Tuesday, May 1, 2007

TIP 31: PENJELASAN

Anak saya Nurin Husna ( 11 tahun ketika itu) pada satu pagi meminta dibelikan sesuatu untuk keperluan sekolahnya. Dia agak mendesak supaya ianya ditunaikan segera. Pada hari itu saya tidak bepeluang pergi ke kedai kerana pulang lewat dari kerja. Apabila pulang ke rumah, Nurin menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana permintaannya tidak saya penuhi dan terus merajuk.

Setelah dia agak tenang, saya memberi penjelasan bahawa orang dewasa mempunyai banyak tanggungjawab dan tugas yang perlu dilaksanakan. Sebagai anak dia harus memahami bahawa keperluan mereka insya-Allah akan ditunaikan tetapi kadang-kadang sesuatu itu akan mengambil sedikit masa kerana kekangan masa, tenaga atau kewangan.

Kanak-kanak sememangnya agak mementingkan diri sendiri atau egosentrik. Mereka merasakan kehidupan hanya berpusat pada diri mereka dan tidak menyedari bahawa orang lain juga mempunyai tanggungjawab dan kewajiban yang jauh lebih penting.

Peranan kita sebagai ibu bapa atau orang dewasa adalah untuk selalu memberi penjelasan dengan sabar dan bijak kepada anak sejak kecil supaya fikiran, perasaan dan tindakan mereka terbimbing ke arah kebaikan.

Penjelasan mestilah sentiasa diberi dari masa ke semasa dan akan lebih berkesan apabila mengikut situasi atau melalui kiasan cerita.

Sering juga saya ditanya tidakkah anak-anak atau suami merasa tersisih kerana kadang kala saya memang agak sibuk dengan kerja-kerja dakwah dan kerjaya.

Setiap kita akan menghadapi masalah tetapi kita harus belajar menghadapi dan menukarkan masalah kepada kekuatan dan peluang. Apa yang saya sering lakukan adalah memberi penjelasan kepada suami dan anak-anak tentang tugas, tanggungjawab dan peranan yang saya harus tunaikan sebagai hamba Allah. Kemudian menjelaskan kepada mereka bahawa sebagai ahli keluarga mereka juga mempunyai tugas, tanggungjawab dan peranan yang harus ditunaikan. Setiap ahli keluarga mesti berfungsi untuk lengkap melengkapi, bertolak-ansur dan memahami antara satu sama lain.

Saya memotivasikan anak dengan menerangkan ganjaran pahala yang Allah janjikan kepada anak-anak yang memudahkan usaha ibu bapa untuk mewakafkan hidup mereka untuk dakwah. Insya-Allah dengan cara ini Allah akan memudahkan juga mereka dalam banyak perkara seperti pelajaran dan pergaulan.

Dengan izin Allah anak-anak yang jelas tentang peranan, tanggungjawab dan tugas ibu bapa mereka akan mudah memahami, menjadi lebih berdikari dan berkeyakinan. Cuma biasalah anak-anak sentiasa perlu diambil hati, diberi perhatian dan belaian. Disinilah pendekatan masa berkualiti sangat berguna.

Sekian. Wallahu'alam

No comments: