Salam,
Saya selalu muhasabah diri apabila baca cerita begini dan terkenangkan pengorbanan arwah emak dan emak mertua saya yang lumpuh hampir 5 tahun.
Kalau saya rasa penat dengan kerja-kerja rumah, saya kata pada diri bahawa saya jauh lebih beruntung kerana banyak kemudahan hari ini. Arwah mak saya tak merasa mesin basuh, dapur gas, vacuum, mesin pengisar dan lain2 kemudahan membesarkan kami 6 beradik. Disamping itu masih mampu membuat nasi lemak dan kuih untuk jualan serta mengambil upah menjahit baju untuk membantu abah mencari rezeki demi membesarkan anak-anak.
Mak mertua saya membesarkan 11 anak dengan air perigi dan air sungai, bersawah, menanam sayur dan naik bot ke Pasar Besar Kuala Terengganu untuk menjual sayur. Beliau juga mengajar mengaji anak-anak jiran kampung sehingga dia lumpuh akibat strok hampir lima tahun yang lepas.
Saya kagum dengan mak mertua saya ketika baru berkahwin dahulu kerana masih mengingatkan anak-anak tentang solat walaupun mereka sudah berkahwin. Waktu subuh dia bangun awal sebelum subuh untuk bersolat sunat dan mengejutkan anak dan menantu bangun solat subuh.Dia juga masih menyuruh suami saya mengaji bersama dan memperbetulkan bacaannya. Saya kira beliau seorang ibu yang berjaya kerana kesemua 11anak-anaknya menjaga solat, menjadi manusia yang berguna dan menjaganya yang uzur dengan baik hingga kini.
Cabaran wanita kini sebagai ibu mungkin berbeza tetapi yang pasti tanggungjawab kita masih sama.
Moga Allah mengampuni dosa ibu-ibu kita.
Wassalam
Rahsia Eshah didik 15 anak hingga ke universiti
Oleh Norila Daud
IBU MITHALI... Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah (kiri) memakaikan selendang khas kepada Eshah Din, 70, yang dipilih sebagai Ibu Mithali 2007 berikutan keupayaannya membesarkan 17 orang anak sehingga berjaya pada majlis penganugerahan Ibu Mithali Ibu Sejati di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar Raja Jaafar Ali.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 21 Nov. – Seorang penoreh getah miskin, Eshah Din, 70, yang membesarkan 17 orang anaknya dengan memberi mereka makan pisang lenyek bercampur nasi dinobatkan sebagai Ibu Mithali 2007.
Seramai 15 orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.
Eshah yang memenangi Anugerah Ibu Mithali dengan menewaskan empat calon lain menerima hadiah wang tunai RM25,000, plak, naskhah al-Quran, pakej umrah, sijil simpanan premium RM1,000, barang-barang kemas bernilai RM8,000, loket, selendang dan jubah.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah menyampaikan anugerah dan hadiah-hadiah tersebut kepada Eshah yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah.
Seramai 4,000 tetamu turut menyaksikan acara bersejarah itu yang menobatkan Eshah sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali Kesembilan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Eshah yang berbaju kurung dan bertudung serba hijau diiringi suaminya, Sulaiman Saipin, 74. Sulaiman ialah penerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2006.
Seramai 10 orang anaknya bersama keluarga masing-masing turut meraikan kejayaan ibu mereka yang kelihatan tabah dan masih cergas walaupun telah berusia 70 tahun.
Eshah yang ditemui selepas acara penganugerahan itu berkata, kesemua 16 anaknya diberikan makan pisang lenyek bercampur nasi ketika mereka berusia empat bulan kecuali anak bongsunya, Nurhana, kini 27, yang berpeluang makan ‘Nestum’.
“Masa dulu mana ada Nestum. Anak-anak saya diberi makan pisang lenyek dan nasi serta minum susu cap junjung,’’ katanya dalam loghat Jawa disambut gelak ketawa para wartawan.
Dengan hanya berpendapatan RM400 sebulan, ibu yang tidak pernah mengerti penat dan kecewa itu turut menjual mihun dan nasi lemak di estet tempat beliau dan suami bekerja sebagai penoreh getah bagi menambah pendapatan.
“Saya menjual mihun lima sen sebungkus kepada penoreh getah di estet selain menjual jamu yang dibuat sendiri,’’ katanya.
Menurut anak perempuan sulung Eshah, Rosilah, 45, walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan, ibunya tidak pernah merungut tentang kesusahan membesarkan anak-anaknya yang ramai itu.
Beliau berkata, ibunya tidak pernah jemu menemani bapanya menoreh getah di Ladang Malakoff dekat Tawar yang terletak lima kilometer dari Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah.
‘‘Ibu sanggup mendaki bukit untuk menoreh getah ketika mengandung sembilan bulan dan segala kepayahan ditanggungnya sendiri,’’ katanya sambil menitiskan air mata ketika menceritakan kepayahan ibunya menyara 17 adik-beradiknya.
Rosilah, seorang guru, kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur.
Di kalangan 17 adik-beradiknya, tujuh adalah guru, dua bekas anggota tentera, seorang pegawai kastam, seorang jurutera, tiga akauntan, seorang tukang masak, pegawai alam sekitar dan pengurus ladang.
Katanya, ibunya sentiasa tabah menghadapi segala dugaan dan tidak pernah merungut.
Semua masalah dan keperitan membesarkan anak-anak ditanggung sendiri.
‘‘Memang bukan mudah untuk membesarkan 17 orang anak,’’ katanya.
Sebagai anak perempuan sulung dan anak keenam, Rosilah berkata, beliau hanya membantu ibunya di rumah. Abang-abangnya pula menolong bapa menoreh getah di estet.
Makanan
Sementara itu, Eshah ditanya sama ada beliau pernah mengalami keadaan tidak cukup makanan untuk diagih-agihkan kepada 17 orang anaknya.
‘‘Apabila mereka bergaduh kerana berebut makanan yang dihidang, suami saya akan merotan dan melibas mereka kerana cara itu dapat mendisiplinkan mereka.
‘‘Kami berdua tidak makan tak apa asalkan mereka (anak-anak) cukup makan,’’ katanya yang kini mempunyai 80 cucu dan seorang cicit.
Ditanya bagaimana beliau mengajar anak-anak ketika mereka bersekolah, Eshah berkata: ‘‘Saya tidak bersekolah macam mana nak ajar... saya hanya memperingatkan mereka dan bapanya pula jika nampak (dakwat) ‘merah’ itu maknanya anak buat salah.’’
Menurut Eshah, kesemua 17 anaknya lulus peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dengan baik dan 15 daripada mereka berjaya meneruskan pelajaran ke menara gading.
Mengenai rahsia kejayaan anak- anaknya dalam pendidikan, Eshah berkata, beliau sentiasa menyuruh anak-anak membaca buku apabila mereka balik dari sekolah.
‘‘Pada sebelah malam, mereka mesti ada di rumah. Saya tidak benarkan mereka tidur di rumah saudara-mara. Kalau susah biar kita sama-sama susah di rumah sendiri,’’ katanya.
Menurutnya, setelah mempunyai 12 orang anak, ada juga orang datang meminta untuk menjaga anak-anaknya tetapi beliau enggan menyerahkan mereka kepada orang lain.
Kini dua orang anaknya tinggal di luar negara iaitu seorang di New Zealand dan seorang lagi di Mesir.
norihan wrote:
hari ini saya kagum dengan berita tentang seorang ibu yang dari kampung pedalaman membesarkan 17 anak sehingga semuanya masuk U, berbanding dengan sekarang kemudahan ada macam-macam, anak tak ramai pun, tapi susah nak dapat semua masuk U dengan masih menjaga pegangan agama.
Norihan Elias
Pengarah Negeri
Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Tingkat 2C, Greentown Mall
Jalan Hospital,
30450 Ipoh ,Perak
No comments:
Post a Comment