Saturday, July 13, 2019

KESEJAHTERAAN KELUARGA ASAS DIDIKAN ANAK YANG EFEKTIF


Kita tak perlu terlalu fikirkan program atau aktiviti untuk mengajar anak. Segalanya bermula dan sentiasa ada di rumah.
Apa yang penting adalah kestabilan keluarga sebagai asas pendidikan bermakna di rumah dalam rutin harian dan interaksi sesama ahli keluarga, jiran tetangga dan apabila tetamu bertandang. Anak-anak juga sukakan kebersamaan dan keluarga yang sejahtera adalah asas kepada kecemerlangan anak-anak.
Ibu ayah juga tidak perlu tips atau ilmu yang terlalu banyak. Ianya natural sahaja. Kanak-kanak sebenarnya banyak belajar dari pemerhatian dan peniruan (Imam Al-Ghazali dan Bandura).
Kehidupan seharian dalam keluarga yang sihat membantu anak membina konsep kendiri, identiti diri, disiplin, proses berfikir, berkomunikasi dan menyokong perkembangan mereka secara holistik.
Keluarga yang mengamalkan rutin dan interaksi yg sihat juga membantu mencegah dan menangani masalah tingkah laku anak.
Contoh, Dr James Dobson dalam bukunya " Bringing up boys" menulis mengenai kajian Dr. Catherine Snow seorang Professor dalam pendidikan di Harvard's Graduate School of Education yang mengikuti 65 keluarga selama 8 tahun. Dr. Snow mendapati bahawa masa makan malam bersama keluarga lebih bernilai kepada perkembangan kanak-kanak berbanding masa bermain dan bercerita bersama.
Dikongsikan juga kajian yang dilakukan oleh Dr. Blake Bowden of Cincinnati Children's Hospital Center. Dia dan rakan sekerja menjalankan kaji selidik terhadap 527 remaja bagi melihat kaitan kekeluargaan dan kesihatan mental serta kesan peranan keluarga dalam proses pemulihan. Dapatan mereka adalah anak yang makan malam bersama ibu bapanya sebanyak 5 kali atau lebih seminggu kurang terdedah kepada penyalahgunaan dadah, kemurungan dan masalah berkaitan undang-undang. Remaja dalam keluarga begini juga menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah. Sebaliknya remaja bermasalah makan malam 3 kali atau kurang dalam seminggu bersama ibu bapa mereka.
Apa pun ibu bapa perlu menyediakan persekitaran rumah yang kondusif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Ibu bapa adalah contoh atau "role model".
Kita masih dalam bulan Syawal yang sarat dengan aktiviti kekeluargaan. Ayuh kita sama-sama merebut peluang memberi pengalaman bermakna kepada anak-anak kita mengikut agama, abab dan budaya kita dalam beraya bersama.
"Melentur buluh biarlah dari rebungnya".
"Rumah madrasah pertama. Ibu bapa guru utama.
Kembalikan peranan ibu bapa. Perkasakan institusi keluarga."

Allahu 'Alam.
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long

#SentuhanBapaBelaianIbu
#Back2BasicS

No comments: