Monday, May 21, 2007

TIP 35: PRODUK ATAUPUN KAEDAH

Sebagai pengusaha tadika, saya sering ditanya apakah produk atau buku yang digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran di tadika terutama pada masa-masa begini apabila ibu bapa sedang sibuk mencari tadika yang sesuai untuk anak-anak mereka pada sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi..

Apa yang lebih penting adalah apakah kaedah atau pendekatan yang digunakan oleh sesebuah tadika bukannya jenama sesuatu produk, program atau keluaran mana-mana penerbit buku.

Contohnya bagi bacaan bahasa inggeris, kaedah fonetik seperti smart reader, phonic reader dan pelbagai lagi jenama produk yang ada di pasaran yang menggunakan kaedah ini. Ada juga yang menggunakan kaedah recognition/whole language seperti Peter and Jane dan Sunshine (kalau tak silap saya). Terdapat buku-buku di pasaran yang menggunakan kaedah asas seperti mengeja dan menambah perbendaraan kata.

Setiap produk ada kebaikannya dan elok atau tidaknya sesebuah tadika tidak bergantung kepada produk yang digunakan. Apa yang penting adalah sejauh mana kefahaman dan penghayatan pengusaha dan guru terhadap konsep pendidikan awal kanak-kanak dan kurikulum prasekolah yang menekankan aspek-aspek perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Ini dicapai melalui komponen-komponen kerohanian dan moral, bahasa dan komunikasi, kognitif, fizikal, sosio-emosi serta kreativiti dan estetika.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan diri, keperluan, bakat dan minat serta latar belakang kanak-kanak adalah pendekatan bertema dan melalui bermain dalam suasana yang menggembirakan serta pengajaran yang bermakna.

Bagi komponen bahasa dan komunikasi contohnya kanak-kanak bukan hanya perlu pandai membaca dan menulis tetapi objektifnya adalah mencapai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi iaitu:

 mendengar dan menyatakan apa yang didengar,
 bertutur dengan sebutan yang betul dan bahasa yang bertatasusila,
 membaca dan menceritakan isi bacaan dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan
 menulis perkataan dan ayat mudah yang betul

Objektif ini dicapai melalui hasil pembelajaran yang dirancang sepanjang tahun. Aktiviti-aktiviti pembelajaran dijalankan menggunakan pelbagai strategi seperti penerangan, perbincangan, demonstrasi, latihan, main peranan, lakonan, bercerita, nyanyian, pergerakkan dan aktiviti kreatif.

Pada pendapat saya, adalah sukar untuk mendapatkan satu produk yang betul-betul menepati konsep pendidikan prasekolah. Oleh itu saya tidak terikat kepada mana-mana produk atau buku secara total. Kami di tadika banyak merancang aktiviti dan membuat sendiri lembaran kerja yang lebih sesuai dan menepati. Kalau ada pun buku yang digunakan, ia hanya satu daripada bahan-bahan yang digunakan bagi membantu mencapai objektif pembelajaran tertentu.

Sayangi dan dekatilah anak-anak kita sementara masa masih ada. Jangan ada perasaan bosan dengan kerenah anak-anak. Anak-anak adalah penghibur dan hadiah yang paling berharga anugerah dari illahi. Kita perlu bersyukur dengan nikmat masa bersama yang masih ada. Selalu ingat bahawa ramai ibu bapa yang sedang diduga dengan kehilangan anak-anak yang disayangi.


Wallahua’lam.

No comments: