Showing posts with label ADVOKASI PKP. Show all posts
Showing posts with label ADVOKASI PKP. Show all posts

Tuesday, April 21, 2020

KESAN MEDIA SOSIAL KEPADA PEMIKIRAN DAN PERASAAN

"Suka tengok post dia kat insta. Cantik rumah dia, anak dia comel comel belaka. Suami dia rajin menolong kerja-kerja rumah dan bawa dia dan anak-anak bercuti. Cantik sangat gambar-gambar mereka pergi bercuti sekeluarga. Masa PKP ni pun dia ajar anak-anak di rumah, masak sedap sedap dan rumah dia tersusun rapi. Dia isteri dan ibu yang bertuah dan sempurna."

Begitulah cerita seorang wanita kepada Mak Long dengan nada yang agak tertekan dan kesal. Beliau seterusnya meluahkan beberapa masalah berkaitan suami dan anak-anaknya.

Secara tak sedar media sosial sudah mempengaruhi pemikiran dan perasaan wanita ini. Dia membanding-bandingkan diri, pasangan, anak dan kehidupannya dengan orang lain.

Media sosial sebagai medan perolehan dan perkongsian ilmu yang bermanfaat boleh membawa kepada stres dan kerisauan apabila kerap membaca atau melihat posting orang lain yang kebiasaannya hanya membawa berita, cerita dan gambar yang menunjukkan kejayaan, kegembiraan dan kebahagiaan sahaja. 

Harga sebuah kejayaan yang dipaparkan juga semakin hari semakin tinggi. Masyarakat menganggap seseorang yang berjaya itu sempurna dari segala segi. Mereka juga kelihatan bahagia sekali.

Maka kita mudah terperangkap dalam sindrom "saya tidak cukup baik" atau "I am not good enough". Kita merasakan diri dan kehidupan kita tidak sempurna. Jadi untuk merasa "cukup baik" kita perlu memiliki apa yang orang lain ada dan berbuat seperti orang lain. Akhirnya kita berbelanja di luar kemampuan dan sentiasa mahu update posting yang indah-indah sehingga keterlaluan dan kepenatan. Pasangan dan anak-anak juga tertekan dengan sikap kita yang mahukan kesempurnaan.

Apa pun kita perlu sedar kesan media sosial kepada pemikiran dan perasaan supaya tidak terikut-ikut dengan trend dan gaya hidup orang lain tanpa prinsip.

Setiap dari kita dan setiap keluarga itu unik. Kejayaan dan kebahagiaan tidak hanya tertakluk kepada apa yang dimiliki. Terima diri dan ahli keluarga kita tanpa syarat dan bandingan. Syukuri nikmat dan hargailah apa yang ada. Sumber hikmah dan bahagia itu ada dalam diri dan dalam rumah bersama keluarga kita. Kita jaga kita.

Surah Al-Furqan, Ayat 74:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa".

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 36

Saturday, April 11, 2020

ALAM YANG DIRINDUI

ALAM YANG DIRINDUI

Assalamualaikum. Salam keindahan dan kedamaian buat semua di mana jua berada. 

Cuaca mendung di Kuantan. Hari ini masuk hari ke 26 PKP.  Puas juga duduk dalam rumah. Mak Long bersyukur boleh keluar menjengok sedikit kehijauan di laman yang kecil di hadapan rumah teres kami. Alhamdulillah. Rindu nak ke pantai, sungai dan balik kampung bertemu alam dan mendengar keriuhan suara anak-anak bermain di alam yang Mak Long rindui.

Namun sebelum ini pun keriuhan suara kecil itu semakin lama semakin kurang. Tidak seperti dulu lagi. Ibu bapa sekarang ramai yang tak begitu suka anak bermain di alam. Mereka kata kotor, bahaya dan tak ada masa nak bawa anak ke taman setiap petang. Sekarang anak-anak kita kena berkurung dalam rumah kerana PKP. Kesian. Riuh bermain di dalam rumah sahaja sepanjang masa. Semoga keruihan  mereka menjadi halwa telinga ibu ayah bukan sebaliknya.

Kita sudah semakin jauh dari alam. Kita lupa untuk menghargai alam. Kita menggunakan alam sesukanya tanpa memikirkan implikasinya. Kita tidak memulihara alam. Kita lupa betapa pentingnya alam kepada kehidupan. Kita tak sedar kesan tiadanya interaksi alam kepada jiwa.

Alam dan manusia tidak boleh dipisahkan. Alam membawa kita mengenal tuhan. Alam ada peranannya dalam mendidik jiwa.

Teringat puisi bertajuk " Mana Dia" yang Mak Long tulis dahulu. Ianya agak panjang tetapi hayatilah bait-baitnya.

Mana dia
Sinar mentari pagi
Embun di dedaun
Kicauan burung
Lambaian pepohon
Tiupan angin
Haruman bungaan
Rama-rama dan unggas bertandang...

Mana dia
Hijaunya rumput
Lembutnya tanah
Putihnya awan
Jernihnya air sungai
Birunya laut
Merdunya desiran ombak
Damainya ikan-ikan yg berenang
Anggunnya camar yang berterbangan
Banyaknya batu dan cengkerang yang boleh dikutip
Luasnya hamparan pasir yang boleh dibina

Mana dia
Cahaya senja nan merah
Mentari berlabuh
Malam yang damai
Berteman pungguk berjaga
Suara cengkerik menyanyi
Pekat malam dihiasi sinar rembulan
Kerdipan bintang-bintang bertaburan

Mana dia
Rintik hujan yang nyaman
Suara kodok yang memanggil
Tupai yang berlari
Daun semalu yang kucup dan terkulai
Bumi yang basah
Berudu yang berenang dilopak air
Pelangi yang indah selepas hujan

Mana dia
Warna-warna alam
Flora dan fauna
Yang ada hanya
Hutan batu
Jeriji yang memagari
Bunga-buangan plastik
Diwarnakan meriah
Mungkin indah di matamu
Tidak dimataku
Biarkan saja perabut dan dinding berwarna asli
Biarkan saja aku kenal
Warna-warna alam
Usah biarkan diriku dalam dunia fantasi
Realiti membuatku bahagia
Imaginasiku membawaku mencipta
Biarkan saja karya dan lukisanku mewarnai
Bukankah lebih harmoni
Bukankah lebih indah
Lukisanku dengan warna-warna alam
Yang tersirat penuh makna

Mana dia
Keindahan alam
Ciptaan Yang Maha Besar
Bawalah aku melihat dan merasai kebesaranNya
Hubungi jiwa halusku dengan yang ciptaanNya
Biar aku bermain dan meneroka alam
Dengan deriaku
Agar aku faham dunia persekitaranku
Tentu sekali damai jiwaku
Tenang hari-hariku
Membawa aku berfikir
Tentang kejadian langit dan bumi
Tentu banyak sekali persoalanku
Hingga akan tiba ketikanya
Aku akan bertanya...
Siapa yang menjadikan alam ini?
Soalan fitrah dari seorang khalifah kecil
Yang masih suci
Ibarat sehelai kain putih
Yang sedia diwarnai.

Entah bila PKP akan berakhir. Semoga kita mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. Hendaknya kita lebih menghargai dan menjaga alam selepas PKP ini.

Anak-anak perlu bermain di alam. Jiwa suci mereka harus dihubungkan dengan alam supaya tersemai benih iman seawal usia. Rujuk peranan alam dalam mendidik di sini. http://rentis.blogspot.com/2007/08/semai-iman-anak-melalui-interaksi.html?m=1

Sementara itu, manfaatkanlah alam yang sedikit sepanjang PKP ini. Boleh diusahakan menaman sayur sayuran dalam pasu bagi yang tiada laman. Libatkan anak-anak dengan elemen alam yang banyak semasa proses memasak. Main air juga baik. Kalau ada pasir biarlah anak main. Tentu mereka seronok.

Rujuk artikel "Main air baik untuk perkembangan anak." http://rentis.blogspot.com/2019/09/main-air-baik-untuk-perkembangan-anak.html?m=1

Bersabarlah wahai anak. Alam sedia menantimu. Kita boleh menang melawan virus ini bersama, insyaaAllah. Kita bisa bermain lagi di alam yang indah kurniaan Ilahi buat kita semua.

"Kanak-kanak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"-Imam Al-Ghazali.

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/ Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 25