Tuesday, August 20, 2019

BERMAIN PENTING UNTUK PEMBENTUKAN KONSEP

Adam (6 tahun) mengajak sepupunya Haikal (4 tahun) bermain dengan timbunan buah rambutan yang baru dikait di kampung. Kemudian Adam nampak ada alat penimbang di situ. Lantas diiambilnya penimbang itu, diletakkan rambutan di atas penimbang dan membacakan beratnya kepada Haikal. Adam mengulangi beberapa kali dengan menambah dan mengurangkan bilangan rambutan.

Haikal kelihatan teruja sekali. Dia meniru Adam dengan mencuba berkali-kali menambah dan mengurangkan rambutan atas timbangan timbangan sambil membelek-belek jarum penimbang yang turun naik mengikut berat rambutan. Adam seolah-olah beralah dan memberi Haikal bermain. Sesekali Adam membacakan berat rambutan yang ditimbang Haikal.

Tiba-tiba ibu Haikal datang menghampiri dan berkata, "tak payahlah Adam ajak Haikal main penimbang tu. Haikal belum kenal nombor lagi".

Tersentak Mak Long yang sedari tadi asyik menyaksikan aksi kedua sepupu itu bermain. Hmmm, satu PROSES membina KONSEP melalui bermain yang sangat baik pada anak seusia Haikal ini sudah diganggu.

Ya! Membina konsep pada awal usia itu sangat penting. Contoh Haikal sedang membina dan menghubungkaitkan konsep berat dan ringan dengan turun naiknya jarum penimbang walaupun dia belum kenal nombor yang tertera pada penimbang itu.

Bermain adalah fitrah anak awal usia. Permainan seperti apa yang Adam dan Haikal tadi terbit dari naluri mereka atau "self-directed". Ianya sangat bagus bagi merangsang pembentukan konsep dalam perkembangan kognitif atau akal anak.

Sebagai orang dewasa seharusnya kita menyokong perkembangan anak-anak sebagaimana Adam lakukan pada Haikal. Adam yang lebih besar dan lebih mahir sebenarnya sedang menyokong atau "scaffolding" Haikal untuk memahami konsep berat dan ringan dan mengaitkan dengan ukuran dan perbandingan.

Teori Vygotsky "scaffolding" --bantuan rakan yang lebih mahir atau orang dewasa boleh menyokong pencapaian lebih baik dalam pembelajaran kanak-kanak.

Tetapi kita perlu ingat, ada sokongan orang dewasa yang membantu dan ada juga yang mengganggu contoh terlalu menyoal anak dalam proses bermain. Seperkara yang Mak Long perhatikan semasa Adam bermain dengan Haikal  adalah Adam tidak bertanya Haikal tetapi hanya bermain bersama dengan membantu dan menyokong Adam secara natural sahaja.

Konsep adalah batu asas kepada pengetahuan. Kanak-kanak membina konsep melalui bermain. Konsep digunakan dalam dalam kehidupan seharian kanak-kanak. Anak mungkin belum boleh menjelaskan banyak perkara apabila ditanya tetapi otaknya sedang membina dan memahami sesuatu yang lebih kompleks.

Jika kita memerhati kanak-kanak kita dapat melihat bagaimana mereka membina dan menggunakan konsep.

Contoh:-

Padanan satu dengan satu
☘Mengagihkan satu biji rambutan kepada setiap orang.
☘Meletakkan satu guli ke dalam satu lubang dalam permainan congkak.

Pengelasan
☘Mengasingkan rambutan kuning dan merah dalam bakul berlainan.
☘Meletakkan pinggan dan cawan ke dalam besin berlainan selepas makan.

Menyukat
☘Menuang air, pasir, beras dan bahan lain dari satu bekas ke satu bekas.
☘Menyukat tepung, telur, gula dan marjerin untuk aktiviti membuat kek cawan

Pola
☘Menyusun bunga dan daun berselang seli
☘Membuat rantai tangan dengan susunan keratan straw yang bercorak.

Konsep-konsep lain yang dibentuk termasuk konsep masa, ukuran, seriasi, ruang, parts and whole, konsep nombor, bentuk, membanding dan membilang.

Zaman kanak-kanak adalah tempoh masa kritikal bagi membina konsep-konsep asas dan skil memproses konsep untuk mengembangkan konsep yang ada dan memperolehi konsep-konsep baru.

Pembentukan konsep diperolehi kanak-kanak melalui bermain dengan bahan konkrit. Mereka juga  meneroka, mengeksperimen dan mengalami ( 3E-Explore, Experiment & Experience).

Anak yang banyak bermain akan membina konsep dengan baik. Semakin anak membesar semakin banyak konsep yang diperolehi. Mereka menggunakan konsep-konsep ini apabila memasuki alam persekolahan untuk mempelajari sains dan matematik.

Oleh itu, ibu bapa harus memberi banyak peluang kepada anak bermain dan meneroka dengan menyediakan persekitaran dan peralatan yang menggalakkan perkembangan kognitif.

Permainan tradisi juga sarat dengan konsep-konsep. Dikongsikan artikel berkaitan dari blog Mak Long

http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-16congkak-dan-metamatik.html?m=1

"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya" Imam Al-Ghazali

"Children are biologically designed to educate themselves through play and exploration. We don't need to educate them, we need to provide the conditions to allow them to educate themselves"-Peter Gray, "Free to Learn"

Allahu 'Alam.
🌾Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
Kembalikan Peranan Ibu Bapa
Perkasakan Institusi Keluarga

No comments: