Tuesday, May 22, 2007

10 TIP KELUARGA BERKUALITI CAPAI KETENANGAN

Oleh Rosnah Ahmad

Saban hari kita dipaparkan pelbagai isu dan masalah masyarakat di dalam media cetak mahupun elektronik. Mutakhir ini kita dikejutkan pula dengan fenomena penganiayaan terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa dan pengasuh mereka sendiri.

Kejadian begini begitu menyentuh emosi dan menyebabkan kita berfikir, termenung dan berbincang mengenai realiti yang berlaku disekeliling kita hari ini.

Kecelaruan mental sangat memudharatkan , ia bukan sahaja memberi implikasi kepada individu malah ahli keluarga dan yang paling menyedihkan kepada anak-anak yang masih kecil dan tidak berdosa

Kerapuhan hubungan suami isteri dikaitkan dengan kadar kematian tidak disengajakan, kesakitan kronik, kecelaruan psikiarik penyalahgunaan bahan, kemurungan, masalah ekonomi dan cabaran penyesuaian sosial (Larson,Swyer dan Larson-1994)

Antara cabaran yang paling hebat dalam kehidupan hari ini adalah membina rumahtangga berkualiti bagi melahirkan ahli keluarga yang seimbang dan sejahtera. Keluarga yang stabil sahaja tidak memadai kerana ada banyak keluarga yang stabil tetapi tidak bahagia. Ramai ahli keluarga begini yang tertekan tetapi hanya menyimpan perasaan dan memilih untuk bersama keluarga kerana tersepit dan tiada pilihan.

Sebaliknya keluarga berkualiti melahirkan individu-individu yang tenang sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Ruum ayat 21

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

yang bermaksud:-

“ Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Ketenangan juga adalah prasyarat kepada kebahagian dan kecemerlangan dunia akhirat.

Allah SWT berfirman, dalam Surah Al-Fajr ayat 27-30
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ﴿٢٧﴾ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً ﴿٢٨﴾ فَادْخُلِي فِي عِبَادِي ﴿٢٩﴾ وَادْخُلِي جَنَّتِي ﴿٣٠﴾
yang bermaksud:-

"Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai; lalu masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku" 

Apa pun segalanya bermula dengan niat. Sejauh mana kita sedar keperluan ini dan bagaimana harus kita merealisasikan. Bak kata pepatah, yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek. Usaha kita antara penentu kejayaan.

Berikut adalah 10 tip keluarga berkualiti-

1. Melaksanakan syariat Islam dengan bersungguh-sungguh, mendoakan kesejahteraan ahli keluarga dan dan berakhlak mulia. Kata-kata yang baik dan penghargaan menjadi amalan harian seisi keluarga

2. Memupuk dan mempamerkan kasih sayang tanpa syarat. Era telekomunikasi seharusnya memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk berkomunikasi dan menyatakan sayang. Kanak-kanak contohnya sangat gemar berbual melalui telefon. Pasangan yang agak pemalu juga lebih mudah menyatakan sayang melalui pesanan ringkas. Apa pun elakkan dari asyik melayan telefon apabila bersama anak kerana ia menjadikan anak rasa tidak dihargai.

3. Sentiasa peka pada perasaan ahli keluarga dan bertanya tentang perasaan mereka,. Elakkan diri daripada membuat andaian seperti “ Kakak tentu gembira hari ini” tetapi tanyalah perasaan mereka seperti “Apa perasaan kakak hari ini?”

4. Memahami gender dan tahap umur ahli keluarga contohnya kanak-kanak, remaja dan warga tua. Ini akan membantu kita untuk sentiasa peka pada perubahan-perubahan yang dilalui oleh ahli keluarga dan menyatuni mereka secara hikmah.

5. Berkongsi masalah dengan ahli keluarga. Masalah akan menjadi lebih kecil bila diceritakan kepada ahli keluarga yang menjadi pendengar yang baik, bersikap terbuka, memberi sokongan dan alternatif kepada permasalahan yang dihadapi. Galakkan anak-anak memberi pandangan dan meluahkan perasaan sejak kecil.

6. Mencintai ilmu dan sentiasa menimba ilmu dan berusaha untk kemajuan diri. Setiap ahli menyokong kepada kemajuan ahli yang lain dalam pelajaran, sukan, kerjaya dan dakwah.

7. Amalan berbincang, bermuhasabah dan tegur-menegur bantu membentuk peribadi mulia.

8. Lakukan aktiviti-aktiviti masa berkualiti bersama ahli keluarga seperti bercerita, bermanja, bergurau dan bermain bersama seperti bermain congkak dan carrom. Bersama-sama berinteraksi dengan alam ciptaan Allah SWT disekitar rumah dan kawasan kediaman. Galakkan ahli keluarga mempunyai hobi tersendiri. Aktiviti-aktiviti begini membantu menenang dan mendamaikan jiwa bagi menghadapi kehidupan hari ini yang serba cepat dan menekan .

9. Yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama di junjung. Bantu membantu dalam urusan rumahtangga. Jadikan setiap ahli keluarga berfungsi supaya tidak ada pihak yang terbeban dengan kerja-kerja rumah.

10. Sentiasa mengaktifkan diri dalam aktiviti-aktiviti sihat bersama jiran dan masyarakat setempat. Ahli keluarga berusaha menjadi pemimpin dalam masyarakat dan membantu  menjana transformasi dalam komuniti.


Keluarga berkualiti adalah teras masyarakat penyayang. Semoga kita sentiasa fokus dan berusaha membina rumahtangga berkualiti dan menjadikan negara Malaysia selamat dan makmur. Insya-Allah.

“Semakin hari semakin tenang”

Sekian. Wallahua’lam.

Jumaat 23 Mac 2007
Bersamaan 5 Safar 1428H
1.30 pm.

No comments: