Showing posts with label TIP KEIBUBAPAAN. Show all posts
Showing posts with label TIP KEIBUBAPAAN. Show all posts

Wednesday, March 25, 2015

Santuni Anak Dengan Kelembutan dan Ketenangan

Kanak-kanak fitrahnya lembut dan perlu disantuni dengan kelembutan.

Apabila bercakap dengan kanak-kanak lunakkanlah suara supaya kanak-kanak berasa selamat, mudah menerima dan disayangi.

Guru-guru  TASKA & TADIKA juga seharusnya bercakap dengan nada yang lembut walaupun memberi arahan kepada kanak-kanak dalam kumpulan.

Ketenangan juga penting dalam menyantuni anak-anak.

Jika ada perkataan yang boleh saya halang digunapakai apabila bersama anak adalah CEPAT dan SALAH.

Penggunaan perkataan "cepat" seringkali menghilangkan ketenangan dan menyebabkan stres kepada anak. Fahamilah fitrah anak yang sedang belajar melalui bermain.  Mereka memerlukan masa dan perhatian serta kasih sayang.

Perkataan "salah" pula boleh merendahkan kendiri kanak-kanak yang fitrahnya belajar daripada kesilapan.

Beri peluang dan ruang untuk kanak-kanak meneroka, mengalami dan mengeksperimen. Beri juga tumpuan lebih kepada proses pengajaran dan pembelajaran bukan hanya kepada hasil.

Amalkan juga ketegasan dalam kelembutan.

Proses yang tenang dan lembut In Shaa Allah membawa kepada progres yang berterusan dalam mencapai hala tuju melahirkan khalifah di muka bumi ini.

Ibu bapa dan guru yang tenang dan lembut melahirkan anak-anak yang tenang dan lembut.

Sekian. Wallahua'lam


Monday, February 2, 2015

PERSEKITARAN HARMONI MEMBENTUK FITRAH SI KECIL

PERSEKITARAN HARMONI MEMBENTUK FITRAH SI KECIL
Rosnah Ahmad
rentis.blogspot.com

Salam kedamaian,

Adakah persekitaran dalam dan luar TASKA & TADIKA sekarang terlalu meriah dengan warna?

Ya..itu jawapan saya dan saya berpendapat ia agak kurang kondusif dan mengganggu fokus kanak-kanak.

Pemilihan warna perabot dan peralatan juga terlalu meriah. Warna-warna lembut dan natural bagi saya lebih harmoni.

Hiasan yg terlalu banyak juga tidak perlu. Memadai dengan sudut-sudut pembelajaran yang dihias dengan hasil kerja kanak-kanak. Bukan sudut-sudut yang diwarnai dan dihias dengan hasil kerja guru.

Kombinasi elemen alam di persekitaran adalah lebih harmoni dan memberi warna-warna yang natural. Ia mendamaikan jiwa si kecil.

Warna-warna yang terlalu meriah juga sudah menjadi trend di persekitaran luar TASKA & TADIKA. Persekiran luar yang harmoni  dengan pepohon dan bebunga lebih sesuai dengan fitrah si kecil.

Kanak-kanak fitrahnya suci. Mereka sukakan kelembutan dan kedamaian. Pemilihan warna bagi persekitaran dalam dan luar TASKA & TADIKA sangat penting bagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran serta membentuk jiwa halus si kecil.

Disertakan puisi bertajuk " mana dia" oleh saya  dan artikel " rethinking the colorful kindergarten" oleh Jan Hoffman. Moga bermanfaat.

MANA DIA http://rentis.blogspot.com/2014/11/mana-dia.html

http://mobile.nytimes.com/blogs/well/2014/06/09/rethinking-the-colorful-kindergarten-classroom/

Dekati dan sayangi anak-anak kita.

Wallahu'alam

Sunday, January 11, 2015

Santuni Anak Sesuai Dengan Usia

Santuni Anak Sesuai Dengan Usia
Rosnah Ahmad

Hari ini saya menghantar anak bongsu saya ke asrama untuk pendaftaran tingkatan satu. Dua lagi anak saya sedang mengikuti pengajian di peringkat tinggi.

Ya. Begitu cepat masa berlalu. Rasa seperti baru saja saya dan suami menghadapi karenah anak-anak semasa kecil.

Kecil lawannya besar
Ada lawannya tiada
Hidup lawannya mati.

Itulah hakikat kehidupan. Sentiasa berubah. Tiada yang kekal.

Anak-anak juga berubah dalam fasa-fasa yang berbeza mengikut umur mereka. Fitrah ibu bapa yang menyayangi anak harus disuburkan dengan ilmu dan kemahiran keibubapaan yang sesuai dengan tahap umur dan zaman.

Sebagai ibu bapa kita sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik untuk anak-anak. Namun sebagai manusia kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Kita juga  menghadapi ujian dalam mendidik anak-anak.

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar. (Surah Al-Anfaal ayat 28)

Apapun sikap sentiasa membuat refleksi diri dan mengambil masalah sebagai maklum balas untuk terus memperbaiki diri sudah tentu membawa kepada kemajuan diri dan anak-anak.

Hargailah masa-masa bersama di setiap fasa perkembangan anak. Setiap fasa ada keindahannya tersendiri. Detik yang berlalu pasti menjadi kenangan. Semoga banyak sekali kenangan indah bersama yang tercipta. Ini membantu anak menghadapi masa hadapan dengan lebih yakin.

Berdoalah selalu untuk kesejahteraan diri dan anak-anak. Doa itu senjata orang beriman.

Ya Allah
Ya Rahman Ya Rahim
Yang menguasai hari pembalasan
Tetapkan hati kami pada jalan kebenaran
Golongkan kami dalam golongan orang yang bertaqwa
Jauhilah kami dan keluarga kami
Dari azab api neraka...

Dikongsikan artikel saya  yang berkaitan. Moga bermanfaat.

http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-32-himpunan-doa-untuk-anak.html?m=1

http://rentis.blogspot.com/2014/11/amanah.html?m=1

Friday, January 9, 2015

Mengurus Rasa Bersalah

Mengurus Rasa Bersalah
Rosnah Ahmad

Sebagai wanita kita sentiasa mahukan yang terbaik untuk diri. Pada masa yang sama kita juga mahukan yang terbaik untuk keluarga.

Dalam memenuhi impian dan tanggungjawab kadang-kadang kita hilang kesimbangan.

Sebagai wanita adalah natural untuk melihat ke dalam diri dan seringkali dihimpit rasa bersalah terhadap suami dan anak-anak. Kita merasa belum cukup baik sebagai isteri dan ibu.

Melihat ke dalam adalah sesuatu yang baik. Rasa bersalah menandakan ada sesuatu yang tidak selari dengan fitrah diri.

Namun perasaan ini harus ditangani dengan bijak supaya diri tidak terus dibelenggu rasa bersalah dan cuba memuaskan hati semua orang di sekeliling kita. Kita boleh jadi terlalu penat dan hilang kawalan emosi. Wanita perlu bijak mengurus emosi dan keluarga.

Peranan dan fungsi setiap ahli keluarga perlu difahami oleh setiap ahli keluarga. Setiap ahli keluarga juga perlu berfungsi mengikut fungsi masing-masing.

Elakkan diri dari terlalu berfungsi hingga ahli keluarga yang lain kurang berfungsi.

Saya mengamalkan konsep pemimpin yang baik melahirkan pemimpin yang lebih baik. Sebagai contoh jika kita pandai mengemas rumah, anak-anak sepatutnya menjadi orang yang lebih pandai mengemas rumah dengan bimbingan kita. Bukan hanya kita yang melakukan kerja-kerja mengemas rumah hingga anak-anak tidak mendapat kemahiran tersebut.

Jadilah isteri juga ibu yang bahagia dan tenang supaya kita dapt menyantuni suami dan anak-anak dengan lebih hikmah.

Suara ibu yang lunak
Dari hati ibu yang tenang dan bahagia
Melunakkan jiwa anak
Yang fitrahnya suci...

Dikongsikan 2 artikel saya yg berkaitan topik ini. Moga bermanfaat. Waallahu'alam.

http://rentis.blogspot.com/search?q=rasa+bersalah&m=1

http://rentis.blogspot.com/2010/04/tip-keibupaan-45-jadilah-ibu-bapa-yang.html?m=1

Tip memilih TASKA/TADIKA/Pusat Jagaan

Ibu bapa yang sedang memilih taska/tadika/pusat  jagaan untuk anak-anak diharap dapat membuat pemilihan dengan bijak.
Elakkan daripada hanya melihat kepada faktor keceriaan sahaja. Keadaan persekitaran yang harmoni dan tidak terlalu meriah memadai dan sangat sesuai dengan fitrah kanak-kanak.
Yang lebih penting untuk ditanya semasa pemilihan adalah aspek perkembangan dan pengasuhan kanak-kanak serta perancangan tahunan. Kemahiran pengusaha, penyelia dan pendidik juga sangat penting demi kesejahteraan si kecil.
Pilihlah program yang berpusatkan kanak-kanak.
Dikongsikan artikel saya berkaitan TASKA/TADIKA/Pusat Jagaan Kanak-kanak. Moga bermanfaat.
TIP 6: TASKA/TADIKA/PUSAT JAGAAN DAN KELAS FARDHU AIN http://rentis.blogspot.com/2007/04/tip-6-taskatadikapusat-jagaan-dan-kelas.html
Wallahua'lam.

Mari Bercerita Sayang

Mari Bercerita Sayang
Rosnah Ahmad

Musim tengkujuh yang dingin membawa saya mengimbau kenangan yang bahagia sekali.

Musim tengkujuh mengingatkan saya kepada cerita arwah mak menghiburkan kami adik beradik. Kenangan indah yang sungguh menghangatkan.

Cerita dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan. Bercerita memberi banyak kebaikan kepada anak-anak dan ibu bapa. Sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti dengan macam-macam gajet yang ada sekarang.

Dekatilah anak-anak kita dengan bercerita. Insya-Allah ia akan juga menjadi kenangan terindah buat anda dan anak seperti segarnya kenangan saya bersama arwah mak yang sudah pergi 28 tahun yang lalu.

Dalam kedinginan tengkujuh
Kasihmu tetap menghangatkan
Sehangat cerita-ceritamu
Kenangan terindah
Masih segar tetap utuh
Abadi dalam jiwaku
Tenanglah kau di sana
Doaku untuk mu ibu...

Ya Allah cucuci rahmat ke atas roh ibuku. Kasihinya sebagaimana ia mengasihi sewaktu aku kecil.

Dikongsikan artikel saya bertajuk " Cerita Membentuk Peribadi Anak".  Artikel ini saya tulis ketika anak-anak saya masih kecil. Sering saja saya merindui detik-detik indah itu.

Moga bermanfaat. Wallahu'alam.

http://rentis.blogspot.com/search?q=bercerita&m=1

Saturday, December 20, 2014

Dekati Anak Secara Kualiti dan Kreatif

Dekati Anak Secara Kualiti dan Kreatif
Rosnah Ahmad

Seperti biasa hujung tahun merupakan waktu yg sibuk untuk saya dalam kerjaya kejurulatihan. Apa pun tugas hakiki sebagai ibu tidak boleh diambil mudah.

Cuti sekolah adalah masa untuk mendekati anak-anak secara dan kualiti dan kreatif.

Hujung minggu ini saya mengambil peluang mendekati anak saya Izzuddin (12) dan kawan-kawan rapatnya (5 orang).

Saya menyewa Alamanda Homestay di Bkt Rangin untuk sedikit kelainan. Juga supaya saya boleh lebih fokus bersama anak dan rakannya

Seminggu sebelum, saya menggalakkan Izzuddin membuat jemputan dan perancangan aktiviti sepanjang 3 hari 2 malam. Ini menjadikan anak fokus dan teruja. Ia juga menggalakkan anak membuat perancangan sebelum dan semasa termasuk persediaan peralatan.

Perancangan aktiviti:

Jumaat 19 Dis 2014 :

5.00 petang -berkumpul di rumah kami
6.00 petang- tiba di Alamanda Homestay
8.30 mlm- Barbeque

Sabtu 20 Dis 2014:

Pagi: aktiviti memasak, sarapan dan aktiviti bebas 

12.00 tengah hari- keluar bandar, solat zohor di Megamall, makan dan bowling.

Petang-Solat, rehat dan aktiviti indoor ( congkak dan carrum)


Malam-Solat dan makan mlm sambil tengok bola ( final Suzuki Cup- Malaysia vs Thailand)

Ahad 21 Dis 2014:

Sarapan, santai, aktiviti bebas, mengemas sebelum pulang.

11.00 pagi- tazkirah dan refleksi

12.00 tengah hari-balik

Izzuddin dan kawan-kawan gembira sekali ( cuma sedih Malaysia kalah dengan Thailand). Persahabatan mereka juga semakin erat. Tentu sekali ia menjadi kenangan indah dalam hidup mereka.

Bagi saya tiada yang lebih menggembirakan daripada melihat anak-anak gembira.

I have lots of fun too. Boys are cool. They just know how to have fun.

Bagi anak-anak masa bersama sangat berharga. Dalam kesibukan kita seharian cubalah meluangkan masa secara kualiti dan kreatif bersama mereka.

Masa itu emas
Masa itu kualiti
Masa itu bukti
Kasih dan sayang...

Terima kasih kepada Alamanda Homestay kerana kemudahan yang selesa.

Sayangi dan dekati anak-anak kita.

Wallahua'lam.

Monday, November 10, 2014

MEWARNA ATAU MELUKIS

Galakkan anak-anak melukis sendiri. Elakkan dari hanya mewarna lukisan yg sudah dicetak. Setiap anak adalah unik dan mampu melukis dengan kreatif jika dipupuk dari awal usia.

Melukis memberi banyak kebaikan seperti meningkatan kemahiran jari dan koordinasi mata tangan, ekspresi diri, membina keyakinan serta meningkatkan kreativiti. Proses melukis juga membantu anak menulis dgn baik.

Setiap lukisan yang dihasilkan seorang anak ada makna dan kreativiti tersendiri yang harus dihargai.

Wallahu'alam

http://learningdisabilities.about.com/od/developmentalstages/a/Forget-Coloring-Books-Blank-Paper-Can-Be-Better-For-Your-Childs-Brain.htm

http://rentis.blogspot.com/2007/05/memupuk-minat-anak-menulis-secara.html?m=1

Friday, November 7, 2014

PENGURUSAN KEWANGAN SI KECIL

Salam buat semua pembaca yang dikasihi,

Sudah lama jugak saya tidak bersua di sini. Harap semua semakin hari semakin tenang dalam melayari kehidupan sebagai seorang insan yang kamil.

PENGURUSAN KEWANGAN SI KECIL

Pengurusan Kewangan adalah skil yang perlu diterapkan kepada anak-anak kita sejak awal usia...melentur buluh biarlah dari rebung...

Saya gunakan the Jars System pada anak selepas saya menghadiri Program The Millionaire Minds  pada tahun lepas .

Bukan berapa banyak duit yang kita ada tetapi bagaimana kita menguruskannya.

Saya hanya gunakan 5 tabung untuk Izzuddin. Kanak-kanak fitrahnya suci. Alhamdulillah Izzuddin istiqamah sudah sudah hampir satu tahun.


Saya mulakan dengan mengajar Izzuddin mengagihkan mengikut peratusan yang ditetapkan. 10 peratus untuk duit sedekah, duit main, duit keperluan dan duit untuk pendidikan. 60 peratus di masukkan dalam tabung duit kumpul.

Saya mulakan dengan menggunakan duit syiling supaya anakbelajar mengagih mengikut peratus dengan mudah. Kemudian Izzuddin mengumpul wang kertas seringgit sebanyak 10 ringgit dan diagihkan setelah terkumpul.

Saya dapati Izzuddin akan mengagihkan simpanannya seminggu sekali. Bila musim raya contohnya ia agak kerap, 

Setiap kali Izzuddin hendak menyewa gelanggang badminton untuk bermain contohnya dia akan gunakan tabung main. Apabila bersedekah dari tabung duit sedekah. Saya perhatikan dia rajin bersedekah secara berkala terutama pada tabung sekolah atau bila ada kutipan derma.

Duit kumpul saya terangkan lebih kepada kegunaan jangka panjang seperti untuk pergi haji atau membeli aset.

Anak saya Nurin (19 tahun) sudah mula membeli aset untuk jangka panjang iaitu emas dan simpanan tabung haji.

Anak-anak belajar dari membuat, Jars System ini saya dapati bagus dan berkesan kepada kanak-kanak yang belajar daripada amalan berterusan dan mengunakan bahan konkrit. Kanak-kanak memang sangat suka mengira duit.

Berbual dengan anak-anak mengenai kewangan. Beri mereka kepercayaan. Bermain permainan berasaskan kewangan juga bagus.

Yang penting juga adalah anak-anak belajar dari peniruan. Kita adalah contoh yang paling dekat dengan anak-anak kita. Seharusnya kita juga memgamalkan sistem agihan bergini, berbelanja secara berhemah dan bersedekah secara konsisten.

Bagi anak yang sudah bekerja dicadangkan ada tabung khas untuk ibu bapa.

Yang mengira belum tentu berkira
Yang berbelanja belum tentu bagus
Yang tentu bagaimana mengurus...

Betulkanlah tanggapan kita berkaitan duit.  Mungkin kita kata takut kaya nanti lupa diri dan sombong.

Tanamkan dalam diri anak kita orang Islam mesti selalu memberi. Tangan yang memberi itu lebih baik dari yang menerima.

Juga jangan lupa membayar zakat dan menerangkan konsep zakat pada anak-anak kita. lebih banyak harta kita lebih banyak kita wajib berzakat.


Bukan berapa banyak duit yang kita ada
Tetapi bagaimana kita mengurusnya
Bukan banyak mana ilmu di dada
Tetapi bagaimana kita beramal dengannya
Bukan apa yang kita ada
Tetapi bagaimana kita mensyukurinya...


Itu perkongsian saya dahulu berkaitan mengajar anak memberi dengan melakukan bukan setakat menasihati.

Children learn by doing.

Di bawah adalah link kepada Jars System dengan lebih terperinci.



Selamat mencuba.

Sekian. wallahua'lam.

Rosnah Ahmad
Ibu kepada:-
Nurin Husna Abd Rahman
Muhammad Firdaus Abd Rahman
Muhammad Izzuddin Abd Rahman


Friday, July 27, 2012

KANAK-KANAK SEBAGAI SAINTIS


Anak saya Izzuddin  sibuk lagi. Kali ini membuat kek untuk berbuka puasa—buat sendiri cara sendiri ikut resipi. Leka  sungguh saintis di dapur tu. Waktu berbuka nanti apa yang terhasil itulah yang akan dijamah.
Apa pun proses adalah lebih penting dari hasilnya. Memasak adalah aktiviti sains yang sangat di gemari kanak-kanak. Proses membuat kek contohnya melibatkan pelbagai penerokaan, eksperimen dan penemuan. Ia juga memupuk  kesabaran dan tanggungjawab kanak-kanak seperti mengemas dan menjaga kebersihan.
Sebagai orang dewasa, kita boleh menolong kanak-kanak membuat refleksi proses  dan hasil.

REFLEKSI PROSES DAN HASIL

Refleksi menggalakkan kanak-kanak untuk mengakses dan menilai proses dalam aktiviti dan berfikir tentang pengalaman yang dilalui.   Penilaian kendiri ini menggalakkan kanak-kanak menentukan nilai dan gred  pencapaian mereka dalam menjalankan aktiviti. Empat persoalan yang boleh membantu kanak-kanak berfikir mengenai kerja mereka iaitu:

1)   Bagaimanakah rupa hasil kek tadi?  Bagaimana kanak-kanak menerangkan dan menceritakan hasilan tersebut?
 2)Menceritakan pengalaman menarik semasa menjalankan proses menghasilkan hasil kerja?
3) Bagaimana ia boleh ditambah baik? Apa yang boleh dilakukan untuk menyemak semula prosedur membuat dan hasil yang didapati?  Ini memerlukan pemikiran yang kreatif dan kritis.
 4) Bagaimana kita boleh berkongsi pengalaman pembelajaran dengan orang lain?  Ini penting untuk membantu kanak-kanak mengenal pasti sama ada mereka bersedia untuk menunjukkan hasil kerja kepada orang lain atau pada masa yang lain.

Pemikiran refleksi  boleh digalakkan secara tidak formal seperti orang dewasa berjalan sekeliling kanak-kanak dan bertanya soalan.  Ia juga boleh digalakkan secara lebih formal oleh kanak-kanak yang lebih dewasa iaitu menjawab soalan secara bertulis atau menanda simbol (Torff, 2000).

KANAK-KANAK SEBAGAI SAINTIS

Fitrah kanak-kanak adalah seorang saintis! Mereka juga sama, mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, suka meneroka, menyiasat, mencuba, mengeksperimen, menjumpai sesuatu yang baru. Mereka lakukan semuanya dengan menggunakan lima deria. Dunia dan alam sekitar adalah sangat menarik dan banyak yang hendak diketahuinya. Mereka belajar konsep dan proses atau  kemahiran saintifik.

Dikongsikan artikel menarik berkaitan isu ini.

The phrase “children are naturally scientists” is one we hear often. Their curiosity and need to make the world a more predictable place certainly drives them to explore and draw conclusions and theories from their experiences. But left to themselves, they are not quite natural scientists. Children need guidance and structure to turn their natural curiosity and activity into something more scientific. They need to practice science—to engage in rich scientific inquiry.

Sekian. Wallahua’lam.





Top of Form

Wednesday, July 25, 2012

KANAK-KANAK SEBAGAI JURUTERA


Kanak-kanak menunjukkan kemahiran kejuruteraan seawal mereka mula menyusun dua blok. Kanak-kanak kecil berminat untuk mengembangkan skil kejuruteraan dan mencipta  dengan membuat binaan menggunakan blok atau hanya dengan mengabungkan botol kitar semula contohnya.

Bila mereka mencecah umur 9 atau 10 tahun, kanak-kanak boleh melakukan skil yang lebih rumit . Sebagai contoh anak saya Izzuddin (10 tahun) sangat suka membuat pendawaian elektrik yang mudah dan bertukang. Dia sangat fokus dan boleh menghabiskan masa berjam-jam mencipta dan mencuba skil kejuruteraan yang menyeronokkan.

Kejuruteraan melangkau pembelajaran matematik dan sains. Ia membawa kepada kefahaman bagaimana dunia ini berfungsi—bagaimana bangunan berdiri tegak, bagaimana kereta bergerak dan bagaimana manusia mencipta dan menggunakan teknologi.

Melalui aktiviti melakukan sendiri (hands on), kanak-kanak membina keyakinan dan kebolehan untuk melakukan sendiri pelbagai kemahiran  seperti membaiki basikal, membuat kotak mainan, membina rumah kucing dan sebagainya.

Kita tidak memerlukan banyak wang untuk menyediakan peralatan yang diperlukan kanak-kanak untuk memupuk minat kejuruteraan mereka. Bahan-bahan terpakai, bahan dari alam seperti kayu, bahan pendawaian yang mudah, bateri dan mentol dari lampu suluh lama boleh saja digunakan.

Kanak-kanak adalah jurutera kecil yang sentiasa sibuk mencipta dimana sahaja terutama di rumah. Bagi saya dan suami rumah kami adalah makmal bagi memupuk kemahiran kejuruteraan anak-anak. Kami ibu bapa bertindak sebagai pemudahcara yang menyediakan persekitaran dan peralatan serta memastikan keselamatan anak-anak setiap masa.

Di kongsikan satu artikel menarik berkaitan isu ini.


Revealing the Work of Young Engineers in Early Childhood Education oleh Beth Van Meeteren & Betty Zan,
University of Northern Iowa

Sekian. Wallahua’lam.

Monday, July 23, 2012

TIP RAMADHAN: PUASA DIDIK ANAK LEBIH EMPATI


“Mak, adik lapar lah” rungut anak saya Izzuddin ( 10 tahun) setiap petang dari hari pertama puasa hingga ke hari ini.

“Kalau adik lapar, waktu berbuka puasa nanti insya-Allah tersedia hidangan enak tapi bayangkan orang miskin yang lapar tu belum tentu dapat makan hari ini. Sebab itu Allah perintahkan kita berpuasa supaya kita merasai derita orang miskin dan selalu bersedekah membantu mereka.” jawab saya dengan nada mendidik.

Izzuddin mengangguk seakan mengerti dan berhenti merungut. Sekurang-kurangnya untuk hari ini dan besok perkara yang sama mungkin berulang. Saya juga akan mengulangi jawapan-jawapan untuk mendidik. Apa pun senyuman dan ciuman mesra tetap saya berikan sebagai pengukuhan.

Kanak-kanak seawal 3 tahun sudah mula menunjukkan rasa empati dan belas kasihan kepada orang lain dengan cara memujuk contohnya. Kanak-kanak berinteraksi dan memberi makna kepada kehidupan mereka secara natural dan dengan bantuan orang yang lebih dewasa.

Apa pun puasa mendidik sahsiah dan kerohanian anak. Antara lain lapar dan dahaga mendidik anak untuk merasai kesengsaraan orang lain. Ia juga mendidik jiwa anak untuk selalu bersyukur dan bersedekah. Sebulan masa latihan jiwa anak insya-Allah dapat mengukuhkan keperibadian unggul.

Wallahua’lam.
Rosnah Ahmad
Madrasah Ramadhan
Sebuah rumah kecil di Perkampungan Cenderawasih

Friday, January 28, 2011

Tip keibubapaan 47:Ciuman masih penawar yang berkesan

Assalamualaikum kepada semua pembaca,

Moga semua sihat sejahtera sekeluarga hendaknya...

Sudah lama saya tidak bersua menulis tip-tip keibubapaan. Rindu juga menulis.

Masih ingat tip keibubapaan ciuman dan pelukan penawar di awal-awal penulisan saya di blog ini.

Tip keibubapaan 4: ciuman dan pelukan penawar

Kanak-kanak memang bijak menarik perhatian ibu bapa mereka. Kadang-kadang mereka suka mengadu sakit walaupun hanya sedikit. Anak saya Mohammad ‘Izzuddin ( 2 tahun) contohnya sering menangis mengadu sakit tangan dan jarinya. Apa yang selalu saya lakukan disamping menyapu ubat ditempat sakit adalah menunjukkan rasa simpati, meniup, mencium tempat yang diadu sakit dan memeluknya. Cara begini memang mujarab. Dia akan berhenti menangis dan rasa dihargai, diberi perhatian dan gembira.
 

Namun tip ini masih berguna.

Sekarang Izzuddin sudah masuk 9 tahun. Minggu lepas saya cuti sakit di rumah. Satu petang Izzuddin mengadu betisnya luka selepas bermain di taman. Saya memanggilnya dekat saya, minta ditunjukkan luka. 

Secara spontan saya mengangkat betisnya dan memberi ciuman pada luka yang sedikit sahaja.

Izzuddin tersenyum puas. Tiada kata-kata diungkapkan tetapi senyumannya meleret sehingga dia berlalu duduk di sofa dan meneruskan tontonan di televisyen.

"Ciuman masih penawar yang berkesan", kata hati saya....

Seronok tengok keletah anak-anak.

Wallahua'lam.

Wednesday, April 28, 2010

TIP KEIBUPAAN 46: JADILAH IBU BAPA YANG GEMBIRA

Salam,

Minda saya kembali aktif setelah mengendalikan dari program Asuh Fitrah-Memupuk Potensi Anak Ahad lepas. Alhamdulillah dengan peluang yang diberi. Mengendalikan Asuh fitrah sebenarnya muhasabah selain daripada perkongsian yang sangat bermakna bagi diri saya.

Asuh fitrah banyak mematangkan dan mengajar saya erti perjuangan . Minda saya masih terbayang muka ibu bapa muda yang hadir pada program itu. Sesuatu pada diri mereka yang mengingatkan ketika saya bergelar ibu muda.

Kalau saya boleh berkongsi sedikit, saya dapati golongan ibu bapa muda memerlukan perkongsian ikhlas pengalaman kita yang lebih berusia. Mereka memerlukan sentuhan sebenar perjalanan suka duka kita sebagai ibu atau bapa. Kita semua sama saja, mengharungi cabaran sebagai ibu bapa dengan belajar dan belajar dan belajar (learn, unlearn and relearn) . Dan kita masih membuat kesilapan dan menjadikan masalah sebagai peluang kita untuk belajar dan lebih mengenali diri. Tapi apa yang penting kita harus terus berkongsi bagi mendidik antara satu sama lain dan mendidik masyarakat. Itulah perjuangan.

Anak adalah anugerah yang tidak terhingga kepada kita. Sebagai ibu bapa kita mahukan yang terbaik untuk anak dan memang sedia berkorban apa sahaja. Dalam merealisasikan impian murni ini kita kadang-kadang terperangkap dalam kitaran hidup yang rutin dan memenatkan

Kita alpa sedikit keperluan diri kita. Kita juga lupa “ to have fun” . Tanpa kita sedari kadang-kadang kita tersedut masuk ke lubuk pusaran hidup yang mula menjadi ganas.

Saya dapati ibu-ibu selalunya jauh lebih mudah terperangkap berbanding golongan bapa. Mungkin saya mengaitkan diri dengan suami saya yang lebih simple cara hidupnya dan “a kampung boy”. Atau kadang-kadang saya menjadi mangsa stigma masyarakat yang mengharapkan saya berkorban dan melakukan semua seperti istilah “superwoman”.

Dalam hidup ini kita perlu mencari keseimbangan dan menuju kematangan. Kehadiran seorang anak sebenarnya menyediakan lebih ruang untuk diri kita mencari keseimbangan, bergembira dan menjadi lebih matang. Dalam lain perkataan kita juga membesar bersama anak-anak. Mengasuh anak-anak seharusnya sesuatu yang menyeronokkan dan kita masih boleh melakukan apa yang dahulunya menjadi kegemaran atau hobi kita. Malah dengan kehadiran anak-anak ia jauh lebih mudah dan seronok.
( Ya, betul. Mengapa tak percaya…. )

Cuma kita perlu lebih kreatif melayari kehidupan dalam institusi keluarga dengan sumber manusia yang ada iaitu kita suami isteri dan anak-anak yang mewarnai kehidupan dengan pelbagai corak setiap hari.

Stres kerja rumah, pejabat dan kerja dakwah boleh diatasi bersama keluarga. Antara yang boleh kita lakukan adalah:-

1. Bermain –Fitrah anak belajar melalui bermain. Kita juga perlu bermain dengan anak-anak bagi mengisi masa berkualiti. Anak akan merasai di sayangi, dihargai dan gembira. Kerinduan anak kepada kita juga terubat.

Kita juga perlu bermain bagi mengubat rindu, memberi dan menerima kasih sayang anak dan menghilangkan stress.

Bermain apa sahaja permainan dalam atau luar rumah yang sesuai dengan tahap anak, masa dan persekitaran. Permainan tradisi jangan dilupakan.

Aktiviti luar yang agak fizikal dan lasak juga baik selepas balik kerja. Berlari bersama anak kecil misalnya sangat menggembirakan dan dapat mengeluarkan peluh dan toksin.

Kita akan rasa lebih bertenaga menjalankan kerja-kerja rumah selepas itu. Emosi anak akan lebih stabil dan kita dapat menyiapkan kerja dengan lebih tenang. Anak dan kita akan tidur dengan lebih lena dan bangun lebih segar untuk memulakan hari esok.

2. Aktiviti bersama alam

Sentiasa memelihara hubungan dengan alam. Anugerah alam ciptaan Allah SWT berupaya menenangkan, menyemai iman dan penawar bagi manusia. Aktiviti berkebun, menanam dan menjaga pokok bunga bukan sahaja menyihatkan malah membantu memupuk anak memelihara alam.

Nature walk dengan anak. Boleh guna deria untuk merasai kehadiran Allah SWT. Mungkin boleh bawa balik apa-apa untuk letak di sudut alam dalam atau luar rumah. Kanak-kanak seronok dan mereka belajar secara natural.

Bagi saya berjalan di tepi pantai, mengutip cengkerang untuk hiasan akuarium keluarga dan duduk di atas buai di bawah pokok mangga rumah kami sambil melihat kehijauan taman kecil ciptaan kami sekeluarga antara aktiviti alam yang cukup mendamaikan.

Saya juga suka memandu sambil melihat alam sekeliling dengan alunan Al-quran, nasyid, zikir.


3. Memelihara binatang

Kanak-kanak biasanya sangat sukakan binatang. Hobi memelihara haiwan peliharaan menyeronokkan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ia juga membantu menyemai sikap tanggungjawab anak menjaga kebajikan haiwan yang mereka sayangi.

Bagi saya melihat ikan-ikan berenang di dalam akuarium kecil rumah kami sambil menghirup secawan kopi adalah satu masa istimewa setiap hari.

4. Aktiviti kreatif

Mewarna, melukis, menconteng, menampal, kolaj, membuat kraf, bermain doh dan apa sahaja aktiviti kreatif. Yang penting aktiviti dilakukan dengan bebas mengikut kreativiti masing-masing.

5. Bercerita/berbual

Cerita dan berbual apa saja dan di mana sahaja. Sambil bergolek-golek di atas katil misalnya. Bukan sahaja anak kecil malah anak remaja saya masih suka aktiviti begini.

6. Nyanyian dan pergerakan kreatif

Anak kecil suka dinyanyikan. Menyanyi bersama juga aktiviti yang menyeronokkan. Boleh saja menari atau mengayakan apa sahaja pergerakan mengikut alunan lagu atau muzik. Seperti permainan tradisi, nyanyian tradisi jangan dilupakan.

7. Rehlah keluarga

Berkelah, balik kampung, berjalan malah shopping juga merehatkan minda.


8. Rutin Harian seperti memasak dan mengemas boleh menjadi seronok sekiranya kita kreatif. Libatkan seisi keluarga. Baru-baru ini buat pancake bersama anak saya Izzuddin 8 tahun. Saya hanya membimbing. Anak lebih seronok membancuh dan memasak dengan pengawasan penggunaan dapur.

9. Hobi.

Apa sahaja hobi. Saya masih lagi menjahit kadang-kadang. Menjahit berupaya menenangkan fikiran saya.

10. Recharge. Take time out.

Ya. Ambil masa untuk diri dan pasangan. Kita masih perlu masa sendiri dan bersama pasangan.

Sulami lah kehidupan dengan aktiviti-aktiviti yang seronok, menenangkan, menyihatkan dan lebih bermakna bersama keluarga. Saya namakan ini masa berkualiti. Hargailah apa yang kita ada.

Manfaatkan alam dan kehidupan yang indah ini. Moga kita kembali fokus dan bertenaga. Amin.

Wallahua’lam.
Sekian.

Tuesday, April 13, 2010

TIP KEIBUPAAN 45: KADANG-KADANG KITA ALPA

Duduk dikerusi sejenak selepas pulang dari kerja. Kebetulan saya pulang lewat petang hari ini. Izzuddin ( tahun dua sekarang, ya! dah besar anak bongsu saya) menghampiri saya sambil menghulurkan kertas peperiksaan Bahasa Inggerisnya.

Saya menyelak-nyelak helaian kertas. Helaian pertama dan kedua betul semua. Di helaian ketiga terdapat satu karangan yang dia salah suai padankan 4 daripada 5 soalan. Saya berkata “banyaknya salah adik”.

“Sikit je salah mak, yang betul lagi banyak” jawab Izzuddin.

Saya tersentak.

Jawapan Izzuddin itu membawa saya mengimbau peristiwa awal tahun ini. Seorang pelanggan saya mengadu mengenai anak lelakinya yang baru masuk tahun satu tetapi masih keliru 2 huruf iaitu “b” dan “d” dan kurang lancar membaca. Dia menceritakan bahawa dia menyatakan kesedihan kepada anaknya, membandingkan dengan anak orang lain yang sudah lancar membaca dan memarahi sehingga anaknya menangis.

Saya empati dengan anak itu dan dapat merasakan keadaan emosinya. Saya berkata kepada ibu tadi kenapa tidak gembira dan puji anak yang ingat 24 huruf lain. Anak memerlukan sokongan positif dan bimbingan berterusan. Tahun satu memang mencabar bagi anak kecil.

Sekarang saya juga alpa.

“’Adik dapat 79 markah dan adik dah dapat kalahkan Darwish dan Danish” sambung Izzuddin merujuk kepada pasangan kembar kawannya.

Sememangnya saya patut di tegur. Kadang kadang sudah terbiasa memfokuskan kesalahan anak walaupun jauh lebih sedikit. Terlupa untuk melihat kepada perkara baik yang anak lakukan.

Alhamdullillah, Izzuddin mampu menyatakan kehendak dengan bebas. Syukur. Saya mengingatkan diri supaya sentiasa membantu anak untuk mengatasi kekurangannya dengan cara yang lebih hikmah.

Saya kemudian kembali memfokuskan kepada perkembangan diri anak. Sejak lebih seminggu lepas Izzuddin begitu teruja dengan keputusan peperiksaannya tahun ini. Saban hari dia bercerita berulang-ulang mengenai dia hanya salah satu sahaja dalam kertas Bahasa Melayu. Sehingga mengundang kemarahan abangnya Muhammad kerana jemu mendengar cerita yang sama.

Tahun ini memang ketara peningkatan pelajaran Izzuddin. Tulisannya semakin cantik, dia semakin berminat terhadap bahan bacaan dan mengambil berat tentang kerja sekolahnya.

Biasalah, anak lelaki. Kedua-dua anak lelaki saya mengambil masa untuk membaca pada tahun satu dan peningkatan pembelajaran juga sedikit demi sedikit dengan dorongan. Potensi setiap anak berbeza.

Muhammad lebih fizikal. Suka kepada aktiviti lasak dan sukan. Manakala Izzuddin lebih kreatif. Suka merekacipta pelbagai benda dan seni. Berbeza dengan kakak mereka, Nurin yang lebih minat kepada buku dan sudah lancar membaca di usia 6 tahun.

Kadang-kadang kita perlu melihat perkara melalui kaca mata seorang anak kecil. Mereka ada potensi, gaya dan masa tersendiri. Setiap anak secara fitrahnya menuju kecemerlangan. Cuma kita kekadang lupa melihat dari sudut yang lebih positif dan membina. Mungkin dengan cara ini kita akan lebih menyokong potensi mereka dan kekurangan yang ada akan terus gugur sepanjang tarbiyah anak yang panjang.

Saya petik teori pembentukan personaliti.
Sahsiah kanak-kanak terbentuk hasil daripada cara anak di besarkan. Anak yang selalu dimarahi, dihina dan dimalukan akan membesar menjadi pemalu, penakut, penuh rasa bimbang, tiada keyakinan diri dan bersifat inferiority complex serta introvert. Anak yang mendapat galakan, pujian dan dibesarkan dalam suasana harmoni, gembira, membesar menjadi seorang yang yakin diri, bebas, tenang dan penyayang.

Moga kita terus memperbaiki diri dan cara kita menyantuni anak-anak kita.

Wallahua’lam. Sekian.

Thursday, January 7, 2010

TIP KEIBUBAPAAN 44: BAIKI HUBUNGAN

Salam,

Teringat saya kepada ungkapan, ”Perkara yang paling sukar di bina adalah perhubungan.”

Ya. Saya sangat setuju. Antara azam 1431H dan 2010 saya adalah membaiki dan membina hubungan yang sihat dengan semua orang.

Cuti sekolah mungkin masa untuk bersama keluarga bagi kebanyakan orang tetapi waktu yang paling sibuk bagi saya dalam kerjaya pengasuhan kerana tarining di sana sini..

Dalam kesibukan saya sempat membina dan memperbaiki hubungan dengan abah, keluarga di kampung dan kawan-kawan kerana sering keluar kawasan.

Walau bagaimanapun sebagai manusia saya tidak terlepas daripada masalah hubungan dengan keluarga terdekat terutama anak-anak yang sering ditinggalkan..

Dan anak-anak ada cara tersendiri untuk menagih perhatian.

Muhamad anak ke dua saya14 tahun ini sedang meniti remaja dan dia ada cara tersendiri menagih perhatian saya.. Maaf tak dapat berkongsi detail kerana menjaga perasaan anak.

Apa pun. Januari adalah masa untuk catching up. Petang semalam saya bersama Muhamad , shopping dan makan-makan. Petang ini juga saya dan Muhammad akan meluangkan masa bersama. Nak beli kasut .

Petang semalam agak kurang lancar perbualan kami. Banyak diam antara perbualan. I can feel that I was too directive. I need to loosen up and Muhammad is not opening up as usual. Well we have a lot of catching up to do.

Bagi saya masalah adalah peluang untuk belajar. Masalah juga menjadikan saya lebih matang dan anak-anak banyak mematangkan diri saya yang sudah pun hampir 44 tahun.

Harap hari ini lebih baik. Besok (sabtu) ini sekiranya tidak hujan saya mengajak suami dan anak-anak ke Gambang Resort City. Masa tetap berlalu. Anak-anak terus membesar dan kita harus terus mencipta kenangan serta membaiki hubungan.

Parenting is about learning, unlearn and relearn. We make mistakes and problems are opportunities.

Kepada semua ibu bapa, moga kita terus istiqamah menyantuni fitrah anak.anak.Amin.

Sekian. Wallahua’alam.

Wednesday, January 6, 2010

TIP KEIBUBAPAAN 42: ANAK PINTAR

Salam,

Kembali menemui pembaca. Moga semua berada dalam lembayung rahmatNya.

Anak-anak kembali ke sekolah. Syukur. Bermula kembali sesi persekolahan. Bagi saya ini bermakna anak-anak kembali kepada rutin harian yang lebih terurus.

Minggu persekolahan mengingatkan saya kepada peristiwa 9 tahun lepas ketika saya mula-mula mengajar sementara di sebuah tadika swasta kerana ingin menimba pengalaman.

Seperti biasa minggu pertama agak sibuk dengan kerenah anak-anak dan pendaftaran. Saya mengendalikan kelas 6 tahun.

Pada hari kedua, saya memberi sehelai kertas putih dengan lakaran gambar rumah untuk di warnai oleh anak-anak. Ia bertujuan mengenalpasti tahap kemahiran jari mereka.

Belumpun bermula seorang anak perempuan bernama Hanan menghampiri saya dan berkata. ”Cikgu, saya dah siap” ujarnya dengan yakin sambil menghulurkan kertas yang diberikan tadi.

” Oh! ya ke” kata saya. ” Tapi rumah ni belum di warnakan lagi”.

” Cikgu, rumah ni warnanya putih”.

” Ok” kata saya. ”Bagaimana dengan atapnya”.

” Warna putih juga. Semua rumah tu putih”

” Pintar budak ni” bisik hati saya.

” Ok tak apa. Bagus. Terima kasih Hanan. Hanan boleh duduk tapi jangan ganggu orang lain ye.” pesan saya kepada Hanan.

Hanan akur dan duduk. Tampak tenang dan gembira. Saya rasa mungkin dia gembira kerana saya menerima hasil kerjanya.

Saya tahu saya mesti menerima pendapat Hanan dan menghargai kreativiti hasil kerjanya.

Begitulah kanak-kanak. Hanan menunjukkan ciri-ciri kanak-kanak pintar. Pendapat mereka sukar diramal dan bernas. Dan tekaan saya tepat. Kebetulan Hanan anak seorang kenalan saya. Dia terus menunjukkan ciri-ciri anak pintar mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR dan tahun ini akan menduduki PMR.

Mungkin saya boleh berkongsi lagi berkaitan ciri-ciri anak pintar. Moga Allah mudahkan usaha sya untuk terus menulis setelah hampir dua tahun tidak begitu aktif menulis.

Setiap hari ada sahaja perkara baru yang saya pelajari dari anak-anak dan sebenarnya banyak perkara yang saya boleh kongsikan.

Hidup lebih bermakna dengan anak-anak di sekeliling kita.

Terima kasih kepada semua anak-anak yang telah mewarnai hidup saya selama ini.

Sekian. Wallhua'lam

Monday, September 14, 2009

Tip Keibubapaan 41: Mari Makan Anakku Sayang

Salam,

Menemui para pembaca di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Moga kita di beri kekuatan untuk terus meningkatkan amal dan memburu lailatul qadar.

Madrasah Ramadhan mendidik kita banyak perkara. Antaranya adalah untuk penjagaan kesihatan diri secara menyeluruh. Apa pun ia bukan perkara yang mudah untuk direalisasikan. Realiti Ramadhan di sana sini juga penuh dengan cabarannya yang tersendiri.

Setelah sekian lama tidak menulis saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman dalam mendidik diri dan keluarga di bulan yang mulia ini berkaitan pemakanan sihat.

Semalam saya menyediakan kari ikan dan tomato yang dimasak tanpa santan, ayam panggang serta sayur brokoli dan cendawan yang di goreng bersama tahu sebagai menu sihat sajian berbuka puasa kami sekeluarga.

Cabaran saya bukan hanya bermula apabila memilih bahan yang segar dan berkualiti, menyediakan dan memasak sendiri dengan bersih, kreatif dan diiringi zikir dan doa.

Cabaran yang paling hebat adalah memastikan anak-anak memakan makanan yang dimasak dengan keadaan rumah saya yang hampir dengan kedai dan bazar ramadan. Anak-anak juga sudah mempunyai citarasa tersendiri kerana terdedah dengan pelbagai pilihan dalam persekitaran makanan yang perbagai dan enak setiap hari. Apa tah lagi di bulan Ramadhan. Syawal juga apa kurangnya.

Itulah antara cabaran saya yang bergelar isteri dan ibu berkerjaya di zaman moden ini.

Zaman arwah emak dan abah membesarkan saya dan adik-adik mungkin berbeza. Cabaran mereka lebih kepada mengadakan makanan saban hari bagi menghidupkan anak-anak. Kesempitan hidup dalam zaman serba kekurangan itu menyebabkan kami membesar dengan memakan hasil kebun abah dan air tangan mak yang menjanjikan kebersihan, khasiat dan keberkatan yang banyak.

Kami anak-anak juga tidak memilih. Makan sahaja apa yang dihidangkan dengan bersyukur dan berkongsi rezeki siisi keluarga. Aidil Fitri dan Aidil Adha disambut dengan sedikit keenakan yang jarang ditemui.

Para pembaca yang dirahmati Allah SWT, marilah sama-sama kita menambah ilmu, berazam dan beristiqamah mengubah diri dan keluarga ke arah memakan makanan yang seimbang dan sihat.

Kita mempunyai pilihan bagaimana berbelanja untuk kualiti. Berusahalah untuk memasak sendiri bagi menjamin kebersihan, khasiat dan keberkatan makanan yang dihidangkan setiap hari. Memasak menu sihat saya dapati lebih mudah dan menjimatkan masa. Ia juga sedap dengan sedikit kreativiti pengolahan bahan dan cara memasak. Peralatan dapur yang moden kini seharusnya memudahkan kita dan menjimatkan masa.

Semoga Allah menyembuhkan penyakit-penyakit yang kita hidapi berkat usaha kita menjaga pemakanan, beriadhah dan mengurus stres. Juga moga kita menjadi contoh bagi anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Ramadhan semakin meninggalkan kita. Syawal disambut dengan penuh keserderhaaan dan keberkatan. Makanan yang dimakan seharusnya memberi khasiat bukan kemudharatan buat kita semua. Moga kita di beri kesihatan dan umur untuk terus beramal di muka bumi Allah ini. AMIN.

Maaf zahir dan batin dari saya sekeluarga.

Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad
25 Ramadhan 1430H

Sunday, April 5, 2009

TIP KEIBUBAPAAN 40: ANAK PEREMPUAN DAN KECANTIKAN

Teringat saya kepada peristiwa di satu pagi beberapa tahun lepas yang membawa perubahan positif kepada hidup saya.

Pada pagi itu saya singgah di rumah kawan saya, Fiza kerana urusan peribadi. Fiza, suri rumahtangga mempunyai empat orang anak yang masih kecil. Dia kelihatan manis sekali berbaju kurung dengan dandanan yang menarik.

Saya bertanya sama ada dia bersiap hendak keluar. ”Taklah, duduk rumah pun kena sentiasa melawa untuk diri sendiri dan suami. Kita pun akan rasa segar, ceria dan bersemangat melakukan kerja-kerja rumah dan melayan kerenah anak-anak”, jawab Fiza selamba.

Sejak itu saya mula muhasabah diri. Memang saya perlu mencontohi Fiza. Sentiasa kelihatan kemas, menarik dan ceria di rumah.

Saya memang asalnya tak suka melawa. Bagi saya ia membuang masa dan duit. Saya juga rimas memakai barang kemas. Suka ringkas saja.

Mungkin kerana kesempitan hidup semasa kecil, kami adik beradik tidak ada banyak baju dan perhiasan. Jadi tak biasa melawa dan memakai barang kemas.

Apa pun sesuatu mengenai Fiza menarik minat saya untuk nekad berubah. Saya mula mengambil perhatian kepada kecantikan dan mengajak anak saya, Nurin bersama.

Pengajaran pertama saya pelajari adalah untuk berhias memerlukan usaha dan kreativiti. Bukan senang. Apa pun ia sesuatu yang berbaloi.

Saya dapati dalam diri saya ada keinginan seperti wanita lain yang sukakan kecantikan.

Anak perempuan saya, Nurin memang suka kelihatan cantik dan kemas. Sejak kecil dia suka meniru cara saya berpakaian, kemudian bila dah besar sikit mula dipengaruhi oleh kawan-kawan dan fesyen semasa.

Saya cuba melayan minatnya dengan memberi panduan. Apa yang wanita Islam tidak boleh pakai di luar, saya benarkan dia berpakaian di rumah. Cuma perlu sopan dan menjaga aurat sesama mahram.

Keinginan untuk sentiasa kemas dan kelihatan cantik mengeratkan lagi hubungan kami sebagai ibu dan anak. Kami berkongsi idea dan akan keluar bersama membeli aksesori dari masa ke semasa. Nurin juga suka mencipta aksesori sendiri dari manik dan kadang-kadang menjual kepada kawan-kawannya. (rujuk kepada tip 5: usahawan kecil)

Sekarang Nurin sama tinggi dengan saya dan mempunyai saiz kasut yang sama. Jadi dapat berkongsi pakaian dan kasut.


Fitrah anak gadis yang ingin kelihatan cantik perlu dipupuk sejak kecil. Ibu bukan sahaja role model tetapi pembimbing yang berperanan memberi panduan kepada anak perempuan tentang adab-adab berpakaian.

Ayah boleh memainkan peranan dengan memuji anak perempuan sekali sekala. Berikan hadiah dari masa ke semasa mengikut minat mereka.

Sebaiknya anak perempuan mempunyai bilik atau sudut sendiri bagi mengasuh mereka menghargai, menjaga dan menyimpan barang-barang peribadi.

Moga kita berusaha menyantuni fitrah anak-anak perempuan kita menjadi wanita solehah dan isteri yang menawan hati suami setiap masa. Yang lebih penting, galakkan mereka berpakaian takwa dan hiaskan diri mereka dengan akhlak yang mulia.

Sekian. Wallahua’lam.

Tuesday, February 10, 2009

TIP KEIBUBAPAAN 39: MASA BERKUALITI








Salam,

Menemui para pembaca yang dirindui. Semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah SWT.

Mungkin ramai yang sedang bercuti bersama keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kasih sayang.(ARTIKEL INI DITULIS SEMASA CUTI SEMPENA TAHUN BARU CINA)

Bercakap mengenai masa berkualiti, saya ada definisi tersendiri. Saya wanita yang mahukan kesemuanya. Seorang isteri dan ibu yang sempurna dan pada masa yang sama seorang wanita yang berjaya dalam dakwah dan kerjaya. Jadi masa berkualiti adalah penting bagi menjamin kesejahteraan diri dan keluarga.

Saya gemar memasak, mengemas rumah, menjahit, menanam pokok bunga dan melayan kerenah anak-anak. Semua ini membahagiakan saya. Tetapi pengalaman berhenti kerja selama 3 tahun melakukan ini sahaja menjadikan saya bosan dan rasa bersalah. Saya ingin berbakti kepada masyarakat.

Kembali bekerja pula pada mulanya membuahkan rasa bersalah kerana tidak dapat berbakti sepenuhnya kepada suami dan anak-anak.

Bagi saya rasa bersalah itu sebenarnya perlu bagi mengingatkan kita kepada tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini walau apa pun status kita.

Sekarang saya bersyukur kerana dapat memainkan bebarapa peranan . Penat bekerja saya ada keluarga yang menanti. Juga bila bosan dan rimas dalam rumah kecil, saya ada dunia yang lebih luas dan mencabar di luar sana. Hidup saya lebih mencabar dan berwarna warni.

Apa yang membezakan adalah cara kita menangani masalah. Masalah adalah peluang dan hidup perlu sentiasa berubah.

Pendekatan saya mengenai masa berkualiti adalah fokus dan bergembira bersama melakukan apa sahaja aktiviti bersama. Yang penting adalah cuba menjadi seperti anak-anak. Bergembira, bermain dan meneroka.


Kesibukan latihan di luar kawasan dan tahap kesihatan yang kurang baik tahun lepas membuatkan saya hilang sedikit keseimbangan hidup. Ini mengetuk sedikit naluri wanita saya.

Kesempatan cuti panjang ini saya niatkan untuk membelai naluri wanita dan mencapai keseimbangan. Saya mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana supaya dapat menyerikan kembali rumah dengan mengecat dan mengemas. Saya jadikan ini program retreat kami sekeluarga

Kenangan terus dicipta semasa melakukan kerja-kerja rumah bersama. Terasa keintiman sekeluarga memakin pulih dan meningkat.

Selepas empat hari saya dapat kembali syurga dalam rumah dan bersedia untuk kembali kepada dakwah dan kerjaya yang sedia menunggu. Diri saya dicas semula.

Bagi anak-anak dan suami, terima kasih kerana sentiasa memberi ruang seluas-luasnya bagi saya mewakafkan diri dalam jalan dakwah bagi menjadikan bumi Allah ini lebih makmur bagi generasi akan datang.

Moga Allah memudahkan jalan-jalan ke syurga buat kita. Amin

" Santuni anak-anak secara fitrah"

Sekian. Wallahua'lam.