Buntu memikirkan aktiviti untuk anak semasa PKP ini atau tak tahu kertas kerja apa nak beri pada anak.
Mak Long mencadangkan supaya ibu ayah memberi kertas kosong dan peralatan melukis kepada anak. Galakan mereka menconteng, melakar dan melukis. Lebih baik jika diadakan sudut melukis di rumah atau sediakan kotak mudah alih yang diisi dengan peralatan untuk melukis.
Banyak kebaikan menconteng, melakar dan melukis kepada anak. Ianya proses latihan motor halus, meningkatkan kreativiti, meluahkan perasaan dan imaginasi. Kita juga boleh membantu anak meneroka dan memahami perasaan melalui lukisan mereka.
Rujuk artikel "Tahap perkembangan lukisan dan tulisan kanak-kanak"
https://rentis.blogspot.com/2017/12/tahap-perkembangan-lukisan-dan-tulisan.html?m=1 dan artikel "Memupuk minat menulis secara kreatif"https://rentis.blogspot.com/search?q=Memupuk+minat+menulis&m=1
Yang penting kita bebaskan sahaja anak melukis. Usah dikongkong. Galakkan sahaja. Hayati puisi " Bebaskan Sahaja" yang Mak Long nukilkan suatu ketika dahulu.
BEBASKAN SAJA
Akan tiba ketika
Kau dapati aku
Gemar sekali menconteng
Puas menconteng
Lembut cari jemariku melakar dan melukis
Bebaskan saja
Aku menconteng dan melakar
Melukis dan mewarna
Mengikut kreativitiku
Aku lakar rumah berbentuk bulat
Kau kata rumah berbentuk segiempat
Aku warna tayar kereta merah
Kau kata tayar warnanya hitam
Aku warna kelapa hitam
Kau kata kelapa warnanya hijau
Aku warna rambutan hijau
Kau kata rambutan warnanya merah
Aku lukis kapal terbang kecil
Kau kata kapal terbang itu besar
Bukan kecil seperti burung
Lalu kau berikan aku gambar kapal terbang untuk aku warna
....sedih
Bebaskan saja
Usah dikongkong pemikiranku
Hasil yang kau mahu membelengguku
Menyekat kreativitiku
Ketahuilah
Ada makna disebalik lukisan
Ada cerita disebalik luahan
Ada imaginasi disebalik ciptaan
Ada tanggapan disebalik pilihan
Itulah rumah mengikut kreativitiku
Pada ketika tahap aku hanya mampu melakar bentuk bulat
Tidak salah untuk aku impikan tayar kereta yang berwarna merah
Kelapa kulihat hitam selepas dibakar
Rambutan kulihat hijau ketika putik
Kapal terbang jauh di langit kelihatan kecil sekali
Seperti seekor burung yang sedang terbang
Bebaskan saja
Biarkan saja aku lalui proses
Menconteng, melakar, melukis, mewarna
Sesukaku, semahuku
Sediakan peralatan yang sesuai
Berikan sokongan dengan kata-kata yang baik
Terima seadanya karyaku
Cantik sekali jika ditampal di dinding rumah kita
Hargai setiap usahaku
Imaginasi pemikiranku yang masih bebas
Galakkan saja kreativitiku berkembang
Seiring peningkatan kebolehanku
Keunikan potensi diriku
Anugerah Ilahi
Buat setiap insan kecil
Sepertiku.
.
.
Puisi ini berkaitan tahap kanak-kanak peringkat awal (lahir hingga 6 tahun) yang masih dalam pemikiran bebas dan bagaimana merangsang kemahiran jari dan kreativiti mereka.
Sungguh banyak manfaat melukis pada anak. Ibu ayah juga boleh turut melukis bersama anak. Tentu anak merasa seronok dan ibu ayah bahagia.
Mak Long pun suka melukis. Jom melukis😁.
"Imaginasi bebas melahirkan lukisan yang cantik"
Allahu 'Alam.
🌾Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
#DudukRumah
Hari ke 34
No comments:
Post a Comment