Anak-anak perlu dilatih untuk berfikir dan mengawal diri dengan membentuk sikap yang berteraskan konsep “ bagaimana sekiranya...”.
Latihan membentuk kata hati ini membantu anak membuat jangkaan supaya mereka boleh mempertimbangkan pelbagai pilihan yang berlainan pada satu masa. Dengan cara ini anak dapat berfikir sendiri dan menilai akibat dan kesan sesuatu tindakan kepada diri sendiri, orang lain dan alam sekeliling apabila orang lain tiada untuk menolongnya. Ini menjadi benteng diri mereka daripada melakukan perbuatan tidak baik.
Latihan ini juga adalah satu latihan untuk pemikiran lateral. Apabila anak bertanya sesuatu elakkan daripada terus memberi jawapan. Galakkan mereka untuk berfikir, menilai dan menimbangkan semua alternatif yang ada dengan bertanya soalan apa, mengapa dan bagaimana. Dengan ini mereka akan menjadi lebih matang dan selalu berfikir sebelum bertindak.
Apabila berbual dengan anak-anak, biasakan menggunakan ayat terbuka supaya mereka akan berfikir dan terus bercakap. Contohnya bila anak berkata, "Tadi Amin main bola di sekolah". Tanyalah soalan berbentuk ayat terbuka seperti " Amin main bola dengan berapa orang kawan?". " Siapa nama kawan-kawan Amin tu?" "Berapa gol yang berjaya dijaringkan?", " Bagaimana perasaan Amin bila dapat bermain bersama kawan-kawan?"dan sebagainya. Dengan cara ini kita menggalakkan anak berbual, mengingati fakta, meluahkan perasaan dan berfikir.
Elakkan daripada menggunakan ayat tertutup seperti hanya menjawab "Ya, baguslah?". Ayat begini tidak menggalakkan anak terus berbual dan berfikir. Perbualan akan terhenti setakat itu sahaja.
Latihan begini sangat baik untuk ibu bapa menyelami perasaan anak-anak dan membantu menyelesaikan masalah mereka dari awal lagi.
"Sayangi dan dekati anak-anak kita"
Seian.Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment