Saturday, April 11, 2020

MEMASAK DARI HATI YANG MURNI DENGAN ZIKIR DAN DOA BAWA BAHAGIA PADA DIRI DAN KELUARGA


Salam semua. Masak apa hari ini? Mak Long hari ini masak capati dan kari ayam. Itu antara masakan kegemaran Mak Long.
Tiba-tiba kenangan bersama arwah emak kembali menerjah fikiran dan menyentuh kalbu. Indah sekali. Terbayang arwahnya membongkok mencanai di sisi dapur, memasak capati di atas kuali leper, membalik balikkan capati dan meleser minyak sapi di atasnya sesudah masak. Anak-anak sedia menunggu di sisi untuk berbahagi rezeki.

Kini segalanya sudah berlalu. Tiada lagi momen sebegitu di rumah kecil itu. Tiada lagi hati semurni itu. Tiada lagi wajah sedamai itu. Tiada lagi air tangan seenak itu😢. 

Adik beradik yang masih ada perlu meneruskan warisan dan berbahagi rezeki yang ada di waktu senang dan susah.

Sekarang Mak Long lebih mengerti 
mengapa emak begitu rajin memasak dan suka memasak masakan kegemaran anak-anak. Ada yang tersirat dan ada bahagia yang digapai. Terserlah kedamaian diwajahnya walau dalam susah payah prosesnya pada masa dahulu tanpa peralatan moden. Memasak dari hati dengan kasih sayang dan penuh pengharapan. 

PKP disambung lagi. Ayuh kita cipta momen-momen berharga bersama anak-anak di rumah. Contohnya memasak. Proses memasak dari hati yang suci serta zikir dan doa insyaAllah membawa bahagia dari dalam diri dan rumah kita. Bersama anak-anak kita. Juga pasangan kita. 

Boleh dapatkan doa dan zikir semasa memasak di sini http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-32-himpunan-doa-untuk-anak.html?m=1

Hargailah masa sekarang. Usah terlalu risau masa akan datang kerana belum tentu ia milik kita. Mungkin juga peluang bersama setiap hari sebegini tidak datang lagi. Moga ianya menjadi memori terindah buat kita semua. 

Bagi yang nak resepi capati Mak Long,  ianya macam dalam ni https://youtu.be/7U6fugdaBBQ
Cuma biasanya arwah emak tidak menggunakan minyak semasa mengoreng. Dia ratakan sedikit minyak sapi apabila sudah masak sementara masih panas. Capati enak dimakan dengan kuah dal, kari ikan, kari daging, kari ayam atau kari kambing. Boleh juga dimakan dengan sardin atau gulai. Boleh buat "wrap" dengan sayuran. Makan begitu saja pun sedap. Nak pulak masa masih panas.

Kalau nak buat frozen, goreng separuh masak dan simpan dalam tempat disimpan beku atau "freezer". 

Selamat mencuba😃.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

 “Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa keDua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.”

"Masak memasak membawa bahagia"

🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 25


No comments: