Showing posts with label Healing. Show all posts
Showing posts with label Healing. Show all posts

Thursday, January 25, 2024

KISAH MAK LONG DAN HITAM

Ada beberapa kucing jalanan selalu singgah di rumah kami.

Saya tak sukakan kucing. Bukan apa saya sangat alahan pada kucing.

Tapi ada seekor kucing hitam seakan tidak berputusasa. Dia berusaha juga masuk ke perkarangan rumah kami.

Anak lelaki kedua saya sangat sukakan kucing walaupun dia pun alergik. Dia beli makanan dan beri kucing hitam itu makan.

Kucing hitam itu nakal sangat. Habis diterbalikkan pasu bunga saya. Kadang-kadang dia terlepas masuk dalam rumah. Curi makanan. 

Apa lagi serabut dan bertambah geramlah saya.

Kadang-kadang saya bergaduh dengan kucing itu. Hehe. Tapi dia semakin mendekati saya. Cuba gesel-gesel.

Satu hari saya "give up". Saya pujuk diri supaya terima kucing hitam itu seadanya.

Saya namakan dia Hitam sebab dia betul-betul hitam dan saya beritahu jiran-jiran itu kucing saya.

Saya tidak lagi mengelak apabila Hitam mendekati. Saya mula membelai dan bercakap dengan Hitam. 

Hitam suka rupanya. Dia mula jadi teman saya bila berkebun. Dia ikut ke mana dan tunggu saya berkebun. 

Dia jadi jinak dan sudah tidak merosak pasu-pasu saya.

Pagi hari apabila saya membuka pintu dia yang akan berlari dan mengeow. Mula saya ingat dia lapar. Beri makan. Rupanya dia nak perhatian saya. Gesel-gesel. Kadang-kadang saya kena jugak ambik ubat antihistamines sebab alahan. Tak apalah.

Tapi saya setkan "boundaries". Hitam tak boleh masuk ke dalam rumah. Setakat di porch sahaja. Saya sediakan tempat makan tidur dan makan dia di luar rumah. Jadi dia tahu sempadan sampai mana.

Baru-baru ini Hiitam tak ada bila saya membuka pintu. Risau. Cari tak nampak. Lepas dalam seminggu Hitam balik dengan sebelah kakinya jalan berdencut dan mata sepet sebelah. Kesian.

Anak saya belikan ubat dan rawat.

Pagi tadi saya tengok Hitam dah sembuh seperti sediakala. Alhamdulillah. Sedia menunggu apabila saya membuka pintu. Mengeow dan gesel-gesel. Manja.

Hitam mengajar saya banyak perkara terutama tentang hati. Melunakkan hati saya. Menerima tanpa syarat dahulu. Kesian Hitam saya kata dia nakal. Padahal dia hendakkan perhatian dan cuba mendekati saya. Itu cara Hitam.

Saya sayangkan Hitam.  Hidup saya lebih indah dan bermakna dengan kehadiran Hitam. Kasih sayang Hitam melunakkan hati saya. Subhanallah.

Hitam. Anugerah alam seekor binatang yang Allah hadirkan untuk saya muhasabah diri dan mujahadah memperbaiki diri.

Terima kasih Allah kerana menghadirkan saya Hitam. 

"Ya Allah, kau peliharalah Hitam, lanjutkan usianya, sihatkan ia dan jauhi ia dari mara bahaya."

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, “Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) itu terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadanya)” (HR Al-Bukhari : 2363)

Allahu 'Alam.

🌹Mak Long
#closetoyourheart
14 Rejab 1445H

Wednesday, January 24, 2024

BERDAMAI DENGAN MEMAAFKAN ORANG LAIN


Tuhan, alam dan manusia terpisah tiada.

Kita adalah makhluk sosial yang perlu berhubung antara satu sama lain. 

Apapun perhubungan sesama manusia menemukan pelbagai rasa dalam diri kita. Contohnya, rasa gembira, sedih, marah, kecewa, kasih, sayang, benci, dengki dan putusasa.

Disebalik rasa ada kita yang fitrah.

Contoh, kita kecewa kerana apa yang  diharapkan tidak menjadi atau usaha kita tidak dihargai.

Jika diselami, rasa kecewa itu mungkin hadir kerana kita mahu rasa "bangga" apabila memperolehi hasil dari usaha kita.

Sedar diri bahawa ada ego kita yang sedang disuap. 

Astaghfirullah.

Ambillah masa untuk memproses rasa kecewa itu. Menerima apa yang berlaku sebagai ketentuan Yang Maha Agung. Menerima hakikat bahawa Dia yang Maha Mengatur dan Menentukan segala. 

Kita hanya merancang dan berusaha. 

Kita juga hanya ditugaskan utk menyampaikan. Kita tidak dipertanggungjawabkan untuk mengubah orang lain, baik pasangan, anak-anak, ahli keluarga atau sesiapa sahaja.

مَا عَلَى الرَّسُوْلِ اِلَّا الْبَلٰغُ ۗوَاللّٰهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُوْنَ وَمَا تَكْتُمُوْنَ  
"Kewajiban Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan (amanat Allah), dan Allah mengetahui apa yang kamu tampakkan dan apa yang kamu sembunyikan."
(QS: Al-Maidah 99)

Rasa adalah anugerah Allah supaya hak diri kita terjaga.  Kehadiran pelbagai rasa dalam bergaul harus dimaknai. Contoh kita marah apabila orang mengambil kesempatan atas diri kita. Jadi kita perlu ada sempadan diri atau "boundaries" bukan hanya menyalahkan orang lain.

Rasa yang diterima kehadirannya akan mudah dilepaskan. 

Jika tidak ia menjadi luka dalaman yang sakit dan semakin parah sekiranya tidak dirawat.  Ia memberi kesan kepada rational, spiritiual dan fizikal kita.

Oleh itu memaafkan adalah lebih baik.

Ya, bukan mudah. 

Memaafkan bukan bererti kita lupa perbuatan orang yang menyakitkan tetapi memaafkan supaya kita kembali tenang dan boleh "move on".

Menjarak jika kita tidak mampu berdepan dengan orang itu.

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَاَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِيْنَ 
 “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.” (QS. Al-A’raf: 199). 

Memaafkan tidak hanya kata-kata, namun harus disertai dengan berlapang dada dan ikhlas tanpa ada keinginan untuk membalas kejahatan yang sudah dilakukan.

 وَلَا تَسْتَوِى الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۗاِدْفَعْ بِالَّتِيْ هِيَ اَحْسَنُ فَاِذَا الَّذِيْ بَيْنَكَ وَبَيْنَهٗ عَدَاوَةٌ كَاَنَّهٗ وَلِيٌّ حَمِيْمٌ   
"Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yang setia."
(QS: Al-Fulsilat:34)

وَمَا يُلَقّٰىهَآ اِلَّا الَّذِيْنَ صَبَرُوْاۚ وَمَا يُلَقّٰىهَآ اِلَّا ذُوْ حَظٍّ عَظِيْمٍ "Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar."
(QS: Al-Fulsilat:35)
.
.
Pemaaf adalah salah satu sifat orang yang bertakwa, selain sifat suka bersedekah dan menahan amarah (sabar).

۞ وَسَارِعُوْٓا اِلٰى مَغْفِرَةٍ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالْاَرْضُۙ  اُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِيْنَۙ 
"Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa,"(QS. Ali Imran:135).

الَّذِيْنَ يُنْفِقُوْنَ فِى السَّرَّۤاءِ وَالضَّرَّۤاءِ وَالْكَاظِمِيْنَ الْغَيْظَ وَالْعَافِيْنَ عَنِ النَّاسِۗ وَاللّٰهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِيْنَۚ  
"(yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan," (QS: Ali Imran:134).
.
.
Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang menahan amarah, memaafkan dan berbuat kebajikan.

"Maafkanlah, niscaya kamu akan dimaafkan (oleh Allah)."-HR At Thabrani
 
"Grace comes to forgive and then forgive again."- Rumi

Maafkanlah kerana kita juga pernah berbuat salah dan mahukan kemaafan orang lain. 

"Terima kasih Tuhan kerana menemukan  rasa yang membawa aku kembali kepadaMu dan luka yang mengajar aku memaknai hakikat diri ini hamba, erti ikhlas, berserah dan berharap hanya kepadaMu yang tidak pernah mengecewakan. "-Mak Long

Allahu'alam.

🌹Mak Long
#closetoyourheart
rentis.blogspot.com
13 Rejab 1445H

Monday, January 15, 2024

BERDAMAI DENGAN MEMAKNAI MASA LALU

"Bury your past or your past will bury you".

Suatu ketika dahulu saya sangat terkesan dengan  ungkapan itu.

Akan tetapi, masa lalu tak mampu dikuburkan. Malah semakin ingin dilupakan semakin ia menjengah malah selalu saja memaksa saya untuk menjenguknya kembali. 

Masa lalu yang penuh kenangan menemukan pelbagai rasa. Suka dan duka. Cinta dan rindu. Pahit dan manis.
.
.
Masa tetap berjalan. Pejam celik, Januari 2024 sudah dipertengahan. Setiap awal tahun baru kita berazam untuk melangkah lebih jauh. Ada impian dan cita-cita yang ingin dicapai.

Namun, masa lalu selalu membelenggu, mengikat dan menahan kita untuk melangkah lebih jauh.

Apabila sesuatu yang sangat menyakitkan berlaku, kita sedaya upaya cuba menyembunyikannya. Tapi ada perkara yang akan mencetus atau "triggered" kesakitan itu. Ia akan datang. Lagi dan lagi. Luka  itu semakin lama semakin parah atau menjadi trauma.

Apa itu trauma?

"Trauma is not what happens to you but what happens inside you. Trauma, until we work it through, keeps us stuck in the past, robbing us the present moment's riches, limiting who we can be."- Dr Gabor Mate "The Myth Of Normal".

Trauma adalah luka dalam diri yang berlaku akibat dari peristiwa yang sukar dan menyakitkan dalam diri; bukan peristiwa yang berlaku tetapi kesan luka dalaman itulah trauma yang boleh saja "triggered" pada bila-bila masa.

Samada kita sedar atau tidak, trauma atau luka dalaman akan menentukan tingkah laku, membentuk habit sosial dan cara kita berfikir.

Ia juga menentukan samada kita mampu berfikir secara rational dalam banyak keadaan dalam kehidupan dan boleh menjejaskan perhubungan.

Apapun, masa lalu jika kita sedar akan membawa kita mengenali diri. Tanpanya mana mungkin kita  mengorak langkah berbekal pengalaman yang menjadikan kita lebih matang.

Kita perlu terima dan akui kenangan lalu bersama setiap rasa yang ada. Beri masa untuk kita proses dan memaknainya dengan curhat kepada Tuhan dan pada orang yang ada kemahiran mendengar. 

Disebalik rasa ada kita yang fitrah. Proses bermujahadah untuk kembali.

Contoh, kita banyak rasa bersalah berulang-ulang yang menghantui. Kita mungkin ada trauma masa lalu yang menjadikan kita begitu. Mungkin masa kecil kita sering dipersalahkan. Rasa bersalah inilah yang mempengaruhi cara berfikir, bertindak dan memberi kesan kepada hubungan dan kemajuan diri kita.

Apabila kita terima rasa bersalah itu, akui kita ada luka dan beri masa untuk menjalani proses sembuh, kita belajar untuk memaafkan diri sendiri, memaafkan orang lain dan berdamai dengan takdir yang berlaku.

Kita mungkin belum sembuh sepenuhnya tapi kita mampu tumbuh untuk mencorak hari ini dengan kesedaran yang lebih tinggi.

Apabila terjadi lagi sesuatu yang "triggered" kita mampu untuk tidak "react" tetapi mengambil jarak dan ruang untuk respon dengan rational. Lama kelamaan kita akan berubah menjadi lebih matang.
.
.
Trauma yang dimaknai proses sembuhnya dengan sabar menjadikan kita redha dengan ketentuanNya dan bersyukur dengan masa lalu yang menjadikan kita hari ini.

