Wednesday, November 11, 2026

BILA LUKISAN JADI ALAT UNTUK TENANG


*Hati Yang Tenang, Dekat Dengan Allah*
_Bila Lukisan Jadi Jalan Untuk Tenang_


Kadang-kadang, bila hati dah penat sangat nak bercakap, tangan yang tolong luah. Ambil kertas, ambil warna, conteng sikit-sikit. Bukan sebab pandai, bukan sebab cantik.

Mak Long bukan pelukis. Sekadar coretan biasa saja. Tapi bila tangan mula bergerak, hati perlahan-lahan jadi lapang.

Itulah yang orang panggil terapi lukisan.

Tak perlu tunggu mood baik. Tak perlu tunggu ada bakat. Cukup 15 minit.

Conteng apa yang terlintas. Daun, bunga, garisan. Sambil tu, zikir dalam hati. _Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar._

Kajian menunjukkan aktiviti melukis yang mudah pun boleh bantu kurangkan stres dan keresahan. Sebab bila kita fokus pada warna dan pergerakan tangan, fikiran berhenti sekejap dari memikirkan masalah yang tak habis-habis tu.

Bagi Mak Long lukisan ni kreativiti kita, citarasa kita dan yang penting kita berani untuk mencuba dan benarkan diri kita untuk buat silap.

 Ya.
_Explore_ . Lagi dan lagi. Kita akan nampak diri kita berkembang.

Progres diri penting. Tanda kita bergerak dan maju. Bila rasa stuck tu yang bahaya.

Proses melukis membantu kita meluahkan rasa  dan mengapai ketenangan.

Sebab tenang itu bukan bila semua masalah selesai.
Tenang itu bila hati yakin, Allah sentiasa ada.

> *أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ*
>
> _“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”_
> - Surah Ar-Ra'd: 28

Kalau hari ni hati rasa berat, cubalah. Tak cantik pun tak apa. Yang penting hati rasa dekat dengan Allah.

"Bahagia itu terletak pada ketenangan hati. Sesiapa sahaja mampu memilikinya." 

Allahu'Alam.

🌹Mak Long*
*Membangun Adab Membina Negara*
*#closetoyourheart*

Saturday, November 7, 2026

IMPIAN YANG MENJADI JUA...

*IMPIAN KECIK YANG AKHIRNYA JADI* 🌻

Dulu, masa kecik, Mak Long selalu jeles tengok kawan melukis.
Lukisan diorang cikgu tampal kat dinding. Cantik. Semua orang puji.

Lukisan Mak Long? Tak pernah.
Tak pernah cikgu ambik. Tak pernah kena tampal.

Mak Long pendam rasa tu lama.
Mak Long ingat Mak Long memang tak pandai. Mak Long ingat impian tu dah mati.

Tapi rupa-rupanya, Allah tak pernah padam impian tu.
Allah simpan je.

Dan hari ni, pada usia 60 tahun, Mak Long pegang berus atas canvas.
Mak Long lukis bunga matahari ni dengan tangan Mak Long sendiri.

Bukan sebab Mak Long nak tunjuk Mak Long pandai.
Tapi sebab Mak Long nak cakap kat diri Mak Long yang kecik dulu tu:

_"Dik, kau bukan tak pandai. Masa kau je belum sampai."_

Sahabat, kalau sahabat ada impian yang dah lama sahabat kuburkan tu, gali balik.
Tak ada istilah terlambat.

Selagi Allah masih bagi kita pagi, maknanya Allah masih bagi kita peluang.

 _Never Too Late.
Start now
And you will be motivated._ 

Cuba cerita kat Mak Long, apa impian kecik sahabat yang sahabat nak hidupkan balik?

"Membangun Adab, Membina Negara." 

🌹 Mak Long
http://rentis.blogspot.com
#closetoyourheart

Thursday, November 5, 2026

CUKUP KASIH SAYANG, ANAK YAKIN DAN BERANI GAGAL

*KASIH SAYANG YANG CUKUP LAHIRKAN ANAK YANG YAKIN DAN TAK TAKUT GAGAL*


Seorang ibu datang jumpa saya. Anaknya darjah 3.

"Anak saya ni manja sangat, Mak Long. Sikit-sikit nangis."

Saya tanya, "Bila dia nangis, puan buat apa?"

"Sayalah marah. Saya kata jangan manja! Laki-laki kena kuat!"

Saya senyum. Saya kata, "Cuba minggu ni, bila dia nangis, jangan marah. Dekati dia. Peluk dia. Kemudian minta dia luahkan perasaan dan cerita apa yang berlaku."

Seminggu lepas tu ibu tu telefon saya menangis.

"Mak Long, saya baru tahu. Anak saya bukan manja. Dia penat. Di sekolah cikgu marah dia sebab tak siap kerja. Dia tak faham, tapi dia takut nak cakap kat saya sebab saya garang."

"Semalam bila dia nangis, saya peluk je. Dia nangis lama dalam pelukan saya. Lepas tu dia lap air mata dia sendiri dan dia kata - Mak, esok Adam nak cuba lagi. Adam yakin boleh siap."

Luahan ibu itu.

> _"Selama ni saya ingat kalau saya peluk, dia jadi manja. Rupanya bila saya peluk, dia jadi yakin."_

Allahu...

Perbetulkan cara pandang kita.

Takut kalau peluk anak lebih, anak jadi manja.

Takut kalau cium anak selalu, anak jadi lembik.

Takut kalau layan emosi anak, anak jadi mengada.

Hakikatnya,

_Anak yang tak cukup kasih sayang, dia yang akan jadi kuat merajuk, kuat cemburu, kuat menuntut perhatian dengan cara salah._

Sebab tangki jiwanya kosong. Dia meronta-ronta minta diisi.

Manakala,

_Kasih sayang yang cukup akan buat anak jadi YAKIN dan TENANG._

Dia jadi yakin untuk mencuba benda baru.

Dia jadi tenang untuk berkongsi mainan.

Dia jadi berani untuk gagal, sebab dia tahu gagal bukan bermakna dia dibuang.

Sebab dia tahu, walau apa pun jadi, ada tempat untuk dia pulang.

Itulah bezanya.

Anak yang cukup kasih sayang, dia tak takut gagal.

Sebab dia tahu, walau result exam gagal pun, mak dia tetap peluk dia.

_APA KATA ISLAM TENTANG KASIH SAYANG PADA ANAK?_

Islam tidak pernah ajar kita untuk jadi keras 24 jam. Islam ajar kita untuk jadi penyayang.

_1. Rasulullah SAW adalah contoh paling penyayang._

Diceritakan, Rasulullah SAW mencium cucu Baginda Al-Hasan bin Ali. Di sisi Baginda ada sahabat bernama Al-Aqra' bin Habis. Dia berkata, "Aku ada 10 orang anak, tapi aku tak pernah cium seorang pun dari mereka."

Lalu Rasulullah SAW memandang kepadanya dan bersabda:

 _"Barangsiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi."_
(HR. Bukhari no. 5997 & Muslim no. 2318)

Ciuman pada anak itu bukan perkara kecil. Ia lahir dari rahmat yang Allah tanam dalam hati. Bila rahmat itu tiada, hati jadi keras.

_2. Penyayang itu akan disayangi Allah._

Rasulullah SAW bersabda:

 _"Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Ar-Rahman (Allah). Sayangilah yang ada di bumi, nescaya yang di langit akan menyayangi kamu."_
(HR. Abu Daud & Tirmidzi)

Bila kita peluk anak kita hari ini, kita sedang menjemput rahmat Allah masuk ke dalam rumah kita.

Jangan berkira untuk peluk anak.

Jangan malu untuk cakap "Mak sayang kamu" setiap hari.

Jangan lokek cium dahi anak sebelum tidur.

Kerana ciuman hari ini, pelukan hari ini, kata sayang hari ini — itulah yang akan buat anak kita yakin dan tenang untuk 20 tahun akan datang.

Ia bukan memanjakan. Ia adalah mengisi tangki jiwa dia, sampai dia tahu dia sentiasa ada tempat untuk pulang.

_"Dan tidaklah Kami mengutus engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya: 107)_

Jadilah rahmat itu bermula dari rumah kita sendiri.

"Rumah madrasah pertama. Ibu bapa guru utama. Perkasakan institusi keluarga. Kembalikan peranan ibu bapa."

"Ibu bapa tenang, anak cemerlang " 

"Membangun Adab, Membina Negara,"

Allahu'Alam.

🌹Mak Long
http://rentis.blogspot.com
#closetoyourheart

KENAPA ANAK MENGAMUK

*Anak Mengamuk Sebab Dia Tengah Belajar Kawal Emosi*

Semalam, cikgu tadika tanya saya.

"Mak Long, ada anak 5 tahun masih mengamuk. Kalau tak dapat apa dia nak, dia jerit, baring atas lantai, baling barang."

Sebenarnya, anak tu bukan degil.
Dia tengah belajar kawal emosi dia sendiri.

Dia marah, tapi dia belum pandai nak kawal. Sebab tu dia mengamuk.

Contohnya, anak nak telefon. Kita kata tak boleh. Dia pun mengamuk.

Bukan sebab dia nak lawan kita.
Tapi sebab dia kecewa, tak tahu nak urus rasa kecewa tu dan dia tak tahu nak cakap macam mana.

Dan dia dah belajar, "Kalau aku mengamuk sakan, akhirnya cikgu bagi jugak." Sebab tu dia ulang lagi.

*Anak kena belajar 3 benda ni:*

*1. Ada benda boleh dapat terus*
Kalau elok dan selamat, boleh je bagi.

*2. Ada benda kena tunggu baru dapat*
Contoh, "Nak main taman? Boleh, tunggu Mama siap masak dulu."
Di sini anak belajar sabar.

*3. Ada benda memang tak boleh*
Bukan sebab Mama garang. Tapi sebab bahaya atau tak bagus untuk dia.
Contoh, "Main gunting tak boleh, tajam. Telefon lama-lama tak boleh, tak bagus untuk mata."

*Tapi semua ni tak jadi kalau kita tak sepakat.Mak,Ayah, Wan, Aki, Cikgu.*

Mak kata tak boleh, Ayah bagi.
Mak Ayah tak boleh, Wan Aki bagi.
Cikgu A kata tak boleh, Cikgu B bagi sebab kesian.

Anak pun pening. Dia akan cari siapa yang paling senang mengalah. Yang tegas nampak macam jahat, yang bagi nampak macam baik. Padahal bukan macam tu.

Sebab tu, semua kena sepakat.

*Kalau tak boleh, semua kata tak boleh.*
*Kalau kena tunggu, semua kata kena tunggu.*
*Kalau boleh, semua kata boleh.*

Kalau tak setuju, bincang belakang. Bukan depan anak.

*Tegas tu apa?*

Tegas bukan jerit. Tegas bukan pukul.
Tegas tu apa yang kita kata, kita buat. Hari ni tak boleh, esok pun tak boleh.

*Bila anak mengamuk, buat 3 ni je:*

*1. Tenang dulu*
Jangan jerit sama. Kalau kita tenang, anak akan ikut tenang.

*2. Cakap pendek je*
"Adik marah, Mama faham. Tapi telefon tetap tak boleh."
Pendek. Jelas. Habis.

*3. Jangan ubah keputusan*
Ini paling susah. Tapi kalau kita tetap, lama-lama anak faham, "Mengamuk tak dapat apa-apa. Cakap elok-elok baru Mama dengar."

Jangan rasa bersalah sebab tegas. Kita bukan kejam. Kita tengah ajar anak kawal emosi dia.

Macam Mak Long pesan kat cikgu tu, "Jangan bagi sebab dia mengamuk. Bagi sebab dia dah tenang dan cakap elok-elok."

*Tegas dengan lembut. Tegas dengan tenang. Tegas dengan sayang.*

"Ibu bapa tenang, anak cemerlang." 

"Membangun Adab, Membina Negara." 

🌹 Mak Long
http://rentis.blogspot.com
#closetoyourheart

Sunday, November 1, 2026

_KEPENTINGAN HUBUNGAN INTERGENERASI: Jambatan Kasih Merentas Zaman_



> _“Yang tua dihormati, yang muda disayangi ”_

_Kalau Mak Long ingat balik masa kecik dulu, momen yang paling Mak Long ingat sampai sekarang adalah bila cuti sekolah._

Dapat duduk dengan Wan dan Aki. Itu pun dah rasa paling bahagia.

Zaman tu mana ada macam sekarang, boleh pergi bercuti sana sini. Nak jalan pun tak mampu. Duduk rumah kayu Wan, tidur berlapik tikar mengkuang, makan nasi dengan ikan goreng, tapi kasih sayang tu... sampai hari ni Mak Long rasa.

Ikut Aki pergi pasar. Dengar Wan bercerita. Gelak layan gurauan Aki. Main kat tanah dengan sepupu. Tak ada mainan mahal, tak ada gajet, tapi cukup. Cukup sangat. 

Sedih sangat bila cuti sekolah dah tamat. Kena balik rumah.

Sebab tu Mak Long percaya, hubungan antara generasi ni bukan perkara kecil. Ia jambatan kasih yang membentuk siapa kita hari ini.

Ini 5 kepentingan hubungan intergenerasi yang kita kena hidupkan balik:

_1. Pemindahan Nilai & Adab_

Wan & Aki adalah guru adab pertama. Bukan ajar dari buku, tapi dari perbuatan. Cara Wan bercakap lembut, cara Aki tegur dengan hikmah. Di situlah anak cucu belajar budi bahasa, hormat, dan adab warisan keluarga.

_2. Ringankan Beban Ibu Bapa_

Mak ayah hari ni penat bekerja. Bila ada Wan & Aki yang tolong tengokkan cucu, bagi nasihat, jadi tempat mengadu, beban tu jadi ringan. Keluarga jadi tempat rehat, bukan tempat tekanan.

_3. Cucu Rasa Selamat_

Anak yang membesar dengan kasih sayang atuk nenek ni jiwanya lain. Dia rasa selamat, disayangi, yakin diri. Pelukan Wan tu ubat. Nasihat Aki tu benteng emosi dia.

_4. Baik Untuk Wan & Aki_

Jangan ingat cucu je yang perlukan mereka. Wan & Aki juga perlukan cucu. Bila mereka rasa dihargai, dilibatkan, diajak berbual, mereka tak rasa sunyi. Mereka kekal aktif, sihat emosi, rasa masih diperlukan dan hidup lebih bermakna.

_5. Tunjang Komuniti_

Wan & Aki kita ni lah tunjang komuniti. Mereka yang _aktif di masjid dan surau, menjadi pendamai, dan pustaka hidup_ masyarakat. Ilmu mereka, pengalaman mereka, doa mereka — itulah keberkatan dalam komuniti kita.

Hubungan ini dituntut dalam agama:

_Al-Isra' 23:_
_وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا_

_“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.”_

_HR Tirmizi:_
_مَنْ لَا يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَلَا يُوَقِّرْ كَبِيرَنَا فَلَيْسَ مِنَّا_

_“Sesiapa yang tidak menyayangi yang lebih muda dan tidak menghormati yang lebih tua, maka dia bukan daripada kalangan kami.”_

Hari ni, jom kita kembalikan semula budaya tu. Cuti sekolah ni, bukan kena bawa anak pergi mall mahal-mahal je. Bawa balik kampung. Bagi anak rasa tidur rumah Wan. Bagi dia rasa kasih yang Mak Long rasa dulu-dulu.

Dan bagi Wan dan Aki dalam komuniti. Teruslah berbakti demi generasi pewaris.

Sebab akhirnya, bukan harta yang anak akan ingat, tapi kasih sayang merentas generasi tu yang akan dia bawa sampai tua.

Kita saling memerlukan. 

"Komuniti mensejahterakan komuniti." 

"Membangun adab, membina negara." 

Allahu'Alam.

🌹Mak Long http://rentis.blogspot.com
#closetoyourheart

Saturday, October 31, 2026

ORANG MARAH SEBAB SAYANG - AYAT YANG BUAT ANAK KELIRU



Seorang anak kecil tanya Mak Long satu soalan yang sentap:

"Wan, kenapa bila mak marah, mak kata sebab sayang? Saya konfiuslah..."

Terdiam Mak Long sekejap.

Kita niat nak mendidik. Tapi anak terima sebagai ancaman.

Sebab bagi otak anak kecil, dia tak boleh proses dua emosi bercanggah dalam satu masa.

_1. SAYANG =_
Peluk, senyum, rasa selamat.
Bila kita sayang, sistem saraf anak jadi tenang. Dia rasa "Aku selamat, aku disayangi."

_2. MARAH =_
Tengking, jerit, rasa takut, emosi tidak terkawal.
Bila kita marah, sistem saraf anak jadi alert bahaya. Dia rasa "Aku tak selamat, aku kena selamatkan diri."

Dua-dua tak boleh wujud serentak. Bila kita kata "Mak marah sebab sayang", otak anak jadi keliru:

"Sayang tu patut selamat, tapi kenapa mak buat dia jadi takut? Jadi sayang tu selamat ke takut?"

Lama-lama anak belajar:
Sayang = Kena jerit, kena takut.
Bila besar, dia pun akan terima pasangan yang menjerit itu sebagai "sayang".

Jadi kalau tak boleh marah, nak buat apa?

Tukar MARAH kepada TEGAS.

_3. TEGAS =_
Suara firm jelas, masih hormat, ajar batasan, rasa selamat.

Tegas tak menjerit. Tegas tak menghina.
Tegas cakap: "Mak tak benarkan. Kita simpan mainan dulu, baru makan."

Anak masih rasa selamat, walaupun tak dapat apa dia nak.


Allah puji cara didikan Rasulullah SAW yang penuh lembut, bukan marah:

*فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ*
_"Maka dengan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu."_
[Surah Ali-Imran: 159]

Rasulullah SAW pesan kunci kawal marah:


*إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الأَمْرِ كُلِّهِ*
_"Sesungguhnya Allah Maha Lemah Lembut dan mencintai kelembutan dalam segala urusan."_
[HR Bukhari & Muslim]


_Tegas itu berbeza dengan marah._
_Tegas itu sebahagian dari sayang._

Hari ni, kalau terasa nak marah, tarik nafas. Tukar skrip:

❌ "Kenapa degil sangat! Mak marah ni sebab sayang tau tak!"
✅ "Mak sayang adik. Dan sebab sayang, Mak kena tegas. Mainan kita simpan dulu ya."

Anak tak perlukan mak yang sempurna tak pernah marah.
Anak perlukan mak yang sedar bila dia marah, dan berani betulkan.

Kita belajar sama-sama ya. InsyaAllah semakin hari kita semakin tenang dan anak semakin mendengar kata.

"Ibu bapa tenang, anak cemerlang." 

"Membangun Adab, Membina Negara

Allahu'Alam.

🌹ML
#closetoyourheart

Friday, October 30, 2026

BILA BAIK ITU MEMENATKAN



Pernah tak kita terlalu menjaga hati orang lain, sampai kita lupa hati sendiri juga perlu dijaga?

Kita mengalah, walaupun kita yang terluka.
Kita kata "tak apa", walaupun sebenarnya kita penat.
Kita tetap bantu, walaupun diri sendiri sedang bergelut.

Kita takut orang kecewa. Takut dianggap mementingkan diri. Rasa bersalah hanya kerana terpaksa berkata "tidak".

Lama-lama, kita jadi tempat semua orang bergantung harap, tapi tak ramai yang sedar betapa penatnya kita.

Hakikatnya, menjadi baik tidak bermaksud perlu mengorbankan diri tanpa batas.

Bila terlalu sibuk menjaga emosi orang lain, kita mula abaikan emosi sendiri. Kita pendam rasa tidak puas hati, kita kumpul kecewa, kita simpan penat tanpa pernah diluahkan.

Tanpa sedar, kita mula letakkan nilai diri pada sejauh mana orang lain menyukai kita.

Kita rasa berguna hanya apabila diperlukan.

Kita takut ditinggalkan jika tidak lagi membantu.

Kita sukar menolak kerana bimbang kasih sayang orang lain akan hilang.

Sedangkan, orang yang baik juga berhak ada batas. Berhak untuk berehat. Dan berhak untuk berkata tidak.

*Dalam Islam sendiri, Allah mengingatkan kita:*

> *لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا*
> _"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya."_
> *(Surah Al-Baqarah: 286)*

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa berbuat baik juga perlu mengikut kemampuan diri. Kita tidak dituntut untuk memikul beban yang melebihi daya kita, apatah lagi sehingga menzalimi diri sendiri.

Belajar bezakan:

Membantu dengan memikul semua beban orang lain itu berbeza.
Bertolak ansur dengan membiarkan diri dipergunakan itu berbeza.
Menjaga hubungan dengan mengorbankan kesejahteraan diri itu juga berbeza.

Kita tidak akan mampu buat semua orang gembira. Akan ada orang yang tetap tidak puas hati, walaupun kita sudah beri yang terbaik.

Jadi, anda masih boleh jadi orang yang baik tanpa perlu kata "YA" pada semua perkara.

Belajarlah untuk berkata:

"Maaf, saya tak mampu bantu kali ini."

"Saya perlukan masa untuk diri sendiri."

"Saya faham keadaan awak, tapi saya juga ada batas."

Itu bukan bermaksud kita kejam. Itu bermaksud kita sedang belajar menghormati diri sendiri.

*Soalan untuk renungan:*
Adakah anda berbuat baik kerana ikhlas, atau kerana takut orang tidak lagi menyukai anda jika anda berhenti memenuhi kehendak mereka?

Jangan hanya belajar menjadi baik kepada orang lain. Belajar juga menjadi adil kepada diri sendiri kerana diri anda beeharga dan anda juga berhak bahagia dan berjaya.

Jaga diri ya.

Sayang kamu
🌹ML
#closetoyourheart 
_Menemani Luka, Merawat Jiwa._
#KesihatanMental #MLSharing