Tuesday, May 1, 2007

TIP 32: HIMPUNAN DOA UNTUK ANAK

Menemui semua pembaca yang dirahmati Allah,

Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan "baiti jannati" . Sebagai ibu bapa, kita perlu banyak berdoa dan memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah dalam mendidik anak-anak

Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak-anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak-anak.

Dikongsikan doa-doa yang saya amalkan dalam mendidik anak sendiri dan juga anak jagaan di TASKA dan TADIKA. Ianya adalah kumpulan doa yang saya petik hasil dari pembacaan selama ini terutama daripada Ustazah Hajjah Nasiyah Abdul Razak-Pengasas Rumah Qiraati Nurhidayah, Taman Melawati Selangor. Moga Allah memberkati beliau dan keluarga.

#1.  Supaya anak mudah belajar dan menelaah pelajaran.

Baca zikir Ya-Latif  dan surah as-Syura ayat 19:

اللَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ وَهُوَ الْقَوِيُّ الْعَزِيزُ

“Allah itu lemah lembut kepada hamba-hambaNya: Ia mengurniakan kepada siapa yang dikehendaki. Padahal, Dialah Yang Kuat, Yang Gagah.”

Sebaiknya dibaca selepas subuh iaitu dibaca pada air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa Surah al- Imran ayat 200:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.”

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman berulang-ulang. Kesemua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Juga Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam aktiviti lain seperti semasa menemani anak menelaah buku-buku dan membaca al-Quran.

#2. Bagi mendapat zuriat yang baik.

Amalkan doa Nabi Zakaria AS dari Surah al-Imran 38:

 رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

“ Wahai Tuhanku! Berikan kepadaku dari pihak-Mu keturunan yang baik, kerana sesungguhnya Engkaulah pendengar doa.”

Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan harapan semasa anak baru lelap kerap saya amalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.

Selain itu, selepas sembahyang lima waktu, saya mengamalkan doa dari surah al-Furqan-74:

  رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“ Tuhan kami, Anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan kami yang menyenangkan hati, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertakwa” dan surah Ibrahim ayat 40:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“ Wahai tuhanku, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang menegakkan solat. Wahai Tuhanku! Kabulkanlah doa kami.”

Sebaik-baik memohon doa adalah diwaktu tengah malam. Seringlah bangun sepertiga malam untuk mendirikan solat solat sunat dan mendoakan kesejahteraan keluarga. Sebutlah nama anak secara spesifik untuk doa lebih berkesan.

Jadikanlah doa antara teknik berkesan membentuk peribadi anak-anak. Selamat beramal.

“Doa itu senjata orang mukmin”

Sekian. Allahu'lam.

4 comments:

Islam4Parents said...

Assalamualaikum,

JazakAllah khair.

Di website kami, adalah dua-dua untuk di ‘print’kan serta aktiviti untuk kanak-kanak, sila lah mengunjungi website Islam4Parents.

Terima kasih

hidayahamin said...

bagus sekali doanya... izinkan saya untuk copy paste. tq.

. said...

Menarik doa-doanya. Saya akan masukkan dalam doa untuk Sambutan Hari Kanak-kanak yang akan diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang pada 13.10.2010.

Terima kasih.

Rosnah Ahmad/Mak Long said...

Sila.Boleh saja dipanjangkan insya-Allah...