Showing posts with label Orang kata vs saya kata. Show all posts
Showing posts with label Orang kata vs saya kata. Show all posts

Tuesday, September 24, 2019

TERLALU BANYAK MAINAN PUN TAK BAGUS

Orang kata: Mainan yang banyak baik untuk kanak-kanak kerana ianya meningkatkan minat bermain dan membantu menggalakkan perkembangan.

Mak Long kata: Mainan adalah salah satu alat yang dapat membantu kanak-kanak berkembang tetapi mainan yang terlalu banyak pun tidak bagus kerana ianya sedikit sebanyak memberi kesan yang tidak baik kepada kreativiti, imaginasi, kemahiran bergaul, sikap dan nilai seorang anak.

Mainan kanak-kanak hari ini semakin canggih dan lebih mampu dimiliki.
Malah lambakan mainan yang diperbuat dari plastik yang murah mudah sahaja didapati di mana-mana sekarang ini. Ada pelbagai bentuk, rupa dan kegunaan. Tidak kurang yang boleh berfungsi seperti robot dan keretapi yang boleh bergerak dengan kuasa bateri.

Mainan yang terlalu banyak dan sedia dimain kurang merangsang kreativiti,  imaginasi dan fantasi kanak-kanak. Barang mainan yang asas dan boleh dimanipulasikan sebenarnya lebih baik. Contoh blok atau bongkah kayu yang boleh dicantum menjadi pelbagai objek dan bahan dari kos rendah atau bahan terbuang seperti kotak yang boleh dijadikan kereta , rumah, dapur dan sebagainya. Mainan begini juga lebih menggalakkan permainan berkumpulan yang sangat baik untuk memupuk kemahiran sosial.

Menurut David Elkind dalam bukunya "The Power of Play", mempunyai mainan yang terlalu banyak dan boleh diperolehi pada setiap masa menyebabkan kanak-kanak sukar untuk membina "attachment" dengan mainan dan memilih mainan mana yang boleh merangsang imaginasi dan fantasi mereka.

Mainan yang terlalu banyak juga membuatkan kanak-kanak kurang menghargai dan kerap bertukar mainan dalam masa yang singkat.

Kanak-kanak perlukan tempoh masa bermain yang lama untuk mencapai kreativiti, innovasi dan imaginasi tersendiri dalam proses bermain dengan sesuatu jenis mainan.

Mainan juga sudah dijadikan "umpan" apabila anak "buat perangai". Tidak kurang anak yang meminta-minta dibelikan mainan saban hari dan ibu bapa mengikut sahaja kehendak anak dengan alasan murah dan tidak tahan dengan rengekan dan amukan anak. Ada sahaja mainan baru dan biasanya anak akan bermain sehari dua dan kemudian tidak berminat lagi dan meminta dibelikan mainan baru.

Gaya hidup sekarang dalam dunia "consumerism" dan kuasa membeli perlu dikawal supaya anak tidak terlalu bergantung kepada material.

Rujuk kepada artikel Mak Long bertajuk "Dedahkan Anak Pada Yang Natural dan Alami Supaya Tidak Bersifat Kebendaan" https://rentis.blogspot.com/2019/07/dedahkan-anak-pada-yang-natural-dan.html?m=1

Semoga kita terus berusaha mendidik anak untuk lebih menghargai dan berhemah dalam kehidupan bermula dengan kesedaran dan amalan kita sebagai contoh kepada anak-anak.

"Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."- Surah Al-Furqan, ayat 67

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."

Allahu "Alam.

🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Ikuti catatan Mak Long di Channel Telegram klik t.me/RentisMakLong

Saturday, July 13, 2019

MY STYLE-LAZY PARENTING



Mak Long agak tak setuju kata2 begini..kadang2 inilah antara punca anak tak tahu REALITI dan tak tahu menghargai...
Cara Mak Long jenis " lazy parenting"..
Bila penat Mak Long rehat
Bila takde duit maklum, cakap dan tak bagi walau ada kalau tak perlu
Bila ngantuk tidur dulu
Bila sakit rawat diri , bila lemah memang buat cara lemah
Bila ditipu, belajar dan jgn biar diri ditipu lagi
Bila terluka, Mak Long tunjuk emosi terluka tu, ambik masa rawat emosi dan tegas dgn anak. Bagi tahu anak yang Mak Long tak patut diperlakukan begitu
Jika tidak dihargai Mak Long hargai diri dan minta jugak hak sebagai mak drpd anak-anak..
Hehe..jgn buat susah..nyatakan jgn pendam dan konon nak berkorban akhirnya diri terkorban..
Allahu 'Alam
#SenangkanHatiMu

Monday, March 4, 2019

ANAK "BUAT PERANGAI" TANDA IBU BAPA PERLU LEBIH BERPERANAN

Orang kata: Biasalah budak-budak sekarang tak macam budak-budak dulu. Payah nak dengar kata dan mudah "buat perangai".

Mak Long kata: Anak "buat perangai" itu FITRAH. Ia menunjukkan ada  keperluan atau HAK anak yang terabai atau tidak dipenuhi. Ia juga menunjukkan anak perlukan bimbingan dan tunjukan ajar.

Ibu ayah perlu peka pada perubahan tingkah laku anak. Jika tingkah laku bermasalah, muhasabah dan berbincang bersama pasangan cara bagaimana menangani masalah dengan MATANG dan HIKMAH.

Menafikan, membiarkan, mengelak dan saling menyalahkan tidak menyelesaikan masalah malah lama kelamaan akan lebih memburukan keadaan.

Tunaikan hak anak. Itu AMANAH! Anak juga UJIAN untuk ibu bapa. Apa yang berlaku adalah untuk kita selalu melihat ke dalam diri, mengaku kekurangan diri, mencari ilmu dan kemahiran serta melakukan perubahan untuk menjadi lebih baik.

Sumber HIKMAH dan BAHAGIA itu ada dalam diri dan dalam RUMAH kita.

"Melentur buluh biar dari rebungnya."

Allahu 'Alam.

Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
Perkasakan Instituisi Keluarga
Kembalikan Peranan Ibu Bapa

Thursday, February 21, 2019

KATAKAN "JANGAN" BILA PERLU

Orang kata: Elakkan daripada berkata "JANGAN" pada kanak-kanak kerana ianya akan menyekat perkembangan mereka.

Mak Long kata: Ada ketikanya kita PERLU berkata "JANGAN" pada anak-anak bagi tujuan mendidik, menegur dan menetapkan had dan peraturan.

1. Menerapkan akhlak dan adab.

Ya, anak-anak kecil membentuk sahsiah dari kebiasaan. Contoh: katakan "jangan" pada anak yang suka menyampuk orang tua sedang bercakap. Kemudian jelaskan mengapa perbuatan itu ditegah dan ajarkan cara yang betul.

2. Apabila anak tidak mengikut syariat Islam.

Contoh: Anak yang sudah baligh tidak menutup aurat dengan betul. Peringatkan anak tentang syariat atau peraturan menutup aurat dalam Islam.

3. Apabila anak membahayakan diri sendiri dan orang lain
.
Anak kecil belum boleh menilai banyak perkara. Jadi berkata  "jangan" dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.

Contoh: Anak 2 tahun yang menolak kanak-kanak lain. Katakan "jangan" dengan nada tegas dan beritahu bahawa perbuatan itu salah dan ianya membahayakan orang lain.

4. Apabila anak merosakkan barang, harta benda dan alam.

Anak perlu dididik untuk menjaga barang dan memulihara alam sejak kecil.

Contoh: Kalau anak memetik dan merosakkan pokok bunga. Katakan "jangan" dan didik anak supaya menghargai kecantikan dan memulihara alam.

5. Apabila anak makan dan minum yang memudharatkan.

Katakan "jangan" apabila anak makan dan minum berlebihan atau yang tidak baik untuk kesihatan seperti jajan dan minuman yang banyak kandungan gula.

Berkata jangan membantu kanak-kanak membezakan yang baik dan buruk serta belajar mengenai had dan peraturan.Selebihnya biasakan mengatakan "boleh tetapi" pada keadaan lain supaya anak tidak rasa tertekan dengan kehendak ibu bapa.

Contohnya kalau anak nak main luar tetapi demam katakan "boleh tetapi biar baik demam dulu"
Memberi arahan kepada anak perlulah jelas dan lebih berkesan dengan menggunakan arahan-arahan positif seperti "jalan elok-elok" atau "hati-hati" berbanding "jangan berlari"sahaja.  Kalau anak berdiri dan kita mahukan mereka duduk. Katakan "sila duduk" dan elakkan berkata 'jangan berdiri'.

Memang agak sukar untuk bertukar daripada kebiasaan kita. InsyaAllah, dengan ilmu dan keinginan untuk berubah, perkara baik akan dapat kita jadikan kebiasaan kita dalam mendidik anak-anak.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya"

Allahu A'lam.

Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Tuesday, January 29, 2019

AJARI ADAB DARI KECIL

Orang kata: Ala budak-budak memang gitu. Biar jelah. Besar nanti retilah.

Mak Long kata: Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ajari adab dari usia awal melalui kebiasaan dalam kehidupan yang sesuai dengan agama dan budaya kita.

Sekarang budak-budak dikatakan semakin "pandai".  Sebaiknya ianya seiring dengan semakin beradab bukan sebaliknya.

Contoh: Dulu budak-budak berjalan depan orang tua tundukkan diri sikit tanda hormat. Sekarang budak-budak bukan saja berjalan tak tunduk malah berlari depan orang tua pun ada.

Anak-anak membentuk adab dari didikan dan kebiasaan. Mereka juga perlukan bimbingan dan teguran yang membina. Ibu ayah, guru dan orang dewasa dalam masyarakat perlu mengembeling usaha dan tenaga untuk sama-sama berperanan dalam penbentukan adab generasi kita.

Masa untuk berubah. Masa untuk kembalikan yang awal dan yang penting.  Masa untuk bertindak!.
Adab sopan anak kita cerminan didikan yang mereka terima.

Anak kita. Generasi kita. Pewaris kita.

” Hendaklah adab sopan anak-anak itu dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan” – (Hamka)
Sesungguhnya orang yang termasuk orang yang baik-baik ialah orang yang paling baik akhlak dan adab sopannya – (Maksud hadis)

Allahu 'Alam.
Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
#PesanMakLong

Monday, January 28, 2019

PUJI DIRI VS PUJI USAHA

Orang kata: Anak perlu dipuji selalu supaya mereka lebih yakin.

Mak Long kata: Pujian perlu kena pada tempatnya dan sekadarnya sahaja supaya anak membina keyakinan diri tetapi tidak terlalu bergantung pada pujian.

Pujian iaitu faktor luaran dari persekitaran atau faktor sosiologi. Yang lebih baik adalah dorongan yang kuat dari dalam diri anak atau faktor psikologi.

Pujian seeloknya diberi apabila anak beramal, berakhlak dan beradab kerana ianya dapat mengukuhkan dan menggalakkan perbuatan yang baik. Pada masa yang sama TEGURlah perbuatan yang tidak baik supaya anak dapat membezakan yang baik dan buruk.

Contoh: Puji USAHA dan pencapaian anak seperti "bagus adik melukis dengan cantik" bukan puji dirinya seperti "pandainya adik" kerana bimbang boleh jadi SOMBONG dan RIAK kerana merasa dirinya saja yang pandai.

Ajar dan galakkan anak untuk panjatkan kesyukuran pada Allah apabila dipuji dengan mengucapkan "Alhamdulillah".

Teringat Mak Long pada bait-bait lagu "Seroja"

"Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja ah... ah...
Puja lah ia oh saja
Sekadar saja...."

Renung-renungkan.

Allahu A'lam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Friday, January 25, 2019

ALAM DAN KANAK-KANAK


Orang kata: Bimbanglah nak bagi anak-anak main kat luar sekarang. Banyak bahaya, kotor dan nanti selalu demam.

Mak Long kata: Alam dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan. Alam memberi banyak kebaikan kepada kanak-kanak.

Alam menyediakan persekitaran yang natural dan sesuai untuk pertumbuhan, perkembangan dan kesihatan kanak-kanak. Mereka dapat bebas bermain,  meneroka, menenangkan emosi, mengurangkan stres, membina kekuatan fizikal dan mental serta meningkatkan ketahanan diri dari segi kesihatan.

Ya, pakar perubatan mengatakan bahawa kanak-kanak yang biasa bermain di alam tidak mudah demam dan cedera berbanding kanak-kanak yang hanya terkurung di dalam rumah sahaja.

Menghubungkan kanak-kanak dengan alam bukan sahaja baik untuk kesihatan kanak-kanak malah meluangkan masa bersama alam dapat meningkatkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.  Ianya juga mendedahkan kanak-kanak kepada sumber alam yang sangat banyak dan memupuk sikap menghargai dan memelihara alam persekitaran.

Walaupun banyak kebaikan menghubungkan alam dan kanak-kanak, namun ianya menjadi memakin terpisah kerana KESIBUKAN dan KETAKUTAN ibu ayah sendiri. Maka anak hanya bermain di dalam rumah sahaja. Lebih memudaratkan apabila gajet dan peralatan elektronik mengambilalih keseronokan dan kebebasan meneroka di luar.

Abdullah Nashih Ulwan dalam bukunya "Pedoman Pendidikan Anak-anak dalam Islam" mengatakan bahawa interaksi alam penting untuk menyemai iman dalam diri anak. Sila rujuk artikel saya yang berkaitan http://rentis.blogspot.com/2007/08/semai-iman-anak-melalui-interaksi.html?m=1

"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"-Imam Al-Ghazali.

"Time in nature is not leisure time; it's an essential investment in our children's health (and also, by the way, in our own)."- Richard Louv, Last Child in the Woods: Saving Our Children from Nature-Deficit Disorder

Allahu 'Alam.
Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu



Friday, January 18, 2019

Tegur Sebelum Jadi Kebiasaan

Orang kata: Ala budak-budak, biasalah, kadang-kadang bergurau  kasar.

Mak Long kata: TEGURlah anak-anak kita, tak kiralah anak siapa pun. Jangan ambil mudah. Ikut suka hati  nak bergurau tak kena tempat dan tak kena bahasa. Saja je nak sentapkan orang. Bergurau pun ada adabnya.

Sebagai orang dewasa kita bertanggungjawab untuk menegur bila nampak anak-anak kurang berADAB. Nanti boleh jadi kebiasaan hingga ke besar. Dengan orang tua atau guru pun boleh bergurau ikut suka hati.

Yang biasa boleh jadi kebiasaan.
TEGUR sebelum jadi kebiasaan.
Betulkan yang biasa. Biasakan yang betul.

Akhlak dan adab generasi kita mencerminkan cara didikan yang mereka terima. Renung-renungkan!

Wednesday, January 16, 2019

MAIN SENDIRI ITU PENTING

Orang kata: Ibu bapa perlu kreatif memikir dan menyediakan aktiviti untuk anak-anak dari awal usia.

Mak Long kata: Sesuatu yang NATURAL sudah menjadi semakin RUMIT.

Bukan maksud saya ibu bapa tidak boleh memikirkan dan menyediakan aktiviti untuk anak tetapi kadang-kadang terlampau sangat melayan sampai anak hilang daya usaha sendiri atau "grit" dalam banyak perkara.

Anak-anak fitrahnya pandai bermain sendiri dan pandai cari kawan untuk bermain. Mereka perlu main apa yang mereka mahu bukan apa yang ibu bapa mahu mereka main sahaja.(unstructured vs structured play).

Aktiviti yang dirancang untuk kanak-kanak adalah "structured play".  Biasanya ia dipandu mengikut arahan orang dewasa supaya kanak-kanak memperolehi sesuatu skil. Aktiviti lebih cenderung kepada perkembangan fizikal dan kognitif atau pemikiran.

"Unstructured play" pula bermaksud permainan yang terbit dari kemahuan (self-directed play) atau permainan kreatif yang memberi peluang pembelajaran yang sangat luas kepada kanak-kanak. Ia memberi pengalaman dari segi kreativiti, imaginasi, membuat keputusan, memahami emosi dan skil bersosial.

Kanak-kanak memiliki potensi besar untuk mempelajari sesuatu dengan baiknya apabila aktiviti yang dibuat itu adalah terbitan dari keinginan mereka sendiri.  Akal mereka berada dalam KESEDIAAN menerima maklumat atau pembelajaran.

Menurut Penyelidik Tossani, kanak-kanak boleh fokus lebih lama apabila mereka menentukan apa yang ingin dipelajari (3E-Explore, Experience and Experiment). Motivasi diri mereka juga lebih tinggi kerana mereka memilih apa yang mereka minat.

Naluri semulajadi mendorong kanak-kanak bermain permainan yang menyokong perkembangan mereka. Oleh itu ibu bapa perlu menyediakan persekitaran yang kondusif dan bertindak sebagai pemudah cara bagi menyokong kebolehan dan potensi mereka.

Selebihnya anak suka bersama ibu bapa dalam rutin kehidupan setiap hari seperti memasak, mengemas dan berkebun. Dalam rutin ada PROSES yang sarat dengan pengajaran dan pembelajaran seperti mengikut arahan, tolong menolong dan mengambil giliran. Ibu bapa perlu berhubung, berinteraksi, berkomunikasi dan menyantuni anak dengan amalan yang bersesuaian dengan perkembangan anak (ABP) dalam proses kehidupan seharian.

Zaman berubah tetapi FITRAH manusia tetap sama. PERKASAkan institusi keluarga dan raikan fitrah anak. Rumah dan kejiranan tempat anak membesar. Kembalikan zaman kanak-kanak kepada anak-anak kita. Itu HAK mereka.

" Anak yang tidak dibenarkan bermain itu akan mati jiwanya"- Imam Al-Ghazali.

"Children are biologically designed to educate themselves through play and exploration. We don't need to educate them, we need to provide the conditions to allow them to educate themselves"-Peter Gray, author of "free to learn"

Wallahu'alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Thursday, January 10, 2019

Layan VS Tegas

Orang kata: Layanlah karenah anak kerana anak perlukan perhatian.

Mak Long kata: Layanan perlu bertempat juga. Anda perlu bertegas untuk tidak melayan amukan dan karenah anak yang tak perlu. Jika tidak ia akan menjadi MASALAH tingkah laku.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Sunday, December 17, 2017

Pemakanan Sihat

Orang kata: Tak payah buang masa dan membazir masak sayur sebab anak tak suka makan sayur.

Saya kata: Sebagai ibu bapa kita perlu peka kepada keperluan pemakanan sihat anak-anak pada setiap peringkat umur.

Pemakanan seimbang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan menyeluruh anak. Ibu bapa perlu kreatif dan konsisten menggalakkan anak memakan makanan yang sihat dan seimbang mengikut keperluan tubuh.

Makanan berkhasiat bermula dengan pemilihan bahan, penyediaan dan proses memasak yang bersih dan betul.

Pilih dan sediakan makanan yang halal dan baik untuk anak-anak dan seisi keluarga.

Surah Al-Baqara, Ayat 168:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Doa dan memasak dengan penuh kasih sayang juga menambah keberkatan rezeki insyaaAllah.

http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-32-himpunan-doa-untuk-anak.html

Wallahu'alam.

🌱Mak Long Rosnah Ahmad
#AwakenTheFamily
#SentuhanBapaBelaianIbu

Wednesday, December 6, 2017

Santuni Tingkah Laku Anak

Orang kata : Biarlah  budak-budak

Saya kata:  Peringkat " budak-budak" lah masa yang paling berkesan untuk  mendidik. Tingkah laku anak kecil sebenarnya masih fitrah dan perlu disantuni secara SEDAR ketika ia berlaku.

Contoh: Anak yang bergaduh adalah fitrah kerana mereka perlu dididik bagaimana menangani konflik dan berdamai. Bukan dibiarkan atau dimarahi untuk menghentikan pergaduhan sahaja.

Tingkah laku anak pada setiap tahap adalah fitrah tetapi ia akan menjadi masalah tingkah laku jika tidak disantuni dengan bijak.

Ibu bapa adalah pemimpin dan contoh kepada anak. Ibu bapa yang cemerlang peka pada tahap perkembangan anak dan respon dengan ilmu dan kemahiran serta sentiasa refleksi diri dan memperbaiki amal.

Wallahu'alam.
#SentuhanBapaBelaianIbu

Surah Al-Ankaboot, Verse 69:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.
(Melayu)

via iQuran

Monday, September 4, 2017

Diam dan Ego

Orang kata: Diam itu baik.
Saya kata: Ada kala diam itu adalah cara seseorang mengelak atau membela diri kerana takut dikritik, takut salah atau takut konflik. Ianya juga ego kerana "play safe" dan ingin dilihat baik oleh orang lain...

Wallahu'alam.

Rosnah Ahmad
#OrangKataSayaKata

Saturday, May 13, 2017

Pentingnya Ilmu Keibubapaan Awal Usia

Adakah anda setuju?

Ibu bapa hari ini kurang nampak kepentingan mengali  ilmu keibubapaan awal usia...biasa mereka lebih berminat ilmu keibubapaan apabila anak nak mengambil peperiksaan upsr..pmr..spm..ie mereka mahukan tip2 anak mendapat keputusan cemerlang atau dengan lain kata memfokuskan pada hasil .

Ibu bapa tak sedar ilmu keibubapaan bermula dari awal usia adalah penting kerana proses perkembangan bermula dari awal menentukan progres diperingkat seterusnya.

Wallahu'alam

Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu

Friday, May 12, 2017

Bertindak Dalam Sedar

Orang kata: Kita perlu peka dan segera mengawal tingkahlaku anak.

Saya kata: Apa sahaja yang berlaku seharusnya membawa kita kepada kesedaran diri yang lebih mendalam dan kita harus selalu bertindak dalam keadaan sedar.

Bagaimana kita berhubung dengan anak dalam setiap perkara adalah sangat penting. Adakah kita berusaha memahami dan menyantuni anak itu dengan KESEDARAN atau kita terus bertindak tanpa sedar yang akhirnya bukan sahaja tidak membantu anak itu malah menjejaskan hubungan kita dengan anak.

Contoh: Anak menyepahkan rumah, kita mungkin memarahi anak secara spontan. Tindakan kita itu mungkin kerana waktu  kecil dahulu kita juga pernah dimarahi  dalam situasi yang sama. Tingkahlaku anak tadi hanya satu "trigger" kepada sesuatu dalam diri kita yang belum selesai (unfinished business).

Selalu ingat bahawa kita sedang mendidik dan membimbing anak. Menjadi ibu bapa bukan satu lesen untuk memperlakukan anak sesuka hati kita. Anak juga ada minat dan keunikan tersendiri. Kita tidak boleh mengongkong dan menjadikan anak seperti kehendak kita

Sebagai ibu bapa kita juga harus sedar bahawa kita sedang membina hubungan yang sihat dengan anak dalam proses membesarkan mereka. Hubungan yang utuh antara ibu bapa dan anak menjamin kesejahteraan anak dan keluarga.

Wallahu'alam.

Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu
#MasaUntukSedar

Tuesday, March 28, 2017

Penglibatan Ibu Bapa Meningkatkan Potensi Anak

Orang kata:  Anak mesti dihantar ke TASKA dan TADIKA yang berkualiti bagi menjamin kejayaan mereka di kemudian hari.

Saya kata: Itu sahaja tidak memadai dan bukan penentu kejayaan. Rumah sekolah pertama dan ibu bapa guru utama. Pendidikan bermula di rumah dan penglibatan ibu bapa di TASKA & TADIKA sangat penting untuk meningkatkan potensi dan perkembangan anak.

Maka institusi keluarga perlu diperkasakan dan peranan ibu bapa dalam pengasuhan dan pendidikan perlu dikembalikan disamping adanya sistem sokongan yang berkualiti.

Wallahu'Alam.

Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu.

Saturday, March 11, 2017

Jaga Adab dan Akhlaq

Orang kita: Anak generasi sekarang lain. Aktif dan kreatif. Mereka tak macam kita dulu.

Saya kata: Fitrah manusia tetap sama walau zaman berbeza. Akhlaq dan adab perlu dijaga walau generasi apapun yang kita didik. Tegurlah anak dan ajarlah adab dan akhlaq seperti adab berjalan depan orang tua, adab dalam masjid dan akhlaq ketika tetamu datang ke rumah.

Wallahu'alam.

Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu

Tuesday, March 7, 2017

Makanan untuk pertumbuhan dan perkembangan

Orang kata: Biarlah anak pilih sendiri makanan yang dia suka asalkan dia nak makan.

Saya kata: Anak kecil belum tahu khasiat makanan. Kita sebagai ibu bapa perlu masak makanan dan galakkan anak makan makanan berkhasiat sesuai dengan usia kerana ia sangat penting untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka.

Wallahu 'alam.

Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu

Saturday, March 4, 2017

Tegas itu perlu

Orang kata: Kalau tegas dengan anak nanti mereka tertekan

Saya kata: Ketegasan perlu dalam mendidik anak supaya mereka rasa selamat dan hormat terhadap ibu bapa.

Tanpa ketegasan anak sukar membezakan yang benar dan salah. Mereka juga kadang-kadang keliru.

Wallahu 'alam.

Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu

Tuesday, February 28, 2017

Matlamat prasekolah

Matlamat pendidikan prasekolah bukan hanya untuk membaca, menulis dan mengira sahaja.
Jika itu sahaja matlamatnya
maka lahirlah anak yang biasa-biasa sahaja.

Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu