Wednesday, April 8, 2020

KAEDAH ASUHAN DAN DIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI TASKA WAJAR DICONTOHI DAN DIPRAKTIK DI RUMAH

Assalamualaikum ummi abi, ibu ayah dan mak abah semua. Salam keindahan dan kedamaian. Semoga sihat sejahtera hendaknya seisi keluarga.

Hari ini sudah masuk hari ke 22 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagaimana semua duduk di rumah tu. Harap segalanya baik dan semakin hari semakin tenang.

Pernah tak terfikir bagaimana pengasuh boleh menjaga kanak-kanak dalam bilangan yang ramai saban hari di TASKA berbanding kita di rumah yang kadang-kadang pening menjaga dua tiga orang anak sahaja. Mak Long pun sama dulu masa anak-anak kecil sehinggalah Mak Long menceburi bidang pengasuhan bermula dengan bekerja sebagai pengasuh. Banyak perkara yang Mak Long pelajari dari situ dan mempraktikan di rumah sepanjang proses membesarkan tiga orang anak-anak Mak Long.

Apa itu TASKA? Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) menyediakan perkhidmatan asuhan gantian atau "alternative child care" kepada kanak-kanak di bawah umur 4 tahun bagi memberi kemudahan kepada ibu bapa, khususnya wanita bekerja. Ianya tertakluk kepada Akta Taman Aauhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308) yang  mengadakan memperuntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak.

TASKA bukan hanya menekankan aspek penjagaan. Ianya menawarkan khidmat asuhan dan didikan awal kanak-kanak berdasarkan Kurikulum PERMATA Negara (KPN) yang wajib digunapakai di semua TASKA berdaftar. 

Skop KPN meliputi dua komponen utama, iaitu Komponen asas Pengasuhan Bayi dan Kanak-kanak, dan bidang pembelajaran PERMATA untuk perkembangan kanak-kanak.

Jadi nak tahu bagaimana operasi TASKA dikendalikan setiap hari. 

📌Pertama- Persekitaran yang kondusif.

TASKA menyediakan persekitaran dalam dan luar dengan peralatan dan perabut yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak. Aspek keselamatan diutamakan. Ruang makan, rehat dan tidur serta sudut-sudut seperti sudut main peranan, sudut prabaca dan sudut blok diadakan untuk menggalakkan perkembangan bayi dan kanak-kanak.

TASKA wajib menyediakan ruang dan sudut serta peralatan dan perabut mengikut keperluan bilangan dan umur kanak-kanak yang diambil. Bilangan kanak-kanak yang boleh diambil adalah tertakluk kepada keluasan lantai 3.5m persegi untuk setiap kanak-kanak. Nisbah pengasuh:kanak-kanak adalah 1:3 untuk bayi bawah umur 1 tahun, 1:5 untuk kanak-kanak 1-3 tahun dan 1:10 untuk kanak-kanak 3-4 tahun. 

📌Kedua- Perancangan tahunan, jadual mingguan dan jadual harian sebagai panduan. 

Perancangan tahunan disediakan  di TASKA untuk memudahkan pengasuh merancang aktiviti atau program sepanjang tahun mengikut tema dan peristiwa sepanjang tahun.

Jadual mingguan TASKA mengandungi rutin dan pembelajaran yang dirancang sepanjang minggu. Ianya mengandungi elemen rutin, aktiviti PERMATA, transisi dan permainan bebas.

Jadual harian pula memudahkan pengasuh memahami dan melaksanakan proses pembelajaran kanak-kanak sepanjang hari.

Biasanya operasi TASKA bermula seawal pukul 7 pagi. Pengasuh menyambut ketibaan kanak-kanak dan melakukan pemeriksaan fizikal dilakukan untuk memastikan tahap kesihatan kanak-kanak dan merekodkan dalam buku log harian setiap kanak-kanak. 

Kemudian masa untuk mandi, berus gigi, bersiap untuk sarapan dan aktiviti "circle time" dalam kumpulan. 

Dalam pukul 9.00 pagi kanak-kanak menjalani aktiviti luar seperti "nature walk", main air, main pasir atau main bebas selama 1 jam dan masuk semula ke dalam untuk minum pagi. Bayi diberi susu dan waktu untuk tidur.

Kanak-kanak lain pula mengikuti aktiviti PERMATA yang dirancang seminggu sebelum oleh pengasuh mengikut pelaksanaan aktiviti pembelajaran PERMATA berdasarkan:-

Modul 1: Umur lahir hingga 6 bulan
Modul 2: Umur  6 bulan hingga 12 bulan
Modul 3: Umur 1 tahun hingga 2 tahun
Modul 4: Umur 2 hingga 3 tahun
Modul 5: Umur 3 hingga 4 tahun
Modul 6: Modul pengayaan untuk 4+ tahun

Aktiviti dirancang setiap minggu secara seimbang dan menyeluruh meliputi enam perkembangan iaitu:-

1. Perkembangan fizikal
2. Perkembangan sahsiah sosioemosi dan kerohanian
3, Perkembangan bahasa, komunikasi dan literasi awal
4. Perkembangan awal matematik dan pemikiran logik
5. Perkembangan deria dan pemahaman dunia bersekitaran 
6. Perkembangan kreativiti dan estetika.

Contoh web aktiviti mingguan bayi berumur 9 bulan
http://rentis.blogspot.com/2019/02/aktiviti-bayi-di-taska.html

Makan tengahari pada pukul 11.30 pagi diikuti dengan gosok gigi dan mandi/bersihkan diri sebelum waktu tidur. Kanak-kanak rehat dan tidur dari 12.30 tengahari hingga sekitar pukul 3.00 petang.

Bagaimana kanak-kanak semua boleh  tidur serentak? Sebab mereka aktif dari pagi dan sudah penat. Kalau lambat sikit ada yang tertidur di merata tempat.

Waktu kanak-kanak tidur pengasuh bergilir-gilir rehat, makan dan solat.  Kemudian mengisi buku log harian yang mencatatkan aktiviti, perkembangan, tingkah laku kanak-kanak dan jika ada pesanan untuk ibu bapa. Mereka juga menyediakan bahan untuk aktiviti keesokkan harinya dan merancang aktiviti untuk minggu berikutnya.

Waktu ini bayi di bilik berasingan biasanya sudah bangun, disalin lampin dan diberi makan tengahari  Kemudian bayi juga mengikuti aktiviti yang dirancang dan aktiviti bebas sebelum tidur waktu petang.

Kanak-kanak bangun, mandi dan bersiap untuk minum petang dalam pukul 4.30 petang dan kemudian main bebas  di sudut-sudut pembelajaran.

5.30 petang biasanya kanak-kanak main di luar sambil menunggu ibu ayah menjemput mereka pulang.

Pengasuh hanya boleh pulang selepas semua kanak-kanak pulang biasanya paling awal 6.30 petang.

📌Ketiga- Kanak-kanak dilatih kemahiran urus diri.

Latihan mengurus diri diberikan supaya kanak-kanak boleh berdikari dan mengurus diri tanpa bantuan  Seawal usia 6 bulan bayi sudah dilatih mengurus diri mengikut tahap kebolehan dengan bimbingan dan bantuan. Pengasuh bertindak sebagai pemudahcara.

Melalui aktiviti rutin, kanak-kanak dilatih mengurus diri seperti makan, mandi, gosok gigi, buang air di tandas, memakai pakaian, menyediakan alat permainan, mengemas permainan dan sebagainya. Biasanya kanak-kanak 3 dan 4 tahun sudah mahir melakukan semuanya sendiri tanpa bantuan.

Adab dan doa juga diterapkan dalam rutin seperti adab dan doa sebelum dan selepas makan, masuk dan keluar tandas, sebelum tidur dan selepas bangun tidur dan sebagainya. Anak kecil mudah sekali mengamalkan adab dan menghafal doa melalui kaedah ini.

📌Keempat- Proses lebih penting dari hasilnya. 

Tiada tekanan kepada pengasuh untuk memaksa kanak-kanak mendapatkan hasil yang ditentukan atau membanding-bandingkan antara satu kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Pencapaian dan hasil kerja mereka diterima seadanya. Mereka digalakkan berkembang dan progres mengikut kemampuan masing-masing. 

📌Kelima: TASKA menyediakan menu dan pemakanan seimbang.

Kanak-kanak diberikan makanan yang seimbang untuk pertumbuhan dan perkembangan yang baik selaras dengan Index BMI bagi umurnya.

Tiga set menu mingguan yang diulang setiap 3 minggu untuk bàyi enam bulan ke atas hingga 2 tahun dan kanak-kanak 2 hingga 4 tahun disediakan supaya kanak-kanak dapat pelbagai makanan seimbang dan tidak mudah jemu.

Aktiviti PERMATA bagi pemakanan juga dititikberatkan. Pengasuh merancang dan melaksanakan aktiviti bagi menggalakkan kanak-kanak memahami khasiat dan kebaikan makan pemakanan sihat dan mengamalkan kebersihan.

Contoh rancangan pelaksanaan aktiviti pemakanan.
http://rentis.blogspot.com/2018/11/rpa-di-taska-makan-ikan-baik-untuk-saya.html?m=1

📌Keenam- Memahami dan mengurus tingkah laku kanak-kanak. 

Amalan asuhan dan interaksi yang menyokong keperluan fizikal, emosi dan akal kanak-kanak di TASKA menggalakkan mereka membina rasa selamat, yakin diri, rasa diterima, disayangi dan dihargai. Ianya juga mengurangkan masalah tingkah laku dikalangan kanak-kanak.

Jika berlaku masalah tingkah laku ianya diurus oleh pengasuh yang diberi latihan berkaitan tingkah laku, jenis-jenis tingkah laku, bagaimana kanak-kanak mempelajarinya, faktor yang menyebabkan perubahan tingkah laku dan cara mengatasinya.

📌Ketujuh- Pemerhatian dan penaksiran.

Pemerhatian berterusan semasa kanak-kanak bermain, terlibat dalam aktiviti dan rutin seharian dilakukan oleh pengasuh untuk mendapatkan maklumat mengenai tingkah laku dan menilai tahap perkembangan bayi dan kanak-kanak pada setiap domain.

Pengesan awal juga dilakukan bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Pengasuh didedahkan dengan jenis keperluan khas, tanda awal, pakar rujuk, intervensi awal dan peranan serta tanggungjawab pengasuh.

Pelaporan rekod pertumbuhan dan kemajuan perkembangan dan perbincangan dengan ibu bapa diadakan dari masa ke semasa.

Sudah agak panjang lebar Mak Long menceritakan serba ringkas perjalanan operasi dan peranan serta tanggungjawab pengasuh.

Kerjaya sebagai pengasuh bukan mudah. Ianya memerlukan minat dan komitmen yang tinggi. Upahnya pula mungkin tidak setimpal. Rata-rata pengasuh TASKA masih dibayar gaji minimum.

PKP membawa rahmat yang banyak. Antaranya memberi kerehatan kepada pengasuh yang jarang-jarang dapat cuti yang lama. Berehatlah wahai pengasuh. Kumpulkan kekuatan untuk kembali bekerja selepas PKP.  Khidmatmu sangat diperlukan. Mana mungkin kami ibu bapa dapat keluar bekerja dengan tenang tanpa sokongan dan baktimu. Jasamu dikenang.

Pengasuh perlu bersedia untuk menghadapi sesi penyesuaian semula setelah lama anak-anak bercuti. Ramai juga yang akan menangis kerana tak mahu ditinggalkan.

PKP juga mengembalikan tugas dan tanggungjawab menjaga dan mendidik sepenuhnya kepada ibu bapa. Inilah peluang untuk ibu bapa menunaikan amanah yang Allah berikan kepada setiap ibu bapa sebaik mungkin.

Kaedah yang sistemetik yang digunapakai di TASKA wajar dicontohi dan dipraktikan dirumah supaya wujud kesinambungan asuhan dan didikan TASKA dan rumah demi kesejahteraan anak-anak. Ianya mungkin perlu disesuaikan dengan suasana di rumah dan keperluan setiap keluarga. Semoga ianya membantu melancarkan tugas dan tanggungjawab ibu bapa terhadap anak setiap hari.

Semoga Allah memudahkan segala urusan mengasuh dan mendidik anak-anak semasa PKP ini.  Kita jaga kita.

"Rumah Madrasah Pertama. Ibu Bapa Guru Utama."
"Kembalikan Peranan Ibu Bapa. Perkasakan Institusi Keluarga."

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 22

No comments: