Pakar psikologi kanak-kanak berpendapat persaingan adik beradik adalah perkembangan yang normal dan selalu berlaku kerana adik beradik akan bersaing untuk mendapatkan masa dan perhatian daripada ibu bapa.
Juga kajian mendapati bahawa jarak kelahiran antara 16 bulan hingga 2 tahun adalah jarak yang akan menyebabkan persaingan yang sangat hebat.
Mengikut pengalaman peribadi ianya memang benar sekali. Saya mengandungkan Muhammad ketika Nurin berusia 11 bulan dan sedang menyusu badan sepenuhnya. Ketika itu saya seorang suri rumah sepenuh masa selepas berhenti kerja. Cuba cerai susu tapi gagal dan dengan nasihat doktor, saya dinasihatkan boleh terus menyusu asalkan makanan seimbang diambil setiap hari. Nurin mula meragam, kerap demam dan hilang sedikit berat badan. Mungkin kerana susu tidak mencukupi.
Bila adiknya lahir, Nurin semakin kuat meragam, cemburu dan cepat terasa. Bila saya menyusukan adik dia pun naik dan buka “kedai” sebelah lagi sendiri. Jadi menyusu macam kembar. Kemudian dia buat macam-macam pada adiknya. Kena letak Muhammad dalam kot supaya selamat. Satu hari tu dia baling bedak kat Muhammad dalam kot. Alhamdullillah tak mengena.
Masih teringat betapa penatnya saya pada masa tu dan emosi pun agak terganggu..Dahlah jaga sendiri dalam pantang. Keadaan bertambah sukar apabila suami saya mula bekerja semula selepas bercuti tiga minggu kerana menjaga saya di dalam pantang. Satu hari saya hampir pengsan kerana tidak cukup rehat. Alhamdullillah, ada anak jiran yang tolong ambil Nurin bawa balik rumah sekali sekala dan saya dapat berehat seketika.
Pada usia Muhammad 28 hari dia dimasukkan ke hospital kerana demam yang agak teruk. Berenggang dengan Nurin selama 3 hari akhirnya dapat memberhentikan dia dari susu badan. Kesian juga kerana kemudian dia kerap demam, batuk dan muntah. Pada satu ketika batuk tak baik-baik selama lebih dua bulan. Saya fikir ini adalah kerana masalah emosinya yang sangat terganggu.
Kemudian bila Muhammad dah besar sedikit dalam usia setahun lebih, dia pulak asyik buat kakaknya. Mereka juga kerap berebut dan bergaduh. Teringat kalau beri Muhamad apa-apa dulu Nurin akan merajuk dan duduk dekat sudut menangis. Kalau bagi Nurin dulu, Muhammad pulak memberontak.
Persaingan ini menjadi reda sedikit apabila Nurin berumur 4 tahun dan mula memahami apa yang dikatakan. Saya selalu menjelaskan bahawa saya amat menyayanginya dan dia sangat istimewa. Bila 'Izzuddin lahir ianya bertambah baik. Masa tu Nurin 7 tahun dan Muhammad masuk 6 tahun. Buat seketika fokus mereka hanyalah pada adik baru
Kemudian mereka mula buat pakatan pula. Siapa dapat menawan 'Izzudin maknanya dia menang. Dua lawan satu. 'Izzuddin pun mula mengada-ngada sebab menjadi tumpuan.
Sehingga sekarang Muhammad dan Nurin masih bersaing dan bergaduh. Saya berpendapat keadaan menjadi lebih sukar kerana mereka mempunyai minat yang sangat berlainan. Nurin suka kepada kerja-kerja tangan seperti melukis dan berkreatif manakala Muhammad lebih suka kepada aktiviti lasak dan suka menyakat kakaknya.
Sekali sekali kami pisahkan mereka berdua. Contohnya minggu ini kami bahagikan keluarga kepada dua. Suami saya yang menghadiri kursus dua hari di Kuala Terengganu membawa bersama Muhammad dan ‘Izzuddin kerana keluarga mertua berada di sana. Mereka menaiki bas kerana menunaikan permintaan ‘Izzuddin untuk menaiki bas ekspress. Mereka memanjangkan percutian kepada selama 5 hari kerana Muhammad ingin menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Darul Iman, Kuala Terengganu
Nurin selalunya sangat gembira kerana berpeluang bersama saya. Dia tidak perlu bersaing dan kami melakukan banyak aktiviti bersama seperti jalan-jalan, berbual dan tidur bersama. Yalah kadang-kadan kesian juga kat dia. Sebagai anak sulung kepada dua orang adik lelaki, asyik kena beralah je.
Tapi biasalah adik-beradik, bila berjauhan teringat pulak. Rajin pulak telefon dan sms Muhammad. Begitu juga dengan Muhammad.
Selain daripada itu saya cuba mencari perkara yang mereka suka lakukan bersama seperti berenang dan main bowling sekali sekala. Ianya dapat memupuk sifat bertolak ansur dan kasih sayang.
Apabila anak-anak yang sudah agak besar bergaduh, elakkan daripada terlalu cepat masuk campur.. Perhatikan dahulu dan beri masa dan peluang untuk mereka menyelesaikan sendiri masalah. Tetapi bila keadaan semakin teruk cuba leraikan dan duduk berbincang dengan mereka. Beri peluang mereka untuk menjelaskan apa sebenarnya berlaku. Bimbinglah mereka dengan bertanya soalan-soalan yang akan membawa kepada punca masalah. Bimbinglah mereka untuk berfikir, menilai dan mendapatkan jawapan daripada semua alternatif yang dapat membantu. Nasihat bila perlu.
Sekian.Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment