Ada yang mengatakan kos menjaga anak semakin tinggi. Adakah kenyataan ini benar?
Ini banyak bergantung kepada kehendak ibu atau bapa itu sendiri. Keperluan dan perkara asas untuk pertumbuhan dan perkembangan perlu disediakan oleh ibu bapa tetapi anak tidak perlu disogok dengan pelbagai jenis mainan, peralatan dan perabut yang kontemporari.
Kadang-kadang kita tidak sedar kita sudah menjadi mangsa kepada strategi pemasaran dan terikut-ikut dengan trend semasa. Anak lahir dalam keluarga dan membesar mengikut apa yang disediakan oleh ibu bapa.
Kanak-kanak lebih perlukan mainan yang natural dan alami seperti bermain dengan pasir, tanah dan air. Bongkah kayu yang natural contohnya jauh lebih baik dari bongkah kayu yang dibeli dan diwarnakan dengan pelbagai warna.
Kanak-kanak main apa sahaja yang ada dalam dunia persekitaran. Mereka bijak meneroka dan mencipta apa yang ada disekeliling. Bahan-bahan alam dan kitar semula seperti kotak, bekas, kertas dan bermacam-macam lagi boleh saja dijadikan mainan yang sangat bermanfaat pada perkembangan kanak-kanak.
Rutin harian bersama keluarga juga membentuk sahsiah diri dan sangat baik untuk perkembangan kanak-kanak. Libatkan anak dalam proses rutin harian keluarga seperti memasak, mengemas dan melipat kain mengikut kebolehan mereka. Sebenarnya anak sangat sukakan masa-masa bersama ibu bapa. Proses memasak setiap hari bersama contohnya sangat disukai anak dan mereka rasa diri dihargai dan diberi perhatian. Ianya juga mengukuhkan lagi perhubungan ibu bapa-anak.
Terlalu membeli pelbagai jenis mainan dan gadjet boleh menjadikan anak bergantung pada "material" untuk memuaskan hati mereka.
Contoh anak kecil menangis kerana dahagakan perhatian tetapi dialihkan kepada mainan atau gadjet supaya senyap dan tidak mengacau ibu bapa. Maka fitrah anak yang mahukan perhatian itu tidak diisi dengan belaian dan kasih sayang sebaliknya dialihkan kepada benda lain. Apabila sesuatu yang tidak fitrah diberikan maka anak akan melahirkan penggantungan kepada kebendaan yang hanya memberi kepuasan sementara. Keperluan emosi yang tidak dipenuhi boleh memberi kesan yang tidak diingini seperti pelbagai masalah tingkah laku.
Kanak-kanak perlu rasa selamat, diterima dan membesar dengan baik dalam keluarga yang berkasih sayang.
Kanak-kanak membina identiti diri dalam persekitaran sosial-Erikson
Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya-Imam Al-Ghazali
Semai iman anak melalui interaksi alam-Abdullah Nashih Ulwan
"Ibu Bapa Tenang, Anak Cemerlang"
Allahu A'lam
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
No comments:
Post a Comment