.
Allahu 'Alam
Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
rentis.blogspot.com
#StayAtHome
Day 16
No comments:
Post a Comment