Ya, kita manusia yang tidak sempurna tapi kita mampu sembuh dan tumbuh dengan berserah kepadaNya yang Maha Memberi Petunjuk, Mencukupi dan Melindungi. Allahuakbar.

Hari ini juga akan menjadi lembaran semalam.
Hari ini yang sedang kita jalani. Pilihlah untuk mewarnai dan mencoraknya agar hari ini lebih baik dari semalam.

Allahu 'Alam

🌹Mak Long
4 Rejab 1445 H
#closetoyourheart

Thursday, July 23, 2020

BERDAMAI DENGAN PENOLAKAN ATAU "REJECTION"

Dalam apa jua usaha melakukan kebaikan atau perubahan kita tidak terlepas dari penolakan atau "rejection".

Contoh, cadangan kita ditolak, orang tidak membeli produk yang kita jual, "unfriend/block/left group" atau ada yang memperlekehkan apa yang kita buat.

Semua itu sebenarnya bukan dalam kawalan kita. Yang dalam kawalan kita adalah bagaimana kita mengurus emosi dan belajar dari apa yang berlaku.

"Reflect and learn".

Terima dahulu apa sahaja perasaan yang timbul--kecewa, sedih, marah dan sebagainya. Kemudian uruskan emosi dengan menerima realiti, memaafkan diri sendiri, orang lain dan bersangka baik. Setiap orang ada kehendak dan keperluan mereka tersendiri. 

Raikan perbezaan.

Belajar melepaskan emosi yang negatif dengan banyak beristighfar dan memohon ampun dariNya.

"Do not take it personal."

Ya, apa yang berlaku adakalanya tiada kena mengena dengan kita.

Contoh, kita menulis sesuatu pengalaman yang pernah dilalui dan ada orang yang sentap apabila membacanya. Dia mengganggap  penulisan itu ditujukan kepadanya dan marah-marah atau "backfire". Ia sebenarnya menunjukkan apa yang kita tulis menjadi "trigger" kepada luka dalam diri orang itu sendiri. 

Apa yang di luar adalah cerminan apa yang di dalam.

"So, be more mindful". 

Jadi tingkatkan kesedaran kendiri kita. Usah biarkan diri kita terkesan dengan ledakan emosi orang begitu. Doakan yang baik-baik untuk dia.
.
.
Kejayaan juga selalu dikaitkan dengan hasil. Contoh, orang yang disukai ramai atau ramai "follower" dan menjadi "influencer" dianggap lebih berjaya dari yang sebaliknya.

Begitulah kehidupan hari ini.

Hakikatnya, Allah menilai usaha kita bukan hasilnya.

Nabi Nuh contohnya berusaha sekuat tenaga berdakwah kepada kaumnya dengan segala kebijaksanaan, kecekapan dan kesabaran. 

Namun,  ternyata hanya sedikit sekali dari kaumnya yang dapat menerima dakwahnya dan mengikuti ajakannya.

Menurut riwayat tidak melebihi bilangan seratus orang dalam tempoh 950 Nabi Nuh berdakwah. Mereka terdiri dari orang-orang yang miskin berkedudukan sosial lemah. Sedangkan orang yang kaya-raya, berkedudukan tinggi dan terpandang dalam masyarakat, yang merupakan pembesar-pembesar dan penguasa-penguasa tetap membangkang, tidak mempercayai Nabi Nuh dan mengingkari dakwahnya. 

Mereka sesekali tidak mahu melepaskan kepercayaan mereka terhadap berhala-berhala yang disembah. Bahkan mereka bersekongkol melumpuhkan dan menggagalkan usaha dakwah Nabi Nuh.
.
.
Maka, usah bersedih!

Ayuh! Bangkit dan terus berusaha.

Usaha tangga kejayaan.

Jika belum mencapainya, mungkin kita belum cukup bersedia untuknya.

Jadi, tingkatkan usaha dan jadikan penolakkan atau "rejection" sebagai pembakar semangat untuk terus mengorak langkah.

"Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya".

Surah Al-Imran Ayat  139:

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."

Allahu 'Alam.

🌾Mak Long
#closetoyourheart
rentis.blogspot.com