Sehingga hari ini saya tidak mampu membaca prosiding mahkamah tragedi Allahyarham Zulfarhan tanpa menitiskan air mata. Saya tak boleh bayangkan bagaimana anak-anak muda ini boleh tidur malam setelah melihat kawan sendiri diseterika kulitnya dan diseksa begitu sekali… Saya tertanya-tanya, apakah yang menyebabkan mereka mampu menonton kengerian tersebut? Tak ada rasa simpatikah? Sudah hilangkan nilai perikemanusiaan? Adakah mereka tiada empati?
Apakah itu empati?
Empati adalah kemampuan ‘membaca’ perasaan dan perspektif orang lain, sekalipun tidak bersetuju dengan pandangan mereka.
Kenapa empati itu penting?
Tahukah anda, empati adalah nilai penting dalam membentuk kecerdasan emosi (emotional intelligence)?
Kecerdasan emosi yang tinggi melindungi kita dari sakit mental, membendung sikap antisosial, narsisistik dan ganas, dan paling penting, membantu mereka dalam hubungan dengan keluarga dan kawan!
Jadi, bagaimana nak pupuk nilai empati?
1. Galakkan mereka berimaginasi.
Ketika bermain atau membaca buku bersama mereka, lontarkan soalan “Apa agaknya X rasa ya bila jadi begitu?” “Kenapa Y buat macam tu ya?” Galakkan mereka untuk cuba menjadi watak tersebut dan menyelami perasaan mereka. Permainan yang mengetengahkan ‘social story’ seperti Aman Tanpa Buli membantu kita untuk perbincangan ini!
2. Akui perasaan mereka.
Asas kepada empati adalah mengakui perasaan orang lain. Untuk anak-anak belajar mengakui perasaan orang lain, perasaan mereka juga perlu didengari. Tak semestinya kita setuju dengan perbuatan mereka, tetapi kita boleh menerima perasaan yang mendasari perbuatan tersebut. “Ahmad sedih sebab adik runtuhkan mainan ya?”
3. Jadikan berbuat baik kepada semua orang sebagai nilai keluarga, lebih dari menggembirakan diri.
Jadikan budaya membuat visi keluarga yang perlu diamalkan semua ahli. Tunjukkan contoh, dan selalu ingatkan mereka, bahawa berbuat baik adalah lebih penting dari menggembirakan diri sendiri. Tunjukkan contoh dalam pergaulan kita dengan keluarga, rakan sekerja dan sahabat handai. Kongsikan pengalaman anda menghidupkan peraturan ini, dengan anak-anak.
4. Besarkan lingkungan sosial anak-anak.
Ajak mereka berkawan dengan mereka yang berlainan bangsa, agama, mempunyai kelainan upaya, dan latar belakang sosio-ekonomi. Bincangkan perspektif dan perasaan menjadi orang yang berbeza, dengan cabaran yang kita tidak lalui. Ajar mereka untuk hormat pandangan mereka, walaupun kita mungkin tidak bersetuju.
5. Bantu mereka belajar kawalan diri dan mengurus emosi dengan tenang.
Selalunya, yang menghalang empati bukanlah hati yang jahat, tetapi emosi lain yang menguasai diri. Bantu mereka melahirkan perasaan dengan tenang, mengurus konflik dengan rasional dan mengawal emosi-emosi liar.
Pastinya, untuk membina nilai empati yang tinggi dalam anak-anak, kita perlu menjadi manusia tinggi empati! Jom kita sama-sama usaha!
www.amantanpabuli.com
#amantanpabuli
#kitasemuakawan
#boardgamemalaysia
No comments:
Post a Comment