Monday, May 21, 2007

KAIN BAJU

TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH-KAIN BAJU

Kerja-kerja rumah akan menjadi satu beban kalau kita tidak mengendalikannya dengan baik. Kerja-kerja rumah seharusnya dijadikan tanggungjawab bersama keluarga supaya semua orang berperanan dan tidak ada mana-mana ahli keluarga tertentu sahaja yang terbeban dengan kerja-kerja rumah.

Kalau tak kena gaya kain bajulah yang paling banyak mengambil masa dan wang kita dan ramai wanita yang merungut dan stres pasal kerja-kerja berkaitan kain baju.

Saya memilih untuk tidak membenarkan kerja-kerja berkaitan kain baju mengganggu fikiran dan aktiviti seharian saya. Kerja-kerja berkaitan kain baju dijadikan tanggungjawab bersama dalam keluarga. Saya juga tidak meletakkan kain baju sebagai kerja yang prioriti dalam sehari kerana bimbang masa kualiti yang boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanaafat dihabiskan kepada kain baju.

Berikut adalah antara 12 tip yang mungkin boleh membantu.

1. Latih setiap ahli keluarga untuk bertanggunjawab terhadap kain baju sendiri.
Sediakan tempat meletakkan pakaian kotor supaya anak-anak terlatih meletakkan kain baju kotor ditempatnya dan tidak bersepah-sepah. Latih anak menjemur, mengangkat, melipat, menyimpan dan menggosok kain baju mereka sendiri.

2. Mesin basuh dan pengering(drier) juga banyak membantu. Sahabat saya Fauzian seorang guru menggunakan drier kerana menurutnya ia mempercepatkan proses kain baju dikeringkan dan boleh terus dilipat. Dia juga mendapati kain baju kurang berkedut bila menggunakan pengering pakaian.

3. Saya tidak mengkhaskan satu masa yang tertentu untuk membasuh, menjemur kain, melipat dan menggosok kain. Kami menyediakan satu bilik khas di rumah untuk memproses kain baju. Segalanya dilakukan bila ada waktu senggang dan bila saya dah letih melakukan aktiviti lain seperti membaca, menulis dan melayan anak-anak.

4. Bila musim hujan, aktiviti mengenai kain baju akan semakin bertambah. Saya menjemur kain dalam bilik khas tadi menggunakan penyangkut baju. Ini mengelakkan daripada terpaksa menghabiskan masa berulang alik mengangkat dan menjemur kain kerana hujan.

Saya juga suka menjemur kain baju menggunakan penyangkut baju kerana boleh terus disangkut dalam almari tanpa melibatkan proses melipat yang saya tidak sukai.

5. Kain baju juga boleh diletakkan dalam bakul yang bersaingan untuk setiap ahli keluarga sekiranya tidak dapat disangkut atau tidak sempat dilipat. Cuma kain baju akan berkedut sekiranya tidak dilipat/sangkut terus.

6. Sahabat saya, Shima memberi tip supaya pakaian dalam diletakkan dalam laci-laci kecil dan tak perlu dilipat.

7. Menggosok juga mengambil masa yang lama. Latihlah suami dan anak-anak menggosok pakaian sendiri bila mereka bersedia. Biasanya anak-anak saya menggosok pakaian sendiri sekitar 8/9 tahun.

Ramai yang khuatir anak terlupa menutup suis seterika dan akan menyebabkan kebakaran. Belilah sterika yang otomatik yang akan padam sendiri bila tidak digunakan setelah satu jangka masa. Kami telah lama menggunakan seterika jenis ini dan ia membantu melatih anak-anak.

8. Ramai juga kawan-kawan yang mengambil pembantu untuk kerja-kerja kain baju ni. Teringat kata Ustaz Abu Pekan dalam ceramah program keluarga Pahang lebih kurang dua tahun lepas. Dia mencadangkan kita outsourse saja kerja-kerja ini sekiranya kita terlalu sibuk atau perlu lebih masa untuk dakwah. Ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukan.

9. Akhi Nahar menyarankan supaya membeli stokin yang sama warna dan jenis dalam kuantiti yang banyak seperti stokin putih dan hitam. Ini memudahkan kerana setiap satu boleh dipadankan dengan pasangan yang lain. Tidak timbul stokin hilang sebelah.

10. Anak-anak kecil sekitar empat tahun boleh dilatih supaya memilih dan mengemas pakaian sendiri dalam beg masing-masing untuk dibawa balik kampung atau percutian. Buat permulaan kita perlu membimbing mereka membuat senarai dan membantu mereka mengemas pakaian mengikut senarai.Senarai bergambar boleh digunakan untuk anak yang belum pandai menulis dan membaca.

11. Saya pantau kegunaan kain baju saya dan anak-anak dari masa ke semasa. Yang sudah tidak padan di berikan pada anak-anak saudara atau sesiapa sahaja yang memerlukan. Kalau pakaian ang tidak dipakai dalam tempoh setahun bermakna kita sudah tidak memerlukannya dan dihadiahkan kepada orang lain.

12. Pastikan kita membeli pakaian kerana keperluan dan meletakkan budget yang sesuai untuk kain baju setiap tahun supaya kita tidak membazir dengan membeli tanpa perancangan. Tanpa kita sedari kain baju mungkin mengambil banyak wang ringgit kita yang dapat digunakan untuk dakwah.

Harap kita sentiasa mencari waktu dengan kerja-kerja dakwah. Apapun sikap kita banyak mempengaruhi kejayaan kita( tunggu tip tentang sikap mempengaruhi masa kita, insya-Allah).

Banyak-banyaklah berzikir ketika melakukan kerja-kerja rumah.

Apa kata yang lain. Mungkin ada yang boleh dikongsi.

“ Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senag ke tepian”

Sekian. Wallahua’lam.

No comments: