Saturday, February 16, 2019

TINGKAH LAKU ANAK DAN TAHAP PERKEMBANGAN

Sejak "dapat kaki" ni Rayyan lasak sangat. Pantang alpa ada saja karenah dia. Baru ni habis sebotol shampoo dikerjakan. Dinding dan sofa kami pun kena conteng. Mengamuk tak usah cakaplah, tak dapat kehendak hati, dia berguling-guling mengamuk. Tak kira kat mana. Adoi, malu pun ada dibuatnya.

Begitulah luahan seorang ibu pada Mak Long berkaitan anaknya Rayyan yang baru berumur setahun lapan bulan.

"Karenah" anak sebaya Rayyan sebenarnya sangat normal dan sesuatu yang baik dari segi perkembangan. Ya! Ianya bukan karenah atau belum boleh dikatakan anak yang ada MASALAH tingkah laku.

Ianya adalah perubahan tingkah laku yang berlaku kerana kebolehan kanak--kanak pada satu-satu tahap. Dengan kata lain kanak-kanak mempunyai dorongan dari dalam diri bagi memenuhi keperluan perkembangan fizikal, kognitif, bahasa dan sosioemosinya.

Jadi tingkah laku anak yang ibu ayah nampak adalah sangat berkaitan dengan tahap kebolehan terutama bagi kanak-kanak bawah 4 tahun kerana perkembangan mereka yang sedang pesat berlaku.

Kebolehan pada satu-satu tahap juga mempengaruhi tahap perkembangan seterusnya. Contoh kanak-kanak menconteng, kemudian baru melakar, seterusnya melukis dan menulis. Ianya berlaku secara natural dan berterusan.

Kanak-kanak sebaya Rayyan tadi kelihatan sangat lasak berlari. Dari segi motor halus juga mereka semakin mahir menggunakan jari jemari untuk melakukan banyak perkara. Pada masa yang sama apa sahaja hendak diusik kerana tahap "ujikaji" dari segi kognitif atau perkembangan akal yang suka mencuba dan meneroka. Tambah memeningkan ibu ayah pada usia ini anak masih belum begitu menguasai perkembangan bahasa dan tidak berapa faham apa yang diterangkan, egosentrik, suka melakukan banyak perkara sendiri dan mudah sahaja mengamuk tanpa diketahui apa sebabnya.

Apa pun adalah sangat penting untuk ibu ayah tahu bagaimana meraikan fitrah perkembangan dan pada masa yang sama menyantuni akhlak dan adab serta mendisiplinkan anak dengan meletakkan had dan peraturan yang bersesuaian dengan umur.

Dalam situasi mengamuk disekitar usia 2 tahun adalah tingkah laku yang normal tetapi jika tidak dibendung pada usia ini ianya mungkin berlarutan hingga melewati 3 tahun ke atas. Pada usia 3 tahun biasanya anak sudah sampai tahap "sedar" dan mula boleh berkongsi, bertolak ansur, memahami perasaan dan boleh mengikut arahan. Mengamuk boleh menjadi masalah tingkah laku jika berlarutan hingga ke besar.

Sila rujuk artikel berkaitan mengamuk
https://rentis.blogspot.com/search?q=mengamuk&m=1

Dikongsikan dari blog Mak Long puisi berkaitan tahap kebolehan dan bagaimana merangsang perkembangan anak.

Fitrah Sayangku

Sayang,
Tika kau lahir
Tanganmu mengenggam erat
Laluku buka jari jemarimu
Ku beri kau sentuh pipiku
Dan pelbagai tekstur

Kau mula mengapai
Ku galakan kau mencapai
Mainan pilihanmu
Ku sediakan kerincing
Pelbagai bunyi
Untuk kau ketuk berulang kali

Kau memegang objek
Ku berikan mainan
Yang berwarna dan berbentuk
Untuk kau manipulasi
Moga menyeluruh perkembanganmu

Kau membuka dan menutup jari-jarimu
Ku nyanyikan lagu tradisi
“Cekur dan gamit ,
minta cekur beri kunyit”
Gelagatmu menciut hatiku
Ku cium pipimu
Tanda penghargaan dan kasih

Kau mengutip dengan tiga jari
Kau beri kau makan sendiri
Biar bersepah
Tak mengapa sayang
Agar kau mahir dan bertambah lembut jari jemarimu

Kau melepaskan barang
Ku galakan kau berlatih
Memasukkan dan mengeluarkan
Mainan dari bekas
Agar kuat otot jarimu

Kau pandai menconteng
Ku berikan krayon dan kertas
Ku terima dan puji apa saja usahamu
Ku hiaskan dinding rumah kita
Dengan karya senimu
Agar kau bertambah yakin

Kau pandai mengoyak
Ku berikan kertas
Untuk kau koyak
Supaya semakin halus skilmu

Kau suka meramas
Ku berikan span dan air
Agar kau berlatih
Ku buatkan doh
Agar kau membentuk
Dan mencipta sesukamu

Kau suka menuang
Ku sediakan cawan dan air
Agar kau lakukan sendiri
Kau menumpahkan
Ku berikan peluang
Kau menyelesaikan masalah
Agar kau berfikir
Ku sediakan peralatan mengelap
Agar kau bertanggungjawab

Kau mengetuk-getuk
Ku berikan apa minatmu
Untuk kau ketuk
Dan membezakan bunyi

Kau mula bertatih
“ Tak teh kayu api
Sudah letih jalan lagi”
Alunan laguku
Mengiringi gerakmu

Langkahmu makin tegap
Kau berlari ke sana ke mari
Ku kejar langkahmu tanpa jemu
Ku bawa kau ke alam
Biar kau meneroka persekitaranmu
Agar kau kenal Penciptamu

Bila kau jatuh
Ku galakkan kau bangkit
Lari lagi sayang
Ku beri semangat
Kau mengadu calar kakimu
Ku cium lukamu
Penawar tangismu

Kau bercakap dan bertanya
Ku layan keletahmu
Ku bacakan buku cerita
Agar meningkat bahasamu

Sayangku,
Kau terus membesar
Ku rangsang dirimu
Ke asah bakatmu
Ku pupuk potensimu
Ku asuh fitrahmu
Ku santuni adab dan akhlakmu
Diiringi doa tanpa henti

Kerana
Kau insan hebat
Kau khalifah bumi tercinta
Kau pewaris perjuangan
Kau amanah buatku
Kau cahaya mataku.

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: