Friday, June 19, 2020

MOMEN BERSAMA SI KECIL: ALLAH MAHA PENCIPTA

Sahabat saya Khadijah Saraswathy Abdullah dan cucuandanya Hamzah (3 tahun) dari Ampang datang menziarahi kami di Kuantan.

Kami menyewa Santai Homestay di Balok selama dua hari kerana merindui laut yang tidak ditemui semenjak PKP.

Semalam kami berkunjung ke Pantai Rekreasi Balok, Kuantan. 

Hamzah sangat teruja. Apabila sampai, dia segera memimpin tangan saya dan berjalan menuju pantai.

Sebaik tiba di gigi air, Hamzah menarik perhatian saya.

Hamzah: Wan, Siapa jadikan pantai? Allah jadikan pantai. Kita tak boleh jadikan pantai.

Wan Long: MasyaAllah Hamzah, Allah Al-Khaaliq. Allah menjadikan pantai, laut, ombak dan seluruh alam. Allah Maha Pencipta.

Hamzah, anak yang soleh dan musleh.

Allahu Akbar.
.
.
Subhanallah, anak kecil yang baru mencecah umur 3 tahun itu mengingatkan saya untuk melihat kejadian pantai dan mengaitkan dengan Allah Maha Pencipta.

Alhamdulillah, Hamzah seorang anak yang soleh (baik) dan musleh (yang mengajak kepada kebaikan). Begitulah fitrah seorang anak.

Bagaimana Hamzah boleh jadi khalifah kecil yang soleh dan musleh?

Hamzah tinggal dengan nendanya yang suka melayan dia berbual. Nendanya selalu mengaitkan kejadian alam dengan kebesaran Allah.

Proses interaksi nenda itu memberi makna kepada kehidupan cucuandanya.

Fitrah anak suka meniru. Maka di kesempatan bersama saya, Hamzah meniru apa yang nendanya biasa lakukan kepadanya. Sekarang Hamzah pula yang "mengajar" saya.

Begitulah besar peranan kita sebagai ibu bapa/penjaga. Kita perlu selalu ingat bahawa anak sentiasa memerhati dan meniru. Berhati-hatilah. Segalanya menjadi ikutan.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Rumah madrasah pertama. Ibu bapa guru utama.

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu
20 Jun 2020
23 Syawal 1441H

No comments: