Sunday, June 24, 2007

TIP KEIBUBAPAAN 22: HAD DAN PERATURAN

Salam,

Baru perasaan tip no 22 tertinggal. Tip ini ditulis dua tahun lepas.

HAD DAN PERATURAN

Anak-anak mestilah didisiplinkan dengan had dan peraturan positif untuk menguruskan diri mereka. Ia merangkumi semua aspek kehidupan bermula dengan ibadah wajib, sunat dan dan aktiviti harian. Ianya harus diulang dan diberi penekanan

Anak-anak akan rasa lebih selamat sekiranya ibu bapa menerangkan dengan bijak tentang had dan peraturan yang bertujuan bukan untuk mengongkong tetapi untuk menjaga kebajikan semua. Contohnya had dan peraturan masa bermain dan belajar.

Rutin harian akan lebih tersusun apabila dijadualkan. Anak kecil juga akan rasa lebih yakin dan selamat dengan rutin harian yang berjadual kerana mereka belum menggarap konsep masa. Ianya membolehkan mereka mengagak apa yang akan berlaku selepas sesuatu perkara seperti mandi selepas main petang.

Bila anak sudah boleh memberi pendapat seeloknya jadual dan peraturan dibuat bersama anak-anak dan tidak hanya datang daripada ibu bapa. Libatkan mereka secara aktif.

Semalam saya bersama anak-anak menetapkan jadual dan peraturan kami ( untuk yang terkini kerana nampak anak-anak mula leka ). Ada jadual dan peraturan umum untuk semua dan ada yang khas mengikut kesesuaian rutin harian anak. Contohnya, Nurin sekolah sesi pagi dan kelas fardhu ain sesi petang tetapi sebaliknya bagi Muhammad.

Mereka nampak seronok membuat jadual sendiri untuk ditampal dan dijadikan panduan. Saya hanya bertindak sebagai pemudahcara. Banyak sekali perbincangan terutama tentang masa bermain dan masa menonton television. Saya pastikan SOLAT jadi peraturan pertama.

Secara keseluruhannya tidak ada masalah sangat bila diterangkan manafaat jadual dan peraturan dibuat. ‘Izzuddin ( 3 tahun) pun sibuk menulis dengan caranya yang tersendiri. Apapun dia seperti memahami apa yang berlaku.

Selepas itu kita tak perlu selalu berleter, cuma ingatkan mereka untuk selalu merujuk kepada jadual dan peraturan yang telah dibuat. Cuma selalu ingat bahawa mereka masih anak-anak dan sememangnya kita tidak boleh mengharapkan kesempurnaan. Mereka perlu bimbingan, sering terlupa dan belajar daripada kesilapan. Tetapi apabila mereka sudah terbiasa dengan jadual dan peraturan ianya menjadi budaya dan pasti memudahkan kita.

Wallahua'lam. Sekian.

No comments: