Masihku ingat
Tika kau hadir
Kehidupan aku berubah sekali
Keperluan menjagamu begitu banyak
Terasa masa berjalan begitu perlahan
Setiap hari aku tunggu perubahan dirimu
Bila kau boleh senyum
Bila kau boleh merangkak
Bahagia aku melihat perkembangan dirimu
Harapanku setinggi gunung
Alangkah bahagianya bila kau boleh berjalan dan berlari
Boleh bercakap dan bermain sendiri
Bila kau pandai main sendiri
Segalanya semakin berubah
Ada saja karenahmu
Ada saja sepahnya
Ada saja yang sering menguji kesabaranku
Pergerakanku semakin terikat dek kerana keperluan menjagamu
Adakalanya aku mendambakan ruang
Alangkah bahagianya bila kau sudah pandai berdikari
Langgas sikit aku
Masa berlalu
Kau semakin banyak akal
Kau yang seorang sudah bergelar kak long
Emosimu kadangkala sukar ku fahami
Suka, duka, marah, mengamuk
Sayang, cemburu, iri hati
Ledakan emosi yang kadangkala bertembung dengan ledakan emosiku sendiri
Dek kerana keletihan
Kerana tugas dan tanggungjawab yang bertambah
Segalanya seakan tiada akhirnya
Adakalanya aku berkata...
Alangkah bahagianya bila semuanya sudah besar
Tentu aman kembali duniaku
Sekarang semuanya sudah besar panjang
Yang riuh rendah kembali senyap
Yang hiruk pikuk kembali damai
Yang lintang pukang kembali tersusun
Tapi kenapa aku sering saja menoleh
Mengingati momen-momen yang sudah
Terasa begitu indah
Terasa belum puas
Terasa masa sangat pantas berlalu
Seakan baru semalam
Seakan dikejutkan dari mimpi
Kini seakan aku mengimpikan yang mustahil
Alangkah bahagianya jika masa boleh diputarkan
Untuk aku kembali menikmati
Kembali menghargai
Mensyukuri saat yang ada.
Nukilan
🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
No comments:
Post a Comment