Isu berkaitan masalah kesihatan mental yang semakin meningkat hari ini perlu dipertingkatkan kesedarannya di semua pihak termasuk ibu bapa, guru, orang dewasa dalam komuniti dan masyarakat serta pihak berwajib.
Banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan isu masalah kesihatan mental ini termasuklah masalah keluarga, buli, gejala sosial dan stres yang tidak diurus dengan baik.
Antara perkara yang penting untuk kita peka dan ambil peduli berkaitan kesihatan mental anak adalah:-
1. Peka pada perubahan tingkahlaku dan emosi anak. Ambil peduli--dekati, dengari dan selami masalah anak untuk membantu mereka mengenalpasti punca masalah dan menangani masalah.
Sewajarnya ibu bapa perlu membina hubungan yang baik dengan anak supaya mereka mudah mendekati ibu atau bapa untuk berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Pada masa yang sama ibu bapa juga mudah mendekati anak apabila nampak ada perubahan tingkahlaku atau masalah.
2. Bertanya perasaan dan keadaan emosi anak dari masa ke semasa. Galak anak berkongsi dan meluahkan perasaan tanpa menghukum atau melabel. Banyak faktor yang berubah dalam kehidupan yang boleh menyebabkan perubahan emosi. Anak perlukan sokongan dari segala segi termasuk sokongan emosi.
3. Persekitaran rumah perlu kondusif supaya anak merasa aman dan selamat di rumah. Jika tidak mungkin mereka mudah terpegaruh dengan pergaulan yang tidak sihat dan terjebak dengan gejala sosial yang boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau menjadi penyebab kepada masalah kesihatan mental seperti menjadi pembuli.
4. Ibu bapa perlu ada kemahiran asas menolong, asas mendengar dan komunikasi berkesan. Ya, ianya adalah skil yang boleh dipelajari. Sekarang ada banyak bengkel-bengkel jangka pendek yang boleh diikuti dan banyak sumber ilmu yang boleh digali.
Ibu bapa boleh merujuk kepada orang yang lebih mahir seperti guru kaunseling, "coach" atau kaunselor jika perlu.
5. Terima masalah dan konflik yang berlaku dalam keluarga sebagai peluang untuk berubah ke arah yang lebih baik dan menangani proses penyelesaian masalah dengan hikmah.
Rujuk kepada pakar jika perlu.Bertindak lebih awal adalah lebih baik.
Stigma masyarakat yang mengaitkan berjumpa kaunselor dengan masalah mental yang kronik harus dihentikan. Berjumpa kaunselor lebih berkesan jika dilakukan pada peringkat awal masalah dikenalpasti.
6. Semua pihak iaitu ibu bapa, guru, ahli keluarga dan masyarakat harus prihatin dan saling sokong menyokong dalam proses menolong. Jauhi dari sikap melabel dan salah menyalahkan.
Semoga kita menjadi ibu bapa, guru dan orang dewasa yang prihatin terhadap kesihatan mental anak.
Dikongsikan artikel Mak Long berkaitan komunikasi berkesan. Moga bermanfaat.
http://rentis.blogspot.com/2018/11/komunikasi-berkesan-membantu-anak.html?m=1
http://rentis.blogspot.com/2018/11/bimbing-anak-berfikir-dalam-menangani_28.html?m=1
Dekati dan sayangilah anak-anak kita.
Allahu 'Alam.
🌾Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
No comments:
Post a Comment