"Anak-anak saya (4 tahun dan 2 tahun) kalau mandi mesti lama dan payah nak keluar bilik mandi sebab suka sangat main air. Jenuh nak suruh keluar terutama pada masa kemuncak bila semua orang perlu menggunakan bilik air contohnya waktu petang. Kadang-kadang marah pun tak dengar kata. Macamana cara nak bagi anak tak main air." Begitulah keluhan dan pertanyaan sorang ibu kepada Mak Long.
Soalan begini banyak Mak long terima daripada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Sebenarnya bermain air itu fitrah anak kecil dan ianya sangat bagus untuk perkembangan mereka terutama perkembangan deria, fizikal dan kognitif. Jadi secara natural bila ada peluang kanak-kanak memang akan main air. Tempat dan masa yang boleh mereka main air biasanya adalah dalam bilik mandi semasa mandi.
Sebaiknya ibu bapa menggalakkan anak bermain air. Anak-anak yang dirai fitrahnya akan membesar dengan tenang, aktif, yakin diri dan berkembang dengan baik. Anak kecil yang diraikan fitrahnya juga kurang merengek.
Apa pun anak perlu tahu bila dan di mana boleh main air dengan meletakkan had dan peraturan yang sesuai. Contoh, boleh bermain air di kawasan luar rumah pada waktu pagi atau petang dengan pemantauan orang dewasa.
Sediakan peralatan dan mainan yang sesuai dengan umur dan kebolehan anak. Contoh, kanak-kanak 2 tahun suka bermain air dengan bekas-bekas yang pelbagai saiz. Mereka boleh bermain, menuang dan meneroka pelbagai cara. Semua ini sangat baik dan cara yang efektif untuk merangsang deria, kemahiran motor halus dan pembentukan konsep. Ianya juga memberi pengalaman yang bermakna kepada kanak-kanak.
Rujuk artikel berkaitan pembentukan konsep bertajuk "Bermain Penting Untuk Pembentukan Konsep" https://rentis.blogspot.com/2019/08/bermain-penting-untuk-pembentukan-konsep.html?m=1
Bermain dalam bilik mandi mungkin boleh dibenarkan pada waktu bukan kemuncak dengan meletakkan had masa dan peraturan. Contoh, main buih sabun dalam besin selama setengah jam pada pukul 10 pagi dan tidak menutup pintu bilik mandi untuk tujuan pengawasan.
Manfaatkanlah alam dengan membawa anak ke tepi sungai atau laut untuk mandi dan bermain air sepuasnya. Bermain dengan elemen alam, pasir dan tanah sangat menarik minat kanak-kanak dan meningkatkan kreativiti mereka.
Mengajar anak berenang juga baik dan sangat ditekankan oleh agama Islam.
Daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:
عَلِّمُوا أَبْنَاءَكُمُ السِّبَاحَةَ وَالرَّمْيَ
Maksudnya: “Ajarlah anak kamu berenang dan memanah”.
Sesekali apa salahnya membenarkan anak mandi dan main air hujan di luar rumah. Elakkan hujan ketika jerebu dan mandi terlalu lama terutama ketika musim sejuk. Juga awasi anak ketika musim banjir.
Apa pun aspek keselamatan harus diutamakan. Ibu bapa perlu mengawasi anak yang bermain air.
"Kanak-kanak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya."- Imam Al-Ghazali
Wallahu A'lam.
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
rentis.blogspot.com
Klik t.me/RentisMakLong untuk serta catatan Mak Long di Channel Telegram
No comments:
Post a Comment