Tuesday, April 21, 2020

KESAN MEDIA SOSIAL KEPADA PEMIKIRAN DAN PERASAAN

"Suka tengok post dia kat insta. Cantik rumah dia, anak dia comel comel belaka. Suami dia rajin menolong kerja-kerja rumah dan bawa dia dan anak-anak bercuti. Cantik sangat gambar-gambar mereka pergi bercuti sekeluarga. Masa PKP ni pun dia ajar anak-anak di rumah, masak sedap sedap dan rumah dia tersusun rapi. Dia isteri dan ibu yang bertuah dan sempurna."

Begitulah cerita seorang wanita kepada Mak Long dengan nada yang agak tertekan dan kesal. Beliau seterusnya meluahkan beberapa masalah berkaitan suami dan anak-anaknya.

Secara tak sedar media sosial sudah mempengaruhi pemikiran dan perasaan wanita ini. Dia membanding-bandingkan diri, pasangan, anak dan kehidupannya dengan orang lain.

Media sosial sebagai medan perolehan dan perkongsian ilmu yang bermanfaat boleh membawa kepada stres dan kerisauan apabila kerap membaca atau melihat posting orang lain yang kebiasaannya hanya membawa berita, cerita dan gambar yang menunjukkan kejayaan, kegembiraan dan kebahagiaan sahaja. 

Harga sebuah kejayaan yang dipaparkan juga semakin hari semakin tinggi. Masyarakat menganggap seseorang yang berjaya itu sempurna dari segala segi. Mereka juga kelihatan bahagia sekali.

Maka kita mudah terperangkap dalam sindrom "saya tidak cukup baik" atau "I am not good enough". Kita merasakan diri dan kehidupan kita tidak sempurna. Jadi untuk merasa "cukup baik" kita perlu memiliki apa yang orang lain ada dan berbuat seperti orang lain. Akhirnya kita berbelanja di luar kemampuan dan sentiasa mahu update posting yang indah-indah sehingga keterlaluan dan kepenatan. Pasangan dan anak-anak juga tertekan dengan sikap kita yang mahukan kesempurnaan.

Apa pun kita perlu sedar kesan media sosial kepada pemikiran dan perasaan supaya tidak terikut-ikut dengan trend dan gaya hidup orang lain tanpa prinsip.

Setiap dari kita dan setiap keluarga itu unik. Kejayaan dan kebahagiaan tidak hanya tertakluk kepada apa yang dimiliki. Terima diri dan ahli keluarga kita tanpa syarat dan bandingan. Syukuri nikmat dan hargailah apa yang ada. Sumber hikmah dan bahagia itu ada dalam diri dan dalam rumah bersama keluarga kita. Kita jaga kita.

Surah Al-Furqan, Ayat 74:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa".

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
rentis.blogspot.com
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 36

No comments: