Hari ini masuk hari ke 21 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Perintah duduk di rumah menyaksikan tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak yang selama ini digalas bersama pengasuh dan guru kini terletak sepenuhnya di bahu ibu bapa. Perubahan yang berlaku perlu diterima dan kita juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan yang agak sukar dan tidak menentu ini. Setiap orang ada cabarannya tersendiri dalam situasi sekarang. Ada yang perlu bekerja dari rumah. Ada juga yang hilang mata pencarian.
Siapa pun kita dan apa jua cabaran yang dihadapi, PKP mengingatkan kita bahawa anak adalah amanah dan ujian. Bagaimana kita melaksanakan tanggungjawab menjaga, mendidik dan menghadapi karenah anak-anak di rumah sepanjang hari ini juga mencerminkan diri kita.
Bersabar itu bukan bermakna hanya menunggu keadaan pulih seperti biasa tetapi bagaimana sikap kita dalam menjalaninya. Bagaimana kita menangani masalah tingkah laku anak-anak saban hari. Adakah kita mengambil sikap mendidik atau hanya bertindak mengikut emosi.
Contoh: Ibu sedang penat dengan kerja-kerja rumah dan tertekan dengan tugasan kerja dari rumah. Anak-anak pula bergaduh, jadi ibu memarahi dan meminta anak yang lebih besar beralah dengan yang lebih kecil tanpa usul periksa. Ibu itu tidak sedar tindakan seperti ini boleh menyebabkan anak merasa ibu pilih kasih dengan melebihkan si adik dan ianya boleh menyebabkan anak itu memberontak. Yang lebih parah lagi apabila ini berlaku ibu melabel anak itu degil dan susah dibentuk. Situasi yang berharga yang seharusnya diambil sebagai masa yang sesuai untuk mendidik anak dengan menegur secara hikmah dan membuat refleksi bersama anak sudah menjadi situasi yang memberi kesan negatif kepada emosi ibu dan anak.
Dalam banyak keadaan apabila berlaku masalah tingkah laku, ibu bapa mahukan anak berubah tanpa menyedari bahawa ianya terlebih dahulu memerlukan proses refleksi dan tranformasi diri ibu bapa itu sendiri. Jika kita asyik bersikap menyalahkan anak dan bertindak dengan cara yang sama mana mungkin kita mengharapkan hasil yang berlainan.
Seringkali juga kita menyalahkan faktor luaran seperti sekolah dan guru tanpa langsung melihat dari perspektif peranan kita sebagai ibu bapa.
Kita tidak mampu untuk jadi sempurna dan sifat kesempurnaan bukan ada pada kita tetapi kita mampu menjadikan hari ini lebih baik dari semalam.
Ayuh kita muhasabah diri, mengaku kelemahan diri, berusaha mencari ilmu dan kemahiran untuk terus progres pada jalan-jalan kebenaran dalam menyantuni anak-anak. Ianya adalah proses penyucian jiwa dengan berjihad melawan hawa nafsu dan berubah ke arah kebaikan, insyaaAllah.
Walau bagaimanapun ianya bukan sesuatu yang mudah. Kita akan terus melakukan kesilapan dalam mendidik anak-anak. Yang penting kita selalu melihat ke dalam diri terlebih dahulu, selalu memohon ampun atas kesilapan diri dan berdoa memohon petunjuk daripada Allah. Kita hanya berusaha dan hasilnya Allah yang menentukan.
Rahmat besar PKP adalah masa bersama keluarga. Manfaatkanlah masa berharga yang ada untuk mendekati, mengeratkan hubungan dan mendidik anak-anak di rumah. Ayuh kita perkasakan peranan sebagai ibu bapa dan mengapai kesejahteraan, kebahagiaan serta kedamaian di rumah kita. Kita jaga kita.
Tidak lupa kepada anak-anak barisan harapan yang sedang berjuang. Semoga Allah memudahkan segala urusan semua.
"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar."
(QS. At-Taghabun, 64 : 15)
Dikongsikan artikel berkaitan dari blog Mak Long untuk rujukan.
http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-32-himpunan-doa-untuk-anak.html?m=1
http://rentis.blogspot.com/2017/08/teknik-sedar-dalam-menyantuni-fitrah.html?m=1
"Rumah Madrasah Pertama. Ibu Bapa Guru Utama"
Allahu 'Alam.
🌾Rosnah Ahmad/ Mak Long
#SentuhabBapaBelaianIbu
#DudukDiRumah
Hari ke 21
No comments:
Post a Comment