Sunday, July 21, 2019

CEMERLANG IKUT FITRAH ANAK ATAU KEHENDAK IBU BAPA

Ungkapan "sayang anak tanpa syarat" seringkali menjadi pegangan ibu bapa namun ada kalanya ibu atau bapa tidak sedar bahawa anak merasa dirinya baik atau disayangi hanya apabila mereka berjaya memenuhi kehendak atau mencapai kecemerlangan mengikut apa yang ibu bapa mahukan. Maka itu sudah menjadi "sayang bersyarat" bukan lagi "sayang tanpa syarat" pada perspektif seorang anak.

Betul, adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa membesarkan dan mendidik anak untuk mencapai kecemerlangan. Apa pun bagaimana ibu atau bapa itu sendiri memahami maksud cemerlang sangat penting dan mempengaruhi bagaimana mereka membesarkan anak-anak.

Ibu bapa harus sedar dan menerima bahawa setiap anak dilahirkan dengan personaliti, minat, potensi dan kecenderungan yang tersendiri. Keunikkan ini harus diraikan supaya ianya selari dengan fitrah anak itu sendiri bukan ibu bapa yang mengukur dan menentukan kecemerlangan itu dari dalam diri mereka yang tidak jelas.

Yang lebih parah apabila anak dijadikan alat untuk mencukupi diri ibu atau bapa yang "tidak atau belum cukup baik" dengan anggapan bahawa mereka melakukan semuanya kerana "sayang" dan mahukan yang "terbaik" untuk anak supaya masa depan anak lebih cemerlang dan terjamin.

Contoh, mungkin kita rasa tidak cukup baik dengan kerjaya dan keadaan hidup kita sekarang. Jadi kita mahukan anak belajar untuk mendapat pekerjaan yang "bagus" dan dapat memiliki segala apa yang kita idamkan. Tanpa kita sedari kita mengawal dan menentukan halatuju anak tanpa mengambilkira potensi dan kehendak anak yang datang dari dalam diri mereka yang unik. Kita akan rasa puas dan cukup apabila anak berjaya mencapai apa yang kita impikan.

Seringkali juga kita terpedaya dengan makna kejayaan dan kecemerlangan mengikut ukuran orang yang lain. Penghargaan kendiri kita bergantung kepada banyak faktor dan kehendak luaran seperti apa yang dipaparkan di media sosial contohnya atau pandangan umum masyarakat yang kita terima tanpa menilai.

Maka cara ibu bapa begini kemudian akan melahirkan anak yang serupa; yang merasa diri tidak atau belum cukup baik. Ya! Dan kitaran ini berterusan jika tidak dihentikan.

Anak mungkin berusaha untuk memenuhi kehendak ibu bapa kerana sayang dan empati kepada ibu bapa. Ada juga anak yang memberontak dan menunjukkan pelbagai masalah tingkah laku. Apa yang membimbangkan lagi adalah anak kerap mengalami stres yang negatif dan perlu banyak dorongan dari luar. Dorongan yang terbit dari dalam diri anak secara natural sudah terganggu kerana terpaksa melakukan apa yang tidak selari dengan minat, potensi dan kecenderungan diri mereka. 

Anak mungkin mencapai cemerlangan yang dikehendaki dan bermanfaat tetapi jiwa mereka tidak damai. Mereka umpama jiwa yang hilang dan tercari-cari di luar tanpa tahu bagaimana untuk berhubung dengan diri mereka sendiri. Perhubungan ibu bapa dan anak juga mungkin terjejas dan anak makin menjauh dan sukar merujuk kepada ibu bapa apabila berhadapan dengan masalah.

Anak dilahirkan tanpa panduan atau manual yang terperinci untuk ibu bapa praktikkan dan memperbaiki jika berlaku kerosakkan.

Menjadi ibu atau bapa juga tidak bermaksud berbuat apa yang betul setiap masa tetapi jika kita selalu melihat ke dalam diri dan membuat refleksi,  kita belajar untuk menerima diri kita dan berusaha berubah. Proses transformasi diri ini menjadi layar yang mengemudi kita dalam mendidik anak-anak menuju kecemerlangan yang hakiki.

Hubungan ibu bapa-anak adalah dinamik. Apa pun ianya bukan tertumpu pada anak sahaja malah ianya adalah proses mengenali diri, mencapai kesedaran diri yang lebih tinggi dari masa ke semasa dan proses berkembang bagi ibu dan bapa itu sendiri.

Usaha dan progres pada jalan-jalan kebenaran itulah yang membawa ketenangan dan kecemerlangan diri ibu bapa dan anak. InsyaAllah.

"Ibu bapa tenang, anak cemerlang"

Allahu 'Alam.
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: