Pada usia anak saya 'Izzuddin 2 tahun, dia sangat suka bermain beg tangan dan dompet saya. Bila ditanya siapa main dengan bangga dia mengaku “Din main” Atau apa-apa dia buat dia akan mengaku "Din Buat". Gelagatnya memang menghiburkan. Mungkin dia menganggap ianya adalah satu kejayaan kerana dapat bermain dengan apa yang dihajati.
Kemudian suatu hari dia merosakan bekas pensil warna abangnya, Muhammad. Apabila abah bertanya diapun dengan bangga dan yakin berkata “Din buat” . Abah memberi sedikit pukulan kecil ditangan kerana ingin menyatakan bahawa perbuatanya adalah tidak baik dan patut dihukum. Saya yang ada berhampiran berasa agak terkejut kerana boleh meneka implikasi dari tindakan ini. Saya menjelaskan kepada suami bahawa perbuatannya akan menyebabkan Izzudin menipu.
Untuk buktikan kebenaran ini saya meminta suami saya untuk cuba bertanya sekali lagi. Memang betul, dia terus menuduh yang Muhammad yang buat dengan berkata “Mat buat”.
Kemudian saya nampak setiap kali ditanya ‘ Izzuddin akan menuduh Muhammad. Tidak pula dia menuduh kakaknya Nurin. Mungkin kerana Muhammad selalu menyakat dan bergaduh dengannya. Dia dengan selamba je menuduh walaupun masa kejadian Muhammad tiada kat rumah.
Lebih memudharatkan dalam usia begini ‘Izzuddin memang gagak lasak dan suka mengusik barang-barang peribadi kakak dan abangnya dan dia selalu dimarahi mereka.
Saya cuba menerangkan bahawa menipu adalah perbuatan yang tidak baik tetapi pada usia begini kanak-kanak masih tidak dapat menilai kesan perbuatannya. Kemudian kami memutuskan untuk berhenti daripada bertanya “siapa buat?” Dengan sentiasa bertanya
‘Izzuddin akan terus menipu. Biasanya bila jelas ‘Izzuddin melakukan kesalahan, tindakan kami adalah mengajak dia membaiki, menyimpan atau memulangkan semula barang ke tempat atau orangnya sambil meminta maaf.
Kanak-kanak menipu kerana banyak sebab. Antaranya takut dihukum macam kisah 'Izzudin. Juga ada yang malu macam Muhammad yang agak lambat meninggalkan kencing malam dan selalu diusik oleh kakaknya. Dia mengetahui perbuatannya akan mengecewakan mak dan abah walaupun kami cuba menyorok perasaan kecewa ini. Jadi pagi-pagi bila kencing malam Muhammad dengan segera mandi dan salin pakaian. Kemudian dia berkata "Muhammad peliklah, kenapa tilam basah tetapi Muhammad tak kencing, buktinya seluar tak basah."
Memanglah budak-budak sangat kreatif. Sabar jelah.
Biasanya mengikut kajian pakar, anak disekitar 5 tahun sudah mengetahui bahawa menipu adalah perbuatan yang tidak baik. Kita mestilah selalu menerangkan dengan sabar dan bijak bahawa perbuatan ini adalah tidak baik. Ceritalah kisah-kisah sejarah Islam contohnya kisah Saidina Umar dan budak gembala kambing yang tidak menipu apabila diminta menjual kambing tuannya kerana takutkan Allah.
Kita juga biasa mendengar cerita pengembala kambing dan serigala. Oleh kerana perbuatan pengembala kambing yang selalu menipu, tidak ada orang menolongnya apabila serigala betul-betul menyerang. Cerita-cerita begini akan banyak membantu menyedarkan anak-anak.
Saya dapati bercerita adalah satu kaedah yang sangat berkesan dalam menerapkan nilai dan menyelesaikan masalah emosi anak tanpa mengusik ego anak. Mereka juga lebih mudah memahami kesan perbuatan mereka melalui cerita. Juga lebih mudah mengingatkan mereka terhadap sesuatu perkara dengan merujuk kepada cerita yang telah biasa diceritakan.
Anak-anak kecil selamba sahaja apabila menipu tapi apabila berusia 5 tahun keatas kita boleh tahu bila anak menipu daripada bahasa badannya. Mereka akan mengelak untuk bertentang mata, muka berubah dan mengelak pertanyaan. Saya selalu katakan “ mak tak akan marah, cuma mak nak tahu supaya mak boleh tolong mengatasi masalahnya.
Apabila anak mengaku perbuatan mereka berilah kata-kata penghargaan kerana mengaku adalah sesuatu yang sangat sukar dan pujilah anak atas kemampuan mereka ini. Bantulah anak mengatasi masalah yang sedang dihadapi dan nyatakan menipu bukanlah satu penyelesaian yang baik malah mengundang lebih banyak masalah
Apapun menipu mestilah dibendung supaya ianyanya tidak menjadi budaya anak.
" Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya "Sekian. Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment