Sunday, October 11, 2026

AKU DI WAJAH MEREKA

Di wajah polos itu ada aku yang dulu,
Yang duduk diam di sudut, takut bersuara,
Yang belajar percaya bahawa kasih itu bersyarat, 
Jadi "aku tidak cukup baik" jadi doa yang luka.

Di mata berkaca itu ada aku yang dulu,
Yang menahan tangis kerana tidak mahu menyusahkan,
Yang senyum walau hati runtuh,
Kerana tiada siapa yang bertanya, "kamu okay?"

Hari ini aku memeluk mereka,
Bukan sekadar memeluk anak-anak rentan,
Tapi memeluk aku yang kecil dulu,
Yang tidak pernah dipeluk cukup.

Aku katakan pada mereka, "kamu berharga",
Sambil perlahan mengajar hati sendiri,
Aku bisik pada mereka, "kamu cukup baik",
Sambil mengubat bisik lama dalam diri.

Anak-anakku,
Kalau kamu rasa tidak cukup,
Lihatlah aku — aku juga pernah begitu,
Tapi kita belajar bersama,
Bahawa cukup itu bukan sempurna,
Cukup itu adalah dicintai Allah apa adanya.

Jika suatu hari kamu sudah terbang jauh,
Dan tidak ingat lagi namaku,
Tidak mengapa,
Kerana di setiap keberanianmu untuk percaya diri,
Ada sebahagian dari aku yang akhirnya sembuh.

Aku yang sembuh
Mahu terus tumbuh
Bahagia dan membahagiakan
Sementara usia berbaki
Sebelum aku pulang.

🌿 ML
#closetoyourheart