Showing posts with label CORETAN RASA. Show all posts
Showing posts with label CORETAN RASA. Show all posts

Saturday, January 17, 2015

Meminta dan Memberi Maaf

Meminta dan Memberi Maaf
Rosnah Ahmad

Sebagai manusia setiap dari kita tidak sunyi dari kesalahan.

Apa jua kesalahan yang kita lakukan kita perlu memuhasabah diri dan meminta maaf. Kita juga perlu koreksi diri. Jika kita terus melakukan kesalahan yang sama ia bukan kesilapan lagi. Malah ia boleh menjadi budaya yang tidak baik dalam diri.

Ada ketika orang lain pula melakukan kesalahan terhadap diri kita.Sebagai manusia sudah tentu emosi kita akan terkesan dengan perkara begini.  Memaafkan adalah amalan yang mulia. Namun proses memberi maaf seringkali memerlukan masa.

Apapun dalam dunia serba mencabar ini kita perlu juga mengambil iktibar dan berhati-hati supaya perkara yang sama tidak berlaku lagi.

Kita juga perlu belajar mengambil apa yang berlaku sebagai maklumbalas untuk terus melakukan pengislahan diri. Mungkin ada tindakan yang perlu diperbetulkan untuk melindungi diri dari diperlakukan perkara yang sama. Semua ini akan mematangkan diri kita.

Yang penting juga kita  tidak melakukan kesalahan itu kepada orang lain. 

Meminta dan memberi maaf banyak hikmahnya. Antaranya ia menghindari sifat benci dan dendam. Berbahagialah jiwa yang mengamalkannya.

Surah Ash-Shura, Ayat 43:
وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.

Manusia itu tidak sunyi dari kesalahan
Meminta dan memberi maaf itu mulia
Belajar dari apa yang berlaku itu bijaksana
Mengislahkan diri itu kejayaan

Kita bukan terbaik tetapi kita boleh menjadi lebih baik. Semoga kita berusaha menjadikan hari ini lebih baik dari semalam.

Sekian. Wallahu'alam.

Monday, January 12, 2015

Berkata Benar Walaupun Pahit

Berkata Benar Walaupun Pahit
Rosnah Ahmad

Kehidupan di dunia ini memang tidak adil. Hanya akhirat tempat yang adil dan tempat tinggal yang lebih baik.

Adakala kita mungkin dimusuhi kerana kita membuat perkara yang benar. Ada juga suara-suara yang dengki. Kadangkala dari orang yang berkata mereka menyayangi kita. Inilah yang paling melukakan.

Bersabar adalah cara yang baik. Namun pada usia yang menghampiri setengah abad ini membuat saya lebih yakin dan memahami erti sabar yang sebenarnya.

Sekurang-kurangnya kita perlu bersuara menyatakan kita tidak suka diperlaku sedemikian rupa.


Saya dapati bila saya bertindak begini saya lebih disegani dan dihormati. Setidak-tidaknya saya menunjukkan saya seorang yang ada prinsip yang jelas.

Budaya kita agak kurang bersikap berterus terang. Lebih ramai memilih untuk berdiam diri dan menangis. Itu mungkin boleh pada awalnya tetapi memendam rasa akan lambat laun memakan diri sendiri dan tidak menyelesaikan masalah.

Pilihlah untuk tidak menjadi mangsa pada keadaan begini. Belajarlah mengurus emosi dan bertindak dengan hikmah. Peliharalah maruah diri.

Usah bersedih bila kita dipihak yang benar. Allah sentiasa bersama kita.

Berkatalah benar walaupun pahit.

Wallahu'alam.

Tuesday, December 17, 2013

Apabila Langit "Menangis"- Tazkirah dan tarbiyah banjir di Kuantan, Pahang-Catatan Seorang hamba....

DIsember...


Hujan lebat di bulan Disember adalah perkara biasa bagi kami di Pantai Timur malah sesuatu yang saya tunggu..iyalah suasana hujan yang menggamit kenangan lama bersama keluarga di kampung juga peluang bersantai bersama anak- anak di musim cuti sekolah. Tetapi Disember kali ini mencatat satu pengalaman yang cukup berbeza....

Selasa 3 Disember 2013...Tiada di duga....
.
Saya cuti sakit kerana kurang sihat -lelah akibat leka makan buah ciku kegemaran...Hujan lebat seharian membuat hati saya gusar. Langit menangis seperti terlalu berdukacita.

Anak saya Muhammad Firdaus 17 tahun masih menduduki SPM. Peperiksaan pukul 2 petang hari ini. Suami saya pulang dari pejabat pada pukul 1 tengahari untuk menghantar Muhammad ke Sek.Men.Teknik Alor Akar. Sampai di bandar Kuantan, beberapa jalan sudah tidak boleh dilalui kerana paras air yang tinggi. Akibatnya Muhammad sampai lewat 45 minit ke dewan peperiksaan. Syukur kerana dia masih dibenarkan menduduki peperiksaan.

Kami mengangkat barang untuk menghadapi kemungkinan banjir melanda.Suami mengalihkan kereta kami ke kawasan yang agak tinggi di Taman LKNP Bukit Setongkol.

Air longkang melimpah dan mula memasuki rumah kami sekitar selepas maghrib . Dalam masa tidak sampai sejam air sudah bertakung hampir ke paras buku lali. Saya mengarahkan anak-anak bersedia untuk berpindah. Alhamdulilah, lelah saya bertambah baik ketika itu. Dalam pukul 8 malam, saya, suami ( Abd. Rahman Muda), anak -- Muhammad Firdaus dan Muhammad Izzuddin(11 tahun) yang ada di rumah mengharung air sedalam paras lutut ke tempat yg lebih selamat dan kemudian menaiki sebuah Hilux Telekom Malaysia yang sedia membantu ( suami saya adalah seorang staf TM). Kami masih bernasib baik boleh berteduh di pusat latihan yang saya usahakan-- Pusat Latihan Tinta Ori, Bandar Indera Mahkota.

Ramai yang berpindah ke pusat perpindahan banjir berdekatan iaitu Sek.Keb. Cenderawasih. Tidak kurang yang menumpang di rumah sahabat handai dan kaum keluarga. Ada juga yang menginap di hotel dan homestay.

Terasing dari mangsa banjir yang lain, saya tenang di Pusat Latihan Tinta Ori bersama anak-anak dan 7 orang peserta kursus ysng menginap disana kerana mengikuti Kursus Asuhan Permata yang sedang berlangsung. Suami saya membantu di kawasan perumahan kami.

Rabu 4 Disember 2013...Melimpah jua air mataku...

Hari kedua bekalan elektrik terputus sekitar 3 atau 4 pagi. Kemudian bekalan air terputus sekitar 7 pagi. Saya membuat keputusan berpindah ke hotel di bandar Kuantan bersama anak-anak dan peserta-peserta kursus.

Dalam perjalanan, saya temui ramai mangsa banjir-- Ibu tunggal bersama anak, ibu tua sendiri tanpa anak-anak, seorang suami yang menangis, ibu dalam pantang dengan anak kecil dan ramai mangsa yang lain. Melimpah juga air mata saya....Dalam sendu saya nukilkan...

Dalam ujian
Ku harungi air
Ke tempat berteduh
Ujian di terima penuh keinsafan
Ku pujuk hati agar redha
Hadapi segala dengan tenang
Namun...
Hati tersentuh jua
Bertemu yang lebih diuji
Ketahanan jiwaku diusik
Melimpah jua air mataku
Ibarat air bah di kampungku...
Doa jua ku kirim
Buat mereka
Ku kembali bersyukur....
Dan kepadaMu aku berserah...

Dalam sendu juga saya terus menerima kata-kata simpati dari sahabat jauh dan dekat. Juga ada yang membalas puisi saya...

NAH..Jerih payah mu ku empati
Redahan sukar mu ku selami
Perit letih mu ku tangisi
Doa mu ku amini...

Dan deraian airmata saya bagaikan hujan...
Tidur saya pada malam itu dalam penuh keinsafan. Sungguh janji Allah itu benar...

Khamis 5 Disember 2013...Ku temui hati emas...

Terjaga dalam pukul 5 pagi. Khabarnya semua penduduk di kawasan Perkampungan Cenderawasih di arah pindah sekitar pukul 4 pagi tadi. Semua mangsa di Sek. Rendah Kebangsaan Cenderawasih juga di pindahkan ke pusat perpindahan yang lebih selamat. Keadaan menjadi lebih sukar kerana air makin naik dan masih ramai yang berdegil masih belum keluar dari rumah mereka. Lori dan bot digunakan untuk menyelamatkan mangsa.

Membaca watsapp kiriman sahabat saya, Puan Nurul Aini Muhammad Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Pahang . Sukarelawan di perlukan segera di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota. Beliau juga sudah terlalu penat khabarnya.

Saya solat memohon petunjuk dan pertolonganNya.

Saya memutuskan kami perlu ke sana membantu. Saya ke Kuantan Parade( gedung membeli belah berdekatan hotel kami menginap) untuk mendapatkan sedikit keperluan harian dan ubat ubatan. Hati kecil saya berkata-- masih ramai yang sedang bergembira membeli belah sedangkan ketika ini ramai yang sedang dilanda musibah dan ramai yang memerlukan bantuan.

Pada pukul 11 pagi suami saya menghantar saya dan Izzuddin serta 3 peserta kursus ke SUKPA. Setibanya kami di maklumkan Tengku Puan Pahang , Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedang memasak . Kami membantu yang mana perlu.

Izzuddin sangat teruja bertemu kawan-kawan sekolah dan rakan sepermainan. Saya bertemu kawan-kawan dan jiran tetangga.

Saya temui jua hati- hati emas. Tengku Puan Pahang contohnya tak berganjak dari dapur. Sepanjang hari memasak. Semua mangsa banjir merasa air tangan Tengku Puan pada hari itu.

Puan Liza kawan lama saya yang tinggal di kawasan perumahan Gudang Rasau saya temui sedang membantu menyediakan bahan untuk dimasak. Bila ditanya keadaan rumah, dia berkata rumahnya tenggelam habis sampai tak nampak bumbung.

Di surau saya temui 3 orang sukarelawan muda dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang. Mereka bertanya saya sudah makan ke belum dan mendesak saya mengambil satu bungkus nasi goreng mereka dan mereka boleh berkongsi makan dua bungkus nasi goreng untuk 3 orang...Sejuk perut ibu mereka kata hati saya.

Saya juga dihujani pesanan ringkas daripada kawan-kawan. Ada yang memasukkan wang ke akaun saya untuk diagihkan kepada mangsa yang memerlukan.

Terbayang wajah sedikit ceria mangsa apabila bantuan dihulurkan. Salah seorang adalah warga emas Puan Maimunah dan suaminya yang kurang upaya serta 7 orang cucu dari Kampung Jawa. Mereka yang sudah 4 hari berada di pusat pemulihan. Sayu hati mendengar pengalaman mereka tidur tanpa selimut dan kekurangan makanan semasa berlindung di pusat perpindahan SK Cenderawasih kerana terlalu ramai mangsa

Apa pun saya pelajari bahawa masyarakat kita kurang bersedia dari segala aspek dalam menghadapi musibah tertama dari segi faktor keselamatan, kesihatan dan sikap.

Contoh makanan yang diambil terlalu banyak hingga membazir dan tidak mencukupi untuk orang yang kemudian.

Juga mangsa banjir kurang proaktif. Banyak masa terluang. Masa yang ada boleh di manfaatkan untuk banyak perkara berfaedah seperti membantu kerja- kerja sukarelawan , membaca atau mendengar tazkirah. Program waktu banjir dapat mengisi masa dan mengubat hati yang duka.

Terlalu banyak yang hendak dicatatkan. Namun apa pun Malaysia harus mengambil iktibar daripada yang berlaku dan lebih bersiap siaga.

Sekitar pukul 5 petang berita bahawa air bah di rumah kami hampir surut. Tetapi masih belum boleh pulang ke rumah untuk membasuh kerana masih ketiadaan air.

Sebelum tidur saya berbual dengan sikecil mengenai pengalaman menjadi sukarelawan siang tadi. Izzuddin berkata, " mak,...ustaz kata kita akan dapat banyak pahala kalau kita tolong orang dalam kesusahan walau kita hanya mampu beri 10 sen".
Tambah saya " ya, tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yg menerima".
Dan izuddin seolah mengerti dan menjawab"...dan mak tangan yang memberi juga lebih bahagia daripada tangan yg menerima adik dengar. Adik dapat rasakan tadi semasa membantu mangsa banjir. Dan Din nak selalu jadi sukarelawan ."...Alhamdulillah, syukur jua hati seorang ibu.

Jumaat 6 Disember....Pagi yang damai....

Penghulu segala hari...di pagi yang hening . Damai sekali...sesuatu yang sukar diungkapkan dengan kata2...

Tarbiyah banjir.
Kita sering berkata bercuti, hari keluarga atsu perayaan mengeratkan lagi hubungan. Tetapi saya belajar suatu konsep yang berbeza.

Hubungan saya dan suami serta anak-anak semakin erat apabila banjir melanda. Kami juga lebih bekerjasama, bertolak ansur dan berkomunikasi.

Saya juga mengunjungi dan dikunjungi jiran berbilang bangsa yang ramai di antaranya sudah lama tidak saya temui.

Anak-anak yang lama tidak pulang bergegas pulang menziarahi dan membantu ibu bapa.

Sahabat handai dan kaum kerabat juga semakin erat. Sumbangan diberi dalam pelbagai bentuk .Doa serta kata- kata yang baik menenangkan jiwa dalam kesusahan...

Petang ini rumah kami dikunjungi En Azlin dan Dato' Osman dari Telekom Malaysia (masing-masing Pengurus dan Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Sumber Manusia) . Mereka menziarahi kakitangan TM yang terjejas oleh banjir.

En Azlin adalah sahabat sama sekolah dari Sek.Men.Air Putih Kuantan manakala Dato Osman dahulunya jiran kami sebelum beliau dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur.Pertemuan yang tak diduga Itulah perancangan Allah....alhamdulilah.

Sabtu 7 Disember...Nikmat ukhwah kurniaanNya....

Pagi ini saya bertemu sahabat baik, Abdul Karim dan Fadzil dari Kuala Lumpur yang pulang menziarahi dan menolong membersih rumah orang tua masing-masing yang turut dilanda bah. Sempat bersarapan dan berkenalan dengan ahli keluarga masing-masing. Sungguh indah nikmat ukhwah terutama dikala kesusahan....

Ukhwah...

Dalam musibah...
Tersentuh jua hatiku
Dengan kehangatan ukhwah
Nikmat yang tidak terhingga
Kurniaan Illahi
Buat hambanya...

Wahai sahabat
Yang dikasihi
Ayuh kita bersatu
Dalam saf yang tersusun
Ibarat bangunan yang tersusun kukuh
Berjuang dan saling membantu
Sokong menyokong
Di kala senang atau susah
Di kala suka atau duka
Di kala sihat atau sakit
Dengan iman dan ukhwah
Meminta pertolongan
Yang Maha Esa
Dengan sabar dan solat
Agar kita tergolong
Orang-orang yang dikasihiNya
Orang-orang yang beruntung
Dan mereka yang memperolehi
Kemenangan yang besar
Bertemu denganNya
Dan bersatu akhirnya
Bersama sahabat tercinta
Di taman-taman syurga ....

Inspirasi dari...
Surah As-Saff, Verse 4:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Ahad 8 Disember....menjadi sukarelawan lagi...

Sekali lagi saya terpanggil untuk membantu. Kali ini di Sek.Men. Panglima Perang Indera Mahkota selepas menerima watsapp sahabat seperjuangan Encik Khairul atau lebih dikenali sebagai Abang De dikalangan pasukan teambuilding kami. Bertemu juga sahabat seperjuang Tokwi dan Puan Rohana Mahat dan suami yang turut menjadi sukarelawan.

Malamnya menyambung kerja-kerja pembersihan rumah.

Sedih menerima berita daripada Abang De ,seorang bayi berumur 2 bulan di Pusat Perpindah SMK Panglima Perang dikejarkan ke hospital kerana masalah paru-paru akibat kesejukan.

Isnin 9 Disember...Hidup perlu diteruskan....

Operasi mengemas diteruskan. Kursus asuhan permata kami disambung kembali demi generasi pewaris modal insan negara.

Pagi ini juga Muhammad Izzudin selamat dikhatankan seperti yang dijadualkan. Sukarelawan kecil kini semakin dewasa.

Hidup perlu diteruskan. Tarbiyah dan tazkirah banjir sangat bermakna. Kami mempunyai rumah yang lebih bersih, tapi yang lebih penting semoga kampung kami bersatu semula membangun bersama hati-hati yang lebih bersih...

Terima kasih Allah atas nikmat iman dan ukhwah kurniaanMu...

Terima kasih Allah

Terima kasih Allah
Atas pengembaran
Yang penuh makna ini
Terima kasih Allah
Atas peluang kedua
Terima kasih Allah
Atas nikmat ukhwah
Terima kasih Allah
Kerana membersihkan
Dan menyatukan hati-hati kami
Terima kasih Allah
Kerana memilihku
Dalam pengembaraan yang
Penuh inspirasi ini
Terima kasih Allah...
Sungguh aku bersyukur
Dan kepadaMu aku berserah...

Sekian.Wallahua'lam.
Rosnah Ahmad
http://rentis.blogspot.com/
Teratak Cenderawasih Indah
Kuantan.Pahang
5 pagi 10 Disember 2013...

Wednesday, October 24, 2012

PENGORBANAN MENGAPAI KEBAHAGIAAN DAN KETENANGAN

Eid Mubarak kepada semua pembaca.

Hari Raya Korban membawa kita mengingati  semula sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dan bagaimana kita menterjemahkan erti pengorbanan dalam kehidupan seharian.

Baru-baru ini saya banyak menerima pertanyaan daripada ibu-ibu yang merasa bosan dan kadang-kadang sukar mengimbangi peranan sebagai isteri dan ibu.

Ya betul, saya juga sering mengalami masalah yang sama. Peranan sebagi isteri dan ibu memang mencabar tidak kira yang bekerja atau pun tidak. Apa pun kita perlu ingat bahwa perubahan masa akan mengubah diri dan orang-orang yang kita sayangi. Antara cabaran yang hebat adalah untuk sentiasa berubah seiring dengan perubahan masa dan perkembangan diri dan keluarga.

Anak-anak pada usia berlainan melalui tahap perkembangan, ciri-ciri, kehendak, keperluan dan minat yang berbeza.

Menerima perubahan dan menghadapinya dengan ilmu dan kesediaan akan membantu kita menjadi lebih tenang dan fokus. Kebahagiaan milik semua dan perlu digapai dengan ilmu, usaha dan tawakal.

Semua peringkat umur anak-anak adalah saat-saat yang indah sekiranya kita tahu menghargainya. Anak-anak adalah sumber ketenangan hidup setiap pasangan.

Allah berfirman,

Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan hidup dan keturunan yang menjadi penyejuk mata (penyenang hati), dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang bertaqwa."
(Al-Furqan:74)

Menjadi ibu yang bahagia dan tenang adalah natijah yang perlu kita raih untuk menjadikan anak-anak kita juga bahagia dan tenang. Apa pun ini bukanlah sesuatu yang mudah digapai dalam kemelut kehidupan hari ini. Namun kesedaran dan usaha untuk sentiasa menjaga dan membaiki diri serta istiqamah mengimbangi kehidupan insya-Allah akan membuahkan hasil.

Ya, kita perlu berkorban setiap masa tetapi  bagaimana kita melakukannya membezakan pencapaian masing-masing. Mari kita menghisab diri, bersatu dan berusaha untuk berkorban ke arah kebaikan dan kebahagiaan bersama.

Wallahua'lam

Sunday, February 5, 2012

MENGGAMIT RASA...

Assalamulaikum,

Menemui semua pembaca blog saya. Terlebih dahulu salam pertemuan kembali kepada semua. Ya saya memang sudah lama tidak menulis...

Pada hari ini 6 hb Feb 2012 genap usia saya 46 tahun. Hmmm, saya terpanggil untuk lebih muhasabah diri. Allah masih memberi masa buat saya. Bak nasihat Hassan Al-Banna "Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya."

Ya Allah berilah petunjuk, kemudahan, kekuatan, keberkatan dan ketenangan padaku dalam menjalankan semua kewajipan-kewajipan. Saya juga berdoa moga saya dipermudahkan untuk menulis semula. Kepada pembaca yang bertanya soalan, insya-Allah saya akan cuba menjawab.


Terima kasih kepada semua pembaca yang selama ini memberi sokongan kepada saya.....


Wallahuaálam.


Sekian.


Rosnah Ahmad
Seri Kembangan
Selangor.




Friday, January 28, 2011

ERTI BAHAGIA BAGI KU

Assalamualaikum,

Menemui pembaca semua yang dirindui. Moga semua sihat sejahtera hendaknya bersama keluarga tercinta.
Minggu lepas saya berbual melalui laman sosial facebook dengan sahabat saya Umi Salmah yang sekarang bekerja di Doha.

Perbualan kami banyak berkisar mengenai cabaran menjadi ibu yang berkerjaya.

Teringat kata-kata Umi “ Macam mana  ya Nah membesarkan tiga anak dalam keadaan sibuk dan berkerjaya sedangkan Umi baru beranak satu pun dah terasa cabarannya…” begitulah lebih kurang ungkapan Umi dalam nada yang sungguh memahami.

“Well it is not easy my dear, it has been like a roller coaster ride”, jawab saya cuba menggambarkan pahit manis jatuh bangun membesarkan anak-anak dan berniaga.

Kemudian kami terus berbual berkongsi rasa….

Perbualan itu sedikit sebanyak membawa saya mengimbas kenangan 17 tahun berkahwin dan membesarkan anak-anak dalam banyak situasi. Bekerja, berhenti, bekerja semula dan berniaga. Sebahagiannya saya kongsi kan dalam buku,  “Mengapa Saya Bekerja … keluaran PTS publication yang disusun oleh sahabat saya Ir  Endok Sempo Mohd. Tahir.

Penulisan kali ini hadiah untuk sahabat saya Umi Salmah di Doha dan anaknya Adham serta pembaca-pembaca yang setia. Terima kasih atas sokongan semua selama ini.

ERTI BAHAGIA BAGIKU
OLEH
ROSNAH AHMAD


Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak susah.   Abah sentiasa berpesan bahawa hanya pelajaran tinggi yang akan menjamin pekerjaan yang baik dan dapat mengubah nasib keluarga. Juga tanggungjawab saya sebagai anak sulung untuk menjadi contoh kepada adik-adik.

Arwah emak pula berpendirian  seorang wanita haruslah mempunyai pelajaran dan bekerja. Mereka dapat menyara kehidupan sendiri  dan akan lebih dihormati. 

Mungkin kerana emak sendiri tidak berpeluang menamatkan darjah enam kerana kesempitan hidup. Kemudian terpaksa menjaga adik-adiknya yang masih kecil seramai lima orang apabila nenek meninggal pada usia emak 12 tahun.

Emak berkahwin di usia 17 tahun. Membesarkan 6 orang ank pada zaman kesusahan. Membuat kuih untuk jualan dan mengambil upah menjahit baju untuk membantu abah.

Oleh kerana harapan yang menggunung untuk melihat kejayaan anak-anak, abah agak menekan kami adik beradik untuk belajar. Abah menentukan sendiri pemilihan kerjaya kami pada peringkat awal. Kami terpaksa menurut sahaja. 

Selepas SPM dan dengan keputusan yang agak baik, abah meminta saya mengambil bidang kejuruteraan dan belajar di luar negara. Sebenarnya bidang ini bukanlah minat saya tetapi demi harapan keluarga saya turutkan.

Saya berjaya menamatkan pelajaran pada tahun 1990 dan memulakan kerjaya sebagai  jurutera pada usia 24 tahun. Boleh dikatakan ketika itu pendapatannya agak lumayan dan kerjayanya  juga glamor. 

Pada mulanya saya seronok bekerja. Walau bagaimanapun oleh kerana kerjaya yang  memang tidak berapa diminati semakin hari saya merasa stres dengan budaya kerjaya yang sangat mencabar dan di dominasi oleh lelaki ini. Setelah tiga tahun bekerja  saya mendapati  kerjaya ini semakin tidak sesuai dengan diri dan tidak memberi kepuasan.

Atas nasihat kawan-kawan saya cuba bertukar tempat kerja kerana mungkin ini dapat menyuntik sedikit semangat baru. Saya mohon bertukar ke tempat kerja berhampiran dengan bakal suami. Walaupun di tempat baru perasaan saya masih sama. Saya tidak rasa seronok bekerja. 

Saya berkahwin enam  bulan kemudian. Kehidupan baru menyakinkan bahawa kerjaya ini semakin tidak sesuai. Tambahan pula tugas baru memerlukan saya selalu bekerja di luar kawasan. Keinginan untuk berhenti kerja mula saya fikir secara serius apabila saya mengandungkan anak sulung. Saya tidak nampak bagaimana saya dapat mengimbangi peranan saya sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya dengan baik.

Tetapi hasrat saya mendapat tentangan daripada keluarga kerana mereka merasakan saya mensia-siakan pelajaran dan tidak memikirkan masa depan diri dan keluarga. 

Alhamdulillah suami saya memahami tetapi meminta saya berfikir masak-masak. Sekiranya saya berhenti,  pendapatannya sebagai juruteknik memerlukan kami untuk membuat perubahan yang besar dalam cara kami berbelanja. 

Saya cuba untuk terus bekerja kerana tidak mahu menghampakan  abah dan menunggu  ekonomi rumahtangga agak kukuh sebelum berhenti. Tetapi  semakin hari saya semakin   tertekan.  Pada masa itu, saya kurang mahir tentang teknik untuk mengurus stres dengan betul. Ianya adalah satu fasa dalam kehidupan yang amat pahit yang perlu saya lalui. 

Kerana sudah tidak tahan dengan tekanan  kerja dan memikirkan bahawa saya harus memberi perhatian kepada kesihatan diri dan anak yang di kandung. Saya mengambil keputusan nekad untuk berhenti.

Walaupun lega dengan keputusan yang diambil, sedikit sebanyak saya merasa gagal dalam kerjaya. Yalah, berhenti kerana tidak dapat menguasai stres. Alasan yang sukar difahami dan diterima ramai.

Menjadi suri rumah sepenuh masa,  saya kembali tenang. Saya cuba menjadi isteri dan ibu yang sempurna untuk keluarga dan berjimat dalam banyak perkara. Saya masih dapat membantu keluarga dengan sedikit wang simpanan yang ada. Masa lapang diisi dengan menjahit yang selama ini menjadi hobi. Saya berpeluang mendalami kemahiran menjahit dengan mengambil kursus jahitan yang singkat. 

Saya gembira melakukan semua untuk keluarga dan merasa kehidupan begitu sempurna pada ketika itu.

Dari masa ke semasa abah mencadangkan saya untuk mencari pekerjaan lain. Seringkali juga saya ditanya oleh saudara mara dan kawan-kawan kenapa saya berhenti kerja. Mereka tidak faham kenapa  saya melepaskan jawatan yang baik. Bagi mereka kerana ianya bukan sahaja merugikan malah dengan bekerja saya akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan datang. Bersedia menghadapi kemungkinan menjadi ibu tunggal setelah kematian suami  atau diceraikan seperti mana ramai wanita hari ini. 

Lama kelamaan saya menjadi letih untuk menjawab pertanyaan sebegini dan lebih suka mendiamkan diri. Pernah saya berkata kepada suami bahawa saya merasa seperti telah melakukan satu  kesalahan apabila belajar ke peringkat tertinggi. Ini memaksa saya bekerja dan tidak boleh memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Tanpa disedari sedikit sebanyak pandangan masyarakat sekeliling mempengaruhi diri. Saya mula dihantui rasa bersalah dan merasakan diri tidak menyumbang. Untuk menghilangkan sedikit rasa bersalah ini saya membuka kelas tuisyen secara  sukarela di rumah pada waktu petang untuk membantu anak-anak jiran sekeliling yang memerlukan bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris. 

Setelah 3 tahun, wang simpanan hampir habis  dan saya mula memikirkan untuk mencari pekerjaan lain. Sebagai seorang wanita yang biasa mempunyai pendapatan sendiri saya rasa kekok meminta wang daripada suami. Saya juga bimbang memikirkan tidak lama lagi saya sudah tidak lagi boleh menyumbang kepada keluarga. Keinginan untuk  membantu suami dari segi kewangan semakin dirasai setelah mempunyai dua orang anak kerana perbelanjaan keluarga yang semakin bertambah. 

Kemudian, seorang kawan memberitahu bahawa kolej swasta tempat dia bekerja memerlukan tenaga pengajar dalam bidang kejuruteraan. Saya cuba memohon dan diterima bekerja sebagai pensyarah.

Saya kembali bekerja pada usia anak sulung saya dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan. Anak-anak ditinggalkan di rumah adik saya. Sejak mula, anak sulung saya sukar sekali menyesuaikan diri kerana tidak pernah ditinggalkan. Dia kuat meragam dan kerap demam. 

Hubungan saya dan suami juga agak tegang kerana dia terpaksa menyesuaikan diri dengan rutin harian saya yang kembali sibuk dan terpaksa membantu kerja-kerja rumah. 

Saya dihimpit rasa bersalah bila bekerja kerana meninggalkan anak-anak dan tidak dapat mengurus suami dengan sempurna. Tetapi juga rasa  bersalah apabila menjadi suri rumah sepenuh masa dengan kelayakan akademik yang ada. Inilah dilema yang mungkin ramai wanita seperti saya alami.

Semakin hari kesihatan anak sulung semakin membimbangkan. Dia demam dan batuk yang berlarutan dan hilang berat badan. Mungkin terlalu banyak perubahan yang terpaksa dilaluinya. Yalah dia baru sahaja hendak menyesuaikan diri dengan kehadiran adik baru, saya pula   keluar bekerja sepenuh masa pula.

Saya akur bahawa  keputusan  untuk kembali bekerja dibuat pada masa yang tidak sesuai dan adalah satu kesilapan. Sekali lagi dengan berat hati saya melepaskan kerjaya saya sebagai pensyarah setelah hanya bekerja dua bulan. Kali ini saya lakukan dengan lebih mudah walaupun rasa sedikit terkilan kerana saya dapati saya menyukai  bidang pendidikan.

Saya kembali menjadi suri rumah tetapi memikirkan kerjaya lain yang mungkin lebih sesuai  dan membolehkan saya bersama anak-anak. Sementara itu saya cuba mengembangkan hobi menjahit saya dengan  mengambil sedikit tempahan menjahit daripada saudara mara dan kenalan. 

Tidak lama kemudian, seorang kawan meminta pertolongan saya untuk menyelia pusat asuhan kanak-kanak( taska)  kepunyaannya  secara sambilan dan membenarkan saya membawa anak-anak bersama. Sejak dulu saya memang menyukai bidang kanak-kanak dan peluang ini membuat saya sangat teruja.

Setelah setahun bekerja minat untuk membuka taska sendiri timbul. Suami saya walau bagaimanapun kurang yakin  kemampuan saya dalam bidang ini kerana berpendapat bidang terlalu baru bagi saya dan memulakan perniagaan sendiri adalah satu risiko yang besar. 

Keluarga saya juga agak terkejut bila saya menyuarakan hasrat saya. Mereka tidak faham kenapa seorang wanita yang mempunyai ijazah kejuruteraan seperti saya harus melakukan kerja-kerja pengasuhan kanak-kanak yang dianggap tidak professional dan merugikan.  Ada juga  yang menganggap saya hanya akan menggalakkan lebih ramai wanita keluar bekerja dan meninggalkan anak di taska.
 
Ianya  memang menyedihkan  tetapi saya menganggapkan semuanya sebagai dugaan dan  pembakar semangat. Saya yakin bidang perkhidmatan jagaan kanak-kanak haruslah diceburi oleh lebih ramai wanita yang berpendidikan tinggi supaya kualiti pengasuhan dapat ditingkatkan. 

Dalam era globalisasi ini ramai wanita terpaksa keluar bekerja atas pelbagai sebab. Mahu tidak mahu, anak-anak terpaksa ditinggalkan. Sistem sokongan berkualiti sangat diperlukan supaya peranan mendidik dan mengasuh dapat dikongsi secara pintar dan kolektif di antara ibu bapa dan pengasuh. 

Membesarkan dan mendidik seorang anak adalah satu proses yang panjang. Ia bukanlah kerja yang mudah dan boleh dilakukan seorang diri. Malah, saya berpendapat setiap orang dewasa dalam masyarakat haruslah berperanan untuk sama-sama menyumbang kepada pembentukan sahsiah seorang anak.

Berbekalkan niat yang suci dan tawakal, saya memulakan perniagaan pada tahun1998 dengan modal yang tidak seberapa iaitu hanya sebanyak RM5000.  Dunia perniagaan bukan semudah yang disangka dan banyak anggapan saya selama ini adalah mitos belaka. Ia menuntut banyak masa dan pengorbanan pada peringkat awal. Tambahan pula memulakan perniagaan pada masa negara mengalami masalah kegawatan ekonomi.  

Saya sedar saya masih terlalu baru dalam bidang kanak-kanak dan juga perniagaan. Kedua-dua ilmu ini  sangat meluas dan ianya perlu digarap segera sekiranya saya ingin berjaya.

Saya kembali bekerja sepenuh masa di taska. Walaupun mempunyai tiga orang pengasuh saya melakukan sendiri banyak kerja-kerja pengasuhan dan pengurusan pada peringkat awal untuk menimba  pengalaman dan menjimatkan kos.

Pada hujung minggu pula menghadiri kursus-kursus berkaitan bidang kanak-kanak dan asas perniagaan. Saya gembira kerana anak-anak sentiasa bersama walaupun ianya memang memenatkan dan kadang kala mengganggu fokus kerja.

Secara perlahan anak-anak belajar bergaul dan rasa selamat  ditinggalkan apabila saya keluar untuk urusan. Semasa menghadiri kursus hujung minggu anak-anak ditinggalkan bersama suami.

Saya dan suami pada mulanya agak tertekan kerana perniagaan ini walaupun nampak kecil tetapi memerlukan komitmen yang tinggi  dan agak lambat memberikan pulangan. Kami mesti berjimat dan banyak berkorban. Suami saya juga terpaksa membantu dengan melakukan sendiri kerja-kerja penyelenggaraan di taska. 

Pada musim cuti sekolah, pendapatan taska terjejas teruk kerana ramai anak-anak tidak dihantar kerana ibu atau bapa yang bercuti.  Untuk menampung perbelanjaan saya mengambil upah menjahit baju kerana kebetulan cuti sekolah jatuh pada musim perayaan hari raya. 

Bersengkang mata menjahit untuk menampung kos operasi. Kadang kadang di malam yang sepi di kala suami dan anak-anak tidur jiwa saya meruntun. Hanya Allah yang tahu pengorbanan yang harus saya lalui kerana pilihan saya ini… 

Menjalankan perniagaan pada usia perkahwinan yang muda dengan anak-anak yang masih kecil dan dalam kegawatan ekonomi benar-benar menguji perkahwinan kami. Sekali-sekala pergeseran rumahtangga berlaku. Walau bagaimanapun kesusahan banyak mengajar kami erti pengorbanan, mengenali satu sama lain dan membantu kami untuk lebih menghayati peranan masing-masing.

Perniagaan kami baru memberikan pulangan selepas tiga tahun.  Walaupun bidang perniagaan yang berbentuk perkhidmatan  ini tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan berbanding perniagaan lain  tetapi ianya mencukupi dan keberkatan-Nya dirasai. Saya juga dapat membantu keluarga dan memberi peluang pekerjaan dan servis kepada keluarga dan masyarakat setempat.

Bekerja sendiri membenarkan saya  mula aktif dalam kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Pergaulan  juga semakin meluas. Saya gembira kerana berpeluang berkenalan dengan ramai wanita-wanita dalam pelbagai kerjaya. Perkongsian ilmu dan pendapat  semakin mematangkan saya bukan sahaja dalam perniagaan malah dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

Anak-anak  semakin membesar dan saya cuba sedaya upaya untuk mempraktikkan ilmu keibubapaan yang dipelajari kepada mereka terutama pada anak ketiga saya yang lahir pada tahun 2002. Ianya mengajar saya untuk menjadi lebih sabar dan mahir menangani kerenah anak-anak. 

Saya semakin yakin membesarkan anak-anak dan rasa bersalah apabila meninggalkan anak-anak kerana tugas juga  hilang. Persepsi saya tentang pengasuhan anak-anak juga mula berubah.

Seorang ibu yang baik bukanlah yang sentiasa bersama anak dan yang mampu melakukan segalanya untuk mereka. Apa  yang lebih penting seorang ibu haruslah sentiasa bertindak sebagai pembimbing dan pemudah cara yang membenarkan anak-anak memilih, menyuarakan pendapat dan melakukan sesuatu mengikut kebolehan dan minat mereka. Potensi anak-anak akan lebih menyerlah dan perkembangan mereka boleh disuburkan secara menyeluruh  dan seimbang. 

Anak-anak juga harus digalakkan bergaul dalam persekitaran yang kondusif dan penuh kasih sayang supaya mereka membesar dengan akhlak yang murni, keyakinan yang tinggi dan emosi yang stabil.  Banyak kajian mengatakan bahawa  ini adalah faktor utama penentu kejayaan seseorang dalam hidup. 

Oleh itu wanita  yang berkerjaya juga boleh menjadi ibu yang baik sekiranya mereka bijak membahagikan masa, meletakkan keutamaan  dan  mengamalkan masa berkualiti bersama keluarga. Apa pun ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Wanita mestilah menyayangi diri sendiri dengan menjaga kesihatan  dari segi fizikal, emosi dan rohani supaya mereka sentiasa fokus. 

Kemudian pada tahun 2006  saya  mengembangkan perniagaan dengan mengambil alih sebuah tadika dan pusat jagaan dari seorang kawan yang beralih arah ke bidang lain. Kali ini saya memulakan perniagaan dengan lebih yakin berbekalkan pengalaman  yang ditimba selama ini. 

Melihat kesungguhan saya dalam bidang ini, akhirnya abah  merestui pilihan saya. Abah juga semakin yakin bahawa kerjaya ini menjanjikan pulangan dan memungkinkan saya membantu keluarga. Saya juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada dua orang adik  juga meminati bidang kanak-kanak.

Sekarang saya tidak lagi melakukan banyak tugas dan hanya memfokuskan kepada mengurus dan memberi latihan kepada guru dan pengasuh. Saya bersyukur kerana dianugerahkan pekerja-pekerja yang jujur dan setia. Saya kembali mempunyai lebih  masa bersama keluarga dan dapat menjalani kehidupan yang seimbang. Yang lebih penting saya mempunyai lebih masa untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan.  

Saya ingin sekali menyambung pelajaran atau mempunyai sarjana dalam bidang pendidikan awal atau psikologi kanak-kanak. Tetapi mungkin hasrat ini harus saya lupakan kerana tuntutan masa. Juga menuntut saya berjauhan dengan keluarga dan komitmen yang agak panjang. 

Sebagai alternatif, saya mendalami bidang ini dengan banyak membaca dan terus menghadiri menghadiri kursus-kursus singkat.  Saya juga belajar menulis dengan tujuan berkongsi. Cabaran dan masalah yang saya hadapi membesarkan anak-anak terpanggil untuk saya kongsi setelah saya sendiri terkapai-kapai melaluinya.

Menulis menjadikan saya lebih berdisiplin, peka dan sentiasa mengkaji. Kepuasan dan ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata setiap kali menghasilkan karya yang tulen…

Kesukaran saya memulakan perniagaan juga membuatkan saya sedar peranan untuk membantu orang. Saya suka berkongsi pengalaman dan menolong sesiapa yang ingin membuka perniagaan dalam taska, tadika atau pusat jagaan. Saya telah membantu beberapa buah badan bukan kerajaan untuk membuka taska, tadika atau pusat jagaan. Ianya memberi kepuasan yang tidak terhingga.

Pada usia 40 tahun dan mengenang kembali, saya redha dengan jalan yang saya pilih dan apa yang berlaku.  Sering memohon kepada Nya agar saya lebih yakin dan diberi petunjuk dalam melayari kehidupan.
Setelah  melalui semua ini, sekiranya saya diberi peluang sekali lagi saya akan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Setidak-tidaknya pada masa anak-anak masih kecil. Terutama di masa anak-anak sedang menyusu. Bersandarkan sokongan suami, keluarga dan masyarakat saya yakin mampu menyusu dengan lebih tenang, puas dan merasa diri dihargai. 

Apa pun apa yang dilalui banyak mematangkan  dan  membantu  saya untuk lebih mengenali diri. Saya dapati saya sebenarnya meminati bidang perniagaan. Terfikir juga untuk mengembangkan perniagaan di bidang lain jika masa  mengizinkan. Mungkin suatu hari saya akan menggunakan bidang kejuruteraan yang saya pelajari dahulu dengan membuka perniagaan yang menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik bersama adik lelaki saya yang juga seorang juru elektrik. 

Kini saya menyambung penulisan ini pada usia 45 tahun. Lima tahun kebelakangan ini saya sibuk dengan latihan  dalam bidang kanak-kanak. Saya memang meminati bidang latihan. Dua tahun lepas saya membuka Pusat Latihan Tinta Ori.

Bidang latihan tidak kurang hebat cabarannya. Ia banyak membawa saya keluar kawasan dan berjumpa dengan ramai orang. Latihan kadang-kadang sangat memenatkan tetapi dek kerana minat penat tidak saya hiraukan.

Kini saya mula berfikir. Selama mana saya harus begini. Anak-anak yang semakin  remaja memerlukan perhatian yang berbeza. Kesihatan diri juga perlu dijaga..

Semakin saya meningkat dalam kerjaya, semakin terasa kesunyian dan kehilangan.  Saya sering merindui masa bersama ahli keluarga, berkongsi melakukan kerja dan aktiviti bersama, melayan kerenah dan hobi masing-masing.

‘Kebahagian’ saya sebenarnya terletak dalam rumah yang penuh dengan gelak ketawa, suara ceria dan manja anak-anak, senda gurau dan belaian suami dalam suasana mesra dan kasih sayang. 

Syukur bekerja sendiri sedikit sebanyak menyediakan ruang dan masa untuk ini. Saya boleh menyusun jadual dan menetapkan keutamaan mengikut keperluan keluarga.

Bulan Januari seperti ini saya agak kurang sibuk. Saya banyak menghabiskan masa di rumah. Mengemas, membersih, memasak, menjahit langsir yang sudah lama kainnya di beli, membelek pokok bunga, mencuba resepi baru dengan anak-anak, berborak dan santai bersama. Menunggu anak-anak balik dari sekolah. Mendengar cerita mereka. Melayan mereka membuat kerja sekolah.  

Tiada yang lebih memberi kepuasan dari semua ini. Inilah erti bahagia seorang insan bergelar isteri dan ibu…

Pada umur begini saya perlu lebih menentukan keutamaan. Saya perlu menjaga dan menyayangi diri,  merasa damai dengan apa  yang telah dicapai  dan  menumpukan lebih perhatian kepada keluarga. Pada saya keluarga tiada nilainya. Semakin jauh saya melangkah ketenangan tetap mengapai dari rumah kecil syurga kami sekeluarga.

Saya berpendapat anak-anak memerlukan perhatian dan secara idealnya hanya ibu yang tenang sahaja dapat menyantuni anak-anak dengan baik. Tetapi kita hidup dalam dunia yang penuh cabaran dan dugaan. Samada kita bekerja atau tidak, berusahalah untuk mencapai ketenangan.

Selain itu setiap wanita haruslah dapat membuat pilihan yang tepat untuk kerjaya mereka. Mereka juga harus pandai menjaga kehormatan diri semasa bekerja dalam zaman yang penuh dengan tribulasi ini. Kehidupan akan melalui fasa-fasa yang berlainan  dan wanita harus bijak meletakkan keutamaan mengikut kesesuaian. 

Adalah juga menjadi harapan saya supaya pada suatu hari sistem di negara kita akan memberi lebih kebebasan dan peluang kepada wanita untuk membuat pilihan dalam kerjaya. Mereka haruslah dibenarkan untuk mengambil cuti yang lebih panjang untuk membesarkan anak-anak dan kembali bekerja bila mereka sudah bersedia. Sekiranya mereka memilih untuk tidak bekerja, bakti mereka terhadap keluarga haruslah dihormati dan dihargai. 

Sebagai penutup, saya semakin merasai bahawa setiap yang berlaku mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Berhenti kerja kerana stres yang pada mulanya saya anggap adalah satu kegagalan dalam hidup sebenarnya adalah satu kejayaan dan rahmat dari Allah. Ia membuka banyak ruang dan kejayaan baru dalam hidup saya.

Saya bersyukur kerana hidup saya dikelilingi oleh ramai kanak-kanak dan dapat sama-sama menyumbang dalam pentarbiahan mereka untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Apa pun saya sudah temui kepuasan dalam kerjaya. Insya-Allah rasa puas ini akan melahirkan kebahagiaan dalam diri. Kebahagiaan yang akan sentiasa mengukir senyuman yang mampu  membahagiakan insan lain.
Doa saya agar usaha yang sedikit ini sentiasa mendapat taufik, hidayah dan keberkatan Nya kepada kami sekeluarga.

Amin.

Sekian. Wallahua’lam…
Pusat Latihan Tinta Ori.
29 Januari 2011
24 Safar 1432H
12.59 tengah hari
.



Saturday, December 4, 2010

Bersangka Baik KepadaNya

Salam,

Menemui pembaca yang dirindui. Syukur atas segala kurniaannya…
Saya kini berada di Kemaman, Terengganu sejak 28 Dis 2010 kerana menyelaras Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK).

Pagi semalam saya bersama seorang sahabat dan jurulatih Kak Yati bertolak dari Kuantan ke Kemaman selepas menghabiskan cuti hari Jumaat di Kuantan. Saya sepatutnya berhenti di Balok , Kuantan untuk mengambil 2 orang peserta kursus (wan dan eisya).

Hujan sepanjang jalan. Saya tersilap jalan masuk highway ke Cukai.
“ tak pelah Kak Yati, kita kena pusing balik . Lambat pun tak pa mungkin ada hikmahnya….” Kata saya menenangkan diri.

Saya membuat pusingan dan mengambil Wan dan Eisya. Apabila hampir tiba di Cherating trafik menjadi perlahan. Rupanya terdapat kemalangan maut baru berlaku di hadapan. Sebuah Kancil dan sebuah Pacuan Empat Roda terbabit. Bahagian hadapan ranap. Kelihatan di belakang kaku jenazah yang sudah ditutup dengan selimut.

Kami berdoa. Tidak berhenti kerana tak mahu mengganggu operasi menyelamat. Kami meneruskan perjalanan ke tempat kursus dengan selamat.

Saya mengucapkan syukur dan berkata kepada Kak Yati, “ Kalau kita tak salah jalan mungkin kita berada pada tempat tersebut masa yang sama kemalangan berlaku.”

Tazkirah pada diri untuk sentiasa bersangka baik dengan Allah dan yakin apa yang berlaku ada hikmahnya…Kita hanya berusaha Allah menentukan...

Ku bersujud syukur...


Wallahua’lam
Rosnah Ahmad
5 Disember 2020
Kompleks Penyayang
Jalan Kg Air
Mak Chili
Kemaman