Sunday, November 1, 2026

_KEPENTINGAN HUBUNGAN INTERGENERASI: Jambatan Kasih Merentas Zaman_



> _“Yang tua dihormati, yang muda disayangi ”_

_Kalau Mak Long ingat balik masa kecik dulu, momen yang paling Mak Long ingat sampai sekarang adalah bila cuti sekolah._

Dapat duduk dengan Wan dan Aki. Itu pun dah rasa paling bahagia.

Zaman tu mana ada macam sekarang, boleh pergi bercuti sana sini. Nak jalan pun tak mampu. Duduk rumah kayu Wan, tidur berlapik tikar mengkuang, makan nasi dengan ikan goreng, tapi kasih sayang tu... sampai hari ni Mak Long rasa.

Ikut Aki pergi pasar. Dengar Wan bercerita. Gelak layan gurauan Aki. Main kat tanah dengan sepupu. Tak ada mainan mahal, tak ada gajet, tapi cukup. Cukup sangat. 

Sedih sangat bila cuti sekolah dah tamat. Kena balik rumah.

Sebab tu Mak Long percaya, hubungan antara generasi ni bukan perkara kecil. Ia jambatan kasih yang membentuk siapa kita hari ini.

Ini 5 kepentingan hubungan intergenerasi yang kita kena hidupkan balik:

_1. Pemindahan Nilai & Adab_

Wan & Aki adalah guru adab pertama. Bukan ajar dari buku, tapi dari perbuatan. Cara Wan bercakap lembut, cara Aki tegur dengan hikmah. Di situlah anak cucu belajar budi bahasa, hormat, dan adab warisan keluarga.

_2. Ringankan Beban Ibu Bapa_

Mak ayah hari ni penat bekerja. Bila ada Wan & Aki yang tolong tengokkan cucu, bagi nasihat, jadi tempat mengadu, beban tu jadi ringan. Keluarga jadi tempat rehat, bukan tempat tekanan.

_3. Cucu Rasa Selamat_

Anak yang membesar dengan kasih sayang atuk nenek ni jiwanya lain. Dia rasa selamat, disayangi, yakin diri. Pelukan Wan tu ubat. Nasihat Aki tu benteng emosi dia.

_4. Baik Untuk Wan & Aki_

Jangan ingat cucu je yang perlukan mereka. Wan & Aki juga perlukan cucu. Bila mereka rasa dihargai, dilibatkan, diajak berbual, mereka tak rasa sunyi. Mereka kekal aktif, sihat emosi, rasa masih diperlukan dan hidup lebih bermakna.

_5. Tunjang Komuniti_

Wan & Aki kita ni lah tunjang komuniti. Mereka yang _aktif di masjid dan surau, menjadi pendamai, dan pustaka hidup_ masyarakat. Ilmu mereka, pengalaman mereka, doa mereka — itulah keberkatan dalam komuniti kita.

Hubungan ini dituntut dalam agama:

_Al-Isra' 23:_
_وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا_

_“Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.”_

_HR Tirmizi:_
_مَنْ لَا يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَلَا يُوَقِّرْ كَبِيرَنَا فَلَيْسَ مِنَّا_

_“Sesiapa yang tidak menyayangi yang lebih muda dan tidak menghormati yang lebih tua, maka dia bukan daripada kalangan kami.”_

Hari ni, jom kita kembalikan semula budaya tu. Cuti sekolah ni, bukan kena bawa anak pergi mall mahal-mahal je. Bawa balik kampung. Bagi anak rasa tidur rumah Wan. Bagi dia rasa kasih yang Mak Long rasa dulu-dulu.

Dan bagi Wan dan Aki dalam komuniti. Teruslah berbakti demi generasi pewaris.

Sebab akhirnya, bukan harta yang anak akan ingat, tapi kasih sayang merentas generasi tu yang akan dia bawa sampai tua.

Kita saling memerlukan. 

"Komuniti mensejahterakan komuniti." 

"Membangun adab, membina negara." 

Allahu'Alam.

🌹Mak Long http://rentis.blogspot.com
#closetoyourheart