Monday, September 30, 2019

"SAYA BOLEH BUAT SENDIRI"

Alia (3 tahun) kelihatan seperti sedang terkial-kial mengenakan butang seluar selepas keluar bilik air di sebuah pasar raya. Ibunya segera membantu Alia mengenakan butang. Alia tiba-tiba menangis. " Mengapa menangis pulak, cepatlah, kita dah lambat ni." bentak ibu Alia.
Senario di atas sebenarnya boleh dijadikan peluang bagi ibu untuk membimbing dan memperkasakan anak yang menunjukkan inisiatif bukan memarahi anak. Mengenakan butang mungkin sesuatu yang mudah bagi orang dewasa tetapi satu tugasan yang mencabar bagi kanak-kanak berumur 3 tahun. Pada usia ini anak sudah ada otomomi dan inisiatif untuk melakukan banyak perkara sendiri. Ini termasuk perkara berkaitan urus diri seperti makan, memakai baju, mengemas beg sendiri dan menolong kerja-kerja rumah seperti menyapu, melipat baju dan membasuh pinggan.

Seringkali juga keinginan anak ini dihalang atau dikongkong oleh ibu atau bapa kerana beberapa sebab. Antaranya kerana kurang sabar apabila anak mengambil masa yang lama untuk melakukan sesuatu perkara, kasihan kepada anak atau mungkin inginkan hasil sepertimana yang diinginkan ibu atau bapa itu sendiri.

Ada anak yang melawan seperti Alia tadi apabila keinginannya untuk melakukan sendiri dihalang. Anak seperti ini sering dianggap memberontak atau suka melawan sedangkan dia sedang berusaha mencapai efikasi kendiri yang sangat baik.

Anak yang selalu dihalang, dibantu dan dikongkong akan membentuk rasa kurang yakin, selalu rasa bersalah dan inginkan kepastian. Mereka banyak bergantung kepada ibu atau ayah untuk melakukan sesuatu.

Kemudian ibu bapa mula menyalahkan anak apabila semakin besar kerana dikatakan malas dan asyik mengharapkan semuanya disediakan tanpa inisiatif sendiri.

Penting untuk anak diasuh dan dididik dari kecil mengikut tahap kebolehan dan tempoh sensitif  atau "sensitif period" iaitu tempoh di mana anak bersedia dan bimbingan menjadi mudah kerana inisiatif yang ada. 

Contoh: Anak 3 tahun suka menolong. Ibu bapa mesti memberi peluang anak menolong seperti membasuh pinggan, menyapu dan mengemas mengikut kemampuan mereka. Skil yang diperolehi akan bertambah baik dalam proses menolong setiap hari.

Ibu bapa berperanan sebagai pemudahcara membimbing anak dan proses "saya boleh buat sendiri" ini sangat baik untuk merangsang perkembangan fizikal, kognitif dan emosi anak.

Rujuk Teori Erik Erikson:.
1.Otonomi lawan ragu-ragu/malu-1 1/2 -3 tahun
2.Inisiatif vs rasa bersalah-3-5 tahun

Perkembangan anak pada usia awal banyak mempengaruhi perkembangan selanjutnya. Dorong dan sokong anak pada setiap tahap supaya mereka berkembang secara natural.

Dikonsikan artikel berkaitan,"Galak Anak Urus Diri Dengan Hikmah " https://rentis.blogspot.com/2016/11/galak-anak-urus-diri-dengan-hikmah_28.html dan puisi
"Aku Yang Fitrah" https://rentis.blogspot.com/2016/09/aku-yang-fitrah.html.

" Ibu bapa tenang, anak cemerlang"

Allahu "Alam

Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

Ikuti catatan Mak Long di Channel Telegram klik t.me/RentisMakLong


No comments: