Showing posts with label PUISI. Show all posts
Showing posts with label PUISI. Show all posts

Thursday, September 5, 2024

Teguh

Semalam
Ada saja yang menganggu rasa
Rasa menyesal
Rasa bersalah

Besok
Ada rasa yang merisaukan
Risau soal rezeki
Risau soal mati

Hari ni
Aku alpa bahawa hari ni juga belum tentu punya aku
Ya, saat ini aku masih diberi kesempatan
Aku ada pilihan
Rasa bersalah
Mahu mengaku dan menjadi lebih baik
Atau menyalahi diri
Dan terus menyalahi diri
Hingga runtuh...

Bangkit
Ya, bangkit setelah runtuh
Sembuh dan berusaha tumbuh
Yang di masa lalu jadikan pengajaran
Yang di hadapan usah terlalu khuatir
Yakin dan berserahlah kepadaNya

Ayuh, bangkitlah lagi
Walau jatuh berkali-kali
Tak mengapa
Kerana itulah proses
Yang memperkasakan kamu
Agar terus tumbuh 
Dan menjadi lebih teguh.

🌹ML
#closetoyourheart

Gambar- Mak Long dan pokok petai yang ml tanam kat PAWE Kuantan.. moga terus tumbuh, membesar dan berbuah.. katanya lagi dua tahun berbuah insyaAllah

Friday, November 3, 2023

MENJARAK

Terkadang.
Segalanya kusut
Sukar untuk dileraikan
Mahu saja lari dari segala hiruk pikuk
Mencari tempat pulang
Untuk rasa aman
Nyaman
Tenteram...

Menjaraklah
Bersunyi-sunyi dengan Dia dan alam
Ruang yang memisahkan dari segala keributan
Untuk memaknai apa yang berlaku
Untuk menerima kebenaran
Untuk menemui kembali fitrah diri yang hilang
Untuk menyembuh
Agar terus tumbuh dan dewasa

Saturday, August 1, 2020

PENGORBANAN SEORANG HAMBA

Aku wanita
Seorang anak 
Seorang kakak
Isteri dan ibu
Aku juga bekerja
Berniaga
Menyantuni ummah
Di medan pilihan
Seadanya aku...
Semampunya aku?

Apakah benar pengorbanan yang aku lakukan?
Cukupkah pengorbanan yang aku buktikan?
Untuk apakah pengorbanan yang aku berikan?

Ku hayati erti pengorbanan dan ketaatan
Ibrahim dan Ismail 
Pengorbanan seorang bapa
Ketaatan seorang anak
Demi Cinta Agung

Wahai Tuhan,
Pengorbananku terasa kecil sekali
Tidak setanding pengorbanan RasulMu
Pintaku padaMu 
Jika ada pengorbananku
Kau terimalah... 
Pengorbanan seorang hamba
Kerana Cintaku kepadaMu
Demi meraih redhaMu.

🌹Rosnah Ahmad/Mak Long
3 Zulhijjah 1441H

Thursday, July 2, 2020

Bahagia

Mencari bahagia.
Jenuh mencari bahagia. 
Ke sana ke sini
Namun semakin lama semakin tidak ditemui
Letih...

Mengejar bahagia
Puas mengejar bahagia
Ke hulur ke hilir
Namun semakin dikejar semakin menjauh
Lenguh...

Mencipta bahagia
Ralik mencipta bahagia
Di status di skrin
Namun semakin hari semakin sukar memenuhinya
Lelah...

Mengapai bahagia
Sesiapa sahaja mampu mengapai bahagia
Bahagia itu dari dalam diri
Terbenam bagai permata di dasar hati
Terlindung keindahan cahaya
Cahaya atas cahaya...
Sumber kebahagiaan hakiki

Bahagia itu terletak pasa ketenangan hati
Hati yang bertuhan
Memiliki dan dimiliki
Tiada selain Dia
Itulah bahagia...
Bahagialah diri yang memilikinya.

🌹Mak Long

Tuesday, June 30, 2020

Leraikan dunia di hatiku

Di alam fana ini
Disimbah ujian
Dilimpah kenangan
Adakalanya meruntun rasa
Sakitnya mencengkam jiwa.

Tuhan...
Di mana Engkau dihatiku
Jika perjuangan ini buatMu
Seharusnya aku rasa manisnya

Tuhan...
Kau leraikan dunia di hatiku
Agar aku kecapi damai yang hakiki.


Saturday, April 11, 2020

DAMAI YANG HILANG

Mencari
Ku mencari damai
Jauh aku berjalan
Menempuh jalan berliku
Namun tiada ketemu
Malah terasa semakin jauh

Mencari
Ku mencari damai
Damai yang hilang
Ku temui jua...
Dekat denganku

🌾Nah
#DudukRumah

Tuesday, May 7, 2019

DIA

Assalamualaikum. Salam keindahan dan kedamaian. Salam 3 Ramadhan. Semoga hari ini lbh baik dr smlm. 🍁🌸🌱

DIA
Nukilan Rosnah Ahmad/Mak Long

Sabarlah wahai diri,
Yang memberi itu Dia
Dia...
Yang Maha Pemurah
Usah kau gusar...

Sabarlah wahai diri,
Yang mengasihani itu Dia
Dia...
Yang Maha Pengasih
Usah kau sepi...

Sabarlah wahai diri,
Yang mendengar itu Dia
Dia...
Dia Yang Maha Mendengar
Usah kau ragu...

Sabarlah wahai diri,
Yang Esa itu Dia
Dia...
Yang Maha Agung
Syukuri apa yang ada
Nikmat dan rahmat dariNya
Usah kau dustakan...

Sabarlah wahai diri,
Redhalah dengan Dia
Dia...
Yang Maha Mengetahui
Isi hatimu
Dia...
Yang Selalu Ada
Usah kau bersedih...

Wahai diri,
Cukuplah DIA bagimu sebagai sebaik-baiknya penolong.
Senangkanlah hatimu
Kerna...
Dirimu berharga!

#SenangkanlahHatimu
#EmpoweringYou!

Friday, March 8, 2019

Selamat Hari Wanita Antarabangsa

Wahai wanita
Kau sebaik-baik kejadian
Jagalah dirimu
Supaya kau mampu menjaga orang lain
Santuni fitrah dirimu
Supaya kau mampu menyantuni orang lain
Sayangi dirimu
Supaya kau mampu menyayangi orang lain...

Wahai wanita
Letakkan harga dirimu di tempatnya
Usah biarkan dirimu dizalimi dan disakiti
Perisai dirimu dengan sempadan diri dan ketegasan
Kau berhak dihormati dan dihargai...

Wahai wanita
Lelaki dijadikan sebagai pelindung
Minta dan terimalah hak dirimu
Usah kau rasa bersalah
Berbuat lebih dari kemampuan
"Berkorban" hingga terkorban
Terabai dan tertekan
Kau berhak dilindungi dan disayangi...

Wahai wanita
Kenali dirimu
Indahkan jiwamu
Jadilah wanita yang bahagia dan membahagiakan
Penyeri dan pelengkap
Yang memelihara dan mendidik
Mengasihi dan menyayangi
Dengan kelembutan seorang HAMBA
Bergelar WANITA...
Anugerah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Buat seluruh alam.

🌹Selamat Hari Wanita

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long 
#EmpoweringYou!

Tuesday, February 5, 2019

Februari muncul lagi-6 Feb 2019

Demi masa
Yang saban tahun ku titi
Demi usia
Yang kian memamah tubuh
Demi waktu
Yang kian sedikit...

Sedarlah wahai diri,
Usah kau mengumpul untuk ditinggalkan
Usah mengejar yang semakin jauh
Usah berharap pada yang fana
Berdamailah dengan DIA
Berdamailah dengan dirimu
Berdamailah dengan semua...

Ingatlah wahai diri,
Kapan saja kamu bisa ke sana
Belajarlah melepaskan di sini
Berbaktilah demi masa berbaki
Demi meraih redhanya Tuhan
Yang Maha Pengampun
Yang Maha Mengasihani...

Insaflah wahai diri,
Selalulah mengingati yang PASTI
MATI yang bakal menjemputmu
Pertingkatkan amalmu yang baik
Perindahkan qalbumu
Di kala rumahmu berkata pergi
Moga tempat tinggal yang lebih baik
Sedia menantimu...

🌾Mak Long
6 Feb 2019

Sunday, November 4, 2018

"Syurga"ku

Di rumah kecil ini
Bermulanya sebuah harapan
Lahirnya permata hati
Bersama cinta dan kasih...

Dirumah kecil ini
Ku mengerti erti pengorbanan
Erti pengislahan dan perjuangan
Hakikat kehidupan dan kematian...

Di rumah kecil ini
"Syurga"ku
Dan jalan menuju SyurgaMu...

Tuesday, November 28, 2017

Dia Yang Selalu Ada

Usah bersedih jika ada yg mengatamu
Jika ada yang tidak suka padamu
Kerna mungkin ada iri di hati mereka
Usah terlalu gembira jika ada yg memujimu
Kerna mungkin mereka hanya mengampumu
Usah takut walau kau harus berdiri  sendiri
Kerna sesungguhnya kau tidak keseorangan
Dia tetap ada bersamamu
Dia Yang sangat dekat denganmu
Dia Yang Maha Tahu setiap langkahmu
Dia Yang Maha Melihat setiap jatuh bangunmu
Dia Yang Maha Mendengar setiap rintihanmu
Dia Yang Maha Memberi Pertolongan
Dia Yang Maha Pengasih lagi Penyayang
Dia yang selalu ada
Cukuplah Dia buatmu.

Mak Long
#SenangkanlahHatiMu

Monday, October 2, 2017

Sahabat

Sahabat
Jika dirimu jatuh
Carilah daku
Usah menyendiri...

Sahabat
Jika dirimu bangkit
Aku yang paling gembira
Menyokongmu disetiap usahamu...

Sahabat
Jika kau berjaya
Memberilah sebanyak-banyaknya
Tentu bahagia aku melihat kejayaanmu
Tiada apa yang ku pinta
Hanya kiriman doa
Dan ukhwah yang mekar
Hingga ke Syurga Firdausi...

Mak Long
#Sahabatmu

Wednesday, August 30, 2017

Pengorbanan seorang hamba

Ku tempuhi jalan pulang
Merentasi jalan berliku
Berehat aku sebentar
Sementara di sini...

Ku teruskan perjalanan
Ku susuri jua
Ku gagahi jua
Bersama DIA yang Maha Mengetahui
Maha mengasihani...

Ku temui jalan pulang
Yang sedia buatku
Dari DIA
Cinta Hatiku
Yang setia...

Pengorbanan seorang hamba
Buat Kekasih...
Merdeka jiwa
Damai jua aku
Di mana jua
Di bumiNya....

Rosnah Ahmad/Mak Long 🌾
Salam Aidil Adha

Tuesday, June 6, 2017

Kawan

Kawan
Bukan siapa kau
Dan siapa aku
Apa punya kau
Apa punya aku


Dulu juga kita kawan
Bisa saja kita terima
Adanya kau
Adanya aku


Kini kita masih kawan
Masih menerima
Malah lebih mengerti
Seadanya kita.

🌴nah

Monday, April 3, 2017

Lara Terindah

Air mata ini
Adakalanya mengalir jua
Tidak mampu dibendung lagi
Tidak mampu bertahan lagi
Di kolam jiwa ini..

Air mata ini
Mengalir jua dalam meniti kehidupan
Merasai jua bahagia dalam lara
Manis dalam duka...

Air mata ini
Biarlah memadam api keegoan
Membasuh duka yang membelenggu
Menjernihkan yang keruh...

Air mata ini
Mengalirnya biar memberi erti
Mendamaikan jiwa
Memberi nafas baru
Buat seorang musafir
Yang mencari jalan pulang.

Rosnah Ahmad
#LaraTerindah

Sunday, April 2, 2017

Buatmu Sahabat

Merintis
Adakalanya tersadung
Adakalanya terjatuh
Tercalar dan terluka...

Mendaki
Seringkali kepayahan
Seringkali keletihan
Tergelincir dan terjatuh...

Jalan-jalan perjuangan
Jalan jalan kebenaran
Menuju kecemerlangan
Ada onak dan duri
Ada godaan dan nafsu
Mehnah yang menghalang...

Bersabarlah duhai hati
Syukurlah dalam rindumu
Senyumlah dalam tangismu
Sesungguhnya DIA ada bersamamu
Mohonlah keampunanNya
Mohonlah pertolonganNya
Dalam usahamu
Dalam mencari redhaNya...

Cukuplah DIA bagimu
Senangkanlah hatimu
Duhai sahabat.

Rosnah Ahmad
#BuatmuSahabat
#ICare

Sunday, October 23, 2016

Selagi Ada Hayat

Wahai anak, berbaktilah kepada kedua orang tuamu...

Selagi Ada Hayat
Nukilan: Rosnah Ahmad

Di suatu masa
Kau sering membawaku berjalan
Menaiki basikalmu
"Pegang erat" pesanmu
Sesekali kau menoleh ke belakang
Ku peluk erat pinggangmu...

Di ketika itu
Banyak saja tanyaku
Berulang-ulang apa yang sama
Banyak saja pintaku
Meminta apa mahuku
Banyak saja ragamku
Menagih perhatian
Meraih kasih...

Di masa kini
Ku membawa kau berjalan
Menaiki keretaku
"Hati-hati melangkah" pesanku
Sesekali ku menoleh ke sisi
Memastikan kau selesa...

Di ketika ini
Banyak juga tanyamu
Berulang-ulang apa yang sama
Banyak juga pintamu
Meminta apa mahumu
Banyak juga ragammu
Menagih perhatian
Menduga kasih...

Lat masa yang berlalu
Pilu hatiku
Melihat kau dimamah usia
Melihat kau semakin lemah...

Demi masa yang berbaki
Selagi ada hayatmu
Juga hayatku
Ku pohon petunjuk dariNya
Agar baktiku tiada jemu
Agar sabarku tiada had
Agar kataku tiada kasar
Agar hatiku tiada keluh
Agar doaku tiada henti...

Ya Allah
Ya Rahman Ya Rahim
Ampuni dosaku
Dan dosa kedua ibu bapaku
Kasihani mereka
Sebagaimana mereka  mengasihaniku
Di waktu kecilku...

Tuesday, October 18, 2016

Perhiasan yang memperdaya

Wahai sahabat,
Dunia ini hanya sementara
Perhiasan yang memperdaya
Semakin banyak impian mu tercapai
Semakin dekat diri mu dengan kematian

Wahai sahabat,
Demi masa berbaki
Ayuh...
Beriman dan beramal soleh
Berpesan-pesan dengan kebenaran
Berpesan-pesan dengan kesabaran
Agar diri mu tidak kerugian

Wednesday, October 12, 2016

Agar aku lebih mengerti

Istimewa buatmu..insan hebat bergelar ibu tunggal...

AGAR AKU LEBIH MENGERTI
Nukilan Rosnah Ahmad

Gelap…
Sukar aku mencari Nur
Tiada sudah dahan tempat berpaut
Bagaimana harus aku bangkit
Apatah lagi melangkah…

Perit…
Penuh kepayahan
Menerima hakikat
Prasangka dan kata nista
Menambah runtun jiwa
Hanya air mata
Teman berduka…

Dunia…
Dengarlah rintihan ku
Tanpa menghukum
Berikan aku sokongan
Agar aku tahu
Aku tidak keseorangan
Tika kepayahan menghimpit
Aku berhak dilindungi
Bukan dihukum
Atau diprasangka…

Masa…
Mengubati duka
Aku belajar memaafkan
Dan melupakan
Kerana aku yakin
Allah tidak menguji
Di luar kemampuan ku…

Amanah…
Memaksa aku bangkit
Walau dalam kedukaan
Tabah jua aku melangkah
Menerima hakikat
Mengubah cara berfikir
Melihat masalah sebagai peluang
Bertindak memotivasikan diri
Memacu kekuatan yang ada
Menuju kecemerlangan...

Sepi…
Sepi itu menjadi indah
Hatiku kembali berbunga
Ku temui Cinta abadi
Kekasih hati ku
Yang menghidupkan Nur
Di kalbu
Menyuluh lagi menerangi…

Kini…
Aku tidak bersedih lagi
Malah sudah mampu mengukir senyuman
Hari hari ku semakin indah
Malam malam ku semakin damai
Aku semakin yakin melangkah
Demi masa yang berbaki
Demi amanah
Demi DIA
Yang Maha Pengasih
Maha Mengetahui...

Syukur…
Redha jua aku dengan segala ketentuanNya
Sesungguhnya...
Apa yang berlaku
Tersirat hikmah sebuah kehidupan
Agar aku lebih mengerti.

Tetamu Senja

Tetamu senja
Salamnya merdu
Senyumannya manis
Santunnya luhur
Singgah berteduh
Membasah tegak
Mengalas perut
Menghilang lenguh

Tetamu senja
Singgahnya sebentar
Bekalnya sedikit
Sekadar kudrat
Yang ada
Berkelana
Mencari
Hingga di jemput
Pulang...