Showing posts with label TIP MENGAPA MESTI MENULIS. Show all posts
Showing posts with label TIP MENGAPA MESTI MENULIS. Show all posts

Thursday, July 9, 2020

TIP MENGAPA MESTI MENULIS--MENULIS ADALAH PROSES MENGENAL DIRI DAN BERMUJAHADAH

Ramai orang mahu menulis. Bercita-cita menjadi penulis yang baik.

Ramai juga yang tahu bahawa mereka sebenarnya boleh menulis.
.
.
Anda ada banyak sebab kenapa mahu menulis. Anda jelas apa yang anda mahukan dari menulis.

Tapi seringkali niat yang murni atau "The Big Why" sahaja belum cukup untuk merealisasikan impian anda.

Jadi apakah yang menghalang anda untuk menulis?

Anda perlu lakukan latihan refleksi diri ini. Senaraikan segala faktor atau perkara yang anda rasakan penghalang kepada impian anda untuk menulis. Usah fikir terlalu dalam. Senaraikan sahaja apa yang terlintas. Jujur dengan diri sendiri.

✏Faktor Yang Menghaĺang Saya Untuk Menulis:-

1.
2.
3.
.
.
Sambung baca seterusnya selepas anda sudah menulis semua faktor penghalang.
.
.
Syabas. Anda sudah lalui proses refleksi diri. Ini penting kerana ianya berkaitan dengan proses mengenal diri.

Ya, kita perlu mengenal diri. Antaranya kenal mechanisme membela diri atau "defense mechanism" kita yang menjadi penghalang kepada cita-cita untuk menjadi penulis. 

Ada banyak cara diri cuba mengelak dari menulis. Antara cara membela diri yang paling banyak digunakan adalah BED:

🎯B- Blame-Menyalahkan orang lain atau faktor luaran seperti anak masih kecil atau suami saya tidak begitu menggalakkan menulis.

🎯E- Excuse-Alasan. Memang kita boleh jadi sangat kreatif mencari alasan. Contoh, tiada komputer atau tak ada masa untuk menulis.

🎯D- Denial-Menafikan. Contoh, belum cukup ilmu atau merasakan diri tak pandai menulis.

Menulis halangan sebenarnya merupakan proses melihat ke dalam diri. Suara hati kita tahu jika kita menipu diri kita sendiri. Apa jua penghalangnya jika kita memilih jalan kebenaran kita tentu temui petunjukNya. 

Contoh, kalau kita kata kita tiada komputer, boleh menulis menggunakan handphone. Mudah saja. Ada caranya. Boleh belajar. Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih.

Satu lagi perkara yang sering jadi penghalang adalah "FEAR--False Expectation Appering Real" atau ketakutan yang selalunya kurang berasas seperti takut orang kata, takut salah atau takut dikecam netizen.

"FEAR" bukanlah sesuatu yang buruk tetapi ianya perlu dikuasai bukan  menguasai kita.

"FEAR" juga boleh dijadikan sebagai peringatan. Contoh kalau kita takut salah kita akan lebih berhati-hati dan lebih ihsan dalam menulis. Iya, menulis untuk keberkatan dan pahala yang berpanjangan perlukan penelitian dan rujukan yang betul.

Sebenarnya ramai di antara kita sudah pun menulis, di media sosial; IG, FB, WA dan sebagainya. Tapi adakah kita sedar dan teliti bahawa apa yang kita tulis itu baik niat dan caranya.

Ingat! Niat tidak menghalalkan cara.
.
.
Seterusnya, kalau kita takut orang kata atau dikecam netizen. Periksa diri kita. Adakah itu ego atau hawa nafsu kita atau mungkin bisikan syaitan. Lawanlah. Itulah proses mujahadah. 

Tulis yang baik-baik insyaAllah akan diterima dengan baik. 

Jika kita dikritik, periksa hati kita, terima dan baiki sekiranya ianya betul. Abaikan sekiranya ianya tidak betul. Semua itu mehnah atau cabaran dalam perjuangan. 

Berdamai dengan diri dan orang lain. Banyakkan beristighfar, baca al-Quran dan memohon pertolongan Allah dengan sabar dan solat. Teruskan memperkaiki diri dan berkarya. Manisnya insyaAllah akan kita rasai. 
.
.
Kalau kita kata kita tidak mahir menulis. Belajar dan mulalah menulis. 

Bak kata A.Samad Said, "Mahir menulis dengan menulis".

Bak kata Mak Long, "Have faith!, Execute. Progress as you go." 

Bak kata pepatah melayu, "Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya".

Allahu 'Alam

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#CoachingPenulisanBersamaMakLong

Thursday, June 4, 2020

TIP MENGAPA MESTI MENULIS-MENULIS ITU TERAPI

Assalamualaikum. Salam keindahan dan kebahagiaan buat semua🌹.

Saya mula menulis kira-kira 20 tahun yang lepas. Itu pun secara tidak disengaja.

Pada ketika itu saya memegang jawatan setiausaha kepada satu badan NGO. Kami dapat satu kolum menulis setiap minggu di akhbar Berita Harian bagi tujuan advokasi. Jadi pusat mengagihkan tugasan kepada setiap negeri.

Bila tiba giliran Pahang menghantar artikel, saya mencari ahli yang dapat menghasilkan satu artikel tetapi tiada yang menyahut cabaran. Jadi saya ambil tugasan itu atas rasa tanggungjawab.

Apabila artikel pertama saya yang bertajuk "Ilmu dan kemahiran keibubapaan penting dalam mendidik anak-anak" disiarkan, saya menjadi sangat teruja. Siap beli beberapa naskah surat khabar hari itu..haha.

Kemudian saya mencuba menulis puisi. Puisi pertama saya bertajuk "Nyanyian Cengkerik". Memang agak sukar mulanya tapi saya belasah saja.

Ketika itu Facebook baru bermula. Jadi saya menulis puisi dan post di FB; syok sendiri. Adalah kawan-kawan FB yg like dan komen. Bertambah sukalah saya berkarya.

Kemudian ilham datang dalam Bahasa Inggeris. Poem pertama saya bertajuk "Needing You"

So I keep on writing.

I write...and write and write...

Fast forward...

Lama kelamaan saya dapat rasakan kelainan. Pada mulanya penulisan saya agak jiwang. Lebih fokus pada diri sendiri dan masalah yang dihadapi. Kemudian ianya berbunyi lebih damai dan akhirnya ianya lebih memperkasakan diri saya dan ada komen yang mengatakan ianya menginspirasikan mereka. Kemudian saya mula menulis dengan tagline #EmpoweringYou!.
.
.
Menulis itu terapi sebenarnya. Itu yang saya rasai. Ianya adalah satu proses yang membawa saya menyelami diri dan mengenali diri. Ianya membongkar kisah-kisah yang terpendam dan menyembuhkan "kesakitan-kesakitan" lama (the unfinished business). 

Syukur saya menemui kembali diri saya yang "hilang".

Ayuh menulis. Semua orang boleh menulis.

"Just show up, pick up the pen and keep doing it."- Natalie Goldberg, "Writing Down The Bones"

"Mahir menulis dengan menulis."- Tan Sri A. Samad Said

"A good writer educates, a great writer inspires, a wise writer opens the heart--to seek the truth, to understand."- Rosnah Ahmad

Allahu 'Alam.

🌹Rosnah Ahmad/Mak Long
rentis.blogspot.com
#EmpoweringYou!
#CoachingPenulisan

Saturday, December 3, 2016

MENJADIKAN MASALAH PELUANG MENDIDIK DIRI

TIP MENGAPA MESTI MENULIS
MENJADIKAN MASALAH PELUANG UNTUK MENDIDIK DIRI
Oleh: Rosnah Ahmad

Mendidik anak-anak banyak cabarannya. Saya mengambil pendekatan untuk menjadikan masalah sebagai peluang untuk mendidik diri dan keluarga. Biasanya saya akan mencari alternatif  jalan penyelesaian kepada permasalahan yang sedang dihadapi. Saya berusaha menggunakan alternatif yang ditemui dalam menangani masalah  karenah anak-anak.  Kemudian saya menulis proses bagaimana saya menangani karenah anak-anak dalam perkongsian  Tip Keibubapaan dalam blog saya rentis.blogspot.com. Contoh:

TIP RAMADHAN: PUASA DIDIK ANAK LEBIH EMPATI

“Mak, adik lapar lah” rungut anak saya Izzuddin ( 10 tahun) setiap petang dari hari pertama puasa hingga ke hari ini.

