Tuesday, October 1, 2019

PENGGUNAAN JANGAN ITU PERLU PADA TEMPATNYA

Orang kata: Elakkan daripada berkata "JANGAN" pada kanak-kanak kerana ianya akan menyekat perkembangan mereka. Ada juga orang kata perlu berkata "jangan" selalu supaya anak dengar kata.

Mak Long kata: Ada ketikanya kita PERLU berkata "JANGAN" pada anak-anak demi kebaikan anak dalam mendidik, menegur dan menetapkan had dan peraturan.

Kita juga perlu berhati-hati untuk tidak berkata "jangan" pada perkara-perkara yang menggalakkan perkembangan anak kerana ianya mengongkong anak daripada fitrah mereka yang suka mencuba dan meneroka.

Jadi ada masa dan keadaan berkara "jangan" itu perlu iaitu apabila:

📚Berpesan, Menasihati dan Menegur Anak.

Contohilah Luqman dalam menasihati anaknya dalam Surah Luqman yang menasihati anaknya supaya jangan menyekutukan Allah dan jangan sombong. Juga berbuat baik pada ibu bapa tetapi jangan taat pada ibu bapa yang menyuruh berbuat menyalahi hukum Allah.

Perkataan "jangan" ini adalah menunjukkan larangan yang tegas.

Surah Luqman, Ayat13:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.

Surah Luqman, Ayat 18:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.

Surah Luqman, Ayat 14:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapaknya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapakmu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

Surah Luqman, Ayat 15:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

📚Menerapkan Akhlak dan Adab.

Ya, anak-anak kecil membentuk sahsiah dari kebiasaan. Contoh: katakan "jangan" pada anak yang suka menyampuk orang tua sedang bercakap. Kemudian jelaskan mengapa perbuatan itu ditegah dan ajarkan cara yang betul.

📚Apabila Anak Melanggar dan Tidak Mengikut Syariat Islam.

Contoh: Anak yang sudah baligh tidak menutup aurat dengan betul. Peringatkan anak tentang syariat wajib menutup aurat dan peraturan menutup aurat dalam Islam.

📚Apabila Anak Membahayakan Diri Sendiri dan Orang Lain

Anak kecil belum boleh menilai banyak perkara. Jadi berkata  "jangan" dapat menjaga keselamatan diri mereka dan orang lain.

Contoh: Anak 2 tahun yang menolak kanak-kanak lain. Katakan "jangan" dengan nada tegas dan beritahu bahawa perbuatan itu salah dan ianya membahayakan orang lain.

📚Apabila Anak Merosakkan Barang, Harta Benda dan Alam.

Anak perlu dididik untuk menjaga barang dan memulihara alam sejak kecil.

Contoh: Kalau anak memetik dan merosakkan pokok bunga. Katakan "jangan" dan didik anak supaya menghargai kecantikan dan memulihara alam.

📚Apabila Anak Makan dan Minum Yang Memudharatkan dan Membazir.

Katakan "jangan" apabila anak makan dan minum berlebihan atau yang tidak baik untuk kesihatan seperti jajan dan minuman yang banyak kandungan gula.

Berkata jangan membantu kanak-kanak membezakan yang baik dan buruk serta belajar mengenai had dan peraturan. Selebihnya biasakan mengatakan "boleh tetapi" pada keadaan lain supaya anak tidak rasa tertekan dengan kehendak ibu bapa.

Contohnya kalau anak nak main luar tetapi demam katakan "boleh tetapi biar baik demam dulu". Memberi arahan kepada anak perlulah jelas dan lebih berkesan dengan menggunakan arahan-arahan positif seperti "jalan elok-elok" atau "hati-hati" berbanding "jangan berlari"sahaja.  Kalau anak berdiri dan kita mahukan mereka duduk. Katakan "sila duduk" dan elakkan berkata 'jangan berdiri'.

Memang agak sukar untuk bertukar daripada kebiasaan kita. InsyaAllah, dengan ilmu dan keinginan untuk berubah, perkara baik akan dapat kita jadikan kebiasaan kita dalam mendidik anak-anak.

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya"

Allahu A'lam.

Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
rentis.blogspot.com
t.me/RentisMakLong

No comments: