Showing posts with label Tip Sentuhan Papa Belaian Mama. Show all posts
Showing posts with label Tip Sentuhan Papa Belaian Mama. Show all posts

Monday, October 17, 2016

Pilihlah jalan taqwa dalam menghadapi karenah anak

Setiap hari sebagai ibu bapa kita menghadapi pelbagai kerenah anak-anak.

Anak adalah amanah. Anak juga adalah ujian. Pilihan di tangan ibu bapa, bagaimana menyantuni karenah anak-anak.

Sesungguhnya Allah mengilhamkan pada setiap jiwa jalan ketaqwaan dan jalan kefasikan.

Contoh, jika anak menyepahkan rumah, ibu bapa ada pilihan samada untuk memarahi anak atau menjadikan situasi itu peluang mendidik anak sikap bertanggungjawab, bekerjasama dan menolong.

Maka beruntunglah ibu bapa yang memilih jalan taqwa dalam menyantuni anak-anak. Jalan kefasikan hanya membawa kepada  kerugian.

Surah Ash-Shams, Ayat 8-10
فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا
8. maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya.

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا
9. sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu,

وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
10. dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

Wallahu'alam

#SentuhanBapaBelaianIbu
Kembalikan Peranan Ibu Bapa
Perkasakan Institusi Keluarga

Wednesday, October 5, 2016

Anak Mampu Menguasai Lebih Daripada Satu Bahasa

Tip Sentuhan Bapa Belaian Ibu
Anak Mampu Menguasai Lebih Daripada Satu Bahasa.
Oleh:Rosnah Ahmad

Kanak-kanak mampu menguasai lebih daripada satu bahasa dengan baik jika dimulakan dari awal di persekitaran rumah, taska, tadika atau pusat jagaan di mana anak diasuh.
Fitrah anak mempelajari bahasa bermula dengan mendengar secara natural. Mereka tidak kisah nahu, tidak takut silap atau orang tidak faham. Mereka gemar membina bina ayat sendiri dan lebih cepat belajar bahasa apabila minat sesuatu seperti melalui cerita dan nyanyian.

Kanak-kanak memperolehi bahasa melalui:

-Pendengaran
-Peniruan
-Pengulangan dan praktik
-Penghargaan dan galakkan orang dewasa
-Pembelajaran tidak langsung.

Faktor persekitaran yang menggalakkan perkembangan bahasa anak adalah:-

-Persekitaran yang menyeronokkan-tiada tekanan
-Beri banyak peluang mendengarnya
-Beri banyak peluang menggunakannya
-Elak terjemahan-natural dan kaitkan dengan kehidupan
-Kaedah pengulangan berkesan
-Gabungkan komunikasi verbal dan non verbal
-Wujudkan suasana ingin tahu

-Iktiraf secara positif setiap kemajuan yang dicapai-elak komen negatif
Persekitaran rumah taska, tadika, pusat jagaan dan sekolah menyokong perkembangan bahasa kanak-kanak. Ibu bapa dan pendidik seharusnya selalu berkomunikasi menggunakan bahasa yang betul dan sesuai dengan tahap umur anak. 

Dikongsikan video adik Maryam Hasnolbasri Hassan yangsudah menguasai 4 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Mandarin dengan baik.
https://www.facebook.com/rosnah.ahmad.75/videos/10154585608549231/

Wallahu'alam.
#EverydayEnglish
#SentuhanBapaBelaianIbu

Saturday, October 1, 2016

Perbaiki Hubungan Dengan Anak Terlebih Dahulu Jika Anak Bermasalah

Salam Maal Hijrah kepada semua,

Baru-baru ini adik saya (seorang ibu tunggal) mengadu perihal masalah anaknya Akil (14 tahun). Adik saya nampak agak tertekan kerana sukar untuk mengawal anaknya yang sedang remaja.

Disamping mendengar dan memberi pandangan, saya juga berusaha menjadi ibu saudara yang lebih berperanan.

Mengambil peluang cuti panjang minggu ini, semalam saya mengajak adik dan anak-anaknya Akil dan Solehah (7 tahun) membuat karipap pusing bersama di rumah adik saya. Anak saya Izzudin (14 tahun) turut serta.

Antara tujuan saya adalah untuk menjadikan proses membuat karipap itu satu proses yg menyeronokkan dan anak-anak merasa diri dihargai dan diberi perhatian. Pada masa yang sama saya boleh berusaha mendekati Akil dengan berbual secara hikmah dan merapatkan kembali hubungan Akil dan ibunya yang nampak agak tegang.

Kami lalui proses berinteraksi selama lebih kurang 3 jam sehingga karipap pusing berjaya di siapkan, digoreng dan dimakan bersama. Saya dapati Akil hanya mendiamkan diri hampir 2 jam. Dia hanya aktif menguli dan mencanai tepung dengan tunjuk ajar saya. Saya borak-borak saja isu-isu biasa sambil melayan karenah Solehah yang sangat teruja bermain dengan adunan.

Alhamdulillah akhirnya Akil bersuara, mula berbual walaupun tidak banyak diperkatakan. Syukur, alhamdulillah. Ini menunjukkan perkembangan yang baik. Perubahan kecil ini insyaAllah akan progres ke tahap yang lebih baik kemudian.

Biasanya masalah atau konflik berlaku apabila hubungan ibu bapa dan anak terjejas, anak rasa bosan, kurang perhatian dan tidak dapat berkongsi cerita dan masalah  dengan ibu bapa. Maka hubungan perlu diperbaiki terlebih dahulu. Usah terus fokus hanya kepada masalah. Anak mungkin akan rasa lebih tertekan dan tidak dapat menerima arahan atau saranan ibu bapa berkaitan masalah yang dihadapi. Hubungan juga boleh jadi semakin terjejas.

Hubungan yang sihat  antara ibu bapa dan anak dapat membendung banyak masalah dalam diri anak. Skil komunikasi yang baik juga sangat penting.

Libatkan anak-anak dalam aktiviti bersama bagi tujuan sentiasa mendekati dan memperbaiki hubungan kekeluargaan. Ibu bapa dan ahli keluarga yang lain perlu lebih berperanan dalam proses mendidik anak-anak.

Di samping itu ibu bapa harus berdoa utk kesejahteraan anak dan keluarga. Ibu bapa juga harus sentiasa berfikiran positif dalam menyantuni anak-anak. Ingat, apa yang difikir,  disebut dan disangka juga adalah doa.

Dekati dan santunilah anak-anak kita secara hikmah.

Dikongsikan resepi dan cara membuat karipap pusing. Selamat mencuba😊😊

http://rentis.blogspot.my/2015/12/karipap-pusing-sardin_7.html?m=1

#Sentuhanbapabelaianibu
Kembalikan peranan ibu bapa
Perkasakan institusi keluarga

Wallahua'lam.

Friday, April 1, 2016

Masa Berkualiti Bersama Keluarga

Tip Sentuhan Bapa Belaian Ibu:
Masa Berkualiti Bersama Keluarga
Oleh Rosnah Ahmad

Salam Jumaat penuh keberkatan kepada para pembaca yang dirahmati Allah SWT.

Unit kekeluargaan yang sejahtera adalah asas kepada kesejahteraan sesebuah komuniti yang seterusnya membentuk masyarakat dan negara. Seharusnya institusi kekeluargaan diperkasakan bermula dengan niat dan kesediaan  ibu bapa mengambil peranan membentuk keluarga sejahtera berlandaskan ajaran Islam.

Apa pun membina rumahtangga berkualiti bagi melahirkan ahli keluarga yang sejahtera semakin mencabar muthakhir ini.
Contohnya ibu bapa berada bersama anak bermain tetapi sibuk melayan telefon. Ini menyebabkan anak merasa tidak diberi perhatian. Ia boleh menimbulkan masalah tingkah laku seperti merengek, mengamuk dan bergaduh kerana ingin menarik perhatian ibu bapa.

Anak-anak memerlukan kasih sayang, perhatian, penghargaan dan bimbingan ibu bapa. Masa berkualiti tanpa gangguan bersama anak-anak perlu di amalkan setiap hari supaya keperluan dan hak anak-anak dari segala segi termasuk fizikal, emosi dan akal dipenuhi.

Anak-anak juga perlu dibiasakan dengan adab dan akhlaq murni yang memerlukan masa, bimbingan dan contoh dari ibu bapa.

Keluarga berkualiti seharusnya melahirkan individu-individu yang tenang sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Ruum ayat 21
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
yang bermaksud:-

“ Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Disertakan artikel “ 10 Tip Keluarga Berkualiti Mencapai Ketenangan” dari blog saya-http://rentis.blogspot.my/search?q=10+tip+keluarga+berkualiti.

Mari sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha memperbaiki diri demi membina keluarga rahmah. Semoga usaha murni kita dimudahkan dan diberkati Allah SWT.

Sekian. Wallahu’alam.

#SantuniFitrah
#SentuhanBapaBelaianIbu

Saturday, March 19, 2016

Keibubapaan/Parenting

Keibubapaan itu fitrah
Suburkan ia dengan ilmu dan kemahiran
Setiap anak itu anugerah
Juga amanah dengan keunikan tersendiri
Pemimpin masa depan
Dibentuk hari ini
Bermula dengan keibubapaan
Bermula di rumah...

Kembalikan peranan ibu bapa
Perkasakan institusi keluarga

-----
Parenting is learnt
Leaders are made
A child is a gift
Unique in his/her own way
Naturing the leaders of tomorrow
Begins today
Begins with parenting
Begins at home.

Rosnah Ahmad
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu

Thursday, March 10, 2016

Usah Biasakan Anak Dengan Kesenangan Dan Kemewahan

Tip Sentuhan Bapa Belaian Ibu
Usah Biasakan Anak Dengan Kesenangan Dan Kemewahan
Oleh: Rosnah Ahmad

Menurut Imam Al-Ghazali dalam Kitab Ayyuha Al-Walad, anak harus dihindari dari kehidupan mewah dan bersenang lenang kerana dikhuatiri mereka tidak biasa dengan ujian hidup pada masa akan datang. Jika dibiarkan ia boleh jadi kebiasaan atau I'tiyad dan sukar dibentuk.

Pesanan ini harus kita hayati terutama mutakhir ini iaitu zaman yang sangat mencabar di mana  kebendaan sudah menjadi ukuran dan perbandingan kejayaan serta kebanggaan.

Zaman ibu bapa saya dahulu mungkin lebih mudah kerana mereka hidup dalam serba kekurangan. Jadi anak-anak dibiasakan dengan sikap tolong menolong, berkongsi dan bersyukur dengan rezki yang ada. Contoh waktu makan anak-anak makan bersama apa sahaja yang dihidangkan tanpa meminta-minta selain apa yang ada. Mereka bukan sahaja menolong dalam proses memasak dan mengemas malah menolong menanam sayur-sayuran dan memelihara ternakan.

Kadangkala oleh kerana kesusahan dahulu menyebabkan ada ibu bapa sekarang yang lebih berada cuba memenuhi kehendak  dan menyediakan segalanya untuk anak-anak.

Apa pun anak-anak belum tahu menilai sepenuhnya dan tidak tahu apa yg baik untuk mereka. Seharusnya ibu bapa menilai kehendak anak dan memberi keperluan yang berpatutan. Usah biasakan dengan kemewahan dan kesenangan kerana ia boleh merosakkan anak.

Sebaiknya biasakan anak-anak untuk terlibat dalam kerja-kerja rumah yang mampu mereka lakukan mengikut tahap umur. Jelaskan pada anak-anak proses kehidupan melalui cerita dan nasihat. Latihlah mereka dengan gaya hidup sederhana dengan bersyukur terhadap nikmat Allah walaupun sedikit. Ajar anak untuk menghargai, berjimat cermat dan menabung dari usia awal.

Dikongsikan artikel Pengurusan Kewangan Si Kecil dari blog saya.

http://rentis.blogspot.my/2014/11/pengurusan-kewangan-si-kecil.html?m=1

Anak-anak adalah rahmat dan ujian. Mari sama-sama kita muhasabah diri dan berusaha menjadi ibu bapa yang mendidik anak-anak menurut ajaran Islam.

Santuni akhlak.
Raikan fitrah
Sayangi dan dekati anak-anak kita.

Wallahua'lam
#SentuhanBapaBelaianIbu

Wednesday, February 17, 2016

Am I A Good Mom

Am I a good mother??? I often ask the question from time to time...

I dont know if I am a good mom...but one thing I know ie I am stil trying..I am progressing..but at 50 I am certain I am good enough...I matter...I am a good mother in all the ways I can be...💝💝💝coz at the end of the day I still love my children just the way they are...alhamdulillah.

Adakah saya seorang ibu yang baik???? Soalan yang saya selalu ajukan pada diri saya dr masa ke semasa...

Saya tak pasti samada saya seorang ibu yg cukup baik..tetapi satu perkara yang saya tahu iaitu ...saya masih berusaha...masih mengorak langkah...usaha belajar dan berubah.
Pada usia yang melangkau 50 tahun ni satu perkara yang saya pelajari...Saya adalah saya..saya cukup baik...saya cukup baik sebagai seorang ibu dalam cara yang saya mampu  ..dan kerana yg penting saya sayangkan anak-anak saya seadanya😀💗💗Alhamdulillah..

Wallahua'lam

Rosnah Ahmad

#SentuhanBapaBelaianIbu
#YouMatter

Monday, January 18, 2016

Kaedah Ataupun Produk

Saya sering ditanya apakah produk atau buku yang baik untuk digunakan di TADIKA.

Pada pendapat saya, apa yang penting adalah kaedah atau pendekatan yang diguna pakai bukan jenama sesuatu produk, program atau keluaran mana-mana penerbit buku.

Contohnya bagi bacaan Bahasa Inggeris terdapat kaedah fonetik seperti yang digunakan oleh pelbagai  jenama produk/buku yang ada di pasaran. Ada produk yang menggunakan kaedah recognition/whole language.

Terdapat juga buku-buku di pasaran yang menggunakan kaedah asas seperti mengeja dan menambah perbendaraan kata.

Setiap produk ada kebaikannya. Namun, baik atau tidaknya sesebuah TADIKA tidak bergantung kepada produk yang digunakan. Yang lebih penting kaedah yang digunakan mestilah berdasarkan teori dan falsafah pendidikan awal kanak-kanak.

Kefahaman dan penghayatan pengusaha dan guru terhadap konsep pendidikan awal kanak-kanak dan kurikulum prasekolah juga sangat penting. Aspek-aspek perkembangan  kerohanian dan moral, bahasa dan komunikasi, kognitif, fizikal, sosio-emosi serta kreativiti dan estetika mestilah diterapkan secara seimbang dan bersepadu melalui pendekatan bertema, belajar melalui bermain, 3E ( Explore, Experiment &Experience) dalam suasana yang menggembirakan serta bermakna dalam kehidupan kanak-kanak.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang baik juga mengambil kira tahap perkembangan, keperluan, bakat, minat serta latar belakang kanak-kanak.

Bagi komponen bahasa dan komunikasi contohnya kanak-kanak bukan hanya perlu pandai membaca dan menulis tetapi objektifnya adalah mencapai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi iaitu:

🍀Mendengar, memahami dan menyatakan apa yang didengar,
🍀Bertutur dengan sebutan yang betul dan bahasa yang bertatasusila,
🍀Membaca dan menceritakan isi bacaan dengan tahap perkembangan kanak-kanak dan
🍀Menulis perkataan dan ayat yang betul.

Objektif ini dicapai melalui hasil pembelajaran yang dirancang sepanjang tahun. Aktiviti-aktiviti pembelajaran dijalankan menggunakan pelbagai strategi seperti penerangan, perbincangan, demonstrasi, latihan, main peranan, lakonan, bercerita, nyanyian, pergerakkan dan aktiviti kreatif.

Adalah sukar untuk mendapatkan satu produk yang betul-betul menepati konsep pendidikan prasekolah. 

TADIKA perlu banyak merancang aktiviti dan membuat sendiri lembaran kerja yang lebih sesuai dan menepati. Kalau ada pun buku yang digunakan, ia hanya satu daripada bahan-bahan yang digunakan bagi membantu mencapai objektif pembelajaran dan pengajaran.

Santuni fitrah anak.
Raikan fitrah anak.
Sayangi dan dekati anak.

Sekian. Wallahua’lam.

Sunday, December 27, 2015

Pemilihan Institusi Sokongan Untuk Si Kecil

Ibu bapa adalah pendidik utama anak-anak. Institusi seperti TASKA, TADIKA dan Pusat Jagaan Kanak-kanak diperlukan oleh ibu bapa sebagai sistem sokongan dalam pendidikan anak-anak.

Ibu bapa perlu memilih institusi sokongan untuk anak-anak dengan bijak.

Elakkan daripada hanya melihat kepada faktor keceriaan sahaja. Keadaan persekitaran yang harmoni dan tidak terlalu meriah memadai dan sangat sesuai dengan fitrah kanak-kanak.

Yang lebih penting untuk diteliti semasa pemilihan adalah aspek perkembangan dan pengasuhan kanak-kanak serta perancangan tahunan. Kemahiran pengusaha, penyelia dan pendidik juga sangat penting demi kesejahteraan si kecil.

Pilihlah program yang berpusatkan kanak-kanak.

Dikongsikan artikel saya berkaitan TASKA/TADIKA/Pusat Jagaan Kanak-kanak. Moga bermanfaat.

TIP 6: TASKA/TADIKA/PUSAT JAGAAN DAN KELAS FARDHU AIN http://rentis.blogspot.com/2007/04/tip-6-taskatadikapusat-jagaan-dan-kelas.html

Kanak-kanak membina identiti diri dalam dunia sebenar bukan dalam dunia fantasi.

Santuni fitrah
Raikan fitrah.
Sayangi dan dekati anak.

Wallahua'lam

Saturday, December 19, 2015

Latih Anak Berbakti Kepada Ibu Bapa

Didiklah anak untuk berbakti kepada kedua ibu bapa. Bermula dari awal usia dengan perkara-perkara yang mampu mereka lakukan.

Usah biarkan anak leka dengan kesenangan dan kemudahan. Sudah menjadi fitrah ibu bapa menyayangi anak-anak dan menyediakan segalanya untuk mereka. Namun anak perlu dididik dan dilatih untuk berbakti sejak kecil. Jika anak merungut nasihat dan tegurlah dengan baik. Ingatkan mereka ayat Quran berkaitan perintah Allah untuk anak berbakti kepada kedua ibu bapa.

Jika tidak dilatih dari kecil bimbang anak lupa berbakti kepada ibu bapa hingga dewasa atau hingga usia tua ibu bapa yang lemah dan perlukan bakti anak-anak.

Bagi ibu bapa yang masih mempunyai Ibu bapa, berbaktilah kepada keduanya. Tunjukkan kepada anak amal baik terhadap ibu bapa supaya anak memcontohi In Syaa Allah.

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا . وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنْ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا .الإسراء 23- 24 

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Al Isra(17):23)

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil." (Al Isra(17):24)

Santuni Fitrah Anak.

Wallahu'alam

Rosnah Ahmad

Monday, December 7, 2015

Pupuk Nilai Estetika dan Hargai Keindahan

Semalam anak saya Muhammad Firdaus (19) kembali dari bercuti dan menghadiahkan bunga hidup yang dibeli dari Cameroon Highland. Ada yang untuk ditanam dan ada untuk hiasan dalam.

Saya suka bunga hidup  untuk hiasan dalam dan luar rumah. Elemen alam yang sangat cantik dan menenangkan.

Bunga hidup juga sentiasa berubah. Semalam bunga ros contohnya  belum mekar sepenuhnya. Setiap hari ada perubahan yang berlaku. Ini adalah rangsangan yang memberi input yang berlainan kepada otak anak.

Ianya juga baik untuk perkembangan deria anak dan pemahaman dunia persekitaran anak.

Anak-anak perlu didedahkan dengan nilai estetika. Nilai estetika timbul dari keindahan suatu objek yang di lihat. Keindahan yang dilihat akan dicerap oleh otak melalui pancaindera dan menilai seberapa indah objek tersebut.

Saya juga suka melukis elemen alam. Selain hiasan rumah, saya menjadikan bunga-bunga sebagai objek untuk anak-anak berkreatif menggunakan pelbagai alat seperti krayon, pensil warna, berus, span dan warna air. Cara ini sangat bagus berbanding dengan hanya mewarna sahaja dengan pensil warna.

Anak yang mempunyai nilai estetika akan menghargai keindahan. Mereka juga in syaa Allah melihat kebesaran Allah SWT dan  berusaha menjaga keindahan alam ini.

Rasulullah SAW bersabda "Sesungguhnya Allah itu cantik, Ia suka kepada yang cantik"- Riwayat Muslim.

Santuni dan raikan fitrah anak.

Sekian.Wallahua'lam.

Rosnah Ahmad

Masak memasak membawa bahagia

Petang tadi saya dan anak-anak membuat karipap pusing sardin kegemaran kami sekeluarga.

Proses membuat karipap pusing memang agak rumit tetapi ia memberi banyak masa bersama anak-anak. Sambil masak kami berbual, meluahkan perasaan dan bergurau.

Memasak juga adalah proses sains yang bagus untuk anak.  Mereka juga melalui proses 3E-explore, experiment, experience.

Memasak adalah saat indah bersama yang in syaa Allah tetap mekar dalam ingatan anak-anak.

Masak memasak membawa bahagia.

Dikongsikan resepi karipap pusing sardin kegemaran kami.

Karipap Pusing Sardin http://rentis.blogspot.com/2015/12/karipap-pusing-sardin.html

Wallahu,alam.

Sunday, December 6, 2015

Anak Itu Satu Rahmat

Tip Sentuhan Papa Belaian Mama:
Anak itu satu rahmat dari Allah SWT.

Surah Maryam, ayat 21:
قَالَ كَذَٰلِكِ قَالَ رَبُّكِ هُوَ عَلَيَّ هَيِّنٌ وَلِنَجْعَلَهُ آيَةً لِّلنَّاسِ وَرَحْمَةً مِّنَّا وَكَانَ أَمْرًا مَّقْضِيًّا

Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.

Rahmat pada umumnya mengandung pengertian kasih sayang, keadilan, dan kesejahteraan.

Seharusnya ibu bapa dan guru menyantuni anak-anak dengan kasih sayang, keadilan dan kesejahteraan.

Pilihlah jalan taqwa dalam mendidik anak-anak agar pintu rahmat Allah terbuka luas buat kita.

Jika kita beriman dan bertaqwa maka terbuka luas pintu rahmat Allah SWT.

Surah Al-Araf, ayat 96:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Semoga kita tergolong orang yang bertaqwa yang menyantuni anak-anak secara fitrah dan mendapat rahmat Allah SWT. Aamiin.

Wallahua'lam.

Rosnah Ahmad
rentis.blogspot.com

Monday, November 16, 2015

Berapa A?

Saya tidak suka bertanyakan soalan itu lagi. Mengapa?

Ya. Bagi saya soalan itu kadang-kadang menyebabkan ada anak yang berduka dan seolah-olah membandingkan dan wewujudkan persaingan antara satu sama lain.

Yang lebih penting adalah menggalakkan anak-anak memahami tujuan hidup dan berusaha memperkaiki diri dan menjadi orang yang bermanfaat.

Setiap anak adalah unik. Ujian perlu dilihat sebagai refleksi tentang kekuatan dan pencapaian diri anak secara berperingkat.

Ibu bapa dan orang dewasa dalam masyarakat harus sentiasa memberi sokongan dan motivasi berterusan dalam proses P&P dan kehidupan harian yang bermakna.

Surah At-Tin, Verse 4:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Sayangi dan dekati anak-anak kita.

Santuni fitrah anak.

Wallahu'alam
Rosnah Ahmad

Saturday, November 14, 2015

Manfaatkan Masa Cuti Sekolah

TIP SENTUHAN PAPA BELAIAN MAMA-Manfaatkan Masa Cuti Sekolah.

Cuti sekolah hampir tiba. Banyak sekali program-program untuk anak-anak memenuhi masa cuti mula diiklankan.

Saya tidak mengatakan program-program itu tidak bagus. Cuma diingatkan bahawa ibu bapa juga perlu meningkatkan kemahiran diri untuk mendekati anak-anak.

Anak-anak memerlukan masa bersama ibu bapa dan keluarga. Mereka memerlukan masa santai dan kualiti di rumah dan meneroka minat yang  tidak dapat dilaksanakan semasa sesi persekolahan. Mereka mungkin ingin membaca buku-buku selain buku pelajaran sekolah atau ada lebih masa bersukan atau bermain.

Apa pun ibu bapa juga harus sedar peranan mereka semasa cuti sekolah. Masa untuk memberi lebih perhatian, berbual, memberi sentuhan dan belaian kepada anak-anak.

Ramai juga yang sering mengaitkan masa berkualiti hanya dengan percutian keluarga. Ini boleh menjadi penghalang kerana masalah kewangan,  masa atau cuaca yang tidak mengizinkan.

Ibu bapa harus lebih kreatif dalam menyantuni anak-anak. Manfaatkan alam dan bersekitaran rumah. Aktiviti santai seperti membaca, melukis, memasak dan bercerita sangat digemari kanak-kanak.

Hargailah anak-anak dan masa yang ada.

Sayangi dan dekatilah anak-anak kita.

Wallahua'lam.