“Kalau adik lapar, waktu berbuka puasa nanti Insyaa- Allah tersedia hidangan enak tetapi bayangkan orang miskin yang lapar belum tentu dapat makan hari ini. Sebab itu Allah perintahkan kita berpuasa supaya kita merasai derita orang miskin dan selalu bersedekah membantu mereka.” jawab saya dengan nada mendidik.

Izzuddin mengangguk seakan mengerti dan berhenti merungut. Sekurang-kurangnya untuk hari ini dan besok perkara yang sama mungkin berulang. Saya akan mengulangi jawapan-jawapan untuk mendidik. Apa pun senyuman dan ciuman mesra tetap saya berikan sebagai pengukuhan.

Kanak-kanak seawal 3 tahun sudah mula menunjukkan rasa empati dan belas kasihan kepada orang lain. Kanak-kanak berinteraksi dan memberi makna kepada kehidupan mereka secara natural dan dengan bantuan orang yang lebih dewasa.

Apa pun puasa mendidik sahsiah dan kerohanian anak. Selain lapar dan dahaga  mendidik anak untuk merasai kesengsaraan orang lain, puasa juga mendidik jiwa anak untuk selalu bersyukur, bersabar  dan bersedekah. Sebulan masa latihan jiwa berpuasa Insyaa-Allah dapat mengukuhkan keperibadian unggul anak.

Sekian. Wallahu A’lam.

#CoachingPenulisan
#MengapaMestiMenulis

TIP MENGAPA MESTI MENULIS #3- BELAJAR DAN MENGAJAR


Saya sering menggunakan penulisan sebagai salah satu cara untuk belajar dan memahami sesuatu. Sebagai contoh puisi  “Amanah” adalah teori, falsafah dan pandangan Islam terhadap pendidikan kanak-kanak usia awal.Proses menulis puisi ini membawa saya untuk benar-benar merujuk dan memahami teori dan falsafah Islam. Saya juga menggunakan puisi ini untuk mengajar dan advokasi.


Amanah...
Rosnah Ahmad

Dengarlah 
Suara hatiku
Insan kecil ibarat sebutir permata
Yang amat berharga
Yang sangat istimewa
Namun perlu digilap
Agar bercahaya...

Akulah anugerah Ilahi
Amanah buat ibu dan ayah
Yang dilahirkan ibarat kain putih
Yang sedia dicorak
Seperti sabda Rasulullah
Anak itu lahirnya fitrah
Ibu ayah bertanggunjawab
Membesarkan anak menjadi insan 
Yang beriman
Berakhlak mulia
Dan berilmu...

Ibu ayah,
Sayangilah aku
Santunilah fitrahku
Seperti pesan Saidina Ali
Bermainlah dengan anak
Beri dan ajarlah tentang sayang
Manjakan anak dengan lembut dan rasa cinta
Pada usia tujuh tahun pertama
Didiklah anak dengan ketegasan dan disiplin 
Pada usia tujuh tahun kedua
Bersahabatlah dengan anak
Pada usia tujuh tahun ketiga...

Ibu ayah,
Didiklah aku dengan akhlak mulia
Galakkan aku bermain ketika kecil
Agar hidup jiwaku
Seperti pesan Imam Al Ghazali
Hati anak adalah suci ibarat mutiara yang berharga
Indah bersih
Didiklah anak dengan akhlak yang mulia
Usah dicemari dengan teladan yang buruk
Anak yang tidak dibenarkan bermain
Akan mati jiwanya...
Ibu ayah,
Galakkan aku meneroka alam yang indah ini
Agar aku kenal Maha Suci Tuhan
Yang Maha Mencipta
Seperti pesan Cendiakawan Abdullah Nashih Ulwan
Hubungkanlah anak dengan alam
Agar subur imannya...

Ibu ayah,
Galakkan aku belajar dengan bahan maujud
Ajar aku dari mudah ke susah
Dari yang dekat kepada yang jauh
Secara berperingkat
Bimbinglah aku dengan lembut
Beri pujian atas usahaku
Usah kau paksa diluar kemampuanku
Nanti hilang minat belajarku
Seperti pesan Ibnu Khaldun
Didiklah anak dengan kelembutan
Bukan dengan kekerasan...

Ibu ayah,
Kenalilah potensiku yang berbeza
Usah banding-bandingkan
Seperti pesan Ibnu Sina
Didik anak dengan adab Islam
Galakkan perkembangan fizikalnya
Berilah peluang anak berkembang
Mengikut kecenderungannya...

Ibu ayah,
Ingatlah pesan Allah
Anak itu perhiasan dunia
Juga ujian buatmu
Janganlah engkau lalai...
Ibu ayah,
Didiklah aku dengan sabar
Dengan penuh kasih sayang
Dengan ilmu dan kemahiran
Serta amalan yang bersesuaian
Dengan tahap umur dan kecenderunganku
Doakan aku 
Menjadi anak yang soleh...

Ibu ayah,
Ingatlah...
Apabila kau pergi mengadap Ilahi
Terputuslah amalanmu
Kecuali tiga perkara
Sedekah jariah
Ilmu yang berguna
Dan anak soleh yang mendoakan

Tuesday, May 22, 2007

TIP MENGAPA MESTI MENULIS-MENULIS MENUKAR CORAK PEMIKIRAN

Sesetengah Ayat Quran, dan semua doa dan solat adalah penegasan ( affirmations) yang sentiasa kita ikrar dan ulang supaya minda bawah sedar kita selari dengan tujuan hidup kita ( our subconscious is aligned with our life purpose). Ini akan menolong kita membentuk personaliti dan tindakan kita. ( terima kasih kepada  Dr. Suriya atas perkongsian tip ini daripada Empowered Leaders In Training ( ELIT) ) 

Menulis kalimah toiyibah bukan sahaja sedekah yang disarankan oleh Allah tetapi juga merupakan penegasan yang efektif. Ia membantu menukar corak pemikiran yang insyaa-Allah akan membawa realiti kejayaan kepada penulis.

Ramai dihantui oleh sempadan minda yang menganggap diri belum cukup baik dan cukup ilmu untuk menulis. Tapi sebenarnya kita memperbaiki diri dan menambah ilmu apabila kita menulis. Tanpa disedari semasa kita mencari bahan dan menulis kitalah orang pertama mendapat ilmu dan sedang membuat penegasan  yang baik pada diri. Insyaa-Allah kita akan terus berubah seiring dengan usaha penulisan yang kita lakukan.

Sekiranya kita terpaksa menulis berulang-ulang kali—jangan bimbang kerana sebenarnya pengulangan dan pengukuhan sedang berlaku. Seperti kanak-kanak orang dewasa juga belajar dari pengulangan dan pengukuhan.

“Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”.

Wallahua’lam. Sekian.

Rosnah Ahmad.

TIP KENAPA MESTI MENULIS-KEHIDUPAN ITU TARBIYAH

TIP MENGAPA MENULIS #2
KEHIDUPAN ITU TARBIYAH

Setiap insan adalah unik dan istimewa.  Setiap orang datang dari latar belakang keluarga, pendidikan, pekerjaan dan pergaulan yang berbeza. Perjalanan hidup  mencari redha Allah seseorang juga berbeza. 

Kehidupan adalah tarbiyah yang apabila dikongsi boleh dimanafaatkan oleh pembaca terutama golongan muda yang sedang mencari-cari identiti diri. Juga golongan yang sedang mencari-cari jalan keluar darip apa jua permasalahan yang sedang dihadapi.

Contoh  buku “ Mengapa Saya bekerja ?” terbitan PTS Publication adalah kompilasi cerita wanita berkerjaya oleh lebih 20 orang penulis termasuk saya sendiri. Perkongsian cerita wanita-wanita ini boleh menaji pedoman kepada pembaca. Mereka boleh reflek dan belajar dari pengalaman wanita-wanita ini.

Buku “ Ibu Madrasah Pertama” keluaran Tinta Ori Enterprise pula adalah kompilasi 25 orang anak-anak yang menulis berkaitan ibu mereka.  Buku ini juga menceritakan bagaimana ibu menjadi sumber inspirasi mereka untuk meniti kejayaan hari ini.

Menulis pengalaman dari hati yang ikhlas boleh menyentuh pembaca dan memotivasikan mereka untuk berubah. Dalam diri setiap orang  ada penawar buat diri dan orang lain, Insyaa-Allah.

 Publish or perish”.

Wallahu A’lam

Rosnah Ahmad