"Bila balik kerja anak saya (2 tahun) selalu saja merengek. Dari waktu saya ambil dia di TASKA, dah mula tunjuk macam-macam ragam. Jadi saya terpaksalah beri dia ipad dari dalam kereta lagi supaya diam. Sampai rumah aman sikit dan mudah saya fokus kepada kerja-kerja rumah. Kalau tidak, dia meragam, mengekori saya dan mengacau. Dah lah penat balik kerja, boleh menyinga saya dibuatnya." Begitulah cerita dan rungutan seorang ibu kepada Mak Long.
Mengapa anak kecil merengek atau meragam?
Ianya adalah sesuatu yang sangat normal atau fitrah semulajadi anak yang meminta keperluan emosi mereka dipenuhi. Jika tidak mungkin ibu bapa tidak sedar atau lupa untuk memenuhi keperluan emosi anak tetapi lebih menekankan pada keperluan fizikal seperti menyediakan makan dan pakai sahaja.
Setelah ditinggalkan dari awal pagi hingga lewat petang tentulah anak akan merindui ibu bapa dan ragam itu menunjukkan anak meminta perhatian.
Oleh itu, sewajarnya ibu bapa bersedia memperuntukkan masa untuk memberi perhatian kepada anak sewaktu pulang dari bekerja walaupun penat dan bergegas untuk memasak dan menyiapkan pelbagai kerja rumah.
Ia tidak mengambil masa yang lama, hanya perlu fokus melayan anak sebentar dengan memberi pelukan, ciuman, berbual, bermain atau membenarkan anak bersama dalam kerja-kerja seperti melipat kain dan memasak sesuai dengan tahap kebolehan mereka.
Anak sangat suka masa bersama ibu bapa. Mereka bukan mahukan wang ringgit atau material tetapi mahukan masa bersama ibu bapa.
Anak yang disantuni emosinya apabila meragam akan kembali tenang dan mudah diurus.
Menyantuni anak juga baik untuk emosi ibu atau ayah itu sendiri. Masa berkualiti yang diberikan akan mengeratkan lagi ikatan dan hubungan anak dan ibu bapa.
Sebaliknya jika ragam anak dialihkan kepada gajet, keperluan emosi mereka dinafikan dan hubungan anak dan ibu bapa terjejas. Dia juga akan membesar menjadi orang dewasa yang tidak tahu menguruskan emosi diri dan hanya memendamkan perasaan.
Lebih buruk lagi ianya membawa kepada ketagihan gajet yang memberi kesan buruk kepada fizikal, mental dan emosi kanak-kanak. Lebih banyak masalah tingkah laku boleh berlaku seperti mengamuk jika tidak diberikan gajet, tidak sabar dan kurang kemahiran bersosial.
Hayati puisi ini.
RAGAM KASIH
Ibu Ayah,
Apabila aku menangis
Peluk dan cium aku
Ungkapkan sayang
Kerana seharian aku
Tidak mendengarnya darimu
Ibu Ayah,
Apabila aku bosan
Bermainlah bersamaku
Kerana seharian aku
Bermain dengan kawan-kawanku
Ibu Ayah
Apabila aku mengganggu kerjamu
Dengan celoteh ku
Berhentilah sebentar
Berbual dengan ku
Kerana seharian
Aku bersama pengasuhku
Ibu Ayah,
Apabila aku merengek
Bawa aku keluar
Melihat keindahan alam
Agar damai jiwaku
Ibu Ayah,
Apabila aku lasak
Bawa aku ke taman
Biar aku berlari sepuasnya
Sampai kepenatan
Agar awal tidurku
Ibu Ayah,
Bila aku sukar lena
Dodoi aku dengan
Cerita yang asyik
Dan lagu yang merdu
Pasti indah sekali mimpiku
Ibu Ayah,
Besok
Moga aku bangun
Dengan ceria dan senyuman
Mahu ke TASKA lagi
Ibu Ayah,
Aku faham kau harus pergi
Aku ditinggalkan buat sementara
Cepat pulang ya
Sungguh aku rindu
Ibu Ayah,
Tika bersua kembali
Ragamku tanda menagih kasih
Buat mengubat rindu
Demi masa yang sedikit
Ibu Ayah,
Beri aku sedikit perhatian
Dalam ragam kasihku
Seketika cuma masa ku pinta
Hargailah masa yang ada
Tika usiaku masih memerlukan
Sebelum ia berlalu
Agar aku tahu aku disayangi.
___________________
Luangkan masa dan santunilah anak semasa kecil agar mereka merasa dihargai dan disayangi.
Anak-anak kita membesar dan belajar melalui pemerhatiannya ke atas sikap-sikap yang kita tunjukkan padanya.
Ibu ayah yang menyayangi lebih mudah untuk menghasilkan anak-anak yang menyayangi. Begitu jugalah sebaliknya!
Jadi, mari pastikan kita menjaga, bukan sahaja kesihatan fizikal dan minda anak-anak, malah kesejahteraan emosi anak kita.
“Sesungguhnya barang siapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi.“ (HR.Muslim)
Wallahua'lam
🌾Mak Long
#IbuBapaTenangAnakCemerlang
Ikuti Channel Telegram klik t.me/RentisMakLong
No comments:
Post a Comment