Lompat tikam, kuih bakar, kuih kasui, putri mandi, badak berendam, onde-onde, cendol, bubur lambuk, bubur kacang, temosa, karipap dan keropok lekor adalah antara juadah tradisi yang keluarga kami buat untuk berbuka puasa. Ada yang jadi ada yang tak berapa jadi. 😂Biasalah. Jarang-jarang sekali buat kuih muih tradisional melayu ni. Biasa kami beli di bazar Ramadhan je. Mudah, cepat dan banyak pilihan. Tahun ini Ramadhan dan PKP memberi ilham dan keseronokan yang berbeza di dapur kami.
Memasak kuih muih tradisional melayu sering membawa Mak Long mengimbau kenangan semasa kecil bersama Arwah Emak di Raub, Pahang. Begitu juga Pak Awang suami Mak Long, bersama Arwah Cik di Kampung Buluh Gading, Kuala Terengganu. Kami berkongsi cerita mengenai proses memasak dahulu yang biasanya memakan masa yang lama dan sedikit sebanyak perbezaan resepi orang Pahang dan Terengganu.
Damai sekali membicarakan kisah dan keenakkan air tangan ibu-ibu kami yang tiada tandingannya. Bahagia sekali apabila dapat memasak bersama dan menikmati masakan sendiri. Anak-anak juga dapat mengenali dan menghargai asal usul mereka. Itulah antara hikmah Covid-19 dan PKP kepada kami. Indah sekali. Alhamdulillah.
Ada yang baru, yang lama jangan dilupakan. Anak-anak kita semakin hari semakin tidak mengenali kuih muih tradisional melayu. Nama kuih pun ada yang pelik seperti badak berendam, tahi itik, puteri mandi dan nekbat.
Kuih muih tradisional melayu banyak menggunakan ramuan alam dan lebih enak jika menggunakan sumber yang asli seperti daun pandan, santan, pulut, beras, sagu, kapur dan gula melaka.
Cara penyediaan yang kita anggap rumit sebenarnya tidaklah seperti yang disangkakan. Tambahan pula dengan adanya peralatan moden yang memudahkan.
Apa pun kuih muih tradisional melayu perlu dipelihara untuk diri dan generasi kita kerana ianya bukan sahaja sedap dan berkhasiat malah mencerminkan identiti diri kita.
Banyak sekali resepi-resepi kuih tradisional melayu dikongsikan di laman sosial yang boleh kita cuba. Libatkan anak-anak dalam proses mencari resepi dan memasak. Tentu ianya memberi keseronokan. Kalau tak jadi, jangan kecewa. Cuba lagi. Boleh juga post di group fb masak tak jadi😀.
Yang penting proses yang dilalui bersama mengeratkan hubungan dan menyuburkan kasih sayang. Semoga ianya menjadi kenangan indah untuk diimbau oleh anak-anak kita nanti. Walau siapa pun mereka dan di mana mereka berada, insyaAllah mereka sentiasa ingat asal usul dan kasih sayang di rumah bersama keluarga tercinta.
Kita adalah "masterchef" di dapur kita. Teruskan memasak dari hati dengan zikir, doa dan kasih sayang. Air tangan ibu tentu sekali yang paling enak bagi seorang anak.
"Kanak-kanak membina identiti diri melalui persekitaran sosial mereka."-Erik Erikson
"Masak memasak membawa bahagia"
Allahu 'Alam.
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#DudukRumah
Hari ke 44
7 Ramadhan 1441H
No comments:
Post a Comment