Udara lewat pagi hari itu terasa semakin panas walaupun kipas tidak berhenti berputar. Berpeluh aku mengeledah bilik dan tong sampah. Mencari kaca cermin mata yang hilang.
"Kat mana mak letak cermin mata tu tadi?" tanya Din.
"Mak baru perasan cermin mata tu jatuh di bawah meja. Tengok dah tak ada sebelah kacanya. Tertanggal masa jatuh agaknya. Masa mak menyapu di dalam bilik ni tadi ada bunyi benda terlanggar almari. Mungkin kaca tu. Lepas sapu mak kaut sampah dan buang di dalam tong sampah. Mak dah cari merata di dalam bilik dan di dalam tong sampah tu. Tak ada juga." Jelas aku secara terperinci sambil menunding pada tong sampah di luar bilik.
Anak-anak segera menolong aku mencari di dalam bilik. Setiap sudut dan ceruk dibelek. Kemudian aku gesa supaya Din dan Kakak Nurin cari sekali lagi di dalam tong sampah.
"Tak adalah mak," kata Din.
"Susahlah mak nak membaca kalau tak jumpa kaca cermin mata tu. Kedai pun semua tutup lagi masa PKP ni. " Aku menyuarakan kerisauan dihati.
"Semua tempat kita dah cari. Biarlah dulu. Nanti jumpalah." Kata Din dalam nada yang begitu yakin.
"Haah mak, biarlah dulu, ada rezeki nanti jumpa," ujar Kakak Nurin mengiyakan adiknya lalu beredar.
Aku duduk dibirai katil dan menghela nafas berbaur kecewa kerana anak-anak sudah berhenti mencari. Aku juga sudah keletihan.
"Ya Allah! Berikan aku petunjuk. Di mana harus aku cari. Aku sangat memerlukan kaca cermin mataku itu."
Tiba-tiba aku ingat bahawa aku harus meminta pertolonganNya dan berharap. Aku baca Surah Al-Insyirah dan berserah.
Sejurus kemudian gerak hati aku berat merasakan bahawa kaca cermin mata itu ada di dalam tong sampah. Aku cari lagi di situ. Memang ada terselit dicelah-celah sampah yang dibuang tadi. Subhanallah, Alhamdulillah.
Astaghfirullah! Ampunilah aku Ya Allah. Sesungguhnya aku insan yang selalu alpa. Aku lupa untuk memohon pertolonganMu. Lupa untuk berserah dan berharap hanya kepadaMu.
Aku juga lupa bahawa bukan usaha aku dan pertolongan orang lain penentu kejayaan. Segalanya dariMu Ya Allah Yang Maha Mengabulkan, Yang Maha Pemberi Petunjuk, Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Ya Allah! Jadikanlah aku orang-orang yang selalu ingat.
Surah Ghafir, Ayat 44:
فَسَتَذْكُرُونَ مَا أَقُولُ لَكُمْ وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ
Kelak kamu akan ingat kepada apa yang kukatakan kepada kamu. Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya".
Allahu Akbar!
Allahu 'Alam.
✏Catatan Mak Long
9 Syawal 1441H
No comments:
Post a Comment