Friday, July 19, 2019

"CEPAT" VS PROSES

Apabila sesuatu dipercepatkan, maka prosesnya tidak lagi fitrah. Kita mungkin berjaya mendapatkan hasil yang hendak dicapai tetapi kehilangan sesuatu yang lebih berharga.

Sekarang kita hidup di zaman yang segalanya pantas. Apa sahaja boleh didapati dengan cepat dan mudah. Tetapi pernah tak kita fikirkan implikasi kepada perubahan gaya hidup begini.

Contoh, kalau dulu nak makan anak akan melalui proses setidak-tidaknya melihat mak memasak di dapur. Anak tahu bahawa jika nak makan perlu ada usaha, perlu sabar menunggu, ada sikap tolong-menolong dan berkongsi. Selepas makan pun masih ada prosesnya; kena mengemas dan membasuh pinggan mangkuk.

Ada ibu bapa yang tak tahan dengar anak merengek bila lapar atau tak nak bersusah payah memasak dan berkincah di dapur. Jadi dengan pelbagai alternatif yang ada hari ini, boleh beli makanan siap di masak di kedai atau "drive through"  sahaja. Lebih menarik lagi anak boleh memilih makanan kegemaran, tak perlu tunggu lama dan boleh buang sahaja bungkusan makanan tanpa perlu membasuh dan mengemas.  Segalanya cepat dan senang tetapi bagaimana pula dengan tatacara kehidupan berkeluarga, khasiat makanan dan proses penyediaan makanan yang banyak kebaikannya kepada perkembangan dan kesihatan..

Pada pendapat Mak Long jika ini menjadi budaya hidup, kita memberi  "instant gratification" kepada anak-anak; nak sesuatu terus dapat. Anak yang "lapar" dapat di "kenyangkan" segera tetapi apakah kesan jangka panjangnya.

Begitu juga dengan pendidikan. Ianya perlu mengambilkira fitrah setiap peringkat umur yang ada proses dan perlukan masa.

Contoh, bagi anak awal usia main itu fitrah. Main adalah proses pembentukan karektor dan konsep serta penting untuk pertumbuhan serta perkembangan fizikal, kognitif, emosi, sosial, bahasa dan rohani.

Apa pun "main" juga sudah disalahertikan. Ianya tidak lagi "self-chosen" dan "self-directed". Kaedah main yang dianggap lebih baik adalah yang berstruktur, kurang bermakna dan lebih banyak di dalam tanpa elemen alam supaya cepat mendapat hasil yang ibu bapa atau guru mahukan seperti membaca, mengira dan menulis lebih awal..

Persoalannya, adakah kita mendokong pendekatan yang fitrah dalam mendidik anak atau kita mahukan sesuatu yg cepat tanpa menilai dan mengikut sahaja arus atas nama "sayang" dan mahukan yang "terbaik" untuk anak-anak. Renung-renungkanlah.

Dikongsikan artikel Mak Long yang berkaitan.

Main Sendiri Itu Penting
https://rentis.blogspot.com/search?q=main+sendiri+itu+penting%27


Bahan Maujud dan Kurikulum Intergratif Dalam Pendididkan Awal
https://rentis.blogspot.com/2019/01/bahan-maujud-dan-kurikulum-intergratif.html 
"Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat" -Imam As-Shafie
Allahu A'lam.
Mak Long

No comments: