Friday, April 17, 2020

STRES BERPUNCA DARI SIKAP CUBA MENJADI SEMPURNA DAN MENCARI KESEMPURNAAN

Sikap cuba menjadi sempurna menyebabkan kita mudah penat dan "keterlaluan" atau "overwhelm". Ini menyebabkan kita stres. Apabila kita stres, kita mudah marah, rasa diri tidak dihargai atau menyalahkan orang lain. Kita tidak sedar kitalah puncanya.😀

Lebih parah lagi, apabila kita cuba menjadi sempurna kita mengharapkan kesempurnaan daripada orang lain. Kita lebih fokus kepada hasil yang kita mahukan. Proses yang berlaku menjadi tidak harmoni. Hubungan juga boleh terjejas.

Contoh: Ibu minta tolong anak basuh pinggan tetapi mengharapkan anak membasuh pinggan ikut cara yang dia mahukan. Jadi ibu memberi banyak arahan yang spesifik dan mengawal bagaimana anak membasuh pinggan. Kalau hasilnya berbeza, mungkin cara susun yang berbeza, ibu tidak berpuashati, meminta anak mengalihkan dan menyusun semula. 

Tindakan ibu itu menyebabkan anak berasa terkongkong, tidak boleh berfikir, tidak dihargai dan tidak bebas melakukan sesuatu mengikut kreativiti sendiri. Proses itu bukan sahaja menekan ibu tetapi juga memberi tekanan kepada anak. Lain kali mungkin dia tidak mahu atau mengelak daripada membasuh pinggan kerana tidak suka dengan cara ibu. Ibu pula stres kerana penat, berasa dirinya sahaja yang kena buat kerja rumah dan anak malas menolong. Apabila ibu stres, hilanglah seri di wajahnya dan dia mudah berleter. Anak menjadi rimas. Hubungan ibu dan anak terjejas.

Sempurna itu bukanlah sifat manusia. Apa yang sama mengenai sifat manusia adalah kita semua tidak sempurna dan kehidupan kita jauh dari kesempurnaan. 

Kejadian manusia tidak sempurna bermula dari kisah Nabi Adam AS yang melakukan kesilapan memakan buah pohon yang dilarang Allah kerana tipu daya iblis. Nabi Adam AS tidak menyalahkan iblis malah memohon ampun kepada Allah SWT dan mengaku menaniaya diri sendiri; dan Allah SWT menurunkan Nabi Adam AS ke dunia sebagai Nabi.

Sebaliknya iblis angkuh dan sombong mengingkari perintah Allah SWT supaya sujud kepada Adam AS. Allah SWT mengeluarkan Iblis dari syurga dan iblis meminta supaya Allah SWT memanjangkan umurnya hingga hari kiamat untuk menyesatkan manusia.

Apabila kita menerima dan mengiktiraf hakikat diri dan kehidupan kita tidak sempurna kita lebih rahmah atau "compassionate" terhadap diri sendiri dan orang lain. Maka kita menjadi lebih tenang dan lebih santun dalam mendidik dan berinteraksi dengan orang lain.

Jika kita tersilap, kita segera istighfar, refleksi diri dan memohon petunjuk. Kita berusaha berubah dan progres.

Progres itu penting. Untuk progres, prosesnya mesti tenang. Ianya bermula dengan diri dan dalam diri kita. Raikan usaha dan perbezaan. Kita hanya bertindak sebagai pemudah cara. Kita boleh menegur atau memberi cadangan tetapi perlu berhemah. Yang mana perlu sahaja dan tidak terlalu banyak pada satu masa. Suasana menjadi lebih harmoni dan hubungan menjadi lebih baik. Kita memperkasakan diri dan orang-orang disekeliling kita.

Persoalannya, kenapa kita cuba menjadi sempurna dan mengejar kesempurnaan dalam kehidupan terutama kaum hawa. Kajian mendapati ianya disebabkan gerakan estim kendiri atau" self-esteem" yang mendesak kita untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara. Menjadi biasa-biasa atau "average" tidak cukup baik. Jadi ramai yang bersaing untuk menjadi terbaik dalam apa jua supaya merasa diri "cukup baik" hingga kadang-kadang menjatuhkan orang lain dengan pelbagai cara.

Baca di sini untuk lebih lanjut: "The Space Between Self-Esteem And Self-Compassion" oleh Dr Kristin Neff
http://rentis.blogspot.com/2020/04/catatan-space-between-self-esteem-vs.html?m=1

Ya Allah, jadikan kami antara orang-orang yang beruntung yakni yang selalu menghisab diri, memohon ampun serta mengharap rahmatMu dan jauhi kami dari sifat sombong dan angkuh.

Surah Al-Araf, Ayat 23:
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami, dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari kalangan orang-orang yang rugi".

"Practice makes improvement"

"Kembalikan peranan ibu bapa, perkasakan institusi keluarga"

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 32

No comments: