Sunday, February 10, 2019

FAHAMI RAGAM ANAK, SANTUNI FITRAH YANG MINTA DIPENUHI


Anak kecil belum mampu dan tidak tahu bagaimana untuk meluahkan isi hati jika emosi mereka terganggu. Mereka dilihat menunjukkan pelbagai ragam. Begitulah cara si kecil untuk meraih perhatian ibu ayah kerana diri mereka perlu kembali disantuni.

Ragam itu sesuatu yang normal dan berlaku untuk memastikan hak anak dipenuhi. Contoh mereka perlukan kasih sayang, perlu rangsangan fizikal, bahasa pemikiran dan jiwa.

Anak juga meragam apabila dikongkong. Mereka perlu BERMAIN dan meneroka dengan bebas supaya mereka melalui proses mengalami dan memaknai kehidupan. Itu sesuatu yang alami kerana anak dilahirkan untuk memikul amanah sebagai KHALIFAH dimukabumi Allah SWT.

Hidup dan suburkan JIWA dan semai IMAN anak secara fitrah. Santuni HAK mereka.

"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"-Imam Al-Ghazali

"Semai iman anak melalui interaksi alam"-Abdullah Nashih Ulwan

"Melakukan kekerasan pada anak adalah memudharatkan"-Ibnu Khaldun

Dikongsikan antara koleksi puisi Mak Long yang berkaitan.

RAGAM KASIH

Ibu Ayah,
Apabila aku menangis
Peluk dan cium aku
Ungkapkan sayang
Kerana seharian aku
Tidak mendengarnya darimu

Ibu Ayah,
Apabila aku bosan
Bermainlah bersamaku
Kerana seharian aku
Bermain dengan kawan-kawanku

Ibu Ayah
Apabila aku mengganggu kerjamu
Dengan celoteh ku
Berhentilah sebentar
Berbual dengan ku
Kerana seharian
Aku bersama pengasuhku

Ibu Ayah,
Apabila aku merengek
Bawa aku keluar
Melihat keindahan alam
Agar damai jiwaku

Ibu Ayah,
Apabila aku lasak
Bawa aku ke taman
Biar aku berlari sepuasnya
Sampai kepenatan
Agar awal tidurku

Ibu Ayah,
Bila aku sukar lena
Dodoi aku dengan
Cerita yang asyik
Dan lagu yang merdu
Pasti indah sekali mimpiku

Ibu Ayah,
Besok
Moga aku bangun
Dengan ceria dan senyuman
Mahu ke taska lagi

Ibu Ayah,
Aku faham kau harus pergi
Sementara aku ditinggalkan
Cepat pulang ya...
Sungguh aku rindu

Ibu Ayah,
Tika bersua kembali
Ragamku tanda menagih kasih
Buat mengubat rindu 
Demi masa yang sedikit

Ibu Ayah,
Beri aku sedikit perhatian
Dalam ragam kasihku
Seketika cuma masa ku pinta
Tika usiaku masih memerlukan
Sebelum ia berlalu…
Agar aku tahu aku disayangi…..

Allahu A'lam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: