Thursday, May 24, 2007

Jalan-Jalan yang perlu dirintis



Perkongsian World Forum On Early Care and Education (ECCE) 2007-
Jalan-jalan yang perlu dirintis.

Oleh Rosnah Ahmad.

Tempat: Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur
Tarikh : 15-18 Mei 2007

Alhamdullillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinnya, saya berpeluang mengikuti forum di atas. Banyak sekali yang saya pelajari daripada lebih 700 delegasi yang datang dari 73 negara dari 6 benua.

Delegasi dari latarbelakang dan disiplin yang berbeza membawa bersama mesej dan suara kanak-kanak yang perlu kita peka dan peduli.

Anak-anak yatim, HIV/AIDS, terabai, miskin, keperluan khas, dalam penjara kerana ibu dipenjara, ibu bapa sibuk, mangsa peperangan dan pelbagai masalah kesihatan dan sosial.

Delegasi yang hadir bukan sahaja menolong dalam bentuk wang, tenaga dan masa, malah membuka rumah-rumah mereka untuk anak-anak ini.

Contohnya Ibu Draga dan Bapak Mirdas, pasangan suami isteri dari Indonesia mempunyai rumah anak yatim untuk anak lelaki dan membawa masuk anak-anak yatim perempuan ke rumah mereka di Jakarta. Apabila Tsunami melanda, mereka tidak berfikir dua kali untuk ke Aceh.

Antara perkara pertama yang mereka lakukan adalah mengusahakan penempatan untuk 300 anak yatim. Pasangan suami isteri ini menubuhkan Yayasan Fajar Hidayah dan sedang berusaha mengembangkan penempatan anak yatim Aceh berbentuk asrama kepada 1200 orang.





Saya juga berkesempatan berinteraksi dengan beberapa orang anak yatim Aceh yang turut hadir ke World Forum ini.

Anak-anak ini masih belum sembuh. Salah seorang anak yatim yang ditemui tidak pernah menangis. Anak ini sebenarnya menyimpan pelbagai emosi yang harus di beri penawar oleh penjaga mereka.

Ibu Draga dan Bapak Mirdas menyarankan supaya rakyat Malaysia menziarahi Aceh. Sumbangan yang boleh diberikan bukan sahaja berbentuk kewangan tetapi juga kemahiran yang boleh diajar kepada anak-anak seperti menjahit, kerja tangan dan bertukang.



Pasangan suami isteri dari Uganda, Noelina dan Patrik yang mempunyai 8 orang anak membuka rumah mereka untuk anak-anak mangsa HIV/AIDS. Anak-anak ini dalam usia yang masih kecil terpaksa menjaga ibu bapa mereka yang sakit. Mereka juga ada yang dijangkiti penyakit ini. Lebih menyedihkan mereka ditinggalkan sendirian dirumah setelah kematian ibu bapa mereka. Tiada siapa yang ingin memelihara anak yang dijangkiti penyakit ini. Kerajaan Uganda juga tidak memainkan peranan yang sepatutnya.

Noelina bercerita bagaimana dia dan suaminya rasa terpanggil untuk melawat rumah-rumah di sekitar bandar tempat tinggal mereka dan menolong keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan. Anak yang ditinggalkan dan tanpa saudar mara diambil untuk dipelihara oleh mereka. Beliau menceritakan pengalaman berjumpa seorang kanak-kanak kecil ditinggalkan keseorangan dalam rumah dalam keadaan kebuluran dan mengalami penderitaan emosi yang kronik. Cabaran memelihara anak ini banyak sekali. Sekarang anak ini sudah berusia 16 tahun dan boleh berdikari.

Eduardo dari Mexico , pengurus kandungan saintifik dalam program klinikal La Casa de la Sak, a.c sebuah badan bukan kerajaan membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mangsa HIV/AIDS. Keadaan di Mexico parah dengan gejala sosial dan masalah dadah yang semakin meruncing.

Rana Ismail dari Lebonon pula terlibat dalam kerja-kerja sukarela membantu kanak-kanak mangsa peperangan yang menghadapi pelbagai trauma. Beliau memaklumkan bahawa ramai sukarelawan juga perlu menjalani terapi kerana sedang berusaha mengurus diri sendiri yang juga terkesan oleh peperangan. Pada masa yang sama, masa hadapan mereka terlalu goyah menyedari peperangan yang bila-bila masa boleh meletus.

Hassan dari Iraq terlibat secara langsung membantu sebahagian daripada lebih kurang 5 juta anak-anak mangsa perang di Iraq. Keadaan di Iraq juga sangat menyedihkan. Masih ramai kanak-kanak yang menderita tanpa bantuan yang sepatutnya.

Ramai lagi delegasi yang berhati mulia dan berjiwa besar yang saya temui. Moga Allah memberi hidayah dan dimudahkan segala usaha mereka.

Bila ditanya dari mana datangnya sumber kewangan bagi membiayai kerja-kerja yang sukar ini, jawapan mereka adalah sama-dari Allah. Walau apa jua pegangan ataupun kepercayaan mereka. Bagi mereka, segala yang dilakukan adalah panggilan jihad dan pertolongan Allah akan datang dari seluruh dunia.

Apapun bukan calang-calang pengorbanan yang harus mereka lakukan dan cabaran yang harus dilalui dengan tabah. Hanya kekuatan dalaman mampu membuatkan mereka terus bertahan dan berjuang.

Mengalir air mata saya bila berbual dengan mereka. Noelina berkata “kalau awak menangis mendengar cerita saya, tak tahulah bagaimana keadaan awak kalau melawat anak-anak yatim ini di rumah saya di Uganda”.

Secara berseloroh saya bertanya kalau saya kesana masih ada lagikah bilik untuk saya tumpang tidur. Dia menjawab “ Puan boleh ambil bilik saya ”. Itulah semangat yang harus kita bina dalam diri kita yang bergelar pejuang.

Selain daripada itu semua kanak-kanak di dunia sedang menghadapi banyak ancaman dari pelbagai sudut. Negara maju juga ada masalah mereka tersendiri, masalah sosial dan depresi di kalangan kanak-kanak. Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak berpusatkan kanak-kanak tetapi lebih berpusatkan kehendak ibu bapa dan penjaga. Mereka tidak disatuni secara fitrah.

Kanak-kanak di Malaysia juga tidak terlepas dari banyak ancaman. Kualiti institusi sokongan dan pendidikan kita juga masih rendah. Nasib anak-anak kita belum terbela.

Dalam satu sesi pilihan, saya memilih untuk menghadiri sesi perkongsian “ Using 2007 Education for All Global Monitoring Report for Advocacy” . Report yang diberikan akan membantu Child Advocacy (Advocacy-the giving of public support to an idea) diseluruh dunia. Report ini sangat berguna untuk membantu child advocates diseluruh dunia memperjuangkan hak dan keadilan kanak-kanak.

Sesi perkongsian “Men in Early Childhood” juga menarik minat saya. Di serata dunia penglibatan lelaki dalam bidang ini sangat sedikit. Kanak-kanak memerlukan kesimbangan interaksi dengan orang dewasa lelaki dan perempuan. Ia juga penting bagi proses melahirkan pemimpin yang lebih berwibawa.

Satu lagi topik yang sangat dekat dihati saya adalah “ Learning with nature”. Secara fitrah, kanak-kanak belajar daripada penerokaan menggunakan pancaindera. Penerokaan dengan alam akan membawa mereka mengenal pencipta. Alam juga mempunyai pelbagai penawar.

Kesimpulannya, saya merasakan bahawa usaha saya sebagai aktivis dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak masih belum cukup malah terlalu kecil berbanding dengan orang lain dan kehendak keadaan sebenar.

Wahai sahabat-sahabat seperjuangan sekelian, jalan-jalan dakwah dalam bidang ini perlu terus dirintis. Kepekaan dan kepedulian kita dalam isu membabitkan kanak-kanak harus dipertingkatkan.

Bilangan aktivis bidang ini di Malaysia juga masih terlalu kecil. Kita memerlukan lebih ramai aktivis supaya suara kita lebih lantang.

Ayuh mari sama-sama kita terus keluar dari zon selesa kita dan berjihad. Moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung.

Al-Quran. Surah At-Taubah ayat 24.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai—(jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada rang-orang yang fasik (derhaka)

Akhir kalam, terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menyumbang dari bentuk kewangan, penginapan, pengangkutan, makanan dan iringan doa. Hanya Allah pemberi sebaik-baik balasan.

Tidak lupa kepada suami, anak-anak, adik-adik dan pekerja-pekerja saya yang telah banyak berkorban dan memudahkan urusan. Semoga segala pengorbanan dan sokongan akan mendapat redha dan Jannah Allah.

Segala yang baik adalah dari Allah dan segala kekurangan adalah dari diri saya sebagai hamba Allah yang kerdil.

Wallhu’alam. Sekian.

Rosnah Ahmad
Teratak Sakeenah
Kuantan, Pahnag
12.25 pagi 25 Mei 2007
bersamaan 8 Jamilawwal 1428H

No comments: