ALAM YANG DIRINDUI
Assalamualaikum. Salam keindahan dan kedamaian buat semua di mana jua berada.
Cuaca mendung di Kuantan. Hari ini masuk hari ke 26 PKP. Puas juga duduk dalam rumah. Mak Long bersyukur boleh keluar menjengok sedikit kehijauan di laman yang kecil di hadapan rumah teres kami. Alhamdulillah. Rindu nak ke pantai, sungai dan balik kampung bertemu alam dan mendengar keriuhan suara anak-anak bermain di alam yang Mak Long rindui.
Namun sebelum ini pun keriuhan suara kecil itu semakin lama semakin kurang. Tidak seperti dulu lagi. Ibu bapa sekarang ramai yang tak begitu suka anak bermain di alam. Mereka kata kotor, bahaya dan tak ada masa nak bawa anak ke taman setiap petang. Sekarang anak-anak kita kena berkurung dalam rumah kerana PKP. Kesian. Riuh bermain di dalam rumah sahaja sepanjang masa. Semoga keruihan mereka menjadi halwa telinga ibu ayah bukan sebaliknya.
Kita sudah semakin jauh dari alam. Kita lupa untuk menghargai alam. Kita menggunakan alam sesukanya tanpa memikirkan implikasinya. Kita tidak memulihara alam. Kita lupa betapa pentingnya alam kepada kehidupan. Kita tak sedar kesan tiadanya interaksi alam kepada jiwa.
Alam dan manusia tidak boleh dipisahkan. Alam membawa kita mengenal tuhan. Alam ada peranannya dalam mendidik jiwa.
Teringat puisi bertajuk " Mana Dia" yang Mak Long tulis dahulu. Ianya agak panjang tetapi hayatilah bait-baitnya.
Mana dia
Sinar mentari pagi
Embun di dedaun
Kicauan burung
Lambaian pepohon
Tiupan angin
Haruman bungaan
Rama-rama dan unggas bertandang...
Mana dia
Hijaunya rumput
Lembutnya tanah
Putihnya awan
Jernihnya air sungai
Birunya laut
Merdunya desiran ombak
Damainya ikan-ikan yg berenang
Anggunnya camar yang berterbangan
Banyaknya batu dan cengkerang yang boleh dikutip
Luasnya hamparan pasir yang boleh dibina
Mana dia
Cahaya senja nan merah
Mentari berlabuh
Malam yang damai
Berteman pungguk berjaga
Suara cengkerik menyanyi
Pekat malam dihiasi sinar rembulan
Kerdipan bintang-bintang bertaburan
Mana dia
Rintik hujan yang nyaman
Suara kodok yang memanggil
Tupai yang berlari
Daun semalu yang kucup dan terkulai
Bumi yang basah
Berudu yang berenang dilopak air
Pelangi yang indah selepas hujan
Mana dia
Warna-warna alam
Flora dan fauna
Yang ada hanya
Hutan batu
Jeriji yang memagari
Bunga-buangan plastik
Diwarnakan meriah
Mungkin indah di matamu
Tidak dimataku
Biarkan saja perabut dan dinding berwarna asli
Biarkan saja aku kenal
Warna-warna alam
Usah biarkan diriku dalam dunia fantasi
Realiti membuatku bahagia
Imaginasiku membawaku mencipta
Biarkan saja karya dan lukisanku mewarnai
Bukankah lebih harmoni
Bukankah lebih indah
Lukisanku dengan warna-warna alam
Yang tersirat penuh makna
Mana dia
Keindahan alam
Ciptaan Yang Maha Besar
Bawalah aku melihat dan merasai kebesaranNya
Hubungi jiwa halusku dengan yang ciptaanNya
Biar aku bermain dan meneroka alam
Dengan deriaku
Agar aku faham dunia persekitaranku
Tentu sekali damai jiwaku
Tenang hari-hariku
Membawa aku berfikir
Tentang kejadian langit dan bumi
Tentu banyak sekali persoalanku
Hingga akan tiba ketikanya
Aku akan bertanya...
Siapa yang menjadikan alam ini?
Soalan fitrah dari seorang khalifah kecil
Yang masih suci
Ibarat sehelai kain putih
Yang sedia diwarnai.
Entah bila PKP akan berakhir. Semoga kita mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. Hendaknya kita lebih menghargai dan menjaga alam selepas PKP ini.
Anak-anak perlu bermain di alam. Jiwa suci mereka harus dihubungkan dengan alam supaya tersemai benih iman seawal usia. Rujuk peranan alam dalam mendidik di sini. http://rentis.blogspot.com/2007/08/semai-iman-anak-melalui-interaksi.html?m=1
Sementara itu, manfaatkanlah alam yang sedikit sepanjang PKP ini. Boleh diusahakan menaman sayur sayuran dalam pasu bagi yang tiada laman. Libatkan anak-anak dengan elemen alam yang banyak semasa proses memasak. Main air juga baik. Kalau ada pasir biarlah anak main. Tentu mereka seronok.
Rujuk artikel "Main air baik untuk perkembangan anak." http://rentis.blogspot.com/2019/09/main-air-baik-untuk-perkembangan-anak.html?m=1
Bersabarlah wahai anak. Alam sedia menantimu. Kita boleh menang melawan virus ini bersama, insyaaAllah. Kita bisa bermain lagi di alam yang indah kurniaan Ilahi buat kita semua.
"Kanak-kanak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"-Imam Al-Ghazali.
Allahu 'Alam.
🌾Rosnah Ahmad/ Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 25
No comments:
Post a Comment