Permainan congkak
sangat baik untuk kanak-kanak. Ia penuh dengan konsep-konsep matematik seperti
nilai, padanan satu dengan satu, banyak
sedikit, dahulu dan kemudian dan konsep sifar.
Semasa anak-anak saya,
Nurin dan Muhammad dalam usia 5 dan 6 tahun, saya memperkenalkan permainan
congkak dan mereka sangat mengemarinya. Saya juga menggalakkan anak-anak
jiran bermain bersama sehinggakan rumah
kami menjadi pusat permainan congkak pada satu ketika. Alhamdullillah Nurin and Muhammad sangat meminati matematik
apabila memasuki sekolah.
Banyak aktiviti di
rumah yang baik untuk membina konsep matematik dalam diri anak. Semasa saya
mengambil upah menjahit baju, Muhammad
yang ketika itu berumur 4 tahun belajar nombor hingga beratus-ratus dari tali
tape tukang jahit. Yang lebih baik adalah dia menggarap konsep jarak beserta nombor sebab tali semakin panjang
bila nombor pada tali bertambah. Dia juga banyak bermain dengan duit bila saya
menerima bayaran tempahan.
Kanak-kanak 2 tahun
sudah mula membina konsep-konsep awal melalui bermain. Perhatikan bagaimana
mereka bermain dan menyusun benda-benda
semasa bermain. Mereka sedang melalui proses memperolehi makna sesuatu benda dengan
meneroka, mengeksperimen dan membina pengalaman daripada bermain dalam dunia
persekitaran mereka. Teringat
ketika anak ketiga saya, ‘Izzuddin
ketika berumur hampir 3 tahun asyik perasan benda yang berpasang seperti
anggota badan iaitu mata, tangan dan kaki. Dia juga mula kenal benda-benda
yang sama. Selalu dia berkata " samakan" merujuk kepada benda yang sama.
Pada peringkat awal, adalah
lebih penting menggalakkan kanak-kanak dengan aktiviti membina konsep seperti
pengkelasan seperti bermain mengasingkan bongkah mengikut warna, bentuk dan
saiz. Menghafal satu hingga beribu-ribu tidak bermakna anak pandai matematik.
Yang lebih penting adalah mereka membina konsep kerana ianya sangat penting
untuk mereka cemerlang dalam metamatik.
Terdapat buku-buku
prasekolah di kedai-kedai buku yang menjelaskan konsep-konsep matemetik
yang diajar diprasekolah. Banyak perkara yang boleh kita latih anak
di rumah secara tidak sedar. Ini memudahkan anak bila mula bersekolah. Menunggu
anak mempelajari sesuatu apabila anak memasuki tadika adalah satu tindakan yang
agak lambat. Mereka telah melepasi banyak masa sensitif (masa anak sudah matang
dalam sesuatu perkara dan sangat minat untuk mempelajari sesuatu - Montessori).
Sekian. